TUNAKARYA
Oleh : @Atikah Che Yasin
===================
Suasana Kampung Kenit pada pagi itu agak gempar. Siren polis meraung memecahkan keheningan pagi. Turut serta, pasukan forensik. Penduduk kampung yang baru balik dari solat Subuh berjemaah menghampiri lokasi kejadian yang tidak jauh dari kawasan masjid. Garisan polis dipasang di sekeliling kawasan kebun pisang. Kelihatan mayat seorang wanita tua terdampar di tanah. Penduduk kampung hanya dapat melihat dari jauh sahaja dan bercerita sesama sendiri keadaan mayat itu.
Inspektor Irfan meneliti keadaan mayat wanita tua itu. Agak mengerikan. Menurut laporan anggota bawahannya, mayat itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian. Cuma, mulutnya sudah robek dan lidahnya hilang. Dahi wanita itu ditoreh dan tertera angka 3.38 di dahinya. Sempurna angka itu. Mungkin ditoreh sesuatu yang tajam. Terdapat cecair yang keluar dari mulut mangsa.Sampel cecair yang disyaki racun itu akan dihantar ke makmal.
Mangsa disyaki diracuni, dirobek mulut sehingga hilang lidah dah dahinya ditoreh. Persoalannya, apakah maksud 3.38? Waktu pembunuhankah?
“Tuan,ada sesuatu di lengan mangsa.” Suara seorang pegawai mematikan lamunan Inspektor Irfan. Dia mengamati lengan itu. Tertulis ‘TUNAKARYA’.
“Apa maksud perkataan tu?” Soal Inspektor Irfan.
“Saya kurang pasti tuan. Takkan pembunuh tu nak cakap ini karya teragung dia? Aduh.”
“Mustahil. Itu mahakarya bukan tunakarya. Tunakarya ni mesti membawa maksud tertentu juga.” Ujar Inspektor Irfan.
Lalu, dia menyeluk poket. Telefon bimbit dicapai. Aplikasi Google diakses. Ditaip huruf-huruf bagi membentuk perkataan ‘Tunakarya’.
Butang search ditekan. Lalu, dia memperoleh maksudnya. Akan tetapi, apa kaitan dengan wanita tua ini?
Selesai proses mengumpul bahan bukti, mayat dibawa ke unit forensik untuk bedah siasat.
********
“Asif!! Mak Kiah kamuu…!!!!” Raungan Mak Leha mengejutkan Asif yang sedang leka menyiram tanamannya di belakang rumah. Itulah rutin paginya ketika hari minggu tiba. Tanaman yang diusahakannya dijaga rapi.
Berbaloilah mengisi masa dalam fasa menganggur. Jika hari biasa, dia hanya akan meluangkan masa di waktu petang untuk menyiram dan membelek tanamannya. Sebab hari biasa dia bekerja sambilan di kedai makan yang diusahakan ibunya sendiri.
“ Kenapa mak?”
“Mak Kiah.. Dia mati kena bunuh. Ya Allah, binatang ke apa yang sanggup buat dia begitu.”
“Maksud mak?” Asif mengerutkan dahi.
“Orang jumpa mayat dia dalam kebun pisang pagi tadi. Masa berjalan nak ke masjid.” Jelas Mak Leha. Teresak-esak dia menuturkan ayat itu. Hatinya agak hiba. Kawan baiknya mati dalam keadaan tragis. Asif memeluk emaknya. Cuba menenangkan kegalauan hati emaknya. Air mata Mak Leha semakin deras mengalir di pipi.
*********
Sudah seminggu berlaku peristiwa penemuan mayat Mak Kiah dalam keadaan mengerikan. Kesihatan Mak Leha agak terganggu. Dia terkejut dengan kejadian yang menimpa sahabatnya. Sudah beberapa hari dia tidak membuka kedai.
Mak Leha masuk ke bilik Asif. Dia jarang masuk ke dalam bilik anak bujangnya itu. Hari ini, Asif ke pekan untuk membeli baja bagi tanaman sayuran yang diusahakannya. Jadi, peluang Mak Leha untuk meninjau bilik anaknya.
Asif selalunya akan mengemas biliknya sendiri dan tidak membenarkan Mak Leha untuk mengemasnya. Katanya,kasihan akan emaknya. Sejuk hati Mak Leha mendapat anak seperti Asif.Tidak berpeleseran. Cuma sejak kebelakangan ini, Asif sering berkurung dalam bilik. Mungkin ada masalah. Anak muda seperti Asif selalunya akan memendam masalah sendiri.
Bilik anaknya kelihatan kemas. Dia meninjau-ninjau sekeliling. Matanya tertancap ke arah sebuah buku. Kulitnya berwarna coklat cair. Di kulit buku itu tertulis, ‘Asif punya’.
Mak Leha tergelak kecil. Mungkin catatan belanja untuk tanaman. Mak Leha mencapai buku itu. Dibeleknya satu persatu tetapi tiada anggaran belanja tanaman seperti yang disangkanya.
“Aku Asif”
“Ya, Asif. Aku Aqil ”
“Aku benci orang mulut puaka”
“Cuba kau cerita.”
“Perempuan tua tu kata aku menyusahkan mak aku.”
“Hahaha.. Senang je. Kau bunuh je orang begitu. Hidup pun menyakitkan hati.”
“Tapi macam mana?”
“Aku tolong kau. Jangan risau.”
Mak Leha berdebar-debar. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa anaknya seolah-olah berbalas percakapan dalam buku itu? Siapakah Aqil?
Mak Leha menyelak ke halaman yang seterusnya.
“Aku rasa serabut bila orang tua tu datang rumah.”
“Jangan nak rasa bersalah untuk bunuh orang sebegitu. Kau jangan biarkan mereka membunuh ‘jiwa’ orang yang senasib dengan kau.”
“Hari ni dia kata aku tak lulus study. Habis tu? Takkan aku nak tampal sijil diploma aku dekat dahi?”
“Hahahaha… Kau bunuh je orang tu bro.Aku tolong kau. Jangan risau.”
Bergenang air mata Mak Leha. Sebenarnya apa yang sedang dialami anaknya? Mungkinkah Asif sedang menderita dalam diam? Mak Leha tidak sedar tindak-tanduknya sedang diperhatikan seseorang.
‘Bukk!!!’
Pandangan Mak Leha berpinar-pinar sebelum dirinya rebah jatuh ke lantai. Tatkala dia tersedar, didapati dirinya terikat dalam keadaan dirinya terbaring. Dia masih berada di dalam bilik Asif.
Mak Leha terkedu melihat Asif sedang duduk di depan pintu sambil memegang pisau. Dia menjilat-jilat pisau itu. Menyeringai Asif memandang Mak Leha yang kelihatan keliru.
“Asif! Kamu nak buat apa ni?” Getar suara Mak Leha cuba dikawal.
“Mak, Asif tak buat mak!!” Asif mencampakkan pisau itu ke tepi. Dia memegang kepalanya.
“Kau pergiiiiii!!!!!” Laung Asif sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Mak Leha menangis. Tahulah Mak Leha, anaknya menderita selama ini.
“Asif anak mak. Ke mari nak, mak sayang kamu.” Pujuk Mak Leha. Agak payah untuk dia bergerak dalam keadaan terikat begitu. Asif seolah-olah tidak mendengar kata-kata Mak Leha. Dia merengkuk di lantai. Cuba melawan perasaannya sendiri.
“Asif anak baik. Mak maafkan kamu nak.” Mak Leha cuba memujuk lagi.
“ Mak maafkan walaupun Asif yang bunuh Mak Kiah?”
Agak terkejut Mak Leha mendengarkan kenyataan itu. Asif seorang pembunuh?
“Tapi, kenapa Asif? Apa salah dia?” Tangis Mak Leha makin jelas kedengaran.
“Hahahahaha… Kau tanya apa salah dia?
Hahahaha!!!!!” Suara gelak Asif memenuhi ruangan itu.
“Sampai hati Asif bercakap kasar dengan mak.” Rintih Mak Leha.
“Siapa Asif? Aku Aqil. Perempuan tua tu tak guna! Selalu sakitkan hati! Aku tertekan tahu tak?!!” Tempik Asif. Nada suara Asif berubah. Agak kasar bunyinya.
“Kau tahu tak minggu lepas dia datang sini semata-mata nak sakitkan hati aku? Selama ini selalunya aku sabar je!!”
“Allah, Asif… Sedar nak.” Rayu Mak Leha. Dia sedih melihat keadaan anaknya.
“Bukan Asif duduk kampung tak kerja. Hinakah Asif masih tidak menjawat jawatan tetap? Hinakah kalau belajar tinggi-tinggi tapi kerja kampung ketika menganggur?” Lirih Asif bersuara.Nada suaranya sudah berubah. Lagaknya seperti budak-budak yang sedang bercerita.
Dia duduk menghadap Mak Leha. Mak Leha memandang wajah anaknya dengan perasaan sayu. Asif memeluk lututnya dan mengenangkan peristiwa minggu lepas.
“Orang tua tu memang patut matiiii !!!!”
*********
Seminggu sebelumnya...
“Aik Asif, lama kamu duduk rumah. Tak kerja lagi ke?” soal Mak Kiah. Asif yang sedang mencangkul tanah tersenyum memandang Mak Kiah. Soalan yang sudah ke berapa puluh kali yang terpaksa dia hadap lebih kurang 6 bulan ini.
“Belum rezeki lagi Mak Kiah.” Ujar Asif mendatar. Peluh di dahinya diseka. Badannya terasa melekit sebab sejak dari tadi lagi dia mencangkul dan menggembur tanah untuk menyemai benih baru. Itulah pekerjaan sampingan yang dilakukannya selain daripada bekerja di kedai makan pada waktu pagi.
Mak Kiah menjuihkan bibirnya.
“Anak Pak Akob tu, belajar macam kamu juga. 3 tahun belajar. Habis belajar tu, tunggu dua bulan je dah dipanggil untuk kerja.” Mak Kiah berkata lagi. Makin menambahkan luka di hati Asif.
“Rezeki dia awal. Rezeki saya untuk kerja lambat. Mungkin rezeki saya untuk berbakti kepada mak sebelum dapat kerja tetap.”
“Ini bukan berbakti namanya. Kamu duduk rumah lagi menyusahkan mak kamu. Buat habiskan beras. Ala, ke sebenarnya kamu tak lulus?” Tempelak Mak Kiah tanpa sedikitpun memikirkan perasaan Asif yang sedang terguris.
Celoteh Mak Kiah seperti mulut murai itu menyakitkan hati. Asif tersenyum kelat. Tidak tahu cara nak membalas kata-kata Mak Kiah. Salah balas nanti dikatakan kurang ajar pula.
“Mak kamu mana?”
“Mak tak ada. Dia pergi mengaji kat surau. Mak Kiah tak ikut kelas mengaji ke?” Ujar Asif polos.
“Ehh.. Mulut kamu tu jaga sikit. Jangan kurang ajar sangat dengan orang tua. Dah lah. Aku nak balik!” Mak Kiah menjuihkan bibir dan berlalu pergi. Asif terkulat-kulat. Salahkah soalannya tadi? Lenggok Mak Kiah yang berlalu pergi diperhatikannya tanpa berkelip.
“Kau nak biar je ke orang tua tu?” Kedengaran bisikan Aqil di telinga Asif.
“Aku takut!”
“Ahh.. jangan risau. Aku ada dengan kau.” Aqil cuba menghasut perasaan Asif.
“Asif, jangan biarkan jiwa orang lain terseksa kerana wujudnya orang seperti dia. Kau menolong orang lain,bro.”
Asif tersenyum. Ya, manusia mulut puaka perlu dihapuskan.
-Jam 9 malam -
“Assalamualaikum, Mak Kiah!” Laung Asif. Beberapa detik kemudian, pintu rumah dibuka. Terpacul Mak Kiah di muka pintu.
“Hah, kamu nak apa?”
“Ni, mak bagi!”
Ujar Asif sambil menghulurkan bekas plastik kepada Mak Kiah. Pantas Mak Kiah membukanya.
“ Mi kari. Kalau Leha masak mesti sedap.” Mak Kiah tersenyum. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia terus masuk ke dalam rumah. Asif berlalu pergi, dan bersembunyi di belakang rumah. Dia memasang telinga.
Seperti yang diagak, Mak Kiah terus ke dapur. Asif menangkap bunyi sudu dan garfu berlaga. Asif tersenyum sendiri.
‘Pranggggggg!!!!’
Kedengaran bunyi kaca pecah.
“Panas!! Panas!!!” Kedengaran Mak Kiah bersuara cemas. Nampaknya racun yang dicampur ke dalam kuah itu berkesan. Asif cepat-cepat membuka beg galasnya dan memakai sarung tangan. Pisau pengukir buah turut diambil.
Dia naik ke rumah Mak Kiah. Rupanya pintu tidak berkunci. Lagi senang kerjanya. Kakinya pantas menuju ke dapur. Matanya menyaksikan Mak Kiah menggelupur dengan keadaan mulutnya berbuih. Mi kari serta mangkuk yang pecah berterabur di lantai. Asif tersenyum sumbing. Pantas dia mendapatkan Mak Kiah.
“Mak Kiah, apa salah saya?” Soal Asif sambil menoreh dahi Mak Kiah. Terbeliak mata Mak Kiah. Dia tidak mampu melawan. Badannya tersentak-sentak akibat penangan racun tadi. Bisanya sudah menjalar ke seluruh saraf.
“Saya tak pernah masuk campur urusan Mak Kiah. Kenapa Mak Kiah nak kutuk saya hanya kerana saya tidak bekerja tetap?”
Darah mulai membasahi wajah Mak Kiah. Darah itu masuk ke dalam mata serta mulut Mak Kiah. Asif tidak peduli. Pisau pengukir buah itu dibiarkan menari-nari di dahi Mak Kiah. Meneroka sedikit demi sedikit kulit didahinya. Hasil torehan pisau itu membentuk angka 3.38.
“ 3.38. Ini pointer saya.Saya bukan tak lulus Mak Kiah. Cuma pointer saya sahaja yang kurang cemerlang. Perlukah Mak Kiah menghina saya dan mencanangkan cerita bahawa saya tidak lulus?”
Mak Kiah sudah terkulai. Nyawanya sudah terpisah dari badan. Asif menyinsingkan lengan Mak Kiah. Abjad-abjad yang membentuk perkataan ditoreh di lengan itu.
‘TUNAKARYA’
Itulah perkataan yang terhasil. Maksudnya menganggur. Biarlah perkataan itu bersemadi bersama Mak Kiah. Hakikatnya selama ini Mak Kiah lebih teruk daripada penganggur. Sekurang-kurangnya penganggur membuat kerja sambilan mencari wang poket,sedangkan Mak Kiah tidak habis -habis mengutuk orang lain.
Asif kemudiannya mendapatkan pisau rambo di dalam begnya. Dia merenung bibir puaka Mak Kiah.
“Mak Kiah, mulut Mak Kiah membunuh jiwa saya.Saya ubahsuai sikit ya.” Asif tersenyum. Lalu pisau itu menghiris sedikit bibir dan dirobeknya secara kasar menggunakan tangan. Terjuih bibir itu tatkala strukturnya dirobek. Pisau itu kemudian menikam berkali-kali mulut puaka yang dibencinya.
“Ambik kau!!! Perempuan tua tak sedar diri.. Hahahahaha…”
Hancur lidah dibuatnya. Asif puas. Jiwanya tidak akan terseksa lagi dengan mulut puaka Mak Kiah.
Selesai mengerjakan Mak Kiah yang sudah tidak bernyawa, Asif ke bilik dan mendapatkan pakaian Mak Kiah. Dia memasukkan ke dalam beg. Dia kembali menuju ke dapur dan mengemas dapur itu. Kaca-kaca yang pecah disapu. Bekas plastik yang berisi makanan dibeli warung tadi diambil untuk dibuang nanti. Bukti perlu dihapuskan!
Setelah kelihatan tersusun dan teratur, Asif mengendong mayat itu ke kebun pisang belakang rumah Mak Kiah. Di situ,dia menukarkan pakaian Mak Kiah kepada pakaian yang baru. Tujuannya untuk mengelakkan pihak berkuasa mengesan sebarang bukti yang tertinggal.
Segala bukti di masukkan ke dalam beg galas dan di campakkan ke dalam sungai ketika dia dalam perjalanan pulang. Dia tersenyum puas tatkala melihat beg itu tenggelam ke dalam sungai.
********
“Dia kejam mak. Dia kejam! Asif rasa rendah diri.”
Mak Leha mengongoi.
“Asif, lepaskan mak. Asif nak buat apa ikat mak begini?”
“Aqil suruh Asif bunuh mak. Sebab mak dah tahu.”
“Allah, Asif! Ni mak kamu!”
“Kau bukan mak aku. Hahahaha…” Suara kasar Asif bertandang kembali. Dia mendapatkan pisau yang dibaling tadi. Mak Leha memejamkan mata.
Asif menjulang tinggi pisau itu.
“Kau patut mati Aqil! Kau jahat!” Laung Asif. Seraya itu pisau ditikam ke perutnya sendiri. Darah membuak-buak keluar.
“Asif!!!!!!!!!” Raungan Mak Leha memenuhi ruangan itu. Asif terbaring ke lantai. Dengan bersusah payah, Mak Leha cuba mendapatkan pisau yang telah terjatuh ke lantai. Dia cuba merungkaikan ikatan di badannya.
Setelah berjaya, dia mendapatkan Asif.
“Asif, bertahan. Kita ke hospital ya nak.”
Berjuraian air mata Asif mengalir di pipi.
“Asif nak pergi jauh mak.” Rintih Asif.
Mak Leha meraung melihat anaknya bernafas dengan payah. Dia memangku anaknya di riba.
Tangan Asif cuba menyeka air mata Mak Leha.
“Mak, jangan nangis.. Asif dah bunuh Aqil.Dia tak boleh hasut Asif lagi..” Agak payah Asif berkata-kata. Darah semakin banyak yang mengalir dari badannya. Nafasnya tercungap-cungap. Saat telinga Mak Leha menangkap bunyi rentapan nafas terakhir Asif, dia tidak mampu bersuara lagi. Hayatnya berakhir di situ.
Mak Leha dihimpit penyesalan. Dia seharusnya memahami masalah yang dialami anaknya. Seharusnya ketika Asif mengadu, dia mendengar bukannya membela Mak Kiah. Penyesalannya tidak berguna lagi kerana anaknya pergi buat selama-lamanya.
-TAMAT-
Karya ini adalah hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Hantarkan karya ke:
aanrc2017@gmail.com
Karya anda akan disunting dan disiarkan kelak. Sila nyatakan link Facebook, Twitter, Instagram atau apa-apa link sosial media untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment