Admin Arkib Angker Negara
Belinda.
Gadis kampung yang menjadi kegilaan ramai jejaka disekitarnya. Sudahlah cantik, bijak pula orangnya.
Sudah berkahwin tetapi memilih untuk merahsiakan perkahwinannya dari pengetahuan umum. Malu kerana lelaki yang dinikahinya itu bukan pilihannya. Dia sekadar menjadi cagar kerana ibu dan bapanya pernah berhutang bagi membiayai pembelajarannya di bumi orang kulit putih. Tamat sahaja pengajian, dia dinikahkan terus dalam majlis yang ringkas.
Herman
Orang kaya yang nafsunya sering diutamakan. Pertama kali melihat Belinda, syaitan sudah berbisik bahawa gadis itu perlu dimilikinya. Cincin dijari diusap-usap. Cinta pandang pertama entah keberapa kali itu mesti dimiliki.
Kerana itu apabila ibu bapa gadis itu berbasi basa tentang belanja yang diperlukan, tanpa ragu dia menghulurkan bantuan. Cuma sedikit jarum disuntik, satu hari nanti balasan akan dia minta.
Bila tiba masa, sudah selesai graduasi, gadis itu terus disunting. Kerana terhutang budi, maka anak mereka itu dilepaskan sebagai galang ganti. Herman bijak, pampasan berpuluh ribu diberi tanda membeli hati ralat siibu bapa yang terpaksa melepaskan anak mereka kepadanya. Gelap akhirnya mata mereka dengan rezeki terpijak itu.
Sarah.
Isteri tua Herman. Tetap setia walau Herman sudah berapa kali nikah lagi satu. Lagi satu. Dan lagi satu. Hingga tidak terhitung jumlah madunya.
Sudah puas dikunci nafsu Herman, tetap gagal. Mana tukang ubat dia tidak jumpa, mana perusuk bumi dia tidak pergi, tapi baru mukadimah jampi serapah, sudah angkat bendera putih. Bukan dia tamakkan harta Herman. Harta itu pun asalnya milik keluarganya. Tetapi Herman bijak bermain kata. Kepercayaan keluarga terhadap Herman terlalu tinggi.
"Saya boleh jalankan tanggungjawab sebagai isteri awak, tapi saya tidak mahu sesiapa tahu tentang pernikahan kita." ujar Belinda sejurus akad dilafaz.
"Saya tidak mahu tinggal dibandar ini. Dan saya tidak mahu dihalang dari bekerja. Saya tidak mahu hamil anak awak selagi cita-cita saya tidak dicapai" syarat Belinda mula diluah.
Bagi Herman, syarat itu tidak sukar. Asalkan perawan Belinda dapat ditawan. Herman sudah cukup puas hati.
Berbelas tahun dahulu.
"Ilmu menawan wanita ini, aku boleh turunkan pada kau Man, tapi kau kena tahu, syarat yang perlu kau pegang kejap adalah wanita yang kau nikahi mesti seorang perawan. Jika tidak, hidup kau sengsara. Perawan mereka umpama daging segar untuk khadam yang aku serah. Darah perawan mereka tanda penaklukan dan kemewahan yang tidak akan pernah putus"
"Kau harus tahu, wanita-wanita ini tidak akan pernah mampu hamil kerana janin mereka bakal menjadi hidangan enak untuk kau kelak" ujar Wak Jali.
Sarah pernah hamil, tetapi kandungannya ghaib beberapa minggu sebelum melahirkan. Perutnya kempis seolah tidak pernah membawa janin. Malahan Sarah sihat walafiat.
Malam sebelum bayinya hilang, bau hanyir darah menusuk hidungnya. Dalam mimpi, Sarah diserahkan seketul daging segar oleh seorang tua berpakaian serba hitam.
"Pagi nanti, kau masak daging ini untuk suami kau" ujar suara itu.
Anehnya, huluran itu disambut, dan terus mengejutkan Sarah dari lenanya.
Suaminya tidak ada disisi. Bau sesuatu sedang dimasak membuatkan Sarah melangkah kedapur.
Suaminya, sedang leka menyalai daging yang entah bila dibeli dan menghidangkannya diatas pinggan.
"Jom Sarah, kita makan. Abang lapar tadi, tengok ada daging didalam peti, abang masaklah" ujar Herman membelakangi Sarah.
Khabar duka tidak sempat Sarah beritahu, seolah dipukau, Sarah menghampiri meja makan dan menjamah hidangan itu. Sebaik sahaja kemanisan daging itu dinikmati, Sarah seolah lupa tentang kejadian janinnya yang hilang.
Dan kehidupan mereka suami isteri dijalankan seperti biasa. Setiap kali madunya keguguran atau kematian bayi mereka, pasti tidak hari itu, hari esoknya Sarah dihidangkan stik daging oleh suaminya. Rasa daging itu, membuatkan Sarah sering termimpi-mimpi dan dalam diam mendoakan madu-madunya hamil dan kemudian kehilangan bayi dalam kandungan agar Sarah boleh menikmati keenakan daging entah dari mana dibeli oleh suaminya itu.
Belinda menjalani kehidupannya seperti biasa walau sudah menikah. Tidak seorang pun dari rakan sekerjanya mengetahui bahawa Belinda sudah bergelar isteri. Jika terserempak bersama rakan sekerja saat keluar makan bersama Herman, dia hanya bilang itu merupakan ayah angkatnya yang telah banyak berjasa saat Belinda kemenara gading. Mana mungkin jasa itu mahu dilupai.
Suatu hari, sedang beriadah di taman, Belinda didatangi oleh seorang wanita.
"Suami kau tu amalkan ilmu tidak elok. Aku tak tahu apa ada pada kau, tapi ilmu dia tidak jalan pada kau. Apa kau perlu buat, ambil cincin di jari kelingkingnya itu, kemudian kau baling sehingga pecah. Madu kau dah cukup makan benda kotor sepanjang suami kalian mengamalkan ilmu itu. Cukuplah setakat ini sahaja mangsanya" teguran wanita itu, menghairankan Belinda. Tidak ada angin, tidak ada ribut, datang tidak diundang, pergi pula umpama cahaya. Ghaib.
Jujurnya, Belinda serasa tidak senang apabila bersuamikan Herman. Terasa diri diperhatikan selalu tetapi Belinda apa mahu hairan. Hidupnya tidak dikongkong pun sudah bagus. Riak dingin Sarah waktu berjumpa kali pertama dahulu juga sedikit mengundang rasa tidak senang dihatinya. Langsung tidak menyapanya. Dingin.
Belinda faham, logiknya mana ada wanita yang suka dimadukan, tetapi berkali-kali dimadukan mesti sedikit sebanyak akan mengundang rasa tidak puas dihati bagi seorang wanita bergelar isteri. Sarah berhak marah pada pandangan Belinda.
Kata-kata wanita asing tadi sedikit sebanyak menganggu aktiviti harian Belinda. Dalam diam, ada rasa ingin menamatkan pernikahannya yang rasanya terlalu awal dan tanpa cinta itu. Lelaki itu bakal menyebabkan Belinda dituduh sebagai tipikal wanita yang gilakan harta seorang lelaki tua. Maruah Belinda bakal tercemar. Belum puas lagi kecantikannya dipuja. Belum lagi Belinda merasa erti mencintai dan dicintai kerana haknya itu telah dirampas lelaki miang seperti Herman.
Belinda nekad mahu menamatkan segalanya segera. Cincin yang dimaksudkan wanita itu memang ada, dan tersarung elok di jari kekingking suaminya. Aneh letaknya disana sedangkan jari lain kosong tidak tersarung apa-apa.
Saat Herman tidur nyenyak malam itu, Belinda bertindak mencuri cincin itu, laju sahaja Belinda memecut keretanya keluar dari kawasan rumah. Bimbang Herman terjaga apabila kesan ubat tidur yang dicampur kedalam kopinya itu telah hilang.
Keretanya terasa memberat. Sudah ditekan minyak hingga tersentuh lantai kereta tetapi masih tidak memecut selaju mana seolah sedang membawa bertan-tan batu.
Bersambung..
Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara
Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com
Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan
No comments:
Post a Comment