AISHA; PART 2
========================
Waktu Aisha melangkah masuk, dia terpana. Alam itu sama dengan alam manusia. Aisha mendongak, matahari yang sama kelihatan. Wanita itu menelan air liur. Keadaan dunia ini, tiada beza. Hutan yang sama. Pokok yang sama. Cuma dihadapannya adalah satu denai kecil, muat-muat untuk dua manusia dewasa berjalan seiringan.
Sekarang, dia perlu mencari Jalal. Dia membetulkan selendangnya, sebelum membisikkan basmalah.
“Kau beragama Islam rupanya.” Terpacul satu suara dalam seorang lelaki. Pantas, Aisha memusingkan badan.
Tiada sesiapa.
“Siapa itu?” ujar Aisha.
“Aku penjaga gerbang kedua. Tsa benarkan kau masuk,kah?” ujar suara tidak bertuan itu. Aisha masih memandang sekeliling, mencari tuan empunya suara.
“Aku sudah bayar secukupnya pada Tsa. Jangan apa-apakan dia. Tunjukkan diri kamu! Aku tidak berniat jahat.” Aisha memegang erat tudungnya.
“Aku tidak nampak sebarang luka di badan mu. Kau gadis yang bijaksana. Apa namamu?” seru suara itu lagi.
Baru sahaja Aisha membuka mulut, dia teringat pesanan Tsa.
“Kau masuk, jangan lupakan nama kau. Jangan lupakan nama suami kau. Nanti kau tak boleh keluar!”
Aisha menutup mulutnya kembali. Bagaimana kalau makhluk ini memaksanya melupakan namanya sendiri?
“Nama ku… nama ku Asiah.” Jawab Aisha tegas. “Kau siapa?” Sambung wanita itu lagi.
“Aku, Lam.”
“Lam?”
“Ya.”
“Lam, seperti huruf hijaiyah itu?” Tanya Aisha hairan.
“Ya, betul. Itu namaku. Sama dengan Tsa.” Jawab suara tidak bertuan itu lagi. Aisha memiringkan kepala, masih mencari-cari suara itu.
“Kau makhluk apa? Sama seperti Tsa, kah?”
“Bukan, aku dengannya tidak sama. Fizikal kami lain.”
“Kau kenal kalimah basmalah. Kau menganut agama Islamkah?”
“Ya, aku Islam.”
“Tapi kau tidak kelihatan di mataku.” Aisha berkata hairan.
“Aku tak tahu. Ini memang janjiku dengan kaum bunian. Dengan mereka juga, aku tak kelihatan.”
“Mana kau?”
“Betul-betul dihadapanmu.”
Aisha merenung hadapannya yang kosong. Lantas, dia mengeluarkan balang airnya. Dicuah separuh isi ke tanah berdebu.
“Berdiri di sini. Aku mahu lihat kakimu.” Pinta Aisha. Suara itu menurut, berdiri dalam lecak air.
Sepasang tapak kaki manusia kelihatan, mendap ke dalam tanah lecak.
“Kau manusia!” kata Aisha teruja. Suara itu diam seketika, mungkin terkejut melihat kakinya.
“Bukan, aku rasa aku bukan manusia. Aku lain.” Balas suara itu lagi.
“Jadi, kamu bunian?”
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, aku perlu menjaga gerbang ini.”
“Aku mahu mencari seseorang.”
“Siapa?”
“Suamiku.” Balas Aisha.
“Lupakan hasratmu. Kembalilah ke dunia manusia. Alam Zara ini bukan tempat kau.”
Aisha menggeleng.
“Aku perlu cari suamiku. Aku tahu, dia ada disini. Tolonglah bantu aku, Lam. Aku tak berniat jahat.”
Suara itu diam sebentar.
“Kau tak faham hati budi bunian, Asiah. Mereka bukan seperti manusia.”
“Tolonglah Lam. Kau lihat, aku datang sehelai sepinggan sahaja. Kasihanilah ibu mertuaku. Jalal itu satu-satunya anaknya.”
Sekali lagi, suara itu terdiam. Lama. Apa yang memastikan Aisha suara itu belum beralih – adalah tapak kaki yang masih mendap di hadapannya.
“Maafkan aku, Asiah.” Kata suara itu. “Tapi aku tidak boleh benarkan kau lepas dari sini.”
“Apa bayarannya?”
“Bayaran?”
“Ya. Dengan Tsa, dia kenakan bayaran. Apa bayaran kamu?”
“Aku mahu bebas. Aku tidak mahu ‘ghaib’ seperti ini.
Aisha menggeleng. “Itu tidak mampu aku lakukan. Siapa yang boleh bebaskan kau? Ada yang mampu?”
“Ada. Kau kena minta dengan Raja Bunian.”
“Ah.” Aisha mengangkat kening. “Bagaimana aku mahu meminta Raja Bunian untuk lepaskan kau, sekiranya aku tak boleh melalui gerbang ini?”
Aisha mendengar Lam tertawa.
“Kau? Perempuan manusia, mahu meminta dengan Raja Bunian?”
“Mengapa?”
“Tiada apa. Cuma jarang dibuat.” suara Lam menjawab bersahaja.
“Apa kau dah buat, hingga Raja menghukum kau sebegini rupa?” soal Aisha hairan. Wanita itu merenung hadapannya yang kosong.
“Aku sendiri tidak tahu. Aku tak pernah tinggalkan gerbang ini untuk bertanya.” Lam berkata bingung.
“Pelik tu. Kenapa baru sekarang? Kenapa bila aku muncul, baru kau tergerak hati mahu dapatkan tubuh badan kau balik?”
Senyap seketika. Aisha memiringkan kepala, menanti jawapan Lam.
“Aku tak dapat tinggalkan gerbang ini, selagi tiada makhluk yang mengajak. Itu salah satu sumpahan ku.”
“Tiada bunian lain pernah mendekati gerbang ini kah?” Soal Aisha tidak puas hati.
“Tiada. Mungkin mereka ditegah.”
“Apa maksudmu dengan mungkin?”
“Aku… aku tak tahu. Semuanya samar-samar. Yang aku tahu, aku kena duduk disini. Selagi tiada makhluk mengajakku pergi, aku tak boleh tinggalkan gerbang ini.” Ujar Lam sedih.
Aisha menghela nafas.
“Jadi, marilah. Kita kembalikan tubuhmu. Kita cari suamiku. Ya?”
“Baik. Tapi, aku tak boleh lepas kau begitu sahaja. Harus ada cagaran.”
“Cagaran?”
"Cagarannya, adalah nama suami kau."
Aisha termengkelan. "Tapi tujuan aku masuk ke sini adalah untuk selamatkan suami aku. Kalau kau ambil namanya, bagaimana aku mahu keluar?" sambung wanita itu.
"Aku akan kembalikan, sebaik sahaja aku memiliki tubuhku kembali. Bagaimana? Kau setuju?"
Aisha mengetap bibir.
"Kau janji, Lam?"
"Aku tak pernah memungkiri janji aku."
"Aku dengar, jin itu sejahat-jahat manusia, Lam." Aisha menguji. Lam tertawa.
"Habis tu, untuk apa Allah hisab kami di akhirat nanti? Masukkan sahaja semua bangsa jin di neraka. Tak perlu dihisab. Kami ni jahat." jawab Lam dalam tawanya. Aisha tersenyum.
"Baiklah. Aku terima." ujar Aisha dalam gementar.
"Hulurkan tanganmu."
Aisha menurut. Dari telapak tangan Aisha - timbul cahaya kalimah jawi yang tertulis Jalal. Aisha memerhati penuh takjub sewaktu ia terapung dari telapak tangannya, dan huruf-huruf hijaiyah itu mula terpisah, bercerai-berai, kemudian ia lenyap.
"Itu sahaja?" gumam Aisha.
"Ya. Itu sahajalah. Kau nak apa lagi?" Lam menjawab hairan. Aisha merenung tangannya kosong. Dia kini lupa wajah suaminya. Suaranya. Dia cuba mengingati kembali - tapi yang muncul di benak fikirannya hanyalah bayangan seorang lelaki tinggi dengan muka berkabus.
"Aku... Aku tak dapat ingat muka suami aku." bisik Aisha sedih.
"Itulah yang berlaku bila namanya aku ambil. Sekarang, biar aku bukakan hijab kau."
“Mana boleh!” Aisha memegang erat tudungnya.
“Bukan hijab itulah. Hijab mata kau.” Aisha terdengar senyuman di suara Lam.
“Oh.” Jawab Aisha, merasa sedikit bodoh. “Untuk apa?”
“Kaum bunian tak akan tunjukkan diri mereka pada manusia, Asiah. Kau kena faham tu.”
“Mereka akan tahu aku ini manusia?” Aisha berkata sedikit gusar.
“Ya.” Lam menjawab.
Aisha menunduk. Berkerut mukanya, memikirkan sesuatu. Seketika kemudian, dia mengangkat muka.
“Baiklah Lam. Aku percayakan kau. Bagaimana aku harus membuka hijab mataku?”
“Berikan balang airmu.” Ujar Lam. Aisha menurut. Aisha memandang aneh terhadap balang yang terapung di udara. Penutupnya dibuka, dan Aisha lihat air itu dituang ke dalam penutup.
“Nah. Sapukan air ini ke keningmu.” Penutup berisi air itu disua kepada Aisha.
“Apa yang kau dah buat pada air ini, Lam?” Ujar Aisha penuh minat.
“Adalah. Ikut sahaja kata-kataku.” Ujar Lam. Aisha mengikut. Wanita itu mencelup jari-jemari halusnya ke dalam air tersebut, menyapu kedua belah keningnya.
Aisha termengkelan. Penutup itu jatuh bergolek.
Hutan itu - yang awalnya diam tidak berpenghuni, seakan dipetik suis; bunyi-bunyi binatang menerpa telinga Aisha. Dari celah pokok-pokok menghijau, sekumpulan rusa putih dengan tanduk seakan ranting kayu yang bercabang-cabang mengintai mereka malu-malu. Di atas pohon, tupai-tupai berwarna merah gelap dan putih berlari-lari riang, burung-burung aneh dengan pelbagai warna pelik berkicauan bising.
“Allahuakbar. Allahuakbar…” Bisik wanita itu, menghela nafas.
“Dah, jangan kau tenung lama-lama. Kau mahu keluar juga dari Alam Zara ini kan? Sehari disini bersamaan tujuh hari di dunia manusia.” Ujar Lam. Aisha dengar dia melangkah ke hadapan, mendahului Aisha.
“Allah. Tujuh hari?” Ujarnya terkejut.
“Ya. Bila suami kau mulai hilang?” Tanya Lam. Aisha menuruti Lam di belakang.
“Tahun 1941, waktu Jepun mula menyerang. Tahun 1942, dia hilang. Ini, dah tahun 1948.” Jawab Aisha. “Di dunia manusia, dia sudah hilang selama enam tahun. Jadi, kalau dikira, suamiku sudah menetap di sini hampir setahun.” Sambung Aisha lagi, mencongak-congak pantas.
“Enam tahun itu tempoh yang lama. Apa kau tidak mencari lelaki lain?” Lam berkata dalam hiruk-pikuk bunyi hutan yang menenangkan. Sesekali bunyi laungan monyet mencelah perbualan mereka.
“Tidak. Aku sendiri tidak pernah berjumpa dengan mana-mana qhadi.” Aisha menjawab ringkas.
“Jadi kau dan dia masih suami isteri yang sah.” Ujar Lam. “Kau sangat setia.” Sambung Lam lagi, selepas diam seketika.
“Kita mahu kemana ya, Lam?” Tanya Aisha.
“Berjumpa Raja. Satu lagi, Asiah. Disini, apa kau fikir, bunian boleh dengar.” Lam berkata. Aisha membuntangkan mata.
“Jadi, jangan menipu nama kau, AISHA.” Sambung Lam. Aisha mendengar suara Lam seakan tersenyum lucu. Memerah pipi wanita bermata sepet itu.
“Maafkan aku.” Ujar Aisha malu.
“Tak ada masalah. Nasihat Tsa itu betul. Tapi disini, kalau kau tak mahu fikiran kau dibaca, jaga hati kau. Banyakkan zikrullah. Ulang nama Allah seiring degupan jantungmu.” Ucap Lam lagi. Aisha mengangguk.
“Kau kata, suami kau sudah disini hampir setahun ya?” Tanya Lam.
“Ya.” Aisha menjawab ringkas.
“Anehnya, aku disumpah menjaga gerbang itu, hampir setahun juga.” Lam berkata. Aisha terdiam. Mengulang nama Allah seiring jantungnya.
======================================
“Raja Bunian yang kita nak jumpa ini, Raja bagaimana?” Aisha memecahkan kesunyian selepas sekian lama mereka berjalan.
“Khalifatullah Umar Satria. Dia Raja kawasan ini.”
“Kawasan?”
“Ya. Kawasan puak.”
“Aku kurang faham, Lam.”
“Kau bayangkan negara kau sahajalah. Ada negeri-negeri kecil yang membentuk negara. Bunian ini, mereka ada puak-puak. Kawasan ini milik puak Kabilah Ahmar dan Kabilah Aswad. Tiap Kabilah ada raja.”
“Dua puak?”
“Ya, kerana aku dengar, Kabilah Aswad itu rajanya sudah tiada. Jadi raja Kabilah Ahmar yang mengambil alih, kerana Kabilah Aswad tidak tinggalkan pewaris.”
Aisha mengangguk. Bunyi-bunyi hutan kian berkurang. Jalan mereka lalui itu kian luas.
“Kita sudah hampir sampaikah?” Tanya Aisha.
“Ya. Kita akan sampai ke pekan mereka. Sampai di sana, mereka akan bertanyakan hasratmu. Kau beritahu sejujurnya. Jangan menipu. Kaum bunian sangat pentingkan hak. Tekankan hak kau sebagai isteri.” Ujar Lam. Aisha mengangguk.
“Kau jangan tinggalkan aku, Lam. Kau sudah berjanji.” Wanita itu merenung hadapannya yang kosong. Lam tertawa pendek.
“Aku tak pernah memungkiri janjiku. Sekarang, bersedia.” Lam berkata. Aisha menggenggam tudungnya erat. Mereka sampai ke penghujung jalan yang ditutup semak samun.
“Pergilah Aisha. Aku dibelakangmu.” bisik Lam. Aisha mengangguk. Tangannya dihulur, menyelak semak-samun yang merimbun.
Cahaya yang menyimbah tiba-tiba menyilaukan mata Aisha. Wanita itu memicingkan mata, sebelum membukanya perlahan.
Aisha termengkelan.
=====================
Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment