Saturday, 6 January 2018

KAMPUNG ALOR : PAWANG BUSU - Ahmad Rusydi


KAMPUNG ALOR – PAWANG BUSU
karya: Ahmad Rusydi

=========================
Di daerah Banting terdapat sebuah kampung yang sarat dengan kisah yang tidak terungkai. Nama kampung tersebut adalah Kampung Alor. Tiada sesiapa pun tahu asal-usul kampung ini. Berdasarkan cerita orang-orang tua, dahulunya kampung ini terkenal kerana menjadi tempat orang-orang putih datang mencari pawang. Orang putih menggelarkan pawang-pawang ini dengan panggilan 'allower'. Begitulah ceritanya bagaimana kampung ini mendapat nama 'Alor'.

Kampung Alor terletak betul-betul di sebelah timur hutan Kuala Langat. Hutan ini pula menjadi penempatan bagi kaum-kaum orang asli sejak beribu-ribu tahun dahulu. Setakat ini, belum ada lagi ahli ilmu yang datang untuk mengkaji keturunan orang-orang Kampung Alor. Tapi, aku yakin, jika dibuat kajian, mungkin separuh daripada penduduk Kampung Alor ini ada darah orang asli.

Darah orang asli ini, tidak sama dengan darah kita. Mereka ini darah purba. Tak tercemar. Darah hasil tumbuhan dan haiwan yang tidak diracuni. Darah purba ini tahan dari segala macam penyakit. Namun, darah jenis ini juga amat digemari oleh makhluk-makhluk ghaib. Hampir separuh dari orang-orang tua dari kaum orang asli Kuala Langat ini ada pendamping mereka sendiri. Yang manusia suka beramal dengan ajaran-ajaran sihir. Yang halus pula suka mendapatkan darah orang asli. maka banyaklah termeterai perjanjian-perjanjian antara alam nyata dan ghaib.

Secara tidak langsung, perjanjian-perjanjian ini memberi kesan pula kepada orang-orang Kampung Alor. Ada yang makan daging orang. Ada yang tawarkan diri menjadi korban syaitan. Ada yang bertapa di sebelah kubur. Ada pula yang sekadar datang untuk mendapatkan perkhidmatan orang-orang kampung ini.

Yang nak diceritakan di sini adalah sebuah kisah yang terjadi di Kampung Alor lama dahulu. Kisah yang diturunkan dari anak ke cucu. Dari cucu ke cicit.

Tersebutlah kisah di dalam kampung yang misteri ini, dahulunya tinggal seorang pawang yang mahsyur. Pawang Busu namanya. Pawang Busu merupakan pawang upahan. Hidupnya senang, makan upah dari menyihir dan menyantau. Pada suatu hari, datanglah seorang pegawai kerajaan berbangsa British ke rumahnya membawa niat yang jahat lagi terlaknat. Nama pegawai ini adalah Geoffrey Williams.

Williams bekerja di Pekan Banting dalam urusan pentadbiran ladang getah negeri Selangor. Setelah beberapa tahun menetap di Banting, terpandanglah si Williams kepada seorang gadis anak orang kaya Kampung Alor. Zaitun namanya. Zaitun bekerja sebagai seorang juru trengkas di tempat Williams bekerja. Sungguhpun bapanya seorang yang kaya, Zaitun pandai berdikari dan rajin bekerja. Namun, yang menarik perhatian jejaka orang putih itu adalah tubuh gadis itu yang tinggi lampai dan kulitnya yang putih licin. Malangnya, Zaitun amat benci kepada orang putih. Kerana itulah yang diajarkan oleh bapanya kepada Zaitun. Kecillah hati Williams bila mendapat tahu akan perkara ini. Oleh kerana terlalu terpesona dengan keindahan peri rupa Zaitun, Williams bertekad untuk mendapatkan cinta Zaitun dengan apa jua cara sekalipun.

Williams datang ke Kampung Alor berniat untuk mendapatkan minyak pengasih daripada pawang itu. Tenang sahaja Pawang Busu mendengarkan permintaan itu. Cuma syaratnya, Williams sendiri perlu mencari kubur anak dara. Peliklah si Williams mendengarkan permintaan itu. Barulah faham si Williams bahawa minyak pengasih itu datangnya dari dagu mayat anak dara. Disebabkan rasa cinta Williams kepada Zaitun, segala yang disyaratkan sanggup diredahinya.

Malam harinya, Pawang Busu membawa Williams ke tanah perkuburan di kaki hutan Kuala Langat. Tempat orang-orang Kampung Alor yang meninggal ditanam.

"Nasib kau baik, Williams. Semalam anak si Dalang, Melati, baru sahaja mati."

"Dia mati sebab apa, pakcik?"

"Tak penting. Sekarang, kau ambil cangkul ini. Korek sampai kau jumpa kerandanya."

"Jumpa apa?"

"Keranda."

"Oh, yalah." Jawab Williams dengan muka risau. Tidak pernah dia buat kerja sekotor itu demi mendapatkan cinta seorang wanita.

Williams mula mengorek tanah yang masih lembab dek embun itu. Berpeluh-peluh anak orang putih itu membenam dan mengangkat kepala cangkul. Setelah beberapa jam menggali, terlagalah cangkul Williams dengan sesuatu yang keras. Nampaklah riak teruja bercampur gusar pada wajahnya. Pawang Busu bangun menjenguk ke dalam lubang yang dikorek itu.

"Ha, kuis tanah tu. Betullah itu kerandanya."

Williams mengangguk-angguk menurutkan kata Pawang Busu.

Sekembalinya mereka ke rumah Pawang Busu, mereka membaringkan jenazah Melati di tengah-tengah ruang rumah kayu itu. Terkumat-kamit mulut Pawang Busu membacakan mantera yang buruk bunyinya. Selesai membaca mantera, Pawang Busu membakar dagu mayat itu menggunakan lilin yang diperbuat daripada lemak anjing hutan. Terbitlah suatu bau teramat busuk yang meresap ke setiap ceruk ruang rumah itu. Beberapa detik kemudian, bau yang busuk tadi bertukar menjadi suatu bau yang sangat harum. Hati Williams terasa sangat tertarik dengan bau itu. Seakan-akan itulah bau yang paling memukau pernah dihidu Williams seumur hidupnya.

Rupa-rupanya bau yang harum itu datang dari minyak yang menitik perlahan dari dagu si mati. Minyak itu berwarna hitam keperangan. Terpegun Williams melihatkan minyak yang menitik itu. Penuhlah satu botol kecil dengan minyak itu.

"Inilah dia. Minyak pengasih." Beritahu Pawang Busu sambil menghulurkan botol itu kepada Williams.

Williams sekadar mengangguk faham.

"Kau sapukan pada belakang telinga kau setiap kali berjumpa dengan dia. Pakai selama tiga hari. Jangan putus."

"Itu sahaja pakcik?"

Pawang Busu merenung tajam wajah lelaki itu.

"Dengar sini, Williams. Minyak ini memang mujarab. Tapi, barang mujarab ada korbannya. Jikalau kau berkahwin dengan perempuan itu, salah seorang dari keturunanmu perlu kau bawa pada aku sebelum umurnya satu tahun. Budak itu kena tinggal denganku selama dua hari."

Wajah Williams berubah. Dahinya berkerut memikirkan syarat yang berat itu. Namun, entah kenapa, apabila difikirkan semula, syarat itu terasa semakin ringan di dalam benaknya. Mungkin kerana cintanya kepada Zaitun mengatasi sifat kemanusiaannya.

"Baiklah pakcik. Saya berjanji. Berapa bayarannya?"

"Tak payah. Anak kau nanti bayarannya."

Williams mengangguk-angguk tidak bersuara.

Hari-hari berikutnya, Williams menyapu minyak dagu itu setiap kali berjumpa dengan Zaitun. Dalam masa beberapa hari sahaja, sikap dingin Zaitun terhadap Williams berubah sama sekali. Setiap hari mereka bertemu di luar waktu kerja. Gembiralah hati Williams melihat Zaitun kini tergila-gila kepadanya. Sampailah suatu hari, orang tua Zaitun, Deraman mendapat tahu akan perkara ini. Marahlah Deraman kerana memang keturunannya tidak suka kepada orang putih. Puas Zaitun memujuk bapanya agar menerima Williams sebagai peneman hidupnya.

Setelah berbulan-bulan dipujuk, barulah Deraman bersetuju untuk berjumpa dengan Williams. Siang itu, Williams datang ke rumah orang kaya Deraman di hilir Kampung Alor. Deraman bertanyakan bermacam-macam soalan kepada orang putih itu. Diujinya lelaki itu dengan menduga kesungguhannya. Diletakkan berbagai-bagai syarat agar Williams berputus asa untuk terus berkawan dengan anaknya. Syarat yang pertama; Williams hendaklah memeluk agama Islam dalam masa yang terdekat. Syarat yang kedua; Williams hendaklah berpindah ke Kampung Alor dan mendalami cara hidup orang Melayu. Syarat yang ketiga; Williams tidak boleh membawa Zaitun pulang ke England buat selama-lamanya.

Williams bersetuju dengan semua syarat yang diberikan oleh Deraman itu. Terkejut Deraman melihatkan kesungguhan anak muda itu. Selepas Williams memeluk agama Islam, dia terus berpindah, menyewa sebuah rumah di Kampung Alor. Semakin hari semakin terlihatlah akan Deraman kebaikan hati Williams. Kesungguhan Williams memenuhi semua syarat-syaratnya membuatkan Deraman yakin bahawa lelaki itu betul-betul mencintai anaknya.

Tiga bulan selepas itu, Williams dan Zaitun pun berkahwin. Majlis mereka dibuat besar-besaran. Habis semua orang Kampung Alor dijemput hadir. Termasuklah Pawang Busu. Melihatkan wajah Williams yang tidak putus-putus tersenyum di atas pelamin, Pawang Busu datang berjumpa dengannya. Mengingatkan Williams tentang perjanjian yang telah diikat di antara mereka.

"Aku gembira melihat kau bersama Zaitun." Kata Pawang Busu dalam nada sinis.

Wajah Williams berubah sebaik sahaja terpandang Pawang Busu datang menghampirinya.

"Jangan kau lupa janji kau pada aku. Kalau janji itu tidak dikotakan, hidup kau dengan Zaitun takkan aman sampai mati."

Kata-kata Pawang Busu itu tersemat di dalam hati Williams bagaikan sebuah perjanjian yang terpahat pada batu.

Hendak dijadikan cerita, setahun kemudian, lahirlah anak Williams dengan Zaitun. Razali namanya. Kulitnya putih, anak matanya biru. Mirip Williams. Sukalah orang kaya Deraman menyambut cucu sulungnya itu. Deraman tiada anak lelaki. Bayi itulah yang akan menjadi pewaris hartanya nanti. Dijaganya Razali bagaikan putera raja. Siap diarahkan kepada pembantunya, Argono untuk mengosongkan sebuah lot tanah di tengah-tengah kampung. Dia mahu membina sebuah rumah untuk Williams dan Zaitun membesarkan cucunya itu.

Usia Razali sudah mencecah lapan bulan ketika mereka berpindah masuk ke dalam rumah yang baru siap dibina itu. Bahagialah Williams tinggal di situ bersama Zaitun dan Razali. Deraman melawat rumah di tengah kampung itu hampir setiap hari. Namun, pada suatu hari, ketika Deraman bertandang untuk melawat cucunya, dilihatnya buaian Razali kosong. Williams berdalih dengan mengatakan bahawa Razali dihantarnya ke Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan oleh seorang pakar dari England. Deraman dan Zaitun percaya sebulat-bulatnya kata-kata Williams itu.

Dua hari itu dirasakan oleh Williams begitu panjang sekali. Hatinya tidak tenang memikirkan apakah yang dilakukan oleh Pawang Busu kepada anaknya itu. Williams tidak dibenarkan melawat Razali sehinggalah cukup hari yang dijanjikan.

Dua hari kemudian, kecohlah sekampung apabila Pawang Busu ditemui mati di dalam rumahnya. Bergegas Williams ke rumah Pawang Busu risau akan keadaan anaknya. Apabila sampai di rumah pawang itu, Williams melihat ramai orang kampung sudah berkumpul di perkarangan rumah kayu itu. Williams terus naik ke rumah itu untuk mencari anaknya. Puaslah Williams menggeledah semua bilik, langsung tidak terlihat bayinya itu. Berjalanlah Williams pulang ke rumahnya, memikirkan alasan apa yang hendak diberikan kepada Zaitun nanti.

Sesampainya Williams di perkarangan rumahnya, alangkah terkejutnya Williams apabila dia terlihat Razali sedang merangkak-rangkak di perkarangan rumah itu. Lantas dia merangkul bayi itu lalu membawanya masuk ke dalam rumah. Peliklah Williams memikirkan bagaimana anaknya itu boleh pulang ke rumah. Namun, demi menjaga rahsianya, Williams mendiamkan sahaja perkara itu.

Selepas kejadian itu, dilihatnya Razali menjadi semakin bijak. Jauh lebih bijak jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Baru sembilan bulan, Razali sudah petah berkata-kata. Tenaganya pula kuat, setanding dengan kanak-kanak belasan tahun. Makannya pula seperti orang besar. Langsung tidak mengharapkan susu ibunya lagi. Kanak-kanak itu membesar luar biasa cepatnya. Deraman berasa cukup bangga melihat perubahan cucunya itu.

"Macam itulah keturunan Haji Dermaga!"

Itulah sahaja ayatnya setiap kali cucunya itu dipuji oleh orang kampung.

Namun, Williams berasa tidak sedap hati melihat perubahan yang berlaku kepada Razali. Seperti ada sesuatu yang lain tentang anaknya itu. Hatinya langsung tidak berasa kasih sebagaimana dia mengasihi Razali dahulu. Dirasakan seperti anaknya itu sudah tidak ada lagi dalam hidupnya.

Semenjak dari itu, berlakulah banyak perkara pelik di dalam rumah di tengah kampung itu. Zaitun sering memberitahu Williams bahawa dia sudah beberapa kali terdengar Razali bercakap-cakap dengan seseorang di luar tingkap rumah mereka. Williams juga selalu terlihat bayangan sesuatu yang besar di belakang Razali.

Setelah mencapai umur tiga tahun, Razali mula bertindak ganas, mencederakan rakan-rakan sepermainannya. Lama kelamaan, tiada sesiapa lagi yang berani membenarkan anak-anak mereka bermain dengan Razali.

Pak Malik, ketua kampung, menasihati Williams agar membawa Razali berubat dengan bomoh orang asli di dalam hutan hujung kampung itu.

"Kau bawa anak kau tu berubat dengan Tok Betang. Dia tu pandai berubat. Banyak pawang-pawang kampung ni pun menuntut dengan dia." Kata orang tua itu kepada Williams.

Petang besoknya, Williams membawa Razali bertandang ke rumah Tok Betang. Setelah Williams menceritakan tentang sikap pelik anaknya, bomoh itu pun menilik seluruh tubuh kanak-kanak itu. Bagaikan mencari sesuatu. Selama berjam-jam Tok Betang tidak berganjak menilik, sehinggalah Razali tertidur. Tiba-tiba Tok Betang tersentak lalu mengundur ke belakang.

"Anak kau ini dah jadi korban janji antara manusia dengan jin. Ini sihir purba. Tak akan terlerai selagi jin di dalam tubuhnya tidak berundur."

Gusarlah Williams mendengarkan kata-kata Tok Betang. Tahulah Williams mengapa dia tidak lagi merasakan kasih sayang terhadap anak lelakinya itu. Berdasarkan cerita Tok Betang, tubuh Pawang Busu selama ini didiami oleh seekor jin yang sentiasa mencari tubuh baharu untuk didiami. Kehadiran Williams bagaikan memberi jin Pawang Busu ini peluang untuk memenuhi hajatnya.

Williams tidak mungkin akan menceritakan perkara itu kepada Zaitun. Dia merayu kepada Tok Betang agar mencari jalan untuk mengeluarkan jin itu dari tubuh anaknya.

"Aku boleh keluarkan makhluk ini dari tubuh anak kau. Tetapi, kau harus jadi korbannya. Kau kena terima dia hidup di dalam tubuh kau. Tapi kau harus ingat, lama-kelamaan, kau akan terima nasib yang sama dengan Pawang Busu. Hidup sekadar menjadi perumah makhluk ini."

Dalam kebuntuan, Williams menerima syarat itu dengan hati yang berat. Maka bermulalah ritual yang terlaknat itu. Williams disuruh berbaring di sebelah Razali. Selepas membaca mantera dalam bahasa yang luar biasa kasarnya, Tok Betang menarik keluar sekepul asap hitam pekat dari kerongkong Razali lalu menghembuskan asap itu pada leher Williams. Namun, asap itu bagaikan melawan kembali. Kepulan hitam itu tidak masuk ke dalam tubuh Williams, sebaliknya meresap perlahan ke dalam leher Tok Betang. Meraunglah Tok Betang menahan kesakitan. Williams terpinga-pinga tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

"Pergi! Lari!" Jerkah Tok Betang sambil tangannya menghentak-hentak lantai menahan kesakitan. Cepat-cepat Williams merangkul anaknya lalu berlari keluar dari rumah itu.

Hari sudah gelap ketika Williams melangkah keluar dari hutan itu. Nafasnya tercungap-cungap. Razali masih lena di dalam tangannya. Semakin lama, langkahnya dirasakan semakin perlahan. Tubuh Razali dirasakannya semakin berat. Alangkah terkejutnya Williams apabila terlihat wajah anaknya itu mula berkedut seperti seorang lelaki tua. Tangan, kaki dan jari-jemarinya pula semakin memanjang. Williams melepaskan Razali daripada rangkulannya. Tubuh Razali terkulai di atas tanah. Tidak lagi bernyawa. Dari belakangnya, Williams terdengar satu suara raungan yang amat dahsyat sekali. Suara itu menderu laju ke arahnya.

Keesokan harinya, kecohlah seluruh penduduk Kampung Alor apabila mayat Pawang Busu dan Williams dijumpai di tepi hutan hujung kampung itu. Peliklah orang-orang kampung itu kerana mereka sendiri yang menanam mayat Pawang Busu tiga tahun yang lalu. Dek kerana pelik dengan kejadian itu, orang-orang kampung menggali semula kubur Pawang Busu. Namun, bukannya mayat Pawang Busu yang mereka temui di dalam kubur itu, tetapi mayat seorang bayi yang telah reput dimakan tahun. Bingunglah seluruh penduduk kampung memikirkan apa sebenarnya yang terjadi.

Misteri kematian kali kedua Pawang Busu menjadi tanda tanya sehingga sekarang. Bermacam-macam tanggapan dibuat oleh penduduk kampung. Ada yang mengatakan bahawa kematian awal Pawang Busu itu dipalsukan sendiri olehnya. Ada pula yang mengatakan mayat yang dijumpai di hujung kampung itu adalah kembar kepada Pawang Busu.

Zaitun pula langsung tidak berasa sedih atas kematian Williams secara tiba-tiba itu. Dirasakannya seperti dia langsung tidak pernah mencintai lelaki yang telah dikahwininya selama empat tahun itu. Deraman pula masih mencari-cari cucunya yang hilang tanpa sebarang jejak.

Tok Betang pula terus hidup menghambakan diri kepada jin hitam di dalam tubuhnya. Sehinggalah tiba suatu hari nanti, makhluk itu akan dipindahkan pula kepada seorang insan lain.

Insan yang berhati hitam dibakar dendam.
-Tamat-
=========================
Kisah-kisah Kampung Alor lain (Klik Link untuk membaca):
1. Homo- Canis (Bahagian 1)

2. Homo-Canis (Bahagian 2)

3. Karnival Kampung Alor

4. Kedai Mi Pak Abbas

=========================
KAMPUNG ALOR – PAWANG BUSU
© Ahmad Rusydi

Suntingan dan Gambar: Wan SC
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaaa pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!

No comments: