Tuesday, 30 January 2018

SIMBIOSIS - Nil Kuhaku


TAJUK: SIMBIOSIS
KARYA: Nil
====================


Kereta hitam itu meluncur laju dalam kegelapan malam. Ia membelok pantas di sebuah selekoh, sebelum di parkir di kawasan ‘emergency lane’.

Telefon bimbit dibelek.

“Lima belas kilometer lagi.” Bisiknya. Dia mengerling cermin pandang belakang. Jelas garisan hitam di bawah kelopak matanya. Gelap. Dia sangat-sangat memerlukan tidur sekarang. Dia mengeluh, wajahnya diraup. Pantas, jarinya menekan skrin telefon. Mencari RnR terdekat.

Kereta itu perlahan bergerak kembali. Laju membelah malam. Tangannya menggeletar, bekas ketagihan pada alkohol dan dadah masih berbekas. Sampainya dia di RnR, dia berpeluh-peluh. Seluruh badannya menggeletar. Dari jauh, dia melihat pelbagai makhluk aneh menghampiri. Bergentayangan. Menyeringai. Bayangan makhluk hodoh menyerbu ke tingkap pintu keretanya.

Jeritannya yang nyaring, ditelan oleh kesunyian RnR.

=======================

Tatkala dia terbangun, dia bangun dalam muntahnya sendiri. Matahari telah memancar hebat. Bau hanyir, hamis memenuhi keretanya. Tekaknya perit. Dia membuka pintu kereta, terhuyung-hayang ke surau RnR.


Beberapa pekerja memerhatinya jijik. Mungkin kerana muntah yang berbekas, mengering di bajunya. Dia tidak kisah. Dia tidak ambil tahu. sebaik sahaja dia mendekat, mereka mengalihkan wajah, ketakutan. Dia tahu, kerana tatunya yang melingkar dari dagu ke tulang selangka menakutkan mereka. Dia sudah biasa.

Mukanya dibasuh. Bajunya yang hanyir ditanggalkan, dibubuh dalam plastik. Mujurlah RnR ini ada bilik mandi. Selepas mandi, dia ke surau. Mahu qadha Subuh yang terlepas.

“Dia solat ke?”
“Sah ke solat bertatu tu?”
“Eh diam la kau. Nanti dia dengar.”
“Solat apa masa ni? Entah-entah ajaran sesat tak?”

Dia cuma diam mendengar bisikan-bisikan itu. Biarlah. Takbir diangkat.

Usai solat, dia membeli makanan. Penjual itu langsung tidak berani memandang wajahnya. Langsung tiada jawapan pada ucapan terima kasih yang digumamnya sebaik sahaja baki duit diserahkan.

Biarlah. Dia tidak kisah.

Dia makan dalam diam. Mata-mata disekeliling memerhatinya. Mungkin disebabkan ketinggiannya, mungkin disebabkan parut ketara di lengan kiri. Mungkin disebabkan tatu naga dan bunga ros merah yang bergulung-gulung garang dari dagu ke tulang selangkanya. Tangannya menggeletar, bekas ketagihan alkohol dan dadah menggigit. Suapan ke mulutnya sukar.

“Dah jangan tengok dik. Jangan tenung lama-lama.” Dia terdengar suara seorang perempuan berbisik. Dia mengangkat wajah. Matanya bertemu wajah polos seorang kanak-kanak perempuan berumur lingkungan tiga tahun.

Dia tersenyum.

Anak itu tersenyum malu-malu, sebelum dipaksa ibunya untuk memalingkan muka. Sempat kanak-kanak itu mencuri pandang dari bahunya, sebelum dicubit ibunya.

Anak itu teresak menangis.

Dia terdiam. Merenung pinggan yang masih berbaki nasi dan lauk. Keluhan dalam dilepaskannya, sebelum dia bangun membasuh tangan.

Ke mana sahaja dia pergi – dia mendatangkan masalah.

Itu sahaja fungsinya, barangkali.

Kereta dihidupkan kembali, rokok yang dinyalakan disedut panjang. Ya, sekurang-kurangnya rokok dapat menenangkannya. Biarlah. Dari dia mengambil benda-benda mengkhayalkan untuknya, itu lagi baik.


“Kenapa kau buat aku macam ni, Karl? Apa salah aku?” suara budak lelaki teresak di benaknya.

Dia memejamkan mata rapat-rapat. Rokok didekatkan ke bibirnya dengan tangan menggeletar. Disedut dalam.

“Kau kawan aku, Karl. Kau kawan aku. Aku maafkan kau. Aku tahu isi hati kau.” suara itu berbunyi lagi.

Kali ini, tangannya yang menggeletar - mengesat air mata yang jatuh.

=========

Kereta hitam diparkir di hadapan rumah kayu berwarna kuning cair. Kereta itu menderum senyap sebelum pintu kereta dibuka. 

Dia melangkah, teragak-agak. Rumah itu tidak terurus, dengan lalang separas betis memenuhi laman rumah. Beberapa ekor kucing kurus berlari mendekati Karl, bergesel manja di kaki. Mereka mengiau bising. Dia menelan air liur.


Sempat dia merenung tangannya yang menggeletar perlahan. Dikesat-kesat tangannya ke baju. Digenggam. Seraya, dia menarik nafas, mengumpul kekuatan.

“Assalamualaikum!” laungnya.
Diam.

“Assalamualaikum!” Dia memberi salam sekali lagi.
Diam. Kucing-kucing itu masih berpeleseran di kakinya, mengiau-ngiau. Kelaparan, barangkali. Karl mendekati pintu.

“Assalamualaikum. Radhi!” Dia mengetuk pintu.

Klekak!

Karl terpana seketika. Dia mendengar bunyi bising barang-barang dialihkan, bunyi keriuk besi berkarat, bunyi berdentum.

Seseorang sedang menghampiri pintu.

Karl mengundur ke belakang. Dia menelan air liur sekali lagi. Gementar. Sudah tiga belas tahun dia tidak bertemu rakannya.

Kali ini, dia benar-benar ingin meminta maaf. Mungkinkah Radhi dapat maafkannya?

Pintu dibuka.

Karl mengukir senyum. Cuba mengukir senyum. Sudah lama dia tidak senyum, pipinya terasa kejung.

Seorang lelaki berkerusi roda menjenguk. Merenung Karl garang.

“Assalamualaikum pakcik.” ujar Karl spontan. Gementar. “Radhi ada?” sambungnya.


KLEKAK!

“Aduh!” desis Karl. Lelaki tua itu memukulnya dengan batang kayu; tongkatnya mungkin. Dia memukul Karl bertubi-tubi, pukulan pertama terkena pada dahi lelaki tersebut. Berdarah.

“Radhi dah mati!” Jerkah lelaki tua itu. “Radhi dah mati! Dah mati!” Lelaki tua itu seakan meracau, melibas tongkat sebesar lengan kanak-kanak itu menggila. Dalam ghairahnya dalam memukul Karl, dia tersorong ke depan - dan kerusi rodanya terbalik bersamanya.

Karl yang jatuh terduduk, diam dalam gamamnya. Memerhati lelaki tua yang ditimpa kerusi roda, yang kini menangis teresak-esak.

“Radhi… dah mati. Kau bunuh dia… kau bunuh dia…” Dia menangis sayu.

Karl cuma merenungnya, terpana buat seketika.

“Betul ke… Radhi dah mati?” Karl menyoal dalam gagap. Lelaki tua itu masih teresak, menangis sayu. Karl menunduk. Menarik nafas, sebelum mengangkat pakcik itu bangun.

“Lepaskan aku anjing! Kau jangan sentuh aku! Bacul! Sial! Kau pembunuh!” Racau lelaki itu lagi. Dia meronta-ronta dalam pegangan Karl. Lelaki muda itu - yang sudah biasa terlibat dalam pergelutan - mendudukkan lelaki tua itu kembali dengan mudah. Hingus berjejeran dari wajahnya. Dia tersedu-sedu menangis, membongkok sedih di kerusi rodanya.

“Pakcik ni… Mihar ke? Ayah Radhi?” getus Karl.

Lelaki tua itu masih menangis.

Karl termangu-mangu. Tidak pasti apa yang patut dilakukan, dia menolak lelaki itu ke dalam rumah kuning cair itu. Kucing-kucing hitam putih, kuning putih dan berbelang-belang kelabu mengikut mereka laju.

Hampir sahaja Karl termuntah. Dia memandang sekeliling terkejut.

Baju-baju kotor, pinggan mangkuk berulat, plastik sampah, malahan najis dan kencing kucing - menyapa hidung Karl. Busuk menyengat.

Karl menggeleng kepala.

“Pakcik ni Mihar, kan? Ayah Radhi?” tanya Karl sekali lagi. Dia nampak biasan wajah Radhi di muka lelaki tua itu, tapi dia tidak pasti. Lelaki itu kelihatan nyanyuk. Dia masih menangis-nangis, air liur berjejeran ke dirinya yang tidak berbaju, cuma berkain pelikat.

Karl mengeluh. Dia menolak lelaki itu rapat ke pintu rumah. Lengannya disinsing. Dia ke dapur, di mana bau busuk itu semakin menjadi-jadi. Karl menarik kolar bajunya, menutup hidung. Bau hapak, bau najis kering dan hancing menyengat hidung dan tekaknya. Dia mencari-cari sesuatu, dengan kucing-kucing berselirat di kakinya.


Beberapa ketika kemudian, dia terjumpa barang-barang yang dicari. Baldi, dua tiga batang penyapu dan sekampit sabun basuh. Dia berlari-lari anak ke kereta, mengambil bandana merah, diikat di hidung.

Semua tingkap yang dikatup rapat - dibuka seluas mungkin. Cahaya matahari menyimbah masuk, menyinari segenap ceruk rumah tersebut. Pakaian-pakaian kotor dicari, dihumban ke dalam mesin basuh separa automatik yang masih berfungsi.

Karl mula mengemas. Tangannya menyapu sampah di dalam rumah pantas.

Kenapa? Kenapa dia baik hati sangat? Kenapa dia buat semua ini untuk seorang tua yang tidak dikenali?

“Kau rasa bersalah, kan Karl?” bisik satu suara.


“Lagi senang kalau kau bunuh sahaja si tua tu. Kan senang kerja kau.” suara itu berbisik lagi. Karl memejamkan mata sekuat mungkin.

“BABI! BODOH! PENGECUT! DENGAR LA APA AKU KATA BANGANG!!!” Suara itu menjerit bertalu-talu di gegendang telinganya. Karl tersentak, dan di hujung ekor matanya - dia ternampak bayangan tinggi, menyeringai ke arahnya dengan kepala terkulai.

Karl menutup mata kembali. Dia menyanyi-nyanyi sekuat hati, membuang suara itu jauh-jauh.

“Karl Harith, kenapa kau nak lupakan kisah dahulu? Dulu kau dengan aku berkawan baik, kan?” Suara sinis serak-serak basah itu menyindir. Suara itu merenggut memorinya, jauh, ke tiga belas tahun dahulu.

-Sekolah berasrama penuh, lokasi pantai timur-

Karl Harith termangu-mangu. Dia baru berpindah ke sekolah tersebut. Sebelum ini dia bersekolah di sekolah harian biasa. Selepas keputusan PMR miliknya memberansangkan, dia berpindah ke sekolah berasrama penuh ini.

Itu yang dia mahu. Dia sedaya upaya mengulangkaji, untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Bolehlah dia meminta sekolah berasrama penuh sejauh mungkin, jauh dari ‘neraka’ rumahnya.

“Assalamualaikum.” Seorang pelajar lelaki beruniform pengawas menyapa. “Kau ni pelajar baru kan? Kenapa tak masuk dewan lagi?” tanyanya. Karl terpempan. Dia ke sini pun dengan bas ekspres. Seraya, Karl menggaru dagunya yang tidak gatal. Pelajar lelaki di hadapannya ini polos. Berwajah bersih.

“Dewan… dewan kat mana?” Ujar Karl. Terkebil-kebil. Pelajar lelaki itu mengerling beg bagasi Karl. Hanya satu disisinya.

“Sebelum tu, kau kena daftar asrama dahulu. Dah daftar belum?” Tanya pengawas itu.

Karl menggeleng.

“Dah pergi koperasi sekolah? Ambil baju outing?”

“Baju ‘outing’?” Karl mengangkat kening.

“Mak ayah kau kat mana?” Soalan lagi.

Karl menggeleng perlahan. Menunduk. Dia terasa kerdil dibandingkan dengan budak lelaki ini. Dia berpakaian kemas. Berkasut hitam licin berkilat. Menyarungkan jam jenama G-Shock hitam hijau yang sudah lama. Mungkin hadiah dari keluarganya.

Karl?

Berbaju kemeja putih lusuh. Seluar track lusuh. Kasut sekolah yang sudah kekuningan.

“Mari, ikut aku. Asrama tu jauh. Sepatutnya kalau dari sini kena naik kereta. Mujur barang kau tak banyak.” ujar pengawas itu, menarik beg sekolah yang disandang Karl.

“Eh, tak apalah.” Karl berkata segan.

“Tak apa. Biar aku angkat. Kau tarik beg baju kau ni. Mari.”

“Terima kasih.” Karl menggumam.

“Sama-sama. Apa nama kau? Nama aku, Radhi.”

“Karl. Karl Harith.”

“Macam nama mat saleh. Kau kacuk ke? Muka pun ala-ala mat saleh.” Ujar si Radhi polos. Karl cuma diam. Dia berketurunan Serani. Ayahnya Serani, ibunya Melayu. Sebab itu barangkali.

“Weh.” Lamunan Karl hilang. Radhi sedang menghulurkan tangan. 

Tangan Radhi disambutnya. Kemas. Rasa kusut dihatinya awal-awal tadi kian terlerai dengan wajah polos Radhi yang tersenyum lebar.


"Dan kau khianati satu-satunya rakan kau, Karl." Suara itu berbisik sinis.

Karl menggenggam tangannya, erat.

TAMAT PART I
===============================
Suntingan dan Gambar: Nil 
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com

No comments: