Tuesday, 9 January 2018

HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 4) - DeeFen DF


HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 4)
Karya: DeeFen DF


Hidup aku jalani secara normal. Tiada sebarang kepelikan yang berlaku. Aku pun dah mula melupai mimpi-mimpi ngeri yang terjadi.

Aku langsung tak sedar akan saka yang mendampingi. Sehinggalah ada satu peristiwa yang terjadi…

* * *

Aku, Apit, Bob dengan dua orang lagi kawan sekolah aku tengah melepak kat taman permainan. Taman permainan ni memang jadi port kami melepak dan menghisap rokok selepas tamat waktu persekolahan. Biasa la budak-budak baru nak up. Poyo.

Tengah kami sedap melepak sambil menghembus asap, datang sekumpulan 6 orang budak-budak sekolah. 4 lelaki dan 2 perempuan. Semuanya bermotosikal dengan ekzos prangg. Umur lebih kurang sebaya dengan kami. Aku gelarkan dorang Geng Sakai je la senang.

Geng kami semua pakat usha panas. Dah la datang buat onar – bising tak bertempat. Dok buat style lak sembang kuat-kuat. Bila dorang perasan kami dok usha rapat, dorang makin menjadi-jadi. Makin kuat moto direm. Digelak-gelakkan kami. Takdak pasal, cari pasal.

Darah aku makin menyirap. Datang port orang dok buat style. Aku pun yakin yang kawan-kawan aku yang lagi 4 orang pun mesti hati dah panas menggelegak.

“Hoi, dok buat bising apa?! Diamlah!” Tengking Apit tiba-tiba. Aku menoleh – muka dia dah merah padam. Penumbuk dah digenggam. Perghhh! Rasanya ada yang pecah muka nanti ni. Dalam ramai-ramai kawan aku, Apit yang paling panas baran.

“Suka hati bapak aku la nak bising ke diam! Tempat ni pun bukan bapak hang yang punya!” Sahut salah seorang budak yang berbadan agak tegap. Butang bajunya dibiarkan terbuka separuh. Rokok Dunhill terselit di telinga kanan.

“Nak buat bising pi tempat lain la babi! Jangan dok menyemak kat port orang. Bangsat! Bingai!” Kedengaran nada geram dalam gema suara Apit. “Blah sebelum muka hangpa semua pecah!”

“Wuuuu takutttt!!! Hahahahaha!”

Dorang semua ketawa memerli kata-kata Apit. Dada Apit dah berombak kencang. Nafasnya mula jelas kedengaran. Pantas. Kasar.

Apit dah mula bergerak ke hadapan. Namun dihalang oleh Bob. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Kata-kata makian dan simbol carutan saling berbalas.

Dalam hati aku dah boleh agak dah yang keadaan ni bakal jadi pergaduhan sebentar lagi. Tapi, tapi, tapi… aku baru ja cucuh rokok Surya kot. Baru setengah ja aku hisap. Tak puas lagi aku menghirup asap bagi memenuhi ketagihan nikotin. Aku harap dorang bertekak dulu sebelum betul-betul mula bertumbuk.

“Woi babi! Kalau berani mai sini la! Bacoi ka?” Jerit budak berbadan tegap daripada Geng Sakai. Kedua-dua jari tengahnya dikeluarkan dan membuat gaya menggamit.

Aku tenung dan perhatikan lencana sekolahnya. Hmmm dah agak dah daripada sekolah tu. Sekolah paling ramai pelajar bermasalah kat bandar ni. Patut la dok buat gengster semacam. Perangai macam babi menyondol.

Apit menolak tangan Bob. Dia Laju dia berjalan ke arah Geng Sakai. Bob dan lagi dua orang rakan juga turut mara dan mengekor di belakang Apit. Kepala masing-masing didongak dan ditelengkan sedikit. Baru nampak gengster!

Geng Sakai juga mulai merapatkan diri. Butir kata semakin kurang jelas kerana masing-masing menjerit memaki hamun lawan masing-masing. Kedua-dua orang perempuan turut serta menghamburkan kata kejian. Dah macam kartun aku tengok.

Aku? Aku tetap duduk bertenggek di tangga papan gelongsor. Sesekali bunyi bergemeretak hasil serbuk cengkih yang terbakar. Aku masih tenang menikmati keenakan rokok keretek keluaran Indonesia. Nak dibuang sayang. Aku bukannya berduit nak beli rokok kotak.

“Empat lawan empat. OK la tu. Kalau aku join jadi tak fair pulak. Baik aku layan hisap rokok sambil tengok filem 18SG. Hehehe. Tapi kalau dah tak boleh makan, aku kena masuk campur gak ni. Takkan nak biar dorang kena belasah dengan Geng Sakai tu!”

Dari kejauhan aku perhati dorang bergaduh. Ala budak-budak bergaduh, jarang ada yang mati kalau setakat bergaduh lawan tumbuk sepak ja.

Sesekali budak perempuan tu pukul curi setiap kali ada kawan aku yang terjatuh. Keji betul. Dah la bersorak suara macam keldai.

Tiba-tiba budak tegap Geng Sakai seakan memberi arahan kepada kedua-dua budak perempuan. Lantas dorang berlalu ke arah motosikal dan mengambil empat biji helmet.

“OK ni dah lebih. Hero kena selamatkan keadaan la macam ni.”

Geng Sakai mula melibas helmet secara semberono. Apit dah terkena di bahagian sisi kepalanya. Mengerekot dia di atas rumput sambil memegang kepala. Mesti bengong kepala otak dia. Sesekali budak perempuan menyepak badannya yang dah tak berdaya.

Dua orang lagi rakan aku pula dok mengusap lengan. Kesakitan hasil menahan libasan helmet yang keras. Mereka berdua pun sudah mula berundur.

“HOIII BABI!! Apahal fight pakai helmet?!” Jerkah aku pada Geng Sakai yang berperangai sangat sakai.

“Hahahahaha! Suka hati aku la nak pakai helmet! Hang jangan masuk campoq. Nanti bersepai pulak otak bila helmet ni hinggap kat kepala hang!”

Aku hanya tersenyum sinis. Langsung tak ada perasaan gentar dalam diri aku. Aku tak pasti sama ada disebabkan adrenalin yang mula merembes atau ada sebab-sebab lain.

Aku terus memecut ke arah Geng Sakai. Satu tumbukan hinggap di pipi budak tegap. Kemudian siku aku terus menyerang dada budak yang kedua. Kedua-duanya terpelanting dan tergolek-golek terkena serangan aku.

Aku rasa pergerakan aku sangat pantas dan lancar. Seolah-olah dorang semua berada dalam slow motion. Sehinggakan aku mampu berfikir untuk menumbuk bahagian mana dan melancarkan serangan kedua dalam sekelip mata.

Budak Geng Sakai yang kedua dan ketiga terus menghayunkan helmet ke arah aku. Serentak. Deras.

Dan sekali lagi aku nampak serangan dorang sangat slow. Aku sampai sempat menggaru kepala dan menenyeh mata akibat tak percaya dengan kejadian yang berlaku di depan aku.

Malas nak berfikir panjang, aku terus merampas kedua-dua helmet dorang dan melibas kedua-duanya di bahagian perut. Terpelanting dan tersenak perut kedua-dua ekor budak tu.

“Arghhhh! Haaaaa haaaaa hannnnntu!” Budak berbadan tegap kelam-kabut bangun dan berlari ke arah motosikalnya. Rakan-rakannya yang lain turut terbeliak biji mata dan mula melarikan diri.

Yang tak sempat start motosikal, terus terkocoh-kocoh menolak laju. Tersadung-sadung ketika berlari. Hampir saja tersungkur.

Salah seorang budak perempuan masih lagi terkaku dan ternganga mulutnya. Umpama menjerit tapi suara langsung tak keluar. Bila aku menggertak, terus dia terjelepok pengsan.

“Ah sudah! Takkan pengsan pulak kot? Juborlah!”

Suara mengaduh masing-masing terdengar daripada rakan-rakan aku. Aku terus menghampiri Apit sebab dia yang paling teruk kena ketuk tadi.

“Apit oi. Hang ok ka?” Soal aku pada Apit yang dah duduk bersila sambil menunduk ke bawah. Diusap berulang kali di tempat yang kena ketuk tadi.

“OK la. Takdak hal.” Jawab Apit ringkas. Sesekali dia memejamkan mata dan mengerutkan keningnya tanda menahan kesakitan. “Babi nakharam punya budak.”

“Weh budak perempuan ni macam mana? Boleh pengsan pulak.” Aku menguis-nguis kakinya. Aku tengok perut dia masih bergerak turun naik, tanda dia masih bernafas. “Tah-tah buat-buat pengsan.”

Apit tiba-tiba bingkas bangun dan menjerit, “Woi betina!” Badannya sedikit terhoyong-hayang kerana masih pening kena hentakan padu helmet tadi.

“Kita blah ja la. Biaq la pompuan ni kat sini. Pandai-pandai la dia nak hidup.” Bob bersuara memberi cadangan. Wajah bengis masih belum hilang pada wajahnya. Masih menahan marah.

“Elok gak tu. Elok humban dalam longkang ja. Biaq mati. Tak pasal-pasal bengkak kepala aku ni.”

“Rilek bro. Kita tak boleh tinggal dia macam ni. Kalau mati si musibat ni, mampos kita. Tak pasal-pasal kita makan tidoq free nanti.” Aku menyuarakan sedikit kebimbangan aku. “Sat aku pi cari ayaq.”

Mata aku melilau mencari air. Last-last aku tengok dalam longkang, jumpa kotak Peel Fresh Oren yang airnya masih berbaki.

Perlahan-lahan aku curahkan air oren ke muka budak perempuan Geng Sakai. Air pun dah berkeladak. Tah bila zaman punya. Mesti dah basi. Nak termuntah aku tengok. Meloyakan.

Kawan-kawan aku terkekek menahan ketawa melihat muka budak perempuan tu bersememeh dengan air oren basi. Ketulan-ketulan oren penuh di mukanya.

Terpisat-pisat budak perempuan tu tatkala dia mula sedarkan diri. Perlakuan seperti orang biol. Blur. Kecik besar kecik besar kelopak mata dia. Mungkin cuba memfokus minda dan penglihatan. Hodoh. Dah la muka tak semenggah, perangai pun serupa lahanat.

“Hoi, bangun!” Tegur Apit sambil menyepak-nyepak perlahan tapak kasut perempuan itu. Kami semua sekadar memerhati dan mengelilinginya.

“Aku… aku kat mana?”

“Hang kat syurga dah. Hang dah mati. Selamat datang ke syurga. Hehehehe,” jawab Apit selamba. Kami yang lain menekup mulut menahan ketawa.

“Hah syurga? Bila aku mati? Awat aku nampak tak macam syurga pun?” Budak perempuan tu mula menyapu mukanya yang penuh dengan keladak air oren basi. Kemudian diciumnya sambil hidungnya kembang-kempis cuba mengenal pasti bahan apakah yang melekat dimukanya.

“Apa ni?”

“Ohhh itu air oren syurga. Lebih pekat dan berkrim.”

“Awat bau busuk? Rasa pun macam dah basi ja.”

Saat ini dah tersembur-sembur air liur aku menahan ketawa. Akhirnya kami semua berderai ketawa. Bob sampai terduduk sambil memegang perutnya yang sedikit boroi. Mengalir air mata dan air hidung akibat kelucuan yang melampau.

Tiba-tiba budak perempuan tu seakan-akan mahu menangis. Jarinya dituding ke arah aku. Dia mula berundur ke belakang dan cuba menjauhkan diri dari aku.

“Weh hang apahal? Takut kena lempang dengan aku?” Aku menegurnya. Sinis.

“Aku ta ta ta takut. Wuwuwuwuwu.”

“Takut apa? Bukan aku nak rogol hang. Tengok muka hang pun dah potong selera aku.”

“Ta ta ta ta tadi muka hang ma ma ma macam… macam… macam…”

“Macam apa?!!”

“Macam beruk! Wuwuwuwu. Muka badan, tangan semua penuh bulu hitam.”

“Hang kata aku beruk?! Tak sayang mulut betul.

“Bu bukan. Tadi rupa bertukar beruk. Sekarang dah OK dah.”

“Hang jangan memain. Cakap betul-betul la.”

“Betul la. Sebab tu aku pengsan. Takut sangat tengok muka hang yang menakutkan tu.”

Aku sekadar terdiam mendengar penjelasan budak perempuan itu. Rakan-rakan aku yang lain semuanya memandang aku. Mungkin menunggu ayat seterusnya yang nak keluar daripada mulut aku.

“Dah lah. Hang pi blah. Hang bagitau semua kawan hang tu, jangan mai sini lagi.”

Budak perempuan itu bingkas bangun. Perlahan-lahan dia melangkah. Sedikit terhuyung-hayang. Sesekali dia menoleh ke arah kami dengan muka kerisauan – atau mungkin dia hanya memandang aku sebenarnya.

* * *

Kejadian pergaduhan tempoh hari sedikit menganggu fikiran aku. Aku sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi. Sebelum-sebelum ni pernah juga aku bergaduh. Tapi tak pernah pun jadi macam kejadian tu.

Aku turut bertanya Bob dengan Apit pasal beruk. Tapi dorang cakap tak nampak pun aku bertukar jadi beruk. Macam biasa ja. Cuma dorang puji refleks aku yang sangat cepat gila-gila. Macam The Flash. Gitewww.

Akhirnya selepas berfikir dan langsung tak mendapat jawapan, aku sendiri pun mula lupa akan kejadian tu.

Tapi ada satu kejadian yang menjentik kembali pemikiran aku tentang misteri beruk tu.

* * *

Hari persekolahan berjalan macam biasa. Aku sedikit bengang sebab dua batang rokok yang aku tertinggal semalam di bawah meja dah hilang. Aku syak budak sesi petang yang ambil sebab kelas aku ni berkongsi dua sesi persekolahan.

Tapi aku malas la nak gaduh-gaduh. Ala rokok dua batang baru berapa sen ja. Lagipun aku selalu pow rokok Bob sebab mak bapak dia orang ada-ada. Bob la selalunya menjadi tempat kami menumpang kasih dan mendambakan sebatang dua rokok.

Aku perasan sejak dari pukul 11 lebih ada seorang pelajar yang memerhatikan aku. Budak tu beberapa kali lalu di koridor tepi kelas aku dan pandangan matanya sentiasa tertancap pada aku. Aku langsung tak kenal budak tu.

Pada pandangan aku, tu budak junior. Sesi petang mungkin. Sebab muka masih kebudak-budakan. Rambut pun masih basah berminyak tandanya dia baru mandi dan baru saja sampai sekolah. Agak pelik sebab sesi persekolahan petang lambat lagi nak mula. Awal pulak budak ni sampai.

Setiap kali dia lalu, aku dapat lihat wajahnya yang terpancar kegelisahan. Kemudian dia duduk di bangku di bawah pokok tak jauh daripada kelas aku. Aku perhati ja gelagat budak tu. Sesekali dia tertunduk-tunduk berjalan mundar-mandir mengelilingi bangku.

Sewaktu sesi persekolahan pagi hampir tamat, budak tu dah tercegat di tepi pintu kelas aku. Sebaik loceng berbunyi dan cikgu pun dah keluar, aku terus capai beg nak ke kelas sebelah di mana Apit dan Bob berada.

“Bang... sekom bang… bang!”

Kedengaran suara lelaki dari arah belakang tapi aku langsung tak menghiraukan panggilan tu. Tiba-tiba aku rasa bahu dicuit beberapa kali membuatkan aku menoleh.

Kelihatan budak yang kegelisahan tadi berdiri tegak di belakang aku. Mataku memerhati seluruh wajahnya. Kelopak bawah matanya kelihatan sedikit hitam. Sembap. Bebola mata pula sedikit kemerah-merahan dengan urat mata jelas kelihatan. Mukanya sedikit pucat.

“Bang…”

“Hah ada apa? Tadi aku nampak hang dok berkawat banyak kali depan kelas aku. Apahal?”

“Saya…saya sebenarnya yang duduk tempat abang bila sekolah sesi petang.”

“Owww hang ka. Abestu? Nak kena peluk ka camna ni?”

“Salam je la bang. Peluk macam pelik sangat rasanya.”

“Ehhhh sebelum tu. Hang ka yang ambik rokok aku? Aku tertinggal semalam. Hari ni aku tengok dah takdak. Agak-agak la wei rokok berapa kupang ja pun hang nak curi!”

“Ya… iye… ya…”
“Ya iye ya iye apa kes hang ni?”

“Ya ya… Saya yang ambil rokok tu. Saya nak minta maaf bang. Saya dah terhisap semua malam tadi. Tapi hari ni saya ganti balik lebih sikit.”

Budak junior tu menghulurkan kertas buku latihan yang telah dikoyakkan dan dijadikan seperti sampul. Segera aku mengambil dan memasukkan ke dalam poket seluar belakang. Berdasarkan saiz dan berat sampul, aku sebagai ahli ‘persatuan perokok bebudak sekolah seantero dunia’ dapat mengagak ada 4 batang rokok dalam sampul tu.

“Hoi baru form two dah pandai hisap rokok!” Suara aku sedikit meninggi. Konon-konon marah. Padahal aku masa darjah 6 dah curi-curi hisap rokok walaupun terbatuk-batuk macam nak mati. “Tapi aku tabik Hitler kat hang sebab berani mengaku kesalahan dan pulangkan balik rokok aku. Eh! Ini bukan perangkap kan? Buatnya hang rancang baik punya dengan cikgu nak kenakan aku, naya aku weh! Aku siku hidung hang biar senget, baru hang tau!”

“Tak bang. Saya tak bagitau sapa-sapa. Cuma saya nak ganti balik rokok abang dengan minta maaf sangat-sangat. Saya merayu bang. Abang maafkan saya ye. Saya janji tak ambik barang abang atau barang orang lain lagi. Saya bersumpah!” Rayu budak junior bersungguh-sungguh. Wajahnya kelihatan bersungguh-sungguh mengharapkan kemaafan daripada aku.

“Oppp.. Oppp.. Chup! Chup!” Aku membuat gaya bersilat umpama seorang pendekar menepis serangan musuh. “Awat yang hang sungguh-sungguh sangat ni? Macam orang dah nak sampai ajal ja aku tengok hang ni. Cuba cerita betul-betul dengan aku,” ujar aku sambil menepuk-nepuk bahu kirinya.

“Tak bang. Lepas saya hisap habis rokok abang tu dengan kawan-kawan saya yang lain malam tadi. Kami semua kena sergah dengan suara garau. Bunyi memang macam bukan manusia. Bergema seluruh kawasan tempat kami lepak tu. Apa lagi, kami semua bersepah lari balik.” Cerita budak junior bersungguh-sungguh.

“Itu la jangan lepak malam-malam. Nabi dah pesan jangan keluar malam-malam. Ingat pesan abang ni ye. Tengok macam abang ni, tiap-tiap malam dok rumah ja, study…emmmm.”

“Lepas tu bang, bila saya dah sampai rumah dan nak kunci pintu, saya ternampak makhluk hitam kat pagar. Berdiri tegak pandang saya ja. Lembik lutut saya masa tu bang.”

“Hah makhluk apa? Alien? Hehehe.”

“Bukan bang. Hantu kot. Rupa macam beruk. Tapi berdiri macam kita manusia. Cuma badan dia tinggi dan tegap.”

Aku tersentak bila dia sebut pasal beruk hitam. Ni dah masuk kali kedua orang sebut pasal beruk hitam. Pengalaman yang aku alami sendiri pun dah berkali-kali. Aku mula rasa tak sedap hati.

“Lepas tu bang. Bila saya tidur malam tu, beruk tu mai dalam mimpi saya. Dia suruh pulang rokok tu dan minta maaf dengan abang. Bila saya terjaga, saya nampak beruk tu merenung saya dari luar tingkap bilik. Terus saya tak boleh tidur. Tapi bila dah nak subuh saya terlelap lagi, sekali lagi saya mimpi benda yang sama. Seram sangat bang. Saya betul-betul minta maaf bang…”

Mata budak junior tu dah mula bergenang. Bila dia tunduk, setitis dua air mata menitis ke lantai.

“Yela. Aku maafkan. Dah dah. Aku nak balik dah ni. Lapaq rokok. Chow!”

Aku terus menuju ke arah Apit dan Bob yang dah sedia menunggu aku. Bila aku menoleh ke belakang, budak junior tu masih tercegat di situ dan memandang aku dengan pandangan yang sayu. Aku sekadar membuat isyarat suruh dia balik.

No comments: