Thursday, 25 January 2018

TOMBAK - Zuraidah Aqil Aqila Danish


TOMBAK
Orang ramai semakin berkerumun. Afiq kian rancak membuka langkah. Cabarannya dirasakan mula bersambut. Satu persatu wajah diperhati. Matanya yang liar mula meneliti, wajah Tuah dicari-cari. Tombak dihayun kanan dan kiri, semua orang menjauhkan diri.

Mak Zan hanya memerhati dari jauh. Tak disangka anak tunggalnya bertindak sedemikian. Bergegas dia datang selepas mendapat perkhabaran yang disampaikan kepadanya. Tak putus-putus dia berdoa pada Tuhan agar dipermudahkan. Merayu dan mendayu meminta bantuan, biar anaknya tidak diapa-apakan.

Afiq sudah hanyut, Afiq kian terbabas. Bagaikan terhijab daripada kebenaran; semuanya dipersalahkan, semuanya dipersetankan. Seolah dia yang menjunjung kebenaran, sanggup membuat perhitungan untuk menuntut pembelaan.

Berat hati Mak Zan untuk mengizinkan kerana hanya Afiq seoranglah tempat dia bergantung harapan. Bukan Mak Zan tidak setuju, bukan Mak Zan tidak mahu, namun tindakan Afiq memang melulu. Kenapa dia tak sabar menunggu? Tak sanggup Mak Zan nak mengenang peristiwa lalu.
Mak Zan tahu itu sumpahan. Bukannya takdir, bukannya suratan. Janganlah dikaitkan dengan kebetulan, cukuplah Pak Man sebagai korban. Inilah padahnya membuat perjanjian, darah dan waris menjadi cagaran.
* * *
Menitik air mata Mak Zan mendengar berita bahawa Pak Man didapati mati meninggalkan dunia. Bagaikan sudah dapat menduga, arwah pasti akan tinggalkan keluarga. Matinya bukan mati berjuang, perginya mati mengejar wang. Tanpa jemu Mak Zan berpesan. Tapi sayang Pak Man tak makan saman. Asam gelugur daun keladi, makin ditegur makin menjadi.

Mak Zan yakin arwah dibunuh, bukannya mati kerna terbunuh. Oleh kerana tiada bukti, oleh sebab tiada saksi, Pak Man dituduh membunuh diri. Mak Zan tidak berpuas hati, begitu senang jawapan diberi.

Mudahnya Pak Man dijustifikasi. Begitu cepat kesnya diklasifikasi. Tiada suspek yang diburu dicari. Tiada pelaku yang diberkas disyaki. Alasannya mudah sahaja diberi, setiap orang mempunyai alibi. Cukuplah merujuk rakaman CCTV, terpampang penuh segala aktiviti.

Matinya bukan di bilik terkunci, matinya bukan di malam yang sunyi. Pak Man mati di atas pentas, tombak menikam menyekat nafas. Dari dada menembusi belikat, membelah jantung memotong urat. Darah merah pekat mengalir, mata terbeliak lidah terjelir. Jasad melutut seolah merayu, menahan kemas di bahagian hulu.

Matinya Pak Man bukannya dihari persembahan. Terkujur jasadnya bukan disesi latihan. Terkedu Mak Zan melihat rakaman, Pak Man ke pentas tiada berteman. Tombak dihunus di tangan kanan, tangan kiri menampung kemenyan. Semuanya jelas dalam rakaman, Pak Man memang benar-benar keseorangan.

Bersimpuh pendekar di tengah pentas, tombak di bahu tersandar paras. Mulut menggumit bagaikan menjampi, dupa ditambah lagi. Pak Man seumpama sedang berunding, tangan menghayun jari menunding.

Wajahnya tidak berpuas hati. Gerak bibirnya menyumpah memaki. Tetapi Pak Man memang keseorangan, di dalam dewan tiada yang kelihatan. Mak Zan sudah tidak kehairanan, bagaikan sudah dia ketahuan.

Rakaman CCTV tiba-tiba terhenti, seolah ditutup sengaja dimati. Bangkit polis memberi penjelasan, setakat itu sahaja tempoh rakaman. Mak Zan pasrah atas ketentuan. Menerima seadanya ajal dan kematian.

* * *

Pak Man adalah pelakon pentas, pemain utama teater bangsawan. Handal bersilat pakar berlawan. Kerambit dan pisau bagaikan mainan, pedang dan lembing memang makanan. Semua bunga sudah diketahui, setiap buah mahir dikuasai.

Di KUDA MERAH Pak Man bermula, mencuba nasib mengerah tenaga. Sebuah kumpulan penggiat teater yang sangat aktif dan terkenal. Ramai seniman yang terkenal bermula di sini, membina tapak mengembangkan seni. Mengasah bakat memperbaiki prestasi. Mereka ada dewan sendiri, mereka punya pentas tersendiri.

Menyertai KUDA MERAH adalah impian, bayaran yang diterima memang lumayan. Penonton yang datang bukan sebarangan, tiketnya mahal bertaraf bangsawan. Mujur Pak Man mahir berlawan. Gerak tarinya dihormati kawan, seni bela dirinya disegani lawan.

Bermula dari bawahan; Pak Man memegang watak sebagai pengawal diraja, menghunus tombak bersiap sedia. Bertempur bagaikan medan yang sebenar, menikam melibas kepada yang onar. Biarpun ianya hanya sekadar lakonan, penonton bertepuk memberi sokongan.

Pihak pengurusan mulai perasan, tiket dijual kerap kehabisan. Semenjak Pak Man menyertai mereka, untung yang dijana semakin berganda. Slot Pak Man dilanjutkan, watak Pak Man dikembangkan. Pentas ditinggikan, dewan diperbesarkan. Pak Man menjadi tumpuan, Pak Man menjadi tarikan.

Pengarah dan pengurus tersenyum meleret, melihat penonton berbaris berderet. Tiket persembahan sering kehabisan, sampaikan ulat mengambil kesempatan. Pak Man berlakon sepenuh jiwa, terpercik api bilah berlaga. Wataknya ringkas mudah bersahaja, cuma gerak tempurnya yang agak luar biasa. Penonton bersorak penuh gembira, Pak Man tersengih mendabik dada.

Pak Man sering menggunakan tombak ketika persembahan. Biarpun ada babak yang memerlukan dia menggunakan senjata lain, Pak Man tetap berkeras dengan tombaknya. Pengarah mengakur sahaja, pengurus tak berkata apa-apa. Mereka sedar Pak Man adalah bintang teater, lagipun kehendaknya mudah sahaja. Pak Man mahu guna tombak. Itu sahaja.

Pengunci Jiwa - Itulah nama tombak Pak Man. Perdu keras kayu hutan, licin berkilat berukir lipan . Hulunya bulat bertombol tembaga, berambu kuning di bahagian mata. Itu adalah senjata persendirian, bukannya hak milik pengurusan. Sememangnya senjata tempur yang sebenar, bukannya prop tiruan yang boleh diacah.

Diperasap sebelum membuat persembahan, bilik dikunci dipasang penahan. Pinang dikacip sirih dimakan, mantera dibaca diulang perlahan. Pengunci Jiwa dipeluk rapi, dicium mesra berulang kali. Dijulang ke atas pantang dilangkahi, diseru dipuja sepurnama sekali. Makannya bukan pulut kuning, hidangnya bukan ayam jantan. Cukuplah darah sebagai santapan, tak banyak cuma setitis kuman.

Walaupun hanya sebesar kuman, ianya adalah perihal iman. Biarpun hanya cuma setitis, cukuplah untuk iman terhakis. Pak Man hanyut dalam kemewahan, lemas tenggelam dalam kemasyhuran. Syaitan tersenyum helahnya menjadi. Bukannya darah manusia yang dihajati, tetapi kepercayaan dan pegangan di dalam hati.

Upah yang diterima memang lumayan, Pak Man bergelap mata memasang angan. Bersusah dahulu bersenang kemudian, jarum dimasuk tersilap perhitungan. Pengarah dan pengurus datang memuji, mengharapkan Pak Man mengekalkan prestasi. Duit ditabur, upah ditambah. Pak Man kian takbur, lupa pada yang layak disembah.

* * *

Mak Zan berasa tak sedap hati. Wang di hadapannya dipandang sepi. Bukan dia tak bersyukur, bukan dia tak menghargai. Mak Zan risau, Mak Zan khuatir. Apakah betul apa yang Pak Man buat ini diberkati? Adakah usaha yang Pak Man lakukan ini diredhai?

Pak Man-lah yang selama ini menyara mereka sekeluarga. Masuk ke hutan menebang pokok, memikul keluar menjual di pasar. Untungnya tidaklah begitu banyak, penat lelahya kadang tak berbayar. Kayu apinya banyak tak terjual, kenduri kendara sekarang banyak yang guna tong gas. Kadang terlintas juga di hati, apalah nasib yang menimpa diri.

Hinggalah suatu hari Pak Man didatangi seorang lelaki di waktu senja, membawa segulung balutan panjang berkain kuning. Perlahan balutan dibuka, kelihatan Pengunci Jiwa di dalamnya. Pak Man dipinta membuat kotak kayu sebagai tempat simpanan senjata. Tak pernah Pak Man mendengar atau melihat tombak disimpan di dalam kotak, biasanya digantung dipamer di dinding sahaja untuk tontonan.

Pak Man menerima sahaja, upah yang ditawarkan memang berbaloi. Manakan tidak, si lelaki itu mahu kayu belian sebagai papan. Bukannya sebarangan kayu hutan. Tujuh hari Pak Man tawarkan tempoh siap, si lelaki terus pulang dalam kegelapan. Pengunci Jiwa dibiar ditinggalkan, kononnya biar mudah diambil ukuran. Walhal ianya sengaja didatangkan, Pak Man tak sedar ianya hanya umpan.

Terasa kelainan sewaktu Pengunci Jiwa dipegang, Pak Man dapat rasakan tiba-tiba sahaja dia bersemangat. Dadanya berombak berkobar-kobar, jantungnya pantas mengepam laju. Segera dilepaskan tombak itu, langsung dibalut semula kain dan disandar ke pintu.

Malamnya dia bermimpi. Ular besar datang menghampiri, menggelungsur pantas membelit diri. Terkapai Pak Man meminta pertolongan, datang lelaki menghulur bantuan. Tombak dilontar tepat ke badan, belitan ular mengurai perlahan. Pak Man bagaikan mengenali lelaki itu, dialah pelanggan yang datang ke rumahnya beberapa jam yang lalu.

Malam berikutnya Pak Man bermimpi lagi, si lelaki datang memperkenalkan diri. Penguci Jiwa nama diberi, Pak Man diarah menjaga sepenuh hati. Pelbagai kesenangan semuanya ditawarkan, bermacam kemewahan lelaki itu janjikan. Syaratnya mudah sahaja, ambillah tombak untuk dipuja. Yang perlu dipertuankan, yang perlu diperhidangkan.

Pak Man setuju tanpa halangan, biarpun darah sebagai gantian. Cuma setitis untuk kemewahan, mustahil dilepas peluang keemasan. Berfikir bagaikan tiadanya iman, langsung tergoda ajakan syaitan. Mungkin kebosanan dengan kemiskinan. Atau sudah jemu dengan kesabaran. Pak Man menyetujui perjanjian syaitan.

* * *

Diberi betis hendakkan peha, dari peha naik ke kelangkang. Begitulah bunga yang harus dibayar Pak Man. Bermula daripada setitik darah, bayarannya meningkat menjadi sesudu. Dari sesudu berpindah ke secawan. Bagai sudah dijangka, dari secawan naik ke semangkuk. Pak Man tak dapat menolak, terpaksa menyetujuinya. Tapi hatinya tergerak, apakah bunganya sesudah semangkuk?

Rezeki lakonan kian murah, tawaran pementasan kian bertambah. Pak Man semakin masyhur, kehidupan semakin mewah. Itulah tipu daya syaitan, cukuplah hanya pengaruh dan kekayaan. Melupakan manusia dengan daratan, membiarkan hanyut ke tengah lautan.

* * *

Mak Zan berasa pelik. Pak Man tak pandai bersilat. Pak Man tak berani berlawan. Tiba-tiba sahaja semua orang di kampung memuji suaminya. Katanya bertuah Mak Zan berlakikan pahlawan. Terkejut Mak Mah dipuji sedemikian.

Mak Zan faham sangat kekurangan suaminya. Lakinya bukan pengecut, cuma kurang berani. Lipas terbang pun dijeritnya babi, apatah lagi bersilat bertempur sesama sendiri. Mak Zan tahulah hal lakinya, 20 tahun hidup bersama laki bini. Apa yang dikhabarkan orang kampung memang sukar nak dipercayai.

Sejak Pak Man menyertai KUDA MERAH, rezeki mereka tiga beranak kian bertambah. Dahulu nak makan ayam pun susah, harapkan ada kenduri di surau barulah dapat jamah. Memang mewah gaji yang diterima Pak Man, dari rumah kayu mereka berpindah ke rumah batu.

Dari berjalan kaki, kini sudah mampu menyewa teksi. Dahulu ke hutan mencari kayu api, hinggakan ke bawah tanah menggali perigi. Kini cukup hanya memulas keluar air, memetik keluar api. Kehidupan mereka banyak berubah. Perubahan yang sangat mendadak. Itu yang merisaukan Mak Zan.

Suatu malam Mak Zan merancang untuk menghendap. Pak Man setiap malam akan menguncikan diri di dalam bilik khasnya. Bau kemenyan kuat menusuk hidung. Pak Man dilihat berbisik-bisik mesra, bercakap dengan apa entah siapa. Tombak dijulang dipeluk dicium. Jampi dibaca mantera diseru. Mak Zan tak sedap hati fikirannya mula bercelaru.

Tombak ditegak berhulu ke bawah. Jari ditoreh melurut ke bilah. Darah menitik dibiarkan basah. Diurut disapu ke rambu ramba. Pak Man tersenyum mulai ketawa, makin lama makin berdekah. Seram sejuk Mak Zan mencuri lihat, tak disangka Pak Man sudah khurafat. Patutlah sudah lama tidak mengerjakan solat. Rupanya hati sudah hitam, Pak Man sudah sesat.

Bagaikan pahlawan Pak Man rasai, semangat pendekar menguasai diri. Tangannya berhayun bergerak sendiri, mencapai tombak memula tari. Langkah dibuka kaki berdiri, tombak dihayun kanan dan kiri. Lagaknya bagaikan sedang menurun, Mak Zan yang menghendap mulai rasa gerun. Tubuhnya kini bukan dalam kawalan, Pak Man sudah dalam kerasukan. Darah di hujung jari semakin menitis, Mak Zan di sebalik dinding mulai menangis.

* * *

"Aku ingin mencari pekerjaan, aku dengar di sini perlukan pelakon sambilan."

"Pernah berlakon? Punya pengalaman?"

"Aku mahir bermain tombak."

Pengarah mendongak. Segera fail kerjanya ditutup, pennya diletakkan ke bawah. Hatinya tiba-tiba tertarik. Anak muda di hadapannya diperhatikan.

"Siapa nama kau?" Pengarah bertanya penuh berminat.

"Aku Afiq Azman... mahu tahu nama tombakku?" Balutan kain kuning di belakangnya diperkemaskan.

Pengarah tersenyum, pantas jarinya menekan interkom menghubungi pengurus, "Tuan, pelakon watak Jebat saya dah dapat."


-TAMAT-
Karya : Zuraidah Aqil Aqila Danish
Gambar : Zuraidah Aqil Aqila Danish
Suntingan Gambar : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: