Friday, 12 January 2018

HASAD - Atikah Che Yasin


HASAD
Karya: Atikah Che Yasin

RENTETAN CERITA DARI:-
TERPILIH

PERIGI EMAS

=============================

‘Dum! Dum! Dum!’
Bunyi hentakan lesung itu agak membingitkan. Memecahkan keheningan rumah Saodah pada pagi itu. Dia melepaskan geram. Melempiaskan perasaan sebal dengan menghentakkan lesung batu itu. Keras. Bawang yang ditumbuknya sudah lumat, seperti remuk dan lumat hatinya yang diselebungi perasaan benci. Tidak rela dia melihat Mak Esah dan anak-beranak bersenang-lenang.

Masuk hari ini, sudah seminggu kampung itu gempar dengan penemuan sebuah perigi. Berduyun-duyun orang ramai datang ingin menyaksikannya sendiri. Bukan sahaja orang kampung itu, malah penduduk dari kampung berhampiran turut datang. Khabar angin serta cerita yang meniti dari bibir ke bibir menyebabkan orang ramai tidak putus -putus datang ke rumah Mak Esah.

Semua yang datang pasti tertanda-tanya kerana kawasan terjadinya perigi itu tidak berhampiran dengan sungai ataupun mana-mana sumber air. Memandangkan kehidupan Mak Esah sekeluarga agak daif, orang ramai yang datang turut menghulurkan sedikit sumbangan. Itulah yang membuatkan hati Saodah bertambah sebal.

“Tunggu kau, Esah. Aku takkan biarkan hidup kau senang.” Gumam Saodah. Baginya, Esah sekeluarga tidak boleh lebih darinya. Dia harus berbuat sesuatu!

*******

“Assalamualaikum, Melati.”

Melati tersedar sebaik sahaja terdengarkan suara itu. Serta-merta bilik itu diselubungi haruman yang semerbak. Menenangkan. 

Berbekalkan cahaya pelita, dalam samar-samar Melati ternampak orang tua tempoh hari.


“Wa…alaikumusalam.”

Agak ragu-ragu Melati menjawab salam. Terkejut dia dengan kehadiran insan yang tidak dikenali. Adik-adiknya sedang nyenyak tidur. Langsung tidak terusik dengan kehadiran orang tua itu.

“Melati boleh panggil hamba, Walid.” Tutur orang tua itu sambil memaniskan muka. Air mukanya yang jernih menenangkan Melati.

“Di sebelah hamba ini anak gadis hamba. Wardani. Yang seorang lagi tidak datang, namanya Safiya”
Gadis yang bernama Wardani itu hanya tunduk. Sama seperti tempoh hari.

“Boleh Melati tahu apa tujuan kamu ke sini?”
“Kami akan selalu datang ke sini kerana kami perlu menjaga ‘amanah’. ”
“Amanah?” Melati hairan.
“Perigi yang kamu temui itu. Di dalamnya ada ‘amanah’ yang perlu kami jaga.”
“Maksud kamu? Tempayan tempoh hari?”
Walid sekadar menganggukkan kepala.
“Jadi, perigi itu terjadi sebab kamu?” Melati menyoal lagi.

“Bukan. Itu terjadi kerana takdir Allah. Asbab terjadinya perigi itu adalah kamu, dengan izin Allah. Kebetulan, ‘amanah’ kami beralih ke situ.”
“Jadi, apa yang Melati perlu lakukan?”

“Tiada apa yang perlu Melati lakukan. Tiada manusia yang boleh mendapatkannya kecuali yang terpilih. Melati hanya perlu tunggu masa dan menerima takdir hidup dengan hati yang terbuka.” Ujar Walid.

“Takdir apa?”
“Takdir bahawa Melati bukanlah orang biasa-biasa lagi. Yang pasti, akan ada yang punyai hasad dengki terhadap Melati. Cuma teguhkan hati kepada Yang Maha Satu.”
“Melati tak ingin apa-apa. Cukuplah Melati sekadar menjadi gadis biasa.Andai amanah kamu di situ, maka ambillah perigi itu.”
“Tempayan itu ‘amanah’ kami. Bukan milik kami.” Lelaki itu tersenyum.
“Tapi mustahil tiada apa-apa cagaran? Melati sukar hendak percaya.”
“Ya, ada.”

Melati berdebar-debar mendengarkan kenyataan itu.
“Maksudnya, seperti cagaran nyawa?” Terpacul pertanyaan itu daripada mulut Melati. Andai cagaran nyawa yang dikehendaki, maka dia tidak inginkan apa-apa.

“Sesungguhnya, ia adalah ‘amanah’ suci. Tidak mungkin nyawa cagarannya.”

“Melati cuma perlu gunakan kelebihan yang Melati ada untuk menolong orang.Ingat, jangan ambil kesempatan untuk memeras wang.” Walid menambah lagi.

“Melati tak faham. Kelebihan apa?” Dia semakin tidak mengerti.

“Nanti bila tiba masanya Melati akan tahu. Cuma ‘amanah’ itu jika dicemari oleh tangan-tangan jahat, tidak mustahil nyawa menjadi cagaran.”

“Melati, kamu buat apa bercakap sorang-sorang. Mengigau ke?”
Suara Mak Esah mengejutkan Melati. Serta- merta dua orang tadi hilang dari pandangan.

“Mak terjaga sebab suara Melati ke?”
“Ya lah. Dah kamu cakap sorang-sorang. Mak dari bilik sebelah boleh dengar suara kamu.”

“Dahlah mak. Mak sambung tidur ya.” Pujuk Melati. Rasa bersalah pula bila maknya terjaga.

Mak Esah kembali ke biliknya. Melati pula masih memikirkan kata-kata Walid tadi. Andai benarlah apa yang diperkatakan Walid, mungkinkah mampu dia mengharunginya? Dek penat berfikir, Melati terlelap.

********

Tahun berganti tahun, nama Melati semakin menjadi sebutan. Gadis muda yang berkebolehan merawat orang yang terkena gangguan misteri. Semuanya dibantu tanpa dikenakan pengeras.

Cuma sebagai tanda terima kasih, ada yang menghulurkan sedikit wang kepada Melati. Kemasyhuran Melati menambahkan lagi sakit hati Saodah.

Bertambah sakit lagi, Melati mendirikan rumah tangga dengan seorang pengusaha kain batik yang sering keluar masuk kampung itu.Dia tidak betah melihat keluarga Mak Esah bersenang-lenang. Api cemburu Saodah membawa kepada pertemuannya dengan Wak Hitam.

“Wak, saya tak puas hati dengan Esah sekeluarga. Tambah-tambah Melati tu.”
Wak Hitam mengeluh kecil.
“Kalau itu yang kamu hajatkan, aku tak mampu.” Ujar Wak Hitam.
“Kenapa Wak? Bukankah Wak bomoh terhandal?” Soal Saodah.

“Melati tu, bukan calang-calang. Ada yang menjaganya. Tambahan pula, pendinding diri dia kuat.”

“Oh. Kiranya dia membela juga?”

“Bukan membela. Tapi apa yang aku mampu katakan, perlukan masa bertahun-tahun jika hendak menewaskannya.”

“Tak ada cara lain ke?”

“Susah. Kena tunggu dia tua ataupun jatuh sakit. Masa itulah boleh lumpuhkan ilmunya dan ambil ‘benda’ di dalam perigi itu.” Ujar Wak.

“Benda apa Wak?” Saodah kehairanan.

“Kamu tak tahu ke? Dalam perigi itu ada emas. Banyak, tujuh keturunan pun tak habis makan harta itu. Ramai bomoh dah tahu perkara ini. Menunggu masa untuk mengambilnya sahaja.”

“Dari mana datangnya emas itu?” Saodah mulai diselubungi rasa tamak.

“Entah. Aku tak tahu. Akan tetapi jika berjaya dapatkannya, percayalah, kau tidak perlu lagi risaukan tentang harta untuk keturunan kau.”

Saodah tersenyum. Andai dengan cara membunuh Melati akan membuatkan emas itu jatuh tangannya. Maka, dia sanggup. Bertuhankan bomoh sekalipun, dia akan berusaha untuk mendapatkannya. Saodah memasang tekad! Dia tidak akan membiarkan Melati mendapatkan emas itu.

*******

Melati menggagahkan diri untuk memanjat tangga. Agak termengah-mengah dengan keadaannya yang sedang mengandungkan anak. Usia kandungannya kini mencecah 8 bulan. Hasil perkahwinannya dengan Bahar. Melati termenung di atas tangga rumahnya. Agak sunyi dia di rumah itu memandangkan suaminya tiada di rumah. Terpaksa ke luar kota atas urusan kerja.

Melati mengeluh kecil. Dia teringatkan Walid. Kali terakhir sebelum dia berkahwin dengan Bahar Walid bertandang ke rumahnya. Setelah itu, tiada lagi kelibat Walid.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara gadis menyapa Melati. Melati berpaling. Dia melihat Wardani sedang memandangnya.

“ Waalaikumusalam.”

“Hamba datang untuk membawa perkhabaran. Walid sudah lama sakit.”

Melati sedikit terperanjat. Patutlah sudah lama Walid tidak berkunjung melawatnya.


“Hamba tahu Melati sedang mengandungkan anak kembar. Hamba ingin memaklumkan salah satunya akan kami ambil.”

“Tapi kenapa? Bukankah Walid pernah kata tiada cagaran nyawa? Melati tidak pernah membuat perjanjian dengan kamu.”

“Ya, benar. Tiada cagaran nyawa. Kami hanya mengambil untukmenjaganya sahaja. Bukan membunuhnya. Sekali-sekala kami akan benarkan dia bertemu Melati.”

“Untuk apa perlu diambil?”

“Itulah takdir yang Melati harus terima. Kelak nanti dia akan menjaga ‘amanah’ kami.”

Wardani hilang dari pandangan. Melari terkebil-kebil. Matanya mula bergenang dengan air mata. Dia tidak sanggup kehilangan salah satu anaknya. Namun, andai itu sudah takdir yang tertulis dia harus menerima. Perutnya diusap perlahan. Sedihnya hati membayangkan bakal kehilangan salah satu daripada anak yang sedang dikandungkan.

*******

“Tahniah, puan dah selamat melahirkan. Boleh sebutkan jantina anak puan?”

Seorang jururawat menyuakan bayi yang baru lahir itu kepada Melati. Melati tersenyum.
“Perempuan.” Lemah suaranya menuturkan. Air matanya bergenang. Terharu anaknya lahir ke dunia. Tetapi, dalam masa yang sama dia perlu menerima kenyataan bahawa salah seorang lagi takkan lahir ke dunianya.


Beberapa minggu sebelum melahirkan anak, Melati telah membuat pemeriksaan. Doktor mengesahkan kandungannya ada masalah. Cuma yang menghairankan masalah itu timbul ketika saat-saat akhir.

“Puan, sebenarnya fenomena ini dinamakan Vanishing Twin Syndrome.Dalam hal ini, hanya salah seorang sahaja daripada kembar yang akan bertahan.” Butir bicara doktor itu terngiang-ngiang di kepalanya.Penjelasan jelas doktor mengenai hal itu didengarinya satu-persatu.

Sebelum itu, dia sudah mimpikan Wardani mengendong bayinya.Lelaki. Comel. Dia hanya mampu pasrah. Memujuk hatinya kerana dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang. Semua itu di luar bidang kuasanya.Lahirnya bayi perempuan pada tanggal 7 Januari 1990 itu sudah suatu kesyukuran baginya.

*******

- Tahun 2001-
Seorang wanita tua kelihatan terkocoh-kocoh meninggalkan kawasan perigi. Perigi yang sinonim dengan jolokan Perigi Emas. Wanita itu mempercepatkan langkahnya menuju ke rumah Saodah.

“Odah, Odah…”

Odah membuka pintu. Tersenyum dia melihat Yam di depan tangga rumahnya.

“Kak Yam. Naiklah.”

Yam melilau ke kiri dan kanan. Setelah dipastikan tiada sesiapa di situ, dia terus masuk.
“Aku dah buat apa yang kau suruh.”

“Bagus. Kita hanya perlu tunggu. Bomoh tu kata cukup 40 hari kita letak benda tu dalam perigi, huru-haralah keluarga Melati.”

“Sebenarnya apa yang aku tabur dalam tu Odah?”

“Abu mayat orang Siam.” Ringkas Saodah menjelaskan.

Terbuntang mata Yam mendengarkan jawapan Saodah.

“Kotor tu Odah. Aku risau dah ni.”

“Ala kak. Kita memang tengah buat kerja kotor pun. Bukan sehari dua ni kak. Bertahun-tahun dah. Cuma kali ni agak kotor sikit. Akak jangan gelabah sangat. Cuba bayangkan emas yang bakal kita dapat nanti.” Saodah cuba memancing Yam untuk terus melakukan kerja-kerja itu.

Yam hanya mengangguk. Sebenarnya hatinya mulai gelap dikaburi hasutan Saodah. Tidak mampu lagi untuk mempertimbangkan perkara dengan waras. Nafsu dan sifat tamak sudah menguasai dirinya.

********

“Abang, tak rasa panas ke semenjak dua menjak ni?” soal Melati. Bahar yang sedang menghirup kopi memandang isterinya dengan perasaan hairan.

“Maksudnya, kopi ni?” soal Bahar sambil tersengih. 

“Bukanlah. Maksud saya rumah kita. Saya rasa macam tak sedaplah sejak kebelakangan ni. Rumah ni rasa suram je.”


“Eisyy..Awak ni. Memanglah suram kalau malam-malam. Siang hari cerahlah.” Bahar cuba bergurau. Namun itu sedikitpun tidak menenangkan hati isterinya.

“Okay, cuba awak cerita.”

“Saya selalu nampak kelibat hitam dalam rumah ni. Kadang kat dapur, hujung kaki. Selalunya tiada pula benda-benda begini.”

“Mungkin ‘benda-benda’ yang pernah awak tolong orang tak?”

“Bukan. Entahlah. Tapi saya rasa tak sedap hati.”

Bahar memeluk Melati. Cuba menenangkan kegalauan hati Melati. Mata Melati mula bergenang dengan air mata. Semenjak dua menjak, dia sering terganggu dengan mimpi-mimpi aneh. Rumahnya kelihatan jelek di mata. Kadang dia menaruh syak wasangka terhadap suaminya. Namun perasaan itu segera ditepis.

Beberapa bulan selepas itu, Melati mulai lemah-lemah badan. Dia sering mengadu sakit.Bahar membawa isterinya ke klinik. Doktor mengesahkan Melati tidak mempunyai apa-apa masalah. Keadaan Melati semakin lama semakin teruk, dia sering mengalami batuk-batuk. Bahar tidak berputus asa, dia berulang-alik ke klinik serta hospital. Namun, jawapan tetap sama. Melati tidak mempunyai apa-apa masalah.

Sehinggalah suatu hari, Bahar diberi perkhabaran oleh doktor. Setelah melakukan ujian klinikal, Melati disahkan mengidap kanser paru-paru. Ketika itu sudah di tahap akhir. Bahar longlai. Dia sudah berulang-alik ke hospital sebelum ini. Dia tidak menyalahkan hospital. Cuma Bahar merasakan sesuatu yang pelik dengan keadaan isterinya. Penyakit isterinya hanya dikesan ketika tahap akhir. Bahar seolah-olah ingin menyalahkan takdir. Namun, segera dia tersedar dan beristighfar.

Maka, bermulalah episod Melati di hospital. Bahar setia menjaga Melati. Ubat-ubatan serta rawatan yang dijalankan sedikit sebanyak melemahkan Melati. Setelah berminggu-minggu di hospital, Melati meminta izin dengan doktor untuk pulang ke rumah.Sudah tentu doktor tidak mengizinkannya.

“Doktor, tolong. Saya dah tahap akhir. Saya teringatkan anak-anak saya. Takut tak sempat jumpa.” Melati merayu. Ketika itu, dia sudah tersangat lemah. Air matanya bergenang.

Dengan perasaan berat, doktor terpaksa melepaskan. Dia tahu Melati bertahan di situ kerana anak-anak. Akhirnya setelah menandatangani beberapa surat, Melati dibenarkan pulang. Cuma dia kena datang temujanji.

********

“Odah, Melati tu dah agak teruk. Tak nak pergi jenguk ke?” Soal Yam. Saodah hanya tersenyum sinis.

“Akak nak pergi, pergilah. Odah tak nak. Kita tengah tunggu masa je kak.”

“Aku makin risau ni Odah.”

“Ala kak. Bukan kita sorang je. Tu anak akak, Mamat pun terlibat juga. Siap menuntut ilmu dah sekarang.”

Saodah memerli Yam. Yam agak terbakar. Memang Mamat menuntut ilmu dengan seorang bomoh dari seberang. Tujuannya untuk mematahkan kembali ilmu Melati jika Melati menghantar semula sihir yang dikenakan.

“Habis tu. Kita nak buat apa nanti?”

“Kita tunggu Melati lemah. Bomoh tu cakap nanti kita boleh dapatkan emas dalam perigi tu. Penjaga kat situ rasanya dah hampir tewas dengan penangan bomoh ni.”

Saodah menuturkan dengan angkuh. Baginya, hanya tunggu sedikit masa sahaja lagi sebelum emas yang tersimpan di dalam perigi jatuh ke tangannya. Yam hanya menurut sahaja. Walaupun dihimpit dengan perasaan bersalah tetapi rasa tamak membutakan hatinya.


*******

Melati merasakan badannya makin lemah. Pucat. Setiap hari dia nampak kelibat serta suara yang pelik di rumahnya. Hanya zikir menjadi peneman setia dia. Keringatnya sudah tidak terdaya lagi untuk melawan apa-apa.

“Melati….”

Melati terkedu melihat Wardani dan Safiya datang dengan keadaan yang mengerikan. Pakaian putih Wardani dan Safiya diselaputi darah. Bahu Wardani kelihatan teruk. Berdarah dan ada kesan gigitan.


“Sesungguhnya, sifat tamak itu akan membuatkan manusia hidup bertunjangkan nafsu..” rintih Wardani. Bibirnya mengetap menahan rasa sakit.

“Apa yang terjadi?” Melati tertanya-tanya.

“Seperti yang Melati lihat, hamba juga lemah. Tidak mampu mempertahankan amanah itu lagi. Ada manusia yang mempergunakan ilmu hitam untuk menyerang kami.”

“Siapa?”

“Itu di luar bidang kuasa hamba. Cuma amanah itu sudah kotor. Maka nyawa adalah cagarannya sekarang. Selepas ini, sesiapa yang ingin mendapatkannya, maka pengerasnya adalah nyawa.” Berjuraian air mata Wardani menuturkan kata-kata itu. Seraya itu kelibatnya hilang dan haruman wangi terbang di bawa angin.

Melati terkedu. Siapakah yang tamak haloba itu? Dia sendiri tidak berniat ingin menzahirkan emas itu di mata kasar orang lain walaupun dia berupaya untuk mendapatkannya. Baginya, cukuplah tersimpan di situ. Cukuplah rezeki yang diperoleh selama ini. Akan tetapi siapa pula yang menggunakan cara kotor untuk mendapatkan emas itu?

Melati mulai mengongoi. Membayangkan peritnya Wardani dan Safiya melawan makhluk-makhluk yang cuba menggugat pertahanan amanah mereka. Berhari-hari Melati dirundung perasaan sedih sehinggalah dia tewas. Hayatnya berakhir pada malam Jumaat, waktu Maghrib. Pergilah Melati meninggalkan dunia fana. Bersaksikan Bahar yang setia di sisi sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir.

Saat ramai yang menangisi pemergian Melati, ada yang melonjak gembira. Saodah serta Yam tidak terusik dengan pemergian Melati. Bagi mereka itu adalah peluang untuk mereka. Seman dan Awang memang menantikan saat-saat itu. Selama ini mereka turut berkomplot. Manakala Mamat kurang melibatkan diri. Dia hanya menuntut ilmu hitam untuk mempertahankan diri.

********

Seminggu sudah Melati meninggalkan dunia. Saodah dan Yam datang ke perigi itu. Bersama-sama mereka, bomoh yang selama ini membantu mereka melaksanakan kerja-kerja kotor.

Tempat itu agak sunyi. Mak Esah dan anak-beranak tidak tinggal lagi di situ setelah Melati meninggal. Mak Esah tidak sanggup melihat perigi itu yang mengingatkannya kepada Melati.

Sudah tentu itu ia menyenangkan kerja-kerja mereka. Bomoh itu meninjau-ninjau kawasan. Saodah dan Yam menjenguk ke dalam perigi. Sesekali mereka menepuk-nepuk lengan yang digigit nyamuk. Bomoh itu memandang Saodah dan Yam yang sedang leka menjengukkan kepala ke dalam perigi. Dia tersenyum.

‘Dumm!!!!!!’

Saodah dan Yam terjatuh ke dalam perigi itu. Bomoh menolak mereka berdua. Perasaan tamak menyelubungi dirinya tatkala membayangkan habuan yang besar. Dia tidak ingin berkongsi. Lagipun, untuk mendapatkan emas itu, perlukan korban manusia. Korban itu sudah ada di hadapan mata. Buat apa di sia-siakan?

Bomoh itu mula teruja melihat tempayan mulai timbul. Hatinya melonjak gembira. Tidak disedari bahawa perbuatannya diintip Mamat. Mamat segera berlari-lari ke rumah Saodah.

“Seman!! Awang!!!!”

Laung Mamat. Agak cemas suaranya.

Pintu rumah itu dibuka. Terpacul Seman dan Awang di muka pintu.

“Hah, kenapa?”

“Weh, bomoh tu dah bunuh mak kamu!”

Seman dan Awang terkejut. Dibunuh?

“Kau jangan nak main-main Mat.”

“Betullah. Aku tak tipu. Aku intip mereka tadi sebab tak sedap hati. Bomoh tu humbankan mak kau dalam perigi tu!!”

Seman dan Awang berang. Seman mula ke dapur dan mencapai parang. Tiada senjata lain yang ada dalam rumah itu. Awang pula mengambil kayu yang selalu digunakannya ketika bersilat. Api kemarahannya membara.

Maka dengan hasutan Mamat, ditambah lagi dengan perasaaan tamak ingin mendapatkan emas itu, Seman dan Awang bergegas ke perigi. Mamat pula hanya tinggal di situ. Tidak ikut kedua-dua sepupunya itu.

Sesampainya di perigi itu, Seman dan Awang menyaksikan bomoh sedang memeluk tempayan berisi emas. Kedua-duanya semakin berang melihat bomoh kurus keding yang telah membunuh ibu mereka.

“Hoiii.. tak guna!!”
Seman bertempik.
Zaaappppp!!!!!

Sepantas kilat Seman membaling parang. Sempat bomoh itu mengelak. Hampir sahaja mengenai kepalanya. Bomoh itu hanya tersenyum sinis menyaksikan parang itu terpacak ke tanah.

Seman berlari ke arah bomoh itu. Ditumbuk bomoh itu sekuat hati. Bomoh yang terkejut dengan serangan mengejut itu tidak sempat mempertahankan dirinya.

“Nah, ambik nih!” Amuk Seman. Tumbukan bertubi-tubi singgah ke muka bomoh itu. Fizikal Seman yang agak gempal ditambah pula tenaganya masih kuat berbanding bomoh itu menyebabkan bomoh itu tidak mampu berbuat apa-apa. Menerima sahaja serangan itu. Bibirnya sudah pecah. Darah mengalir keluar dari mulutnya. Giginya ada yang tercabut. Bercerai dari gusi.

Seman tidak peduli. Amarahnya tidak dapat dibendung. Terjelupuk bomoh itu di situ. Tempayan berisi emas itu terlepas dari pelukannya. Tergolek dan kelihatan beberapa isinya berupa jongkong emas kecil terjatuh ke tanah.

Keadaan bomoh yang agak lemah tidak menerbitkan rasa kasihan di hatinya. Kali ini giliran Awang pula yang melempiaskan amarah. Kayu diangkat dan dihayunkan sekuat hati. Hentakan demi hendakan singgah ke tubuh serta kepala bomoh itu. Dahinya sedikit hancur.Tercungap-cungap helaan nafas bomoh itu. Amat payah, kerongkongnya seolah-olah tersekat. Darah semakin membuak-buak keluar. Mungkin beberapa organ badannya sudah mengalami pendarahan.

Melihatkan bomoh itu semakin lemah, Awang menggunakan kudratnya dan mencampakkan mayat bomoh itu ke dalam perigi. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menghapuskan bukti.

Kayu dicampakkan ke tepi. Tempayan emas yang tersadai di tepi perigi dicapainya. Tangannya ligat mengutip emas-emas yang tercicir.

“Awang ingin merampas semuanya daripada kau.”

Kedengaran suara itu berbisik di telinga Seman. Seman mulai berang.

“Awang!!! Kau ingin membolot kesemuanya! Tak guna kau!” Bentak Seman.
“Apa maksud kau?” Soal Awang hairan.
“Ahh, kau tak usah berdalih lagi! Jom, kita beradu tenaga. Siapa yang menang, dia yang layak dapat emas itu!” Cabar Seman.

Awang kelihatan malas. Baginya tidak guna hendak bertelingkah. Dia mengambil tempayan itu.
“Seman, takkan aku nak bolot seorang diri. Jom lah balik, kita bahagi sama rata.” Ujar Awang.
“Arhhhhh!!! Aku tak percayakan kau!” Tempik Seman. Dia berlari dan mendapatkan parang yang terpacak di tanah. Langkahnya pantas berlari ke arah Awang.

‘Zzzappp!!”

Tanpa sempat Awang menepis, parang itu terbenam di lehernya. Merenggut kerongkongnya sehinggakan darah tidak berhenti mengalir.

‘Krrrohhh!!! Krrohhh!!’

Keras kedengaran nafas Awang. Wajahnya kelihatan menahan kesakitan. Setiap kali dia tercungap-cungap menahan perit dan lelahnya bernafas, setiap kali itulah darah tersembur keluar. Deras alirannya tidak mampu lagi untuk disekat.

Awang semakin longlai. Saat itu Seman mulai sedar perbuatan dia membunuh saudaranya sendiri. Seman memeluk Awang. Awang membalas pelukan Seman. Seman mulai menangis. Menyesali perbuatannya.

“Maafkan aku..” Rintih Seman. Awang semakin erat memeluknya. Kini mereka menghampiri birai perigi. Perigi itu separas pinggang mereka sahaja.

“Kkkkita.. berrrdua… takkkan.. ddaaapppat.. appppa-appppa…….” Awang berbisik dan merangkul leher Seman.

‘Dumm!!!!!!’

Kedua-dua mereka jatuh ke dalam perigi itu. Maka, matilah mereka tenggelam di dalamnya.

Tempayan emas kelihatan terapung-apung dan masuk semula ke dalam perigi. Sepasang mata sedang memerhatikan peristiwa itu dari tadi. Dia tersenyum menyaksikan pesaing-pesaingnya mati seorang demi seorang. Semakin cerahlah peluangnya untuk mendapatkan emas itu nanti.

Mamat bersiul-siul dan berlalu pergi. Ilmunya harus ditambah. Emas itu bukan calang-calang. Dia langsung tidak terkesan dengan kematian ibunya, Yam. Yang dia pasti, dia akan mendapatkan emas itu nanti.

**********

Tahun demi tahun berlalu, ilmu Mamat semakin bertambah. Dia kini dikenali dengan nama Tok Mat. Sejajar dengan usianya, namanya semakin gah. Ramai orang datang untuk mendapatkan khidmatnya walaupun pengeras yang dikenakannya agak tinggi. Tok Mat mampu tersenyum lebar. Duitnya diperoleh hasil daripada kerja itu.

Cuma, dia masih belum berpuas hati. Cuma satu sahaja yang dia belum berjaya. Mendapatkan emas daripada perigi emas. Cerita perigi emas sudah hampir hilang ditelan zaman. Generasi baru tidak mengetahui langsung kewujudan perigi itu.Dia sudah lama mengimpikan emas itu tetapi ada sesuatu yang menghalangnya. Disebabkan itu, dia tidak jemu menambahkan ilmunya walaupun dirinya semakin di mamah usia.

Dia mula mengasingkan diri. Dia membina sebuah rumah di hujung kampung. Rumah itu berhampiran dengan hutan. Tujuannya hanya satu, supaya senang untuk memantapkan ilmunya tanpa diketahui sesiapa. Dia hanya inginkan emas itu. Dia nekad untuk mendapatkannya dan mencari seseorang yang boleh dijadikan korban untuk dia mendapatkan emas itu nanti.


- TAMAT-
Cerita ini adalah kesinambungan cerita TERPILIH dan prekuel kisah PERIGI EMAS.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: