MADU – PREKUEL
(BAHAGIAN 2/2)
==============================
2017, Shah Alam
Semalaman Salina tidak dapat melelapkan mata. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran dan yang paling utama sudah tentulah perkara yang akan ditempuhinya esok. Zaini mengajak dia datang ke rumah Anis, isteri Zaini kerana ingin diperkenalkan pula dirinya kepada emak Zaini, Salmah.
Sebelum ini Zaini pernah memberitahu bahawa Salmah menolak sekeras-kerasnya niat Zaini untuk memperisterikan dirinya. Oleh sebab itulah Ina ragu-ragu apabila Zaini menyebut ingin mempertemukan mereka berdua. Kata Zaini, selagi emaknya belum mengenali Ina secara lebih dekat, selagi itulah emaknya akan menolak niat baik mereka. Puas Zaini memujuk dan mahu tidak mahu, Ina iakan juga.
Zaini datang menjemput Ina tepat jam 11.30 pagi. Kalau sempat dikira jumlah degupan jantung Ina waktu itu, mungkin jumlahnya lebih daripada biasa. Walaupun sejak awal pagi Zaini berpesan supaya tenang tetapi Ina tetap tidak mampu untuk berlagak seperti tiada apa-apa akan berlaku.
“Jangan risau, emak abang tak makan oranglah. Relaks, okey?” Zaini tersenyum ketika cuba memujuk Ina yang dilihatnya berdiam sepanjang perjalanan.
Ina hanya mampu senyum tawar. “Kalau emak abang memang tak suka pada Ina, macam mana?” soalnya kemudian, lambat-lambat.
“Apa susah? Kita kahwin lari,” selamba sahaja Zaini memberi jawapan. Ina mengerut dahinya, tidak suka dengan jawapan yang tidak serius itu.
“Jangan risau, nanti abang pujuk emak abang tu. Abang ni satu-satunya anak dia, takkanlah mak nak hampakan permintaan anak dia. Lagipun, niat kita baik. Kak Anis pun dah izinkan,” cepat-cepat Zaini menambah apabila dia tahu jawapannya itu semakin merungsingkan Ina.
+++++
“Apa khabar Ina? Sihat?” Anis menyapa dengan mesra. Ini sememangnya bukan pertemuan pertama Anis dan Ina. Zaini telah memperkenalkan kedua-duanya lebih awal lagi.
“Alhamdulillah, kak. Akak apa khabar?” Ina menyambut pelukan Anis. Namun, matanya tetap meliar melihat kalau-kalau ada kelibat seseorang yang dirisaukannya. Sehingga saat itu, belum terlihat lagi pada pandangannya.
“Akak sihat, tak sabar nak jumpa Ina hari ni. Eh, marilah kita ke meja makan. Nasi dan lauk semua dah siap tu,” pelawa Anis tanpa ada sedikit rasa sulit menerima kedatangan Ina.
“Susah-susah saja akak ni,” jawab Ina teragak-agak dek segan dan risau yang bersilih ganti.
“Tahu pun kau, tapi kau terhegeh-hegeh juga nakkan laki dia!” Hampir luruh jantung Ina apabila mendengar suara itu dari belakangnya. Tajam bunyi dan maksud kata-kata itu. Nadanya pula keras tanpa ada tanda gurauan.
Dia menoleh teragak-agak. Seorang wanita separuh abad sedang berdiri merenungnya. Ina bingkas bangun untuk bersalaman. Zaini dan Anis hanya membisu, tidak pasti bagaimana untuk mencelah.
“Assalamualaikum, mak cik. Apa khabar, saya Ina. Salina,” ujar Ina lembut.
“Tak apa, aku tak hadaplah nak bersalam dengan kau. Jomlah makan, perut aku ni naik pedih menunggu kau sampai,” Salmah tidak mempedulikan salam yang dihulurkan oleh Ina. Malah, dia menonong laju ke meja makan.
“Zaini, Anis, cepatlah. Kata nak tunggu tetamu. Ni tetamu dah sampai, nak kena tunggu dia bagi izin dulu?” tempelak Salmah lagi menyebabkan Ina semakin menyesal membuat keputusan bersetuju dengan cadangan Zaini.
“Mak, Ina datang nak berkenalan dengan mak. Kenapa mak tak boleh nak cuba beri peluang pada dia, pada kami, mak?” Zaini cuba membela.
“Aku nak makan dulu Zaini. Entahlah, mungkin bila aku dah kenyang nanti, baru aku boleh suka pada dia. Kita tengoklah ya?” Salmah masih dengan keras hatinya.
“Ina, jomlah makan sekali. Mak dah lapar,” Anis cepat-cepat menghentikan suasana tegang itu.
Ina cuba mengangguk dan sedaya upaya menguntum senyum walaupun dalam hatinya, dia sudah mula menangis.
***
1999, Kuala Lumpur
Dalam kesibukan Ina mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan akhir semester keempat pengajiannya, Ina mendapat panggilan telefon daripada mamanya. Panggilan telefon yang mengejutkannya. Mamanya membawa khabar duka yang menyebabkan fokusnya terhadap pelajaran terganggu. Papanya yang selama ini sihat tiba-tiba sahaja jatuh sakit. Sekarang, tidak mampu bangun dan hanya terlantar di katil. Penyakitnya misteri, para doktor pakar di hospital besar pun gagal mengesan punca papanya jadi begitu.
Ina mahu pulang menjenguk keadaan papanya tetapi ditegah oleh mamanya. Dia disuruh menghabiskan dahulu peperiksaan akhir. Buat sementara waktu, Ina dipaksa untuk tidak berfikir tentang papanya. Ina akur. Hari-hari terakhir semester dilalui dengan susah payah.
Kali pertama Ina melihat sendiri keadaan papanya, Razak di atas katil di dalam bilik sebaik dia tiba lewat petang tadi, Ina terus sahaja menangis. Dia hampir tidak mengenali lelaki yang terbaring lesu itu. Kulitnya berubah menjadi kehitam-hitaman. Kemudian, ada kawasan badan yang melepuh. Ada sebahagian lagi yang menggerutu kasar. Perutnya buncit, dan apabila ditepuk kedengaran bunyi seakan-akan gendang. Perut Razak dipenuhi cecair.
“Kenapa boleh jadi macam ni ma?” tanya Ina dalam suara hiba. Dia mengelap kain basah pada tubuh Razak dengan perlahan-lahan, bimbang dia akan mencederakan kawasan badan yang terluka.
Mamanya, Safiah hanya diam. Dia memalingkan muka apabila Ina memandang kepadanya untuk mendapatkan penjelasan.
“Mama tak bawa papa berubat cara lain?” tanya Ina lagi.
Safiah masih diam dan kali ini dia menunduk. Pertanyaan Ina itu sememangnya sudah dia jangkakan tetapi dia tidak tahu untuk memberitahu jawapannya. Ina menggoyang-goyangkan bahunya, meminta jawapan diberikan.
“Papa ni terkena buatan orang, Ina. Ini semua angkara orang yang berdendam pada papa,” jawab Safiah sepatah demi sepatah, tergugup-gagap.
Mata Salina buntang tidak menyangka. Patutlah doktor-doktor di hospital pun tidak dapat mengesan punca kepada penyakit Razak. Rupa-rupanya ada penyebab lain. Ina mengalihkan pandangan kepada Razak. Dia simpati melihat Razak dalam kesakitan tetapi apabila dia mendengar Safiah menyebut dendam, Ina semacam perlu mengakui bahawa mungkin juga papanya bukan seorang mangsa dalam situasi ini. Ina kenal Razak seperti apa dan bagaimana orangnya.
Razak dulunya ialah seorang ahli perniagaan. Bermacam-macam perniagaan yang diceburinya. Kehidupan selesa Ina sekeluarga boleh dikatakan atas biaya hasil perniagaan papanya. Namun, perniagaan yang dibina sejak usia muda mengalami masalah ketika negara dilanda kegawatan ekonomi. Sedikit demi sedikit aset dan saham syarikat terpaksa dijual dan digadaikan untuk menyambung perusahaan, tetapi akhirnya perniagaan yang dipertahan sedaya upaya ranap juga.
Namun, Razak tidak berputus asa. Dengan baki duit yang masih tinggal, dia menjadikannya sebagai modal untuk membuka satu lagi perniagaan baharu. Perniagaan jual beli saham. Razak bertindak sebagai orang tengah yang mengumpulkan modal daripada individu yang turut serta untuk dilaburkan. Selepas beberapa bulan, keuntungan akan dibahagikan.
Waktu itu, syarikat pelaburan saham menjana keuntungan sekelip mata. Semakin hari semakin ramai orang yang mempercayai sistem pelaburan yang diperkenalkan. Orang-orang terawal yang mendapat pulangan dua, tiga kali ganda menjaja cerita-cerita kejayaan mereka menyebabkan lebih ramai yang tertarik lalu terjebak dalam pelaburan tersebut.
Malangnya, itu semua tidak berlarutan. Razak tidak mampu memberi keuntungan seperti yang dijanjikan. Sebahagian besar duit yang diberikan orang ramai telah dibelanjakan untuk dia dan keluarga meneruskan hidup. Akhirnya, Razak dan keluarga hidup dalam pelarian. Melarikan diri daripada orang-orang yang menuntut agar wang mereka dikembalikan.
Selama ini Razak berjaya mengelak dan bersembunyi. Namun itu tidak lama. Tiba-tiba, pada satu malam di rumahnya, Razak pengsan ketika sedang makan dengan Safiah.Apabila dia kembali sedar, perutnya sudah membusung dan kulitnya mula berubah kehitam-hitaman. Belakang badannya tumbuh selapisan kulit kasar yang menggerutu, semakin hari semakin meluas. Di muka dan lehernya pula, terdapat kesan seakan-akan melecur. Apabila bersentuhan dengan apa-apa sahaja, pasti akan membuatkan Razak berasa sakit yang teramat.
“Mama tahu siapa yang buat semua ini?”
“Tok Sapi yang mengubat papa ada beritahu, kemungkinan besar orang yang menghantar santau kepada papa ni, salah seorang yang marah pada papa sebab rugi dalam pelaburan saham papa dulu,” jawab Safiah dengan dada yang sebak. Dia turut menyesal kerana terlewat untuk mengetahui kegiatan gelap suaminya.
Sedang Ina cuba mencerna keadaan yang berlaku, azan maghrib berkumandang. Tiba-tiba sahaja tangannya yang menyentuh kulit Razak menjadi panas. Tanpda Ina sedar, dia telah menolak tangan Razak jauh daripadanya. Razak mengaduh sakit beberapa kali. Ina rasa bersalah lalu tangan Razak dipegang semula tetapi rasa berbahang pada kulit Razak menyebabkan Ina tidak mampu menyentuhnya.
Safiah mula menangis. Itulah perkara yang dilaluinya sejak Razak jatuh sakit. Apabila tiba waktu maghrib, hingga subuh keesokannya, seluruh tubuh Razak akan menjadi panas berbahang. Wajah Razak akan merah padam dek kepanasan. Peluh yang keluar berjejeran, dan kalau ditakung, pasti dapat penuh sebaldi. Selama tubuhnya panas, Razak akan mengaduh kesakitan namun tiada apa yang dapat Safiah lakukan untuk mengurangkan kesengsaraan Razak. Air penawar yang diberikan oleh Tok Sapi hanya dapat menghilangkan rasa panas itu buat beberapa ketika sahaja.
Semua yang Safiah ceritakan tentang keadaan Razak mula berlaku satu-persatu apabila hari semakin menginjak malam. Ina tidak berganjak sedikit pun dari sisi Razak. Dia cuba bercakap-cakap dengan Razak namun hanya hembusan kasar nafas Razak sahaja yang didengarinya selain perkataan ‘aduh’ yang tidak terhitungkan.
“Mama! Mama! Kenapa papa ni?” jerit Ina apabila dia melihat Razak secara tiba-tiba tercungap-cungap seperti orang kelemasan. Safiah bergegas datang dari dapur apabila diteriak.
“Bangunkan papa, letak bantal tu belakang, tapi baik-baik luka papa tu,” Safiah mengunjukkan dua biji bantal kepada Ina untuk dijadikan anduh di belakang Razak. Itu juga perkara yang sentiasa berlaku dan satu sahaja cara mengurangkan mengah Razak iaitu dengan meninggikan baringannya.
“Tok Sapi cakap, biasanya orang yang diupah untuk menghantar santau katak ini akan kembarkan papa dengan seekor katak. Katak tu diletakkan dalam satu tin, dengan satu lubang kecil sebesar paku atap. Sesekali tin itu akan ditambat pada kayu yang dicacak di tebing sungai. Kalau air sungai pasang, air akan masuk dalam tin dan katak akan tenggelam dalam air. Macam mana katak tu tenggelam dalam air, macam itulah juga papa akan rasa. Lemas, tercungap-cungap,” Safiah tidak dapat menahan kesedihan apabila bercerita kembali penerangan Tok Sapi kepada Ina.
“Ya Allah, seksanya papa kalau macam tu, ma. Mama, bawalah papa berubat lagi. Kita ikhtiar lagi. Ina tak sanggup tengok papa macam ni.”
“Mama dah cuba Ina. Merata-rata tempat mama bertanya, kalau-kalau ada yang pandai untuk buang santau ni tapi ada yang tak berani. Kata mereka, kalau orang yang diupah menghantar santau ni tahu ada orang cuba nak balikkan santau pada dia, katak yang ada pada dia tu nanti dicucuk terus dengan paku sampai pecah perutnya. Kalau katak tu mati...”
Safiah tidak mampu menghabiskan ayatnya. Air matanya lebih laju berderai daripada ucapan di bibir. Salina tunduk menangis. Dia tahu papanya memang bersalah dan ada dosanya, tetapi pembalasan cara itu sungguh menyeksakan.
+++++
Ina dan Safiah berikhtiar cara lain pula dengan membawa Razak menemui Ustaz Rahimi. Serba sedikit penerangan Ustaz Rahimi tidak jauh berbeza dengan Tok Sapi namun cara mengubati Ustaz Rahimi jauh berbeza. Selain air penawar yang dibacakan doa, Ustaz Rahimi turut mengajar Ina dan Sadiah beberapa ayat lain yang perlu diamalkan untuk menjadi pendinding dan pengurang sakit.
Dengan izin Allah, selepas beberapa minggu Razak mula menunjukkan perubahan positif. Kulitnya yang melepuh sudah mula mengering dan perut yang busung mulai surut. Namun, mungkin juga ajalnya telah tertulis, seminggu sebelum Ina kembali ke universiti untuk semester baharu bermula, Razak menghembuskan nafas terakhir. Dia meninggal dalam pangkuan Ina.
Ina reda dengan pemergian Razak. Setidak-tidaknya, Razak tidak perlu lagi menanggung kesakitan saban hari akibat perbuatan santau. Ina kembali ke universiti dengan perasaan yang sedikit terganggu. Ina cuba untuk bertahan demi mamanya pula. Tetapi, dugaan hidup Ina terlalu besar. Safiah pula ditemui tidak bernyawa di tepi jalan pada satu hari. Sebab kematian Safiah masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini. Pihak polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut kerana tiada tanda-tanda jenayah yang berlaku.
Sekali lagi Ina perlu reda dan pasrah dengan ketentuan takdir. Dalam tempoh masa yang singkat, dia kini seorang anak yatim piatu. Dia tinggal seorang diri. Saudara-mara sebelah mamanya ada di kampung, tetapi sejak keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur, mereka tidak lagi berkirim berita.
***
2017, Shah Alam
Selama Ina bercerita kisah hidupnya, Salmah hanya membisu. Zaini hanya memerhati keletah emaknya tetapi dia tidak berani bertanya. Sesekali dia melihat Salmah melalukan hujung lengan bajunya ke mata, mungkin mengesat air mata yang bergenang.
“Dahsyatnya dugaan keluarga Ina. Tak sangka, selembut-lembut Ina ni, mampu juga Ina lalui semua tu, puji Anis sambil mengusap-usap belakang Ina. Ina tersengih dan kemudian mengelap air mata di pipinya.
Salmah tersedar dari lamunannya. Dia bangun dan ingin terus naik ke bilik tidur. Tanpa sebarang apa-apa perbualan lanjut antara dia dengan Ina, seperti yang diinginkan oleh Zaini.
“Mak, nantilah dulu. Kita bual-buallah lagi. Emak diam je dari tadi,” Zaini cuba menahan menyebabkan langkah Salmah terhenti.
“Aku letih. Tak apalah, kamu semua sambunglah berbual. Mak nak rehat di atas,” ujarnya.
Ina bangun dan terus menghulurkan salam kepada Salmah. Berlainan daripada tadi, Salmah menyambut salam itu dan digenggamnya kemas. Matanya bertentang dengan mata Ina. Namun, cepat-cepat dilarikan apabila terlalu lama mereka berpandangan.
“Jumpa lagi, ya mak cik,” ucap Ina dan sekadar dibalas anggukan oleh Salmah.
Di dalam bilik, Salmah termenung lagi. Entah kenapa, kisah hidup Salina berjaya menyentuh hatinya yang sekeras batu sebelum ini. Dia dapat merasakan kesengsaraan yang sama dilalui oleh Ina seperti yang pernah dialaminya. Dia faham benar bagaimana perasaan menjadi mangsa keadaan.
+++++
Dalam tempoh tiga bulan selepas itu, Zaini kerap membawa Ina pulang ke kampung bertemu Salmah. Anis juga turut serta. Penerimaan Salmah terhadap Ina mula berubah baik tetapi untuk melihat Salmah bercakap-cakap dengan Ina, sudah tentu sukar untuk terjadi. Bagi Ina dan Zaini, itu sudah lebih daripada mencukupi. Itu sudah menunjukkan bahawa Salmah sudah memberi restu. Bagi Salmah pula, lama kelamaan dia dapat melihat sendiri keikhlasan Ina untuk menjadi isteri Zaini. Bukan semata-mata caranya terhadap Zaini, tetapi kepada dirinya sendiri dan juga Anis.
“Anis betul-betul ikhlas benarkan Zaini kahwin dengan Ina?” soal Salmah pada satu hari. Waktu itu dia dan Anis sedang duduk di beranda rumah kampungnya manakala Zaini dan Ina sedang mengais buah rambutan di halaman rumah.
Anis senyum. “Anis terima ini semua ketentuan untuk Anis. Anis dapat abang Zaini sebagai suami dan emak sebagai mentua Anis pun, Anis dah terlalu bersyukur. Anis kesian pada abang Zaini, dia nak sangat anak, tapi Anis tak mampu...”
“Insya-Allah Anis, suatu hari nanti, mak doakan,” cepat Salmah memintas.
Pengakuan Anis itu menambah lagi keyakinan kepada diri Salmah untuk akhirnya bersetuju dengan niat Zaini menjadikan Ina sebagai isteri kedua. Salmah tahu, Zaini seorang lelaki yang budiman dan mampu untuk berlaku adil. Ina pula seorang perempuan yang baik, tidak mungkin akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Anis kepadanya.
+++++
Majlis pernikahan Zaini dan Ina dilangsungkan secara kecil-kecilan. Hanya beberapa keluarga dan kenalan terdekat sahaja yang diundang. Keluarga Ina pun hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat dihubungi semula setelah lama terpisah.
“Salmah? Kau ni Salmah, janda arwah Sidin, kan?” Salmah memandang ke arah suara yang menegurnya dari belakang. Suara itu sedikit asing tetapi dia hairan apabila nama bekas suaminya disebut.
Dia memandang ke arah wanita yang memanggilnya. Wajah wanita yang hampir seusianya itu diamati betul-betul. Dan kemudian satu nama muncul dalam fikirannya. “Rafidah?”
Wanita bernama Rafidah itu ketawa kerana Salmah masih dapat mengenali dirinya walaupun sudah berpuluh tahuan mereka berdua tidak berjumpa. “Ingat lagi kau pada aku, ya Mah? Ingatkan kau dah lupa,” sinis sahaja pertanyaan Rafidah.
“Tak mungkin aku lupakan perempuan yang khianat aku, Rafidah. Sampai mati pun aku ingat!” keras suara Salmah menjawab.
“Kau ni, aku ni kan tetamu kau. Kenapa nak marah-marah ni?” sekali lagi Rafidah bertanya dengan diselangi ketawa menyakat.
“Apa kau buat di sini, Rafidah? Aku tak jemput kau! Pergilah, pergi!”
“Aku rasa kau tak tahu lagi yang kita ni dah berkeluarga semula. Itu, Salina tu. Arwah maknya sepupu aku. Sekarang ni, anak kau yang dulu jadi anak tiri aku, dah jadi anak menantu aku.”
Salmah terduduk semula ke kerusi apabila mendengar penjelasan Rafidah. Dalam ramai manusia di dunia ini, Salmah dipertemukan semula dengan musuhnya pada hari pernikahan anak lelakinya. Perlakuan Rafidah terhadap rumah tangganya dan terhadap Sidin sehingga bekas suaminya itu meninggal bermain-main semula dalam fikiran.
“Aku nak jumpa pengantin sekejap. Ada umur, ada rezeki, kita jumpa lagi, ya Mah?” ucap Rafidah dan berlalu.
Dada Salmah berombak-ombak. Nafasnya jadi laju. Dadanya diurut perlahan, menenangkan diri sendiri.
“Takkan kau nak biarkan musuh kau rampas anak kau pula?” tiba-tiba ada satu suara bergema di telinganya.
“Kau tak ingat apa perempuan tu dah buat pada kau dan keluarga kau dulu?”
“Kau mesti balas dendam Salmah. Rafidah tu dulu kawan baik kau, tapi dia sanggup tikam kau dari belakang. Tak mustahil anak saudara dia akan buat perkara yang sama!” bisik suara itu lagi.
Salmah hanya diam. Dia merenung Zaini dan Ina yang sedang melayan setiap tetamu yang datang menyapa mereka di meja makan. Telefon diseluk daripada beg tangannya. Salmah kemudian menelefon seseorang.
“Aku tahu kau boleh buat. Buatlah apa-apa pun asalkan Zaini dengan perempuan tu bercerai. Kalau boleh, secepat mungkin,” nadanya serius menyatakan permintaannya.
“Aku setuju dia kahwin dengan Zaini tapi tak bermakna aku akan setuju mereka kekal sampai bila-bila!” tambahnya lagi kepada orang di hujung talian.
Selepas beberapa ketika, panggilan dimatikan. Salmah menghirup udara dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Dadanya sedikit lapang. Dan mulai saati itu, Salmah mula menghitung waktu. Waktu untuk dia melihat Zaini dan Ina berpisah. Waktu untuk Ina merasai kesengsaraan ditinggalkan seorang lelaki bergelar suami. Sama seperti apa yang dia lalui satu masa dulu. Tiada lagi simpatinya kepada Ina.
***
Nantikan kemunculan MADU: SAYANG SI ANIS. Akan tiba tidak lama lagi.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller, mind-blowing atau paranormal? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau Webpage anda untuk dikreditkan.
No comments:
Post a Comment