HILANG PART 3
==============
"Ada cikgu. Villa Dahlia ni mungkin ada kena- mengena. Mungkin kisah tragik yang pernah berlaku dalam Villa Dahlia ni menjadi kesinambungan pada kes yang berlaku ni." terang Jali lagi.
Cikgu Wahab merenung tepat ke arah Jali. Dia masih kurang mengerti dengan kisah yang hendak disampaikan oleh Jali itu.
"Sebenarnya saya masih tak faham. Cuba cerita apa kisah tragik yang berlaku dekat Villa Dahlia tu." Pinta cikgu Wahab pada Jali untuk menceritakan kembali kisah tragik yang berlaku di dalam Villa Dahlia itu.
Jali membisu seketika cuba mengimbas kembali peristiwa sedih yang pernah berlaku di kampung Lembah Damai. Jali cuba mencari kisah mana yang harus dimulakan. Kisah gembira sebuah keluarga atau kisah duka yang terpalit peristiwa sedih pada sebuah keluarga itu juga, iaitu keluarga Dato Kamarul Zaman pada tahun 1977 di kediamannya Villa Dahlia.
"Kisah lama cikgu, dalam tahun 1970an. Villa Dahlia ni dulu milik seorang ahli perniagaan. Milik Datuk Kamarul Zaman dan keluarganya. Villa Dahlia itu diberi sempena nama isterinya Dahlia Mansor. Mereka ada tiga orang anak. Kesemuanya lelaki. Menurut orang-orang kampung Datuk Kamarul dan isteri memang pasangan yang ramah dan baik hati. Selalu bersedekah. Tak kisahlah sedekah di masjid ke atau anak-anak yatim. Seorang ahli perniagaan yang berjaya, keluarga yang bahagia, isteri yang jelita dan anak-anak yang cerdik. Tapi pada tahun 1977 tukang kebun Datuk Kamarul iaitu pak Munawir datang pada pagi kejadian tu seperti biasa dengan isterinya. Isteri pak Munawir tu tukang masak keluarga Datuk Kamarul tu jugak. Tapi kereta volvo Datuk tak ada di depan villa, jadi pak Munawir fikir Datuk Kamarul sekeluarga tentu sudah keluar kemana-mana. Tapi yang menjadi mushkil pak Munawir masa tu, kenapa dia tidak diberi tahu. Selalunya kalau hendak kemana-mana pasti Datuk akan beritahu pada pak Munawir atau isteri pak Munawir sendiri. Tapi pak Munawir ketika itu mengandaikan Datuk keluar bersiar-siar dengan keluarganya."
Cikgu Wahab hanya menggeleng. Tidak sangka villa segah dan secantik itu punyai kisah sedih pada penghuninya. Sesekali dia memandang sayu pada villa itu.
"Lepastu apa yang terjadi? Jumpa ke keluarga Datuk Kamarul tu?" soal cikgu Wahab.
"Jumpa. Itupun pemancing yang jumpa mayat Datuk Kamarul sekeluarga dalam lombong tu tenggelam bersama dalam kereta milik Datuk Kamarul sewaktu memancing di lombong berhampiran Jalan Delima." sambung Jali lagi.
Terbeliak mata cikgu Wahab saat Jali menyebut Jalan Delima.
"Jalan Delima? Itukan jalan rumah saya." Cikgu Wahab mohon kepastian dari Jali.
"Tapak rumah cikgu tu bekas lombong!" Akhirnya Jali terpaksa membocorkan rahsia. Satu rahsia yang ramai orang luar dari kampung Lembah Damai itu tidak ketahui.
"Bekas lombong? Jadi dekat situlah datuk dan keluarganya ditemui? Dikawasan rumah saya?" cikgu Wahab menelan pahit pengakuan sebenar dari Jali itu.
"Sebab itu saya fikir, gangguan yang cikgu alami tu ada kena mengena. Lagipun penghuni rumah sebelum ni pun pernah diganggu benda yang sama. Lantai dalam rumah basah tiba-tiba. Sedangkan penghuni rumah tu balik kampung, bercuti. Tapi fasal cikgu mimpikan Amira tu saya tak pasti. Tak tahulah ada kena- mengena atau tidak." panjang lebar penerangan dari Jali itu sehingga ralit cikgu Wahab mendengarnya.
Dalam pada itu tiba-tiba, telefon bimbit Cikgu Wahab berbunyi.
Truttt Truttt, Truttt Truttt
"Hello... Assalamualaikum." Cikgu Wahab menjawab panggilan itu. Tekun dia mendengar suara pemanggil itu dihujung talian.
Keadaan di sekitar mereka kembali sunyi. Jali terdiam. Hanya memicing telinga. Cuba untuk mendengar perbualan antara cikgu Wahab dan juga si pemanggil dan ingin mengetahui siapakah pemanggil dihujung talian itu.
Suasana di sekitar kawasan villa itu menjadi sunyi. Jali memandang sekeliling. Kini barulah dia tersedar, rupa-rupanya sejak dari tadi hanya kenderaan mereka sahaja berada di kawasan itu. Malah satu kenderaan pun tidak terlihat melalui laluan tersebut. Walaupun dia sendiri tahu bahawa laluan itu bukan laluan utama yang selalu digunakan penduduk kampung Lembah Damai. Melihatkan suasana sunyi dan suram itu membuatkan Jali semakin cuak. Sempat dia melirik jam di tangan. Hampir kepukul 4.45 petang. Kelihatan Cikgu Wahab yang hanya beberapa langkah darinya sedang ralit dan tekun mendengar suara pemanggil itu. Namun dia masih lagi tidak mengetahui siapa pemanggil itu.
Jali berjalan menuju ke kereta. Sekali lagi dia melihat keadaan sekeliling sambil pintu kereta dibuka luas. Terlihat sedikit menggerunkan tat kala melihat Villa Dahlia dari jauh. Seram dan suram. Angin mula menderu datang secara tiba-tiba. Meliuk lentuk pokok-pokok di sekitar kawasan villa itu. Termasuklah pokok buluh yang tertanam berhampiran villa tersebut.
Sekali lagi villa itu direnungnya. Cuba menajamkan matanya untuk melihat jika ada sesuatu yang asing dimatanya. Hanya terlihat pintu utama rumah yang berkunci. Tingkap-tingkap dibahagian bawah tertutup rapat termasuklah tingkap-tingkap bilik yang terletak dibahagian atas. Pernah dahulu dia cuba meninjau ke bahagian dalam villa tersebut dengan beberapa orang rakan namun sukar kerana ditutupi dengan langsir dari dalam.
"Mari kita ke hospital Jali. Tadi sarjan Borhan call saya. Dia beritahu jumpa lagi dua mayat. Dia suruh saya datang untuk buat ujian DNA. Mungkin salah satu mayat tu anak saya." Terang cikgu Wahab dalam nada sebak.
Setiap kali berbunyi sahaja telefon bimbit ataupun telefon di rumah pasti hatinya berdebar-debar. Takut menerima khabar buruk. Namun perasaan itu terpaksa ditolak tepi, semuanya demi Amira. Khabar baik ataupun buruk dia harus menerimanya walaupun langkahan kakinya bagai tidak jejak ke bumi.
Jali hanya mengangguk setuju. Kemudian terus sahaja mereka masuk ke dalam perut kereta.
"Sebelum tu saya nak ambil orang rumah saya dulu." sambung cikgu Wahab lagi.
"Ok!" jawab Jali ringkas.
Entah kenapa gatal benar mata Jali memandang Villa Dahlia itu lagi. Seperti memanggil-manggil untuknya melihat lagi. Sebaik sahaja dia memandang kearah villa itu tiba-tiba matanya tertumpu pada bahagian tingkap atas. Terlihat seperti langsir yang menutupi bahagian dalam tingkap itu seakan terselak oleh seseorang. Sehingga boleh menampakkan hampir separuh bahagian dalam villa itu. Sedangkan ketika dia melihat villa itu sebentar tadi kesemua langsir di tingkap bahagian atas dan bawah kesemuanya tertutup rapat. Malah tidak nampak seinci pun kain langsir itu terselak.
"Mustahil..." fikir Jali.
"Kenapa? Apa yang mustahil?" soal cikgu Wahab apabila melihat situasi Jali yang seakan tidak keruan.
"Kau ni macam nampak hantu!" Cikgu Wahab menerjah Jali dengan soalan sedemikian.
Jali hanya terdiam.
...................................,........
Borhan dan seorang pegawai polis berpangkat bernama Nizam sedang ralit meniliti fail-fail kes mangsa yang sedang mereka kendalikan di dalam pejabat dibalai polis. Beberapa fail kes tersusun mengikut turutan mangsa pertama yang hilang hinggalah yang terakhir.
"Tuan mangsa pertama Nurul Lyana binti Mohd Fuad berjaya ditemui tengah hari tadi bersama dengan mangsa kedua Roslinda binti Rozaidi masing-masing berusia 17 tahun. Mayat kedua-dua mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing. Kedua-dua tangan mereka dipotong sehingga keparas siku. Semasa operasi mengeluarkan mangsa-mangsa itu didalam tong yang tenggelam didalam parit, kedua-dua tangan mereka terletak bersebelahan disisi mereka. Kedua-dua mangsa tinggal di daerah yang sama tetapi kawasan tempat berlainan. Mangsa ketiga Nur Alia Batrisha belum ditemui lagi manakala mangsa ke empat Fatin Husna binti Fakrul Razi yang kedua-dua kakinya dipotong sudah ditemui tiga hari lalu dan Nurul Amira binti Abdul Wahab mangsa terakhir belum lagi ditemui. Mangsa anak cikgu Wahab, guru sekolah menengah. Jadi dua mangsa yang hilang belum lagi ditemui." sarjan Borhan memberi keterangan kepada Inspector Nizam sambil membelek fail kes Nurul Amira.
"Mangsa yang kita jumpa dahulu bernama Fatin Husna yang kakinya dipotong dijumpai di dalam tangki air di rumah tinggal. Mayatnya terendam didalam bersama dengan kaki yang sudah dipotong. Pekerja Indonesia yang menjumpai mayat tersebut. Dua mayat kita jumpa siang tadi dijumpai bersama-sama didalam tong yang telah dicampakkan ke dalam parit bersebelahan dengan villa kosong tu. Kedua-dua mayat itu dijumpai oleh budak-budak yang sedang menaiki basikal secara berkumpulan. Sewaktu melalui kawasan itu mereka terhidu bau busuk yang datang dari parit tu." sambung Borhan lagi.
Sambil mendengar keterangan dari Borhan itu tadi, Nizam begitu tekun meneliti fail-fail kes yang sudah terhidang didepan mata. Namun sedari tadi dia hanya mendiamkan diri dab membelek-belek semula catatan siasatan kes pembunuh yang berlaku di Kampung Lembah Damai. Kali ini dia kelihatan khusyuk sehingga suasana didalam balai tersingkir dari fikirannya. Catatan tangan bertulisan tangannya sendiri lebih menjadi tumpuannya sekarang. Fail kes dibuka dan membelek beberapa helai muka surat. Kedua-dua mayat yang dijumpai siang tadi telah diproses oleh pakar patologi. Beberapa keluarga telah datang untuk ujian DNA berdasarkan kes orang hilang. Akhirnya keluarga kepada mangsa-mangsa itu telah dikenal pasti berdasarkan ujian DNA tersebut.
"Tuan kita dah meneliti kes ni beberapa kali. Ada yang kita terlepas pandang ke?" soal sarjan Borhan lagi.
"Modus operandinya sama. Dia call mangsa, ajak keluar. Kemudian dia culik dan sorokkan mangsa. Kesemua mangsa berumur 17 tahun, perempuan dan tinggal di daerah yang sama. Cara bunuh juga sama! Sama ada tangan atau kaki yang dikerat. Berkemungkinan si pelaku ini memaksa mangsa-mangsa ini untuk memilih tangan atau kaki menjadi taruhan. Atau nyawa menjadi galang gantinya. Namun mangsa-mangsa ini masih muda, mereka tersilap memilih kaki ataupun tangan. Mereka tetap akan mati. Sipelaku itu memang berniat hendak membunuh! Itu hanya teori saya sahaja sarjan...." Nizam mula bersuara memberi beberapa teori yang difikirnya logik.
"Nampaknya mungkin akan ada gadis lagi yang akan diculik. Sebab sipelaku itu masih bebas tuan." ujar Borhan lagi.
"Ya, kita sedang berhadapan pembunuh bersiri. Seolah-olah dia baru keluar dari dunia dia, baru tersedar dari mimpi? Seperti dia mahu kita mencari dia memandangkan kepada cara-cara mangsa itu ditemui. Terlalu mudah!" Terang Nizam lagi dengan intonasi suara yang agak lantang dan tegas.
Hmmm....
Borhan mengeluh berat. Cuba melepaskan sedikit bebenan kes yang sentiasa berlegar-legar dikepalanya.
"Semuanya melibatkan rendam mangsa dalam air. Lagi satu saya nak tahu kes Datuk Kamarul pada tahun 1977 dulu. Mungkin ada kena- mengena!" Tegas Nizam lagi, seakan terfikir sesuatu. Sesuatu yang mambuatnya baru tersedar.
"Nanti call Razali. Saya pun terfikir dengan apa yang dia tu cuba sampaikan tadi." sambung Nizam lagi sambil menyuruh Borhan menghubungi rakan sejawatnya.
"Tuan dah tahu ke siapa si pelakunya?" Borhan bertanya sambil matanya tepat memandang ke arah Inspektor Nizam. Bersinar-sinar matanya agar pegawai polis muda itu dapat memberi jawapan agar kes dapat diselesaikan dengan segera.
"Itu cuma andaian saya sahaja. Saya tak boleh beritahu lagi. Saya hendak pastikan dulu!" ujar Nizam lagi.
"Apa-apa pun call Razali cepat!"
-TAMAT PART 3-
===============
Suntingan dan gambar: NIL
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment