Tuesday, 9 January 2018

HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 3) - DeeFen DF


HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 3)
Karya: DeeFen DF


Lepas daripada mimpi kena kejar beruk makye hitam tu, mimpi aku masuk episod yang berlainan pula. Aku mimpi ada tangan menghulurkan bayi kat aku. Bayi tu dibalut dengan kain warna hitam.

Aku setiap malam menolak bayi tu dengan kata-kata. “Aku belum kahwin. Ini bukan anak aku. Aku takmau terima.” Macam tu la ayat aku setiap malam. Sampailah lebih kurang seminggu. Mungkin sebab aku dah menyampah kot asyik hari-hari mimpi yang sama, akhirnya aku sambut bayi tu.

Bila aku selak je kain yang menutup muka bayi, aku terpempan. Menggigil lutut aku.

Bayi tu berwajah hitam, berbulu. Tak ubah macam beruk yang aku mimpi sebelum ni. Cuma dia ajet-ajet membuat wajah comel bayi. Buat-buat menangis suara nyaring. Konon cute. Lahanat betul. Gugur jantung aku.

Aku terus lempar bayi tu dan berkata dengan suara yang keras. “Aku takmau bayi ni!” Terdengar nyaring tangisan bayi tu. Syahdu la kononnya. Bila aku terjaga dari tidur, terngiang-ngiang lagi suara tangisan tu macam ada kat luar rumah nenek aku ni ja. Seram beb.

Selepas tu, aku mimpi orang nak bagi keris. Siap menari-nari kat udara dan berasap-asap keris tu. Entah keris keramat sakti apa entah. Tapi aku tetap tak terima.

Lepas keris, setiap malam bermacam-macam benda pelik yang cuba tangan tu hulurkan kat aku. Antaranya batu geliga apa entah bercahaya warna merah, tepak sirih tembaga, tembikar lama, kain kuning dan hitam, cermin lama yang dah sopak, kerambit, kalung emas dan telur ular. Mungkin ada benda lain yang aku dah lupa, tapi semuanya benda pelik-pelik. Dan satu pun aku tak terima, semuanya aku tolak.

Akhirnya aku ceritakan mimpi aku tu kat nenek. Tak pasal-pasal aku kena bebel sebab lambat bagitau dia.

“Hang awat lambat bagitau aku? Hang tau tak yang tu mungkin saka moyang hang dok cari pendamping baru!” Tegas nenek aku dengan wajah bengis. Marah betul dia. “Aku tak mau cucu-cucu aku ada saka-saka ni. Semuanya menyusahkan dan boleh merosakkan akidah.”

“Mana la Pakli tau. Pakli ingat mimpi biasa-biasa ja.”

“Dah dah. Lepas ni kalau mimpi orang bagi benda pelik-pelik lagi, hang jangan terima! Aku tak mau hang ada masalah kemudian hari.”

“Kalau Pakli terima barang tu, maksudnya Pakli setuju untuk terima saka tu la?”

“Ya betul.” Ringkas jawapan nenek.

Berderau darah aku. Aku risau aku terterima ja saka tu. Aku bukannya boleh kawal segala pergerakan aku dalam tidur, dalam mimpi.

“Mana aci main bagi barang dalam mimpi! Kita bukannya boleh control otak kita masa dalam mimpi.”

“Bukan macam tu. Kalau amalan hang cukup, sembahyang cukup, doa dan pendinding diri kuat. Secara automatiknya hang akan tolak saka-saka tu walau dalam mimpi. Selalunya la. Tapi ada juga orang yang terpaksa terima. Mungkin saka tu jenis yang kuat.”

“Habis tu Pakli nak kena buat apa sekarang?”

“Solat jangan tinggal. Sebelum tidur baca doa dan berwuduk. Doa dengan Allah minta perlindungan. Hang tu dah la solat ikut suka hang ja. Jenuh aku nak perhambat baru nak solat. Hish!”

Keesokannya tu, nenek ada pergi jumpa ustaz ambil air apa entah. Buat aku minum dan renjis-renjis di sekeliling rumah.

Lepas daripada tu, memang aku pastikan solat aku tak tinggal. Sebelum tidur mesti segala jenis doa aku baca siap-siap. Siap mengaji lepas solat maghrib. Bila aku fikir balik sekarang, aku pun tak pasti masa tu aku lebih takutkan Allah atau saka durjana laknat lahanat tu.

Gangguan dalam mimpi tu akhirnya terhenti. Lega rasa hati aku. Aku fikir mesti saka tu dah putus asa nak berdamping dengan aku. Mesti dia dah berambus cari keturunan yang lain.

Makanya, aku pun dah kembali malas nak solat dan baca doa sebelum tidur. Kalau rajin aku buat la semua tu. Zaman jahiliah aku masa tu, solat memang kurang ambil berat.

* * *

Hinggalah pada suatu malam di hujung minggu, nenek aku dia pi bermalam di rumah saudara untuk buat persediaan kenduri kahwin. Aku malas ikut sebab aku dah agak mesti semua geng mak cik gosip dan pak cik sembang nak up ja yang ada situ.

Aku dah bagitau siap-siap kat Apit dengan Bob supaya dorang datang teman bermalam kat rumah aku. Masing-masing dah ada rancangan baik punya malam tu. Nenek aku tak ada, memang makin panjang la kaki aku nak pi merayap.

Tapi semua rancangan tu gagal sebab hujan lebat bermula dari petang. Langsung takda tanda-tanda nak berhenti. Apit dan Bob pun cancel nak datang. Semua pakat tak nak redah hujan lebat. Aku pula duduk sorang-sorang berselubung dengan kain pelikat depan tv.

Perut dah berbunyi sakan. Sejuk-sejuk macam tu kalau ada ayam goreng KFC atau pizza memang sangatlah memenuhi kehendak selera aku. Aku bangun malas menuju peti sejuk kat dapur. Tengok ada nugget. Aku keluarkan nak bagi defrost dulu. Ada sebuku roti Gardenia atas meja.

“Makan nugget dengan roti je la aku malam ni. Hai lah nasib. Baru petang plan nak makan tomyam kat restoran Jenab Lawa & Wow.” Gerutu aku berseorangan.

Sementara menunggu nugget mencair, aku berlalu ke beranda di sebelah depan rumah. Niat nak menghisap rokok dulu barang sebatang dua. Nenek tak ada, memang line clear la aku nak hisap rokok kat rumah. Kalau tak, pasu kesayangan dia tu pun dia sanggup hempuk kepala aku.

Aku ingat lagi kata-kata nenek aku. “Aku tak kisah pasu kesayangan aku ni pecah sebab tibai hang. Asalkan hang jadi orang baik. Aku lagi sayang cucu-cucu aku daripada semua harta kat dunia ni.”

Masa aku dok bersidai kat beranda, mata aku meliar perhati kat persekitaran rumah. Hujan lebat terus membasahi bumi tanpa tanda-tanda akan berhenti dalam waktu terdekat. Sesekali angin dingin bertiup menghembus asap rokok Surya aku ke setiap pelusuk beranda.

Dalam kesamaran malam dan hujan, mata aku terdorong nak melihat ke arah jalan masuk di seberang titi. Panahan kilat dari kejauhan sedikit memberi cahaya ke persekitaran rumah. Setiap kali terdapat lebih sedikit cahaya, aku rasa macam terpandang ada satu sosok yang berdiri kat situ.

Sosok tubuh tu berdiri di tempat yang sama, dalam cara yang sama macam aku nampak beberapa minggu sebelumnya. Meremang bulu roma seluruh badan aku. Kepala dah rasa kembang. Cepat-cepat aku alihkan pandangan sambil beristighfar dan membaca beberapa potong ayat suci.

Aku yakinkan diri yang itu hanya khayalan aku. Perlahan-lahan aku toleh kembali ke arah sosok tu. Aku mengecilkan kelopok mata – cuba meneropong untuk menghapuskan kegusaran hati. Setelah beberapa ketika aku memfokuskan pandangan, sosok itu tidak kelihatan.

“Khayalan aku je la tu. Hisap rokok Surya ni kot yang buat kepala jadi weng!” Kataku di dalam hati. Cuba menyedapkan hati yang mana keyakinan diri dah mulai rapuh. Berkali-kali aku cuba fikir positif dan memberanikan diri sendiri.

Aku menjentik-jentik bara api rokok. Memadamkan bara rokok yang baru setengah batang aku hisap. Nak hisap rokok pun dah tak feel. Lantas aku terus masuk ke dalam rumah. Pintu dan tingkap ditutup rapat semuanya.

Sekarang ni nak pi dapur dan tandas pun dah takut. Memang aku seorang yang penakut. Masa nenek ada pun aku takut nak pergi tandas malam-malam sorang-sorang. Inikan pula aku tinggal sorang-sorang. Padahal tandas bukannya berada kat luar rumah pun.

“Aduhhhh menyesal aku tak paksa Apit dengan Bob datang jugak malam ni. Nak telefon rasa segan la pulak dah memalam cenggini.”

Aku pun dah buntu tak tau nak buat apa. Nak masak nugget di dapur – aku penakut. Akhirnya aku baring depan TV layan drama. Tapi sebelum tu aku buka semua lampu dalam rumah siap-siap.

Aku pastikan takda ruang gelap yang kelihatan dari sudut pandangan mata. Aku selalu berimaginasi di ruangan gelap tu ada makhluk yang berdiri memerhatikan aku. Fobia. Takut pada benda yang belum pasti wujud. Tapi baik aku ambil langkah berjaga-jaga dulu sebelum aku kena sergah dengan mambang yang tak diundang.

Akibat langsung tak ada rancangan yang menarik, akhirnya aku tertidur kat depan TV.

Semasa tertidur, aku bermimpi yang aku berasa sangat lapar. Memang logik la mimpi lapar sebab aku tak makan apa lagi malam itu. Aku mimpi yang aku berlari-lari ke sana sini cari makanan. Setiap kali aku jumpa makanan dan nak ambil, tiba-tiba makanan tu hilang.

Aku merangkak-rangkak mencari makanan. Dengan haus yang melampau. Tenaga aku dah hampir habis. Tekak terasa perit. Perut berkeroncong tanpa henti. Tangan dan kaki dah terketar-ketar. Sampaikan tak mampu lagi nak berdiri. 

Dalam ketika aku terduduk lesu tak bermaya, tiba-tiba ada tangan yang menghulur ke arah aku. Tangan tu menghulurkan beg plastik putih yang aku sendiri tak pasti apa isinya. Di dalamnya seperti ada sebuah kotak berbentuk segiempat. Samar-samar pada beg plastik, tertera muka orang tua yang sangat aku dikenali.


“Colonel Sanders?? KFC!!!”

Hati aku melonjak riang. Umpama mengantuk disorongkan bantal, macam tu la juga aku masa tu. Tengah lapar, orang hulur KFC. Tunggu masa nak bedal ja. Berdasarkan kotak yang kelihatan, aku dah boleh agak yang dalam tu mesti set Lunch Plate ataupun Dinner Plate.

Aku terus menerima beg plastik dan membuka kotak kertas makanan yang sekian lama dah aku idamkan nak makan. Bau harum ayam goreng menusuk hidung. Di dalamnya terdapat roti, dan dua bekas kecil tertutup. “Pasti yang tu coleslaw dengan mash potato.”

Namun apa yang peliknya adalah ayam goreng itu berwarna hitam. Tak ubah macam ayam selasih. “Eh! Sejak bila KFC keluarkan menu ayam goreng selasih ni? Ayam ni kan mahal. Ah, lantaklah! Janji aku dapat makan.”

Aku terus melahap ketulan ayam yang pertama. Sedap ya ampun! Tak pernah aku rasa ayam KFC sesedap yang ni. Punya sedap sampai bebola mata hitam aku ternaik ke atas. Haaa gitu feeling dia. Melampau-lampau betul.

Ketulan pertama telah licin aku baham. Sebaik aku menggigit ketulan yang kedua, aku terasa pelik. Kali ni rasa macam ayam basi. Perlahan-lahan bau bangkai menusuk hidung. Bila aku perhati tempat aku gigit tu, kelihatan dipenuhi ulat renga. Jadah!!!

Terasa ada benda bergerak-gerak dalam mulut aku. Aku luahkan dan nampak beribu-ribu ulat menggeletik. Terus aku cuba memuntahkan kembali ayam yang aku makan tadi. Kembang tekak.

Sayup-sayup aku terdengar suara ketawa. Sesekali suara tu mengilai panjang. Sekejap suara besar, sekejap suara kecil nyaring.

Aku dah menggeletar seluruh badan. Manik-manik peluh mulai memercik daripada segala celahan bulu roma. Suara ketawa tu semakin lama semakin mendekat. Pada ketika tu, aku berharap sangat aku dapat segera tersedar daripada mimpi.

“Macam mana aku nak sedar daripada mimpi ni?!!”

Aku menampar pipi aku. Tak berjaya sedar. Kali kedua aku tampar lebih kuat. Tetap tak berjaya. Aku terus menampar ke kiri, kanan, kiri, kanan berulang kali. Apa yang aku dapat hanyalah pedih, air mata bergenang dan hidung yang berhingus cair. Sadis sekali.

“Mungkin ada pintu untuk keluar. Macam dalam filem Hollywood tu.”

Bila aku memerhati keadaan sekeliling, aku rasakan suasana semakin kelam. Mata aku meliar cuba mencari jalan keluar. Tak tahu arah mana nak keluar dari mimpi ni. Berputar-putar aku kebingungan. Di sekeliling bagaikan tiada berpenghujung – saujana mata memandang.

Aku tertunduk. Menangis – macam budak-budak.

Aku menjeling ke arah kotak KFC tadi. Sebaik mata aku tertancap kembali pada kotak KFC tadi, logo orang tua Colonel Sanders dah bertukar menjadi muka beruk hitam. Menyeringai menampakkan taring. Mata berwarna merah, sepet, panjang dan tirus.

“BABI!!Dubur wuwuwuwu!! #%$&*#(*&*&$#*&(#&(#$&(% wuwuwuwuu”

Aku mencarut dengan bersungguh-sungguh. Tak pernah aku begitu gigih mencarut sebegitu rupa. Mencarut dalam keadaan aku masih teresak-esak menangis.

Hilaian tawa yang kedengaran sekarang berada betul-betul di sebelah telinga aku. Badan menggigil tahap maksimum. Kalau diukur dengan skala Richter, mungkin dah 10.0. Perfect 10.

“Pakli”

Satu suara garau memanggil nama aku dari arah belakang disertai dengan tepukan pada bahu. Naluri spontan membuatkan aku segera menoleh.

Mata aku terbeliak. Mulut ternganga. Jantung bagaikan terhenti. Pandangan aku mulai gelap…

“Celaka punya beruk…”

* * *

Aku tersedar daripada mimpi ngeri tu dengan badan yang berpeluh – lembab habis karpet. Jari-jemari tangan aku masih menggigil. Tekak masih lagi terasa loya. Sesekali aku terbayang umpama ada lagi ulat yang bergerak di dalam mulut.

Tiba-tiba cahaya terang menyinari tingkap Nako berpunca dari arah luar rumah. Letrik terputus. Blackout!

Guruh berdentum kuat. Bunyi yang terhasil daripada kilat yang menyabung membelah udara sangat bingit sehingga terasa gegendang telinga bergetaran kuat. Aku terpaksa menekup kedua-dua belah telinga lantaran tak tahan akan kebingitan guruh tersebut.

Gelap-gelita di dalam rumah. Hanya bunyi hujan yang menimpa atap rumah yang menghiasi suasana. Aku mula terfikirkan perkara-perkara yang menyeramkan.

“Dahlah tak hilang lagi rasa mimpi seram tadi, ni boleh blackout pulak!”

Aku rasa berbelah-bagi sama ada nak pergi ON balik letrik kat suis utama atau duduk ja mengerekot kat sini sampai siang esok. Aku risau ternampak benda-benda angker ja masa on the way nak buka suis.

Buatnya masa aku nak petik suis tu, aku tersentuh sesuatu yang sejuk, lembik dan berlendir. Huih! Ngeri! Punya la penakut aku ni. Padahal suis utama tu berjarak tak sampai 10 meter pun.

Lepas beberapa minit berfikir sambil menonggeng dengan muka ditekup ke bantal, akhirnya aku buat keputusan nak redah ja ON suis utama. Memandangkan nak siang lambat lagi, takkan aku nak menonggeng macam ni berjam-jam.

Lagipun aku risau kalau tertidur semula, aku akan mimpi lagi beruk makye KFC tu. Entah makanan apa pula dia nak bagi aku makan. Mungkin cendol durian? Cendol dibuat daripada kahak hijau pekat si beruk tu. Terasa lemak-lemak masin. Slurrrppp! Meleleh di tepian bibir aku. Uwekkk!

Perlahan-lahan aku bangun menghala ke arah suis utama. Mula-mula agak teraba-raba aku dalam gelap. Tapi setelah mata dapat menyesuaikan diri dengan kegelapan, aku mula dapat melihat samar-samar suasana rumah.

Aku cuba memfokuskan mata aku hanya pada suis utama. Kedua-dua tangan aku membuat seperti teropong. Ini untuk mengelakkan ekor mata aku daripada terpandang makhluk angker.

Akhirnya aku berjaya membuka semula suis. Lega. Terang-benderang rumah aku disinari pendarflour. Dalam kepala aku mula dah memikirkan aku nak layan tengok TV sampai pagi. Dah pagi baru aku tidur.

Baru tiga langkah, kilat sekali lagi menyabung.

KTAKKK!!

Bunyi daripada suis utama. Blackout sekali lagi! Hati yang baru lega tadi kini panik semula.

Ketika bunyi guruh menggegarkan rumah, kilat yang kedua menyabung. Bercahaya seluruh kawasan luar rumah. Cahaya yang masuk melalui tingkap membuatkan aku terpandang sesuatu yang sangat-sangat aku ingat elakkan.

Betul-betul di pintu dapur, berdirinya satu sosok hitam memandang ke arah aku. Tegap dan tinggi separas dengan pintu. Bulu-bulu kasar jelas kelihatan.

“Makkkkkkkk!”

Dengan kekuatan yang ada sedikit bersisa, aku berpusing untuk membuka semula suis utama. Lembik lutut masa melangkah. Rasa terhuyung-hayang macam nak jatuh terjelepok.

Berkali-kali aku cuba membuka suis tapi setiap kali dibuka, ia tetap menendang kembali. Air mata mula mengalir.

Dari arah belakang bunyi tapak kaki berjalan. Setiap langkahan berbunyi seperti gumpalan kain basah yang dipijak. Makin lama makin mendekat. Dengusan nafas yang kasar makin jelas kedengaran. Tuhan ja tahu betapa paniknya aku masa tu.

Aku berharap aku segera pengsan. Aku dah tak sanggup nak hadapi ketakutan yang terlampau ni. Tapi setiap detik yang berlalu, aku makin kecewa. Sebab aku tetap tak pengsan.

“Arghhhh bodo la! Bila nak pengsan ni? Tolong la pengsan. Tolonglah!”

Setelah berpuluh-puluh kali suis tu dipetik, akhirnya aku berjaya. Itu pun macam dah nak tertanggal suis tu dibantainya aku. Bila aku menoleh ke belakang, sosok hitam tu dah tak ada.

“Takleh jadi ni. Aku kena keluar dari rumah ni. Kalau stay sorang-sorang lagi, mau kena kokak dengan beruk tu.”

Aku terus cepat-cepat mencapai segala baju, seluar dan dimasukkan ke dalam plastik. Pantas sebab aku takut blackout lagi. Tujuan aku cuma satu – aku nak keluar rumah dan menuju ke rumah Apit atau Bob.

* * *

Dalam hujan yang masih lebat dan kilat yang sabung-menyabung, aku meredah kesejukan malam merempit menghala ke rumah Bob. Malam itu aku bermalam di rumah Bob.

Tanpa disedari, aku secara rasminya telah bersetuju menerima saka itu sebagai pendamping aku…


No comments: