HILANG PART 2
==========
Sebaik kakinya melangkah menuju ke arah dapur yang gelap itu cikgu Wahab seakan terlihat satu susuk seseorang berdiri statik didalam dapur yang gelap itu. Langkahannya terus terhenti tatkala melihat susuk itu.
Cikgu Wahab terkejut! Mujur tidak jatuh terduduk dek kerana terperanjat sehingga terbanting badannya ke belakang. Dalam pada itu sederas itu dia membuka suis lampu dapur agar dapat melihat dengan jelas kelibat apakah yang sedang dilihatnya itu. Dalam suasana dapur yang terang itu cikgu Wahab mula melangkah perlahan, terhendap-hendap dia mencari susuk yang dilihatnya sebentar tadi.
"Tak ada?"
Namun lantai yang dibasahi air hanya terlihat basah ditengah ruangan dapur sahaja. Sedangkan disekelilingnya sehingga berhadapan dengan pintu bilik air, kering. Seolah-olah air yang basah di atas lantai itu seakan terhenti disitu.
"Betul ke apa yang aku lihat ni?" soalnya sendiri.
Dia benar-benar bingung. Memandang ke arah lantai yang dibasahi air. Dicuit lantai basah itu dengan kaki. Mahu dicuit dengan jari di tangan terasa geli, terpaksalah menggunakan kaki yang sudah sedia basah kerana terpijakkan lantai yang basah itu.
"Macam air biasa?" ngomelnya.
Lantas dengan tidak membuang masa Cikgu Wahab segera ke stor yang terletak bersebelahan bilik air. Lalu mop yang tersandar di dinding terus diambil. Lantai yang basah itu segera dilap dengan mop sehingga kering. Fikirnya lantai itu perlu dibersihkan segera sebelum isterinya terjaga. Sebolehnya dia tidak mahu Rohani tahu akan kejadian itu. Tiba-tiba....
"Kenapa abang mop pagi-pagi buta ni?"
Cikgu Wahab tersentak dan terus menoleh kebelakang. Sekali lagi dia terkejut! Rupanya Rohani menegurnya dari belakang. Dadanya diurut perlahan dan beristirgfar....
"Kenapa awak bangun? Tidurlah balik." suruh cikgu Wahab.
"Abang pun bangun. Peliklah abang ni, kenapa mop lantai pagi-pagi buta ni?" Rohani kelihatan pelik melihat kelakuan suaminya.
"Saja mop. Abang tak boleh nak tidur. Asyik mimpi yang bukan-bukan fasal Amira." Cikgu Wahab cuba mengelak dari memberi jawapan yang sebenar.
"Masa tidur tadi saya terkejut dengar bunyi sesuatu dekat dalam bilik Amira. Bangun saja tengok abang dah tak ada dekat sebelah. Takutlah bang...." Segera Rohani merangkul lengan cikgu Wahab.
"Bunyi apa?"
"Entahlah. Macam bunyi buku berterabur dekat dalam bilik dia. Tak tahulah. Jom tengok!" Rohani mengajak suaminya pergi melihat didalam bilik Amira. Hatinya mula rasa tidak sedap semenjak kehilangan Amira. Sentiasa perkara buruk sahaja yang difikirkan.
Lantas kedua suami isteri itu berjalan beriringan menuju ke bilik Amira. Untuk melihat, bunyi apakah yang didengar Rohani itu. Kali ini perasaan takut cikgu Wahab semakin memuncak. Sudahlah tadi terdengar bunyi ketukan pintu dan lantai basah dengan tidak tahu puncanya, kali ini Rohani pula terdengar bunyi sesuatu dari dalam bilik Amira.
Pintu bilik Amira dikuak perlahan. Lalu suis lampu bilik dinyalakan. Bilik Amira mulai terang. Cikgu Wahab dan isteri melangkah perlahan lalu mengintai-ngintai disegenap ruang. Tiada apa yang aneh. Bersih dan kemas seperti biasa. Buku yang berada di atas rak pun tetap elok tidak terusik. Tiada langsung tanda-tanda jatuh. Rohani berasa sedikit lega walaupun perasaan takut itu mula menjalar disetiap ruang mindanya. Sedang dia berjalan menuju kearah meja belajar Amira, tiba-tiba...
BAMM!!
Rohani terjatuh terduduk secara mengejut! Buat kali ketiga cikgu Wahab terperanjat! Terperanjat melihat isterinya terjatuh dihadapannya secara tiba-tiba. Rohani menggosok-gosok punggungnya yang kesakitan.
"Aduhh! Air apa ni bang? Macam mana boleh ada air dekat lantai dalam bilik ni!" Gumam Rohani.
Cikgu Wahab terkejut apabila melihat lantai berhampiran dengan rak buku Amira dibasahi dengan air. Sama keadaan seperti di ruang tamu dan dapur sebentar tadi. Cikgu Wahab terus terduduk di katil Amira. Dia mula memikirkan sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam rumahnya, malah dalam kehidupannya sendiri. Kejadian mistik? Perkara itu terjadi saat bermulanya mereka kehilangan Amira. Sungguh! Ia benar-benar mengganggu emosinya saat ini. Sedangkan itu bukan dirinya yang sebenar. Malah keadaan menjadi semakin pelik.
"Dari mana datangnya air dilantai semua ni?"
Monolognya sendiri.
"Pergi ambil mop dekat dapur!" Cikgu Wahab menyuruh isterinya mengambil mop yang digunanya tadi di dapur. Tanpa membantah Rohani segera keluar dari bilik Amira untuk mengambil mop yang dipinta suaminya.
"Tak apalah bang. Biar saya yang buat. Abang keluarlah dulu." Rohani merenung suaminya yang masih termenung dikatil Amira. Faham benar dirinya akan perlakuan suaminya itu. Setiap kali menghadapi masalah, pasti suaminya akan lebih banyak termenung. Termenung sehingga tidak berkutik sedikit pun. Tambahan pula masalah berat yang sedang melanda mereka sekarang. Rasa bersalah pula dirinya apabila secara tidak sengaja bermasam muka terhadap suaminya malam tadi. Bukan itu kehendaknya. Sedikit pun tiada niat untuk memalingkan muka dari suaminya ketika itu.
"Berdosanya aku padanya...." tanpa dapat ditahan, air mata yang bertakung mula membasah di pipi. Lalu air mata itu segera diseka lembut.
"Abang, Ani minta maaf fasal malam tadi tu. Ani tak ada niat pun...." wajah suaminya ditatap sayu.
Terus cikgu Wahab memalingkan wajahnya ke arah Rohani apabila terdengar ungkapan maaf dari isterinya. Dia tersenyum kelat. Bukan tidak memaafkan tetapi fikirannya terlalu memikirkan hal kehilangan Amira.
Pagi yang hening itu, kedua-dua suami isteri itu hanya duduk termenung. Mula mengingati kenangan bersama Amira. Kenangan sepanjang membesarkannya. Gambar- gambar yang tergantung di dinding dan yang terletak di meja belajar itu direnung dengan pandangan sayu.
...........................................
Kereta Toyota Vios meluncur laju diatas jalan raya. Cikgu Wahab sedang fokus pada pemanduannya. Jali yang berada disebelah sempat mengerling ke arah cikgu Wahab.
"Kita nak ke mana ni cikgu?" tanya Jali kepada cikgu Wahab.
"Entahlah. Kemana-mana saja. Jali temankan saya. Rohani tak nak ikut. Lagipun saya tak boleh nak duduk dekat rumah. Fikiran saya terganggu."
"Sekarang kita nak cari Amira dekat mana? Setahu saya semua tempat kita dah cari." ujar Jali lagi.
Cikgu Wahab hanya menumpu pada pemanduannya sahaja.
"Malam tadi saya dan Rohani macam kena ganggu." Cikgu Wahab memulakan cerita.
"Kena ganggu? Ganggu yang macam mana tu?"
"Saya pun tak tahu macam mana nak ceritakan. Saya sendiri tak pasti, benda tu berlaku ada kena mengena dengan kehilangan Amira atau tidak." jelas cikgu Wahab lagi.
"Cuba cikgu cerita. Gangguan yang macam mana? Mana tahu saya boleh tolong."
"Malam tadi saya mimpi tubuh Amira basah. Lepastu bunyi pintu rumah diketuk dan ditutup kuat. Bila saya tengok, pintu masih berkunci. Siapa yang buka pintu sedangkan pintu berkunci dari dalam. Lepastu lantai ruang tamu basah sehingga ke dapur. Habis saja saya mop lantai yang basah tu, lantai dibilik Amira pula basah. Itupun setelah Rohani terdengar bunyi buku jatuh dalam bilik Amira. Mana ada saya tidur sampai sekarang. Badan tak berapa nak sihat. Dekat sekolah tadi pun pengetua adakan bacaan Yassin dan solat hajat bersama guru dan pelajar-pelajar untuk Amira. Saya benar-benar terharu...."
Jali yang berada di sebelah mendengar dengan penuh khusyuk. Penuh simpati. Lagipun sukar untuknya mentafsir mimpi Cikgu Wahab itu. Adakah hanya mainan syaitan atau satu petanda.
"Esok ayah saya akan balik dari umrah. Lagipun saya tak maklumkan lagi pada dia akan hal kehilangan Amira ni. Takut dia susah hati. InsyaAllah, sampai sahaja dia di sini saya akan ceritakan masalah yang sedang kita hadapi ni." ujar Jali lagi.
"Cikgu stop sekejap! Kereta parking dekat tepi situ." arah Jali.
Cikgu Wahab hanya mengikut sahaja arahan dari Jali tanpa membantah. Namun ada perasaan pelik terbit dihatinya. Kenapa perlu berhenti disini?
"Kenapa nak berhenti?" soal cikgu Wahab.
"Cuba cikgu pandang villa tu?" sambil menunjuk ke arah sebuah villa usang yang terletak di tepi jalan.
Cikgu Wahab memandang kearah villa usang iti seperti yang disuruh Jali. Pada pandangannya, tidak ada apa yang pelik yang terlihat pada villa itu. Usang. Penuh semak walaupun ada penjaganya. Kelihatan sepi dan suram. Lalu tanpa dipinta cikgu Wahab terus keluar dari perut kereta. Bagai ditarik-tarik dirinya untuk pergi lebih dekat kearah villa itu. Melihatkan cikgu Wahab yang keluar dari kereta begitu sahaja, Jali juga turut mengekori langkah cikgu Wahab.
"Cikgu! Tak perlu kesana. Pagarnya berkunci!" jerit Jali.
"Berkunci?"
"Ya, berkunci. Kuncinya ada pada pak Munawir. Pak Munawir tak ada. Pergi umrah bersama dengan ayah saya." balas Jali lagi.
"Habis tu yang kau bawa aku kesini, kenapa? Aku nak cari Amira. Bukan nak cari hantu!" tegas cikgu Wahab lagi.
"Saya faham cikgu. Tadi cikgu cerita fasal mimpi baju Amira basah lepas tu lantai basah dengan air."
"Habis tu apa kena mengena mimpi aku dengan villa ni?" Nada Cikgu Wahab yang seakan tidak berpuas hati. Sesekali matanya merenung tajam kearah villa sepi itu.
"Ada cikgu. Villa Dahlia ini mungkin ada kena-mengena. Mungkin...." balas Jali lagi.
-TAMAT PART 2-
===============
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment