Thursday 18 January 2018

ALISHA (Bahagian 3) - Shaha Rahman


ALISHA (Bahagian 3)
Karya: Shaha Rahman


Mata Alisha membutang, kakinya berundur beberapa langkah ke belakang secara spontan. Kelibat perempuan tua yang selalu menganggu hidupnya kini berdiri kaku di hadapannya. Di sampingnya terdapat tujuh ekor anjing hitam yang mendengus garang, menjadi pengawal setia kepada perempuan tua tersebut.

Badan Alisha mula menggeletar ketakutan, kakinya mula terasa goyah. Perempuan tua itu merenung tajam ke arah wajah Alisha membuatkan gadis muda itu mula kecut perut. Berbekalkan cahaya bulan yang terang, wajah wanita tua yang berkedut itu samar-samar kelihatan.

“Kau dah buat pilihan?” Soal perempuan tua itu, garau. Alisha mengangguk perlahan, teragak-agak.

“Apa pilihan kau?” Soalnya lagi.

“Aa.. Aaku takk naakk..” jawab Alisha gugup, sesekali tertelan liur.

“Kau bodoh.. Aku mampu beri kau segalanya.. Kecantikan, kelebihan.. Aku boleh jadi penjaga kau sampai ke akhir hayat kau, tapi kau tak nak. Kau bodoh. Sekarang, aku akan bunuh kau dan aku akan pergi kepada adik kau pula. Hihihihi.. Hahahahaha..” kata wanita tua itu sambil ketawa mengilai, matanya menjeling tajam wajah polos Alisha.

Alisha mula dilanda ketakutan yang teramat, dia mula berpaling dan menapak langkah untuk melarikan diri.

“Lari.. Larilah gadis muda. Maut sedang menghampirimu. Hahahaha..” laung wanita itu lagi mengejek, bongkak.

“Jangan lari!” Alisha menghentikan langkahnya yang keempat apabila terdengar suara seorang lelaki berinteraksi dengannya. Dia sepert kenal akan suara tersebut.

“Jangan lari Alisha. Lawan dia. Hadapi dia,” kata suara tersebut lagi.

Dahi siswi itu berkerut, otaknya ligat mencari jawapan. Setelah memerahkan otaknya untuk berfikir, Alisha akhirnya mendapat jawapan. Itu adalah suara Hanif yang berbicara dengannya pada tengahari tadi, patutlah dia seakan kenal. Bagaikan mendapat semangat baru, Alisha berpaling menghadap ke arah wanita tua itu kembali.

“Kenapa Alisha? Tak jadi lari ke? Hihihihi..” bidas wanita tua lagi, sinis menyakitkan hati.

“Jangan dengar cakap dia Alisha. Dia sengaja menganggu fikiran kamu,” ujar Hanif cuba menenangkan Alisha. Dia berbicara dari jauh menggunakan ilmu menerawang, dari rumah sewanya.

“Kosongkan fikiran Alisha..” arah Hanif. Alisha menurut.

“Sekarang, fokuskan busur pada tangan kamu. Mulakan dengan Basmallah,” jelas Hanif lagi.

Alisha memejamkan mata, cuba fokus sepenuh hati. Bacaan Basmallah mula meniti di bibirnya, perlahan tetapi jelas.

Dengan tidak semena-mena, satu cahaya yang menyilaukan muncul di sekitar tangan Alisha membuatkan perempuan tua dan anjing penjaganya berundur ke belakang beberapa meter. Cahaya itu mula malap dan membentuk sebuah busur lalu digenggam Alisha. Erat.

Busur tersebut berwarna perak berkilatan, talinya pula seakan emas. Di setiap hujung busur terdapat permata berwarna hijau berkilat seperti jed. Pada dada busur pula terdapat tulisan yang tidak dapat difahami Alisha. Indah. Hanya itu perkataan yang mampu diungkapkan Alisha apabila menatap busur tersebut.

Mata perempuan tua itu terbeliak memandang busur tersebut, terbit sedikit rasa gusar di dalam hatinya.

“Kau mendapatkan bantuan siapa gadis kecil?” Soal perempuan tua tersebut. Alisha hanya merenung wajah perempuan tua itu, tidak membalas walau sepatah.

“Hahaha.. Mainan itu bukan tandingan aku, hanya mainan anak-anak kecil..” kata perempuan tua itu lagi, cuba menyedapkan hatinya.

Alisha masih tidak bersuara, dia hanya merenung tajam wajah hodoh perempuan tua tersebut. Wanita tersebut mula terasa tidak sedap hati, pandangan Alisha penuh dengan semangat yang membuak-buak, umpama gunung berapi yang baru meletus.

Paapppp!!

Wanita tua itu memukul tubuh salah seekor anjing penjaganya, sebagai isyarat untuk menyerang. Menurut arahan tuannya, anjing hitam tersebut terus menerpa ke arah Alisha tanpa berfikir panjang. Kaki dihayun sekuat mungkin, sambil mulutnya ternganga luas, menampakkan giginya yang tajam yang akan merobek tubuh Alisha. Alisha mula panik, keyakinannya sedikit menurun.

“Jangan panik Alisha. Kukuhkan kedudukan,” arah Hanif dari jauh. Alisha mengikuti kata-kata Hanif, langkah kakinya dibuka kekuda seperti kedudukan silat.

“Tarik tali busur,” arah Hanif lagi. Alisha kelihatan teragak-agak kerana tiada anak panah padanya.

“Tarik tali busur Alisha,” kata Hanif lagi.

Mahu atau tidak, Alisha terpaksa mengikut kata-kata Hanif. Tali busur ditarik, hanya itu pilihan yang dia ada. Tiba-tiba, terbit cahaya putih lalu membentuk anak panah di busur yang dipegang Alisha, sedia untuk dilepaskan. Alisha terperanjat, dia seakan tidak percaya.

“Lepas!” Arah Hanif ringkas.

Alisha melepaskan anak panah seperti yang diarah, ke arah anjing hitam yang sedang berlari menuju ke arahnya.

Zuuuppppp!!!

Anak panah yang bercahaya itu meluncur laju, menembusi badan anjing hitam, dan terus meluncur lagi ke belakang. Alisha seperti tidak percaya, busur yang dipegangnya mempunyai daya luncur yang kuat. Anjing hitam yang dipanah tadi mati serta merta, hancur berkecai menjadi debu. Perempuan tua tadi menggetap gigi, kegeraman di hatinya tidak dapat dibendung.

Tongkat diangkat lalu dihentakkan ke tanah. “Ktaapppp..”.. Kesemua anjing yang berjumlah enam ekor lagi terus menyerang Alisha setelah mendapat arahan.

“Tarik.. Lepas.. Elak ke kiri.. Tarik.. Lepas..” arah Hanif dari jauh. Alisha menurut arahan. Dua ekor lagi anjing hitam berjaya dibunuhnya sehingga menjadi debu.

Tanpa disedari, anjing yang masih bersisa empat ekor lagi mengepung Alisha di setiap penjuru, kiri, kanan, depan dan belakang.

“Kau terperangkap budak.. Hihihihi..” kata wanita tua di sebalik kelubung yang dikenakannya. Dia seperti yakin dapat menghabisi riwayat Alisha pada saat itu juga.

“Serbuuu!” Sergah wanita tua tersebut bersemangat, senyuman terukir jelas di bibirnya.

Keempat-empat anjing hitam tersebut terus meloncat, menerpa ke arah Alisha serentak.

“Arrgghhhh..”.. jerit Alisha spontan. Tangan kanannya diangkat tinggi untuk melindungi kepalanya dari digigit.

* * *

Mulut Hanif berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya dipejam rapat, cuba memfokuskan segala keenam derianya.

Hanif menepuk lantai bilik.

* * *

“Krunggggg.. Gruunnnggggg.. Grrrunnngggg..”..

Bumi bagaikan bergegar, membuatkan keempat-empat ekor anjing yang menerpa ke arah Alisha menjadi kelam-kabut.

“Sekarang Alisha..” ujar Hanif, memberi arahan dari jarak jauh.

Tanpa berfikir panjang, Alisha terus memanah keempat-empat ekor lagi anjing hitam yang masih bersisa sehingga hancur menjadi debu yang berterbangan.

“Celaka!! Siapa kau bedebah? Selepas aku habiskan budak mentah ini, aku akan tamatkan riwayat kau pula..!!! Akan aku robek jantung kau hidup-hidup..!!!” Jerit perempuan tua kemarahan. Kegeramannya tidak dapat dibendung lagi, apabila rancangannya dirosakkan oleh Hanif. Api kebencian mula membuak-buak di dalam lubuk hati.

Hanif hanya tersenyum, tidak membalas sepatah kata. Ugutan wanita tua itu tidak memberi sebarang bekas kerana dia sudah biasa diancam sedemikian.

Mata wanita tua iu terus beralih pada Alisha yang sedang tercungap-cungap mengambil nafas. Alisha tidak menyangka pergerakannya tadi yang ke sana ke mari mengelak serangan anjing-anjing hitam memakan banyak tenaga.

Perempuan tua itu melempar tongkat yang berada dalam genggamannya. Mulutnya terkumat kamit membaca mantera kuno. Kuku tangannya mula memanjang tajam dan runcing. Kelihatan asap nipis terbit dari kukunya yang kehitaman, menandakan kukunya bersalut bisa.

“Huarrgghhhhh..!!!” Jerit wanita tersebut sambil menyerbu ke arah Alisha, laju umpama angin.

Terasa angin kencang menghampirinya, Alisha terus mendongak untuk memastikan situasinya tidak terancam. Terkejutnya Alisha bukan kepalang apabila melihat perempuan tua itu meluncur laju ke arahnya, sambil tangannya yang berkuku tajam diluruskan untuk mencekik batang leher Alisha. Sepantas kilat, gadis muda itu berundur ke belakang, cuba menjauhkan dirinya dari wanita itu.

Melihat serangan pertamanya tidak mengena sasaran, wanita tua tersebut terus mengejar Alisha. Serangan cakaran dilakukan bertubi-tubi, membuatkan Alisha menjadi kelam kabut. Menggunakan tenaganya yang masih bersisa, Alisha cuba mengelak sebaik mungkin, ke kanan ke kiri umpama ikan yang meliuk di dalam air. Serangan jarak dekat yang dilakukan perempuan tua itu membuatkan Alisha mati akal, tidak dapat menarik panah yang berada di dalam genggamannya.

Zrisssssss.. Zrisssssss..

Wanita tua itu menghentikan serangan, dia tersenyum puas melihat keadaan Alisha. Pipi, lengan dan belakang badan Alisha terluka dicakar, mengalirkan darah merah, pekat.

Alisha termengah-mengah, dia cuba mengatur kembali pernafasannya yang tidak keruan. Wanita tua itu mengangkat tangan kirinya separa wajah, lalu menjilat darah Alisha yang bersalut di kukunya. Matanya menjeling Alisha, mengejek.

“Manis darah kau gadis muda.. Sayangnya kau akan mati sebentar lagi..” kata perempuan tua itu sinis.

“Masa bermain dah tamat.. Sekarang, aku akan bunuh kau..” kata perempuan tua itu lagi dan terus menerpa ke arah Alisha.

Alisha panik, tidak tahu apa yang harus dilakukan, mungkin hayatnya bakal berakhir pada malam itu.

“Bertenang Alisha..” perlahan suara Hanif bermain di cuping telinganya. Untuk seketika, dia terlupa akan kehadiran Hanif yang membantunya, walau tidak dapat dilihat oleh pandangan mata.

“Tenang..” bicara Hanif lagi, lembut. Entah mengapa, suara lelaki yang baru dikenalinya tadi mampu membuatkan dia berasa sedikit tenang.

Dunia seakan perlahan berputar, pergerakkan alam juga terlihat perlahan di mata Alisha. Dia mampu melihat jelas wajah perempuan tua yang semakin menghampirinya, wajah yang penuh kebencian.

”Duduk Alisha. Tarik tali busur,” arah Hanif lembut apabila kuku panjang wanita tua itu berjarak dua jengkal lagi dari leher Alisha. Menurut kata Hanif, Alisha terus duduk bertongkatkan sebelah lututnya pada tanah sambil menarik tali busur.

Wanita tua itu terkejut kerana serangannya berjaya di elak oleh Alisha. Lebih memeranjatkan, Alisha sudah duduk bertongkatkan sebelah lutut di bawahnya sambil busurnya sudah ditarik, anak panahnya tepat dihalakan ke arah badannya.

“Lepas,” ujar Hanif ringkas.

Tanpa membuang masa, Alisha terus melepaskan anak panah.

“Alish….” Belum sempat perempuan tua itu menghabiskan katanya, anak panah yang dilepaskan Alisha sudah menembusi badannya.

Badan perempuan tua itu berlubang besar, perlahan-lahan hancur menjadi abu lalu hilang dibawa terbang sang bayu. Alisha terduduk, dia seakan tidak percaya bahawa dia berjaya membunuh perempuan tua tersebut, saka yang selalu mempermainkan dan memporak perandakan hidupnya.

Dia berbaring di tanah, matanya melihat dada langit yang luas terbentang. Angin sepoi-sepoi yang bertiup sedikit sebanyak menghilangkan rasa letihnya. Tanpa disedari, airmatanya menitik laju tidak tertahan. Cuma yang bezanya, kali ini airmata kegembiraan, bukannya lagi airmata kedukaan.

Hanyut didodoi oleh alam, dia terlena di atas padang yang luas. Tidur di dalam tidur.

* * *

“Huhhhh.. Huuhhhh.. Astagfirullah.. Astagfirullah..”.. Alisha mengambil nafas seraya beristigfar. Rasa sakitnya masih berbaki.

Pipi, lengan, dan belakang badannya terasa pedih, mungkin akibat cakaran di alam mimpi sebentar tadi. Dia mengerling jam plastik di dinding yang masih setia berdetik walaupun sudah agak usang.

“Pukul 5.30 pagi dah..” gumam hatinya sendirian. Dia meraup muka, lalu bangun ke bilik air membersihkan diri memandangkan azan subuh akan berkumandang tidak lama lagi.

* * *

Hanif membuka kelopak matanya yang dipejam lama sedari tadi.

“Alhamdulillah.. Alhamdulillah..” bisik Hanif perlahan, memanjatkan rasa syukur kerana dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT. Dia bangun lalu berjalan menghampiri katil aku.

“Uwais.. Bangun.. Dah nak subuh nie.. Uwais..” ujar Hanif lembut, mengejutkan aku dari tidur.

Aku mengeliat membetulkan urat, terasa satu kepuasan apabila berbuat demikian. Mata yang berpisat aku gosok perlahan.

“Bangun Uwais.. Jom ke surau..” kata Hanif lagi lalu meninggalkan aku, meuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk. Aku mencapai tuala yang tergantung di penyakut, lalu menuju ke bilik air menunggu giliran.

* * *

“Hanif! Kejap-kejap! Nak cepat ke nie?” soal Najihah apabila menghampiri aku dan Hanif.

“Ehhh.. Tak la.. Kenapa ya?” jawab Hanif sambil bertanya kembali.

Aku hanya memasang telinga, tidak menyampuk walau sepatah. Buku-buku yang berada di atas meja segera aku simpan ke dalam beg sandang.

“Macam nie.. Ada orang kat luar kelas tu. Dia tengah tunggu Hanif,” kata Najihah lalu mengariskan sejalur senyuman.

“Baik. Terima kasih Na,” ucap Hanif.

“Sama-sama,” balas Najihah lalu berlalu keluar dari kelas.

Hanif memandang aku sambil mengangkat keningnya sebagai isyarat bertanya. Aku menjungkitkan bahu, menandakan aku juga tidak tahu, jujur. Aku dan Hanif berjalan seiringan, bergegas keluar dari kelas.

“Assalamualaikum.” satu suara lembut memberi salam.
“Wa’alaikummussalam warohmatullah.” Aku dan Hanif menjawab hampir serentak.
Alisha tersenyum manis, wajahnya berseri penuh ceria.
“Hai Alisha,” aku mula menyapa.
“Hai Uwais.”

“Hai Alisha je? Na nie tak nak hai ke?” Najihah yang disamping Alisha mula bersuara, bergurau. Aku mula menggaru kepala yang tidak gatal, terasa malu sendiri.

“Na gurau je.. Jangan ambik hati ya Uwais.” jelas Na lagi, risau benar jika aku terasa. Aku mengangguk beberapa kali, Hanif hanya tersenyum melihat gelagat aku.

“Terima kasih Hanif sebab tolong saya,” ucap Alisha. Matanya memandang Hanif.

“Sama-sama. Saya cuma tolong setakat yang mampu je,” balas Hanif ringkas, matanya dilarikan ke arah lain, malu.

“Haaa.. Camne dah dengan gangguan tuu? Ada lagi?” Soal aku ingin tahu.

“Alhamdulillah.. Dah takde dah.. Seminggu dah hidup tenang tak diganggu,” jawab Alisha tersenyum gembira, wajahnya sangat berlainan dari sebelum ini.

“Ooo.. Bagus laaa kalau macam tu.”

“Urrmm.. Nie ada sedikit pemberian tanda terima kasih,” kata Alisha sambil tangannya menghulurkan sebuah bekas berbalut kain berwarna krim muda kepada Hanif.

“Te.. Terima kasih,” ucap Hanif teragak-agak, gugup. Bekas bertukar tangan.

“Hanif jangan lupa makan tau. Alisha buat sendiri tu.” Najihah mencelah setelah lama berdiam diri.

Alisha sambil mencubit lengan Najihah. Mukanya merona merah, menahan malu.

“Kami pergi dulu. Assalamualaikum,” kata Alisha sambil menarik tangan Najihah.

“Hanif, jangan lupa makan tau!” Laung Najihah sedikit kuat, masih mengusik rakan sebiliknya itu.

Hanif hanya mampu tersenyum, tidak membalas walau sepatah.

“Untung la kan. Kan kan kan..” Aku bersuara mengusik Hanif.

“Ishhh kamu nie,” balas Hanif malu, kini wajahnya pula merona merah.

* * *

Di hujung penjuru koridor, kelihatan satu lembaga sedang memerhatikan gelagat aku dan Hanif. Matanya membutang merah, mendengus marah kepada Hanif. Rasa bencinya membuak-buak bagaikan ada dendam yang masih belum selesai.

Hanif yang sedari tadi memang menyedari akan kehadiran makhluk tersebut terus merenungnya tajam. Menyedari kehadirannya disedari Hanif, makhluk tersebut menghilang perlahan-lahan bagai bersebati dengan angin yang bertiup.


-TAMAT-
Karya: Shaha Rahman
Suntingan Gambar (sumber Internet) : DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...

like!! by kalillah