Sunday, 14 January 2018

BISIKAN, ADAM - Daliana Zainal Abidin


BISIKAN, ADAM
==================


Jarum jam hampir ke pukul enam petang. Kau masih berteleku di tempat duduk sambil menyiapkan saki-baki tugasan yang tidak akan pernah habis. Siap hari ini, esok akan datang lagi yang lain. Begitulah rutin hidup kau sebagai seorang pekerja yang makan gaji. Kelulusan yang kau pegang cuma ada segulung ijazah dalam fakulti pentadbiran. Mahu menyambung ke peringkat lebih tinggi, kau terpaksa berfikir berpuluh-puluh kali. Sedang ralit membuat tugasan, sesambil itu akal fikiran kau berfikir mana kau nak cari duit tambahan yang lain bagi menampung perbelanjaan kau dan keluarga. 

Bapa beranak dua pun sudah sesak sebelum cukup bulan, apatah lagi mereka yang daif kehidupannya, perolehi anak yang ramai. Barangkali rezeki yang berkat, tidak lupa pada TUhan dan berdoa agar dipermudahkan dalam segala urusan dunia. Sebab itu agaknya perjalanan hidup orang-orang yang terpilih itu lebih mudah meskipun makan dan pakai apa yang ada sahaja.


Kau yang lebih banyak mengeluh itu dan ini, masih tidak bersyukur sudah punya rumah, kereta, perkerjaan tetap, isteri dan anak-anak di sisi. Nikmat apa yang perlu kau dustakan?

“Eh, Adam. Belum balik lagi kau rupanya. OT lagi ke?”

Tegur Rashid yang kebetulan baru keluar dari bilik air. Rashid melepaskan hajat terlebih dahulu sebelum pulang. Mana tahu jikalau tersangkut kesesakkan lalu lintas, tidaklah kau menanggung seksanya pundi kencing menahan sisa kumbahan di dalam kereta. Kuala Lumpur, mana pernah sunyi dari kesesakkan lalu lintas. Dari gelapnya pagi sampailah gelapnya malam, penuh kenderaan.

“Nampaknya macam itulah Rashid. Banyak lagi kerja belum siap. Esok datang lagi yang lain pulak. Kalau dapat habiskan hari ini, sekurang-kurangnya tidak banyak nak hadap yang esok punya.”

Kata kau seraya ditanya. Sedangkan sebenarnya sudah hampir dua bulan kau kerap balik lewat. Selagi belum angka sepuluh malam, selagi itu skrin komputer kau masih terpapar tugasan yang perlu dilunaskan. Pada mulanya kau begitu bersemangat membuat tugasan pada lebihan waktu kerja. Namun semenjak sebulan dua ini, kau kerap letih. Kurang tidur, makan tidak menentu malahan perhatian terhadap keluarga pun sedikit terjejas.

Penampilan diri yang dahulu kemas dan teratur bertukar biasa-biasa sahaja. Baju dan seluar kerap kali kau guna yang sama dari minggu ini sampailah ke minggu depan dan seterusnya. Tiada pakaian baru, pakai apa yang ada sehingga nampak pudar warnanya. Isi perut, perbelanjaan dan keperluan anak serta isteri kau dahulukan dari diri sendiri. Tapak kasut pula semakin menghaus. Kalau dahulu kau keluar bekerja menaiki kereta, sekarang motor kapcai peninggalan arwah orang tua mu menjadi kenderaan utama dalam mencari rezeki.

“Aku bukanlah nak cakap apa Adam, iyalah aku pun bukan berada di tempat kau. Jerit perit hidup, kau yang menanggung dan aku sebagai orang luar senang aje bercakap. Tapi itulah, kerja tu kerja jugak Adam, tapi kesihatan dan masa untuk keluarga perlu juga kau titik beratkan. Maaflah kalau apa yang aku cakap ni buat kau terasa hati. Aku tak ada niat apa-apa cuma sebagai rakan sekerja dan sahabat kau, itu sahajalah yang dapat aku nasihatkan.”

Kau sekadar tersenyum. Masalah yang kau hadapi kau telan seorang diri. Agak janggal mahu menceritakan kisah hidup yang kau lalui sekarang. Keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, barang keperluan menjadi mahal. Kadang-kadang kau buat sistem budjet konon berjimat cermat, kos perbelanjaan hampir-hampir melebihi daripada kadar pendapatan. Kenaikkan gaji tidak menentu, tahun ini kalau dapat sikit apa yang boleh kau suarakan? Kalau banyak, hutang masih keliling pinggang. Namun kau masih tahu untuk berterima kasih kerana ada juga kenaikkan tangga gaji walaupun sekadar lima puluh ringgit.

“Nak buat macam mana Rashid. Isteri aku baharu sahaja berhenti kerja dua bulan lepas. Jadi aku kenalah mencari duit lebih sedikit. Anak-anak tak lama lagi nak masuk sekolah. Eh, kau tak nak balik lagi ke?”

Itulah sahaja sedikit perkongsian rasa yang dapat kau luahkan. Cepat-cepat kau cuba menukar topik supaya mulut ini tidak terlepas menceritakan segala bebanan yang kau tanggung demi tidak melihat anak dan isteri kelaparan.

“Aku nak baliklah ni. Hujan pun dah berhenti. Kalau tidak, pukul lima setengah tadi aku dah cabut. Seperti yang aku kata tadi Adam, seimbangkan hal kerja dan kehidupan kau ya. Aku jalan dulu, kalau ada apa-apa jangan segan-segan minta tolong. Apa guna sahabat kan?”

Rashid menepuk-nepuk belakang kau dan kau pula rasa sebak. Ingin sahaja kau menjerit bahawa perit dan jerihnya mencari sesuap nasi apatah lagi kau tidak mahu menyusahkan sesiapa. Segalanya kau pendam sendirian sehinggakan kau rasa begitu tertekan.

*****

“Abang, beras dengan lauk dah nak habis. Nanti jangan lupa singgah beli barang dapur sikit balik dari kerja tu ya.”

Pesanan yang kau terima dari isterimu dan segera kau memeriksa dompet kecil yang hampir lusuh dan terkoyak. Tinggal not lima puluh ringgit, dalam akaun entah berapa lagi baki masih ada. Kau tidak mampu untuk bersuara. Iyakan sahaja permintaan isteri kau sebab tidak mahu mereka kelaparan.

“Iyalah, ada apa-apa lagi nak dipesan tak? Abang balik lewat sikit hari ni. Ada kerja nak kena buat.”

Kau sedih sebenarnya sebab kerap kali membiarkan isteri kau yang menguruskan segalanya tentang rumah dan perihal anak-anak. Hujung minggu pun kadang-kadang kau masuk ke pejabat. Kau tahu kau sudah kerap abaikan mereka. Kurang member perhatian dan tidak cukup masa untuk keluarga. Namun apalah daya kau, untuk mencakupi isi perut banyak perkara yang terpaksa kau korban.

“Itu sahajalah bang buat masa ni. Oh ya, bulan ni dapat gaji, jangan lupa ya kita keluar beli barang anak-anak. Sekolah nak buka tidak lama lagi ni. Kalau lambat-lambat takut tak sempat pulak. Bulan Disember ni banyak urusan nak dibuat.”


Lagi sekali dada kau ditebak. Masa berlalu pantas, tidak sedar anak kau semakin membesar, mereka jarang bertemu muka dengan kau. Awal pagi kau keluar, mereka masih lena dan apabila kau pulang mereka sudah terlena. Air mata mula bergenang, kau rasa sempitnya dada.

Suasana sunyi di pejabat. Akhirnya kau menuju ke bilik air dan mengambil whuduk. Kau mengerjakan perkara wajib dan akhirnya di atas sejadah kau merintih meluahkan segalanya.

“Ya Allah, aku tidak kuat. Peritnya menjalani kehidupan di zaman yang penuh dengan dugaan dan ujian. Ya Allah, KAU murahkanlah rezekiku, permudahkan segala urusan dan hutang-hutang yang ada.”

Teresak-esak kau mengadu domba. Tiba-tiba kau seakan terdengar bisikan yang menggerunkan. Kau toleh kiri dan kanan, tiada sesiapa yang berhampiran dengan kau. Cepat-cepat air mata kau lap dan sejadah dilipat.


‘ADAM!’

Sekali lagi kau terdengar panggilan itu. Sebentar tadi halus sahaja kedengaran bunyinya kini semakin keras dan sedikit lantang. Kau bingkas bangun dan menuju ke tempat duduk. Jam baru sahaja pukul lapan malam. Sedikit tersasar menunaikan solat Maghrib. Begitulah keadaan kau sejak akhir-akhir ini, solat sering kali kau lewatkan. Jika dahulu, habis sahaja azan terus kau menghampar sejadah sujud kepada Yang Maha Esa.

Akhirnya kau buat keputusan, malam ini kau pulang awal sedikit. Suis komputer kau tutup dan kau berlalu pulang. Berjalan kaki menuju ke parkir motorsikal yang terletak jauh sedikit dari pejabat. Kelihatan hanya tinggal beberapa buah motorsikal yang tinggal. Segugus kunci kau keluarkan dari beg sandang yang kau bawa. Punat kunci kau pulas dan akhirnya motor kau gerakkan.

Sampai satu simpang kau terdengar lagi suara bisikan itu memanggil seolah-olah berada di belakang kau sahaja. Paling, kosong tempat duduk belakang. Kau bukan takut tapi kau rimas, bisikan demi bisikan memanggil nama kau berulang kali.

"Laju lagi bawa motor kau ni Adam!"

Bisikan itu seakan memujuk kau agar bertindak tidak wajar. Kau hampir-hampir memulas minyak dari desakan yang kau dengar. Kau tersedar kembali, langsung pulasan itu kau perlahankan. Kau mengambil keputusan tidak mengambil tahu dengan bisikan tersebut.

"Kau takut mati ke Adam? Ha Ha Ha"

Kau buat tak tahu, kau hampir sampai ke destinasi. Agak keletihan tetapi kau masih gagahkan diri untuk cepat sampai ke rumah. Mata hampir-hampir pedih menahan kantuk. Dengan sisa tenaga yang masih ada, kau sampai di rumah.

“Assalamualaikum...”

Kau membuka pintu dengan perlahan. Terkejut anak-anak kau melihat kau pulang sedikit awal malam ini. Berlari bekerjaran mereka berdua mendapatkan kau. Isteri kau yang bergegas ke depan terkejut melihat kepulangan kau.

“Waalaikumsalam. Eh, awal abang balik. Tadi kata balik lewat? Abang beli tak barang-barang yang saya kirim? Malam ni dapat goring telur kicap sahaja. Lauk habis langsung.”

Kau duduk pun belum, keletihan membuatkan badan kau benar-benar penat. Anak-anak yang mendekati tiba-tiba kau rasa rimas. Soalan isteri kau pula buat kau sesak. Duduk pun belum menghilangkan lelah, sudah dipalu dan dirapati anak-anak.

"Marah mereka Adam. Mereka ini selalu menyusahkan engkau sahaja bukan?"

Bisikan itu masih kedengaran. Emosinya makin menggelegak dan hati kau mula terasa panas.

“Tepilah! Ayah penatlah! Korang menyibuk dekat sini buat apa! Pergi masuk bilik korang, belajar!”

Kau bertempik dan anak-anak ketakutan. Pertama kali disergah sebegitu dan isteri kau datang merapati. Anak-anak kau menyorok belakang isterimu, takut akan kelakuan kau yang tiba-tiba berubah mendadak. Dahulu, kau seorang bapa yang penyayang dan penat macam mana sekalipun kau tetap melayan kerenah mereka dan tersenyum. Tetapi tidak pada malam ini, jauh benar sifatmu.

"Bagus, kau marah sahaja sesiapa yang menyesakkan fikiran kau!"

“Apa abang ni. Balik nak marah anak-anak pulak. Diaorang ni bukan dapat selalu jumpa abang tau. Sekurang-kurangnya sambutlah anak-anak yang hari-hari diaorang tunggu abang. Sampai terkantuk-kantuk menunggu abang balik.”

Kau semakin rasa panas di hati. Mulut isteri kau yang becok ingin sahaja kau tampar sekuat hati. Kau bangkit dan menuju ke bilik.

“Humaira dan Adib masuk bilik ya. Biar ibu pujuk ayah. Penat agaknya ayah tu. Main dalam bilik masing-masing ok. Kalau dah penat, terus masuk tidur.”


Kau terdengar isteri kau memujuk anak-anak yang kau tengking sebentar tadi. Kau memejamkan mata dan timbul sedikit penyesalan kerana terpedaya pada bisikkan tadi. Kurang sabar menahan amarah.

“Abang ni kenapa tiba-tiba balik rumah nak marah-marah. Anak-anak tu takut dengan abang. Sudahlah budak-budak tu jarang nampak abang ada dekat rumah. Saya ni yang selalu pujuk budak-budak ni kena faham yang abang keluar kerja cari duit. Kot ye pun tegurlah anak-anak tu elok sedikit. Saya tak pernah tengok abang macam ini tau.”

Kemarahan kau baru hendak reda, masuk sahaja isteri kau berleter terasa panas kembali. Tangan kau begitu ringan untuk menampar pipi mulus itu. Yakni teman sebantal kau selama sepuluh tahun. Kau bangkit dan mula hilang arah pertimbangan.

‘Ya, tampar pipi tu Adam! Tampar sekuat hati kau! Biar dia rasa betapa sakitnya hati kau yang kau tanggung seorang diri. Bebankan hidup kau! Kau bunuh mereka pun bagus!’


Bisikan itu mempengaruhi emosi kau. Semakin lama kau semakin tidak berdaya dan hampir membenarkan bisikan itu mengawal dan menguasai fikiran kau. Kau mula mendekati isteri kau, bisikan itu terus-terusan mendesak kau. Tangan kau angkat tinggi dan wajah itu kau tampar sekuat hati. Tersengkur tubuh itu akibat dari impak tamparan yang kau hadiah.

“Jangan memekak boleh tak? Aku penat-penat balik kerja korang semua buat aku rimas! Mintak itu ini, korang ingat aku cop duit! Kau, elok-elok kerja pergi berhenti! Menyusahkan aku tak habis-habis. korang semua lebih baik mampus cepat! Sial betullah!”

Kasarnya bahasa kau lemparkan. Hati isteri kau sanggup kau sakiti. Kata-kata kau begitu menusuk kalbu. Lontaran suara kau yang langsung tiada kelembutan. Berlari isteri kau menuju ke bilik anak-anak tetapi amarah kau masih berleluasa. Rambut isteri kau, kau tarik sekuatnya sehingga terjerit kesakitannya. Awal perkahwinan, kau tidak pernah berkasar dengannya.


“Kau nak lari ke mana!”

Kau mengejar, pisau di dapur pantas kau ambil. Isteri dan anak-anak kau ketakutan di balik pintu yang terkunci. Kau bagaikan orang gila menetak-netak pintu sampai berlubang-lubang. Menendang-nendang pintu dan hampir roboh. Isteri dan anak-anak kau meraung dan merayu supaya kau tersedar dan menghentikan perbuatan yang menakutkan. Kau sudah tidak peduli, makin kau dengar tangisan mereka, makin membuak nafsu kau ingin menamatkan riwayat mereka. Tendangan terakhir pintu bilik yang hanya papan biasa berjaya kau robohkan. Biasan pisau pemotong daging yang tajam kau lihat begitu mengasyikkan.


*****

Kau bangkit dan terpisat-pisat dari lena yang panjang. Badan kau terasa melekit dan berbau hanyir. Kau memerhatikan keadaan sekeliling dan mata kau terbelalak melihat tiga tubuh yang bergelimpangan tidak berkutik. Kau mendapatkan ketiga-tiga tubuh yang sudah tidak bernayawa. Darah likat memenuhi ruang di dalam bilik anak-anak kau.

Isteri kau, hancur mukanya ditetak bertubi-tubi. Anak-anak kau pula tubuh kecil itu kau pisahkan tangan dan kaki mereka. Dada mereka penuh dengan tetakkan. Kau meraung melihat kejadian berdarah hasil dari tangan kau sendiri. Bisikan itu berjaya mempengaruhi kau, memperdayakan emosi kau dan akhirnya kau mengikut rentak itu. Kesemua kesayangan hilang nyawa dalam satu malam!

Jeritan dan tangisan mereka yang menggila agar kau berhenti dan sedarkan diri tidak lagi kau peduli. Apa yang membuatkan kau semakin berkobar-kobar merampas nyawa mereka. Kau puas perlakukan mereka sebegitu akibat hilang dari pertimbangan. Kau lebih teruja dengan bisikan demi bisikan yang mengarahkan kau membuat perkara yang sedemikian. Seolah-olah mereka tiada nilai!

“Maafkan abang, Suria. Abang dah bunuh awak. Bunuh anak-anak kita!”

Maafkan ayah wahai anak-anakku. Ayah tak sengaja! Ayah... ayah... tidakkkkkkkk!”

Pisau pemotong daging itu kau ambil dan akhirnya sekali hirisan yang laju, kau terkutik dan pandangan kau semakin kelam. Air mata yang basah tidak mampu menghidupkan kembali mereka yang telah kau ambil nyawanya.

"Bagus, semuanya mati!"

Siapa lagi mangsa seterusnya? Kau?

"Ya, kau yang baca kisah ini, mahu aku bisikan pada telingamu?"



*****
TAMAT
Suntingan dan gambar: Nil
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negera.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: