TAJUK: HILANG - Part 1
=============
"Amira!"
"Amira!"
"Amira!"
Jerit pekik orang-orang kampung kedengaran disana sini memanggil nama Amira. Gadis sunti anak kepada cikgu sekolah menengah kampung Lembah Damai, cikgu Abdul Wahab Ibrahim yang hilang sejak petang semalam. Report polis sudah pun dibuat. Namun cikgu Wahab dan isterinya Rohani serta beberapa orang penduduk Kampung Lembah Damai tetap dengan usaha sendiri selain dengan bantuan polis. Hanya itu yang termampu dilakukan selain berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Malam semalam Kampung Lembah Damai gempar dengan kehilangan anak cikgu Wahab. Dia disedari hilang oleh ibunya setelah tidak pulang kerumah beberapa jam sewaktu keluar dari rumah dengan alasan mahu berjumpa dengan seorang kawan setelah menerima panggilan dari seseorang ketika itu. Sudah beberapa kali Rohani cuba menghubungi Amira di telefon bimbitnya, namun panggilan tidak berjawab.
Sehingga lewat malam cikgu Wahab dan Rohani cuba menanti Amira. Mereka masih mengharap agar Amira pulang. Difikiran mereka berkemungkinan Amira tidak sengaja pulang lewat tanpa memberi tahu kepada mereka. Berkemungkinan Amira terkandas dimana-mana. Namun penantian mereka hanya sia-sia. Sehingga waktu sudah pun mengenjak ke pukul 3.00 pagi Amira tetap tidak pulang.
Saat inilah kerisauan kritikal melanda pada cikgu Wahab dan isterinya. Justeru itu untuk tidak melengahkan masa, seawal pagi itu laporan polis dibuat. Ketika solat subuh cikgu Wahab telah ke masjid berdekatan dan telah menghebahkan kepada jemaah masjid itu untuk memohon pertolongan kepada jemaah dan juga penduduk kampung agar ada ikhtiar lain untuk mencari anaknya.
Berbalik pada usaha pencarian Amira, setiap kebun-kebun orang kampung kesemuanya sudah dicari termasuklah juga kawasan perumahan terbengkalai, namun pencarian mereka menemui jalan buntu.
"Apa kata kita cari rumah besar yang kosong dekat belakang rumah pak Munawir tu." Jali anak ketua kampung Lembah Damai memberi cadangan.
"Tapi rumah tu berpagar. Berkunci pula tu. Boleh ke orang nak masuk? Sedangkan dari dulu pagar rumah tu berkunci." kata salah seorang dari mereka.
"Kalau terpaksa kita pecahkan saja. Lagipun kita tak tahu siapa owner rumah tu. Kita sepatutnya lebih risaukan keselamatan Amira." tegas Jali.
Cikgu Wahab hanya mampu terdiam. Tidak terdaya untuk mengungkap sebarang kata. Saat hendak berjalan menjejak tanah pun tidak termampu. Fikirannya buntu! Lesu! Saat memikirkan anak tunggal kesayangan hilang tanpa dapat dikesan.
Truuut! Truuut! Truuut! Truuut!
Tiba-tiba telefon bimbit cikgu Wahab berbunyi. Bunyi telefon telefon bimbitnya telah menenggelamkan seketika perbualan mereka. Kini mata mereka tertumpu kearah cikgu Wahab. Seakan masing-masing berdebar menunggu siapakah pemanggil dihujung talian itu.
"Hello...." cikgu Wahab menjawab.
"Hello cikgu, saya sarjan Borhan. Cikgu diminta datang ke hospital untuk buat pengecaman mayat." suara seseorang dihujung talian itu mohon untuknya hadir ke hospital.
"Apa! Pengecaman mayat?" terbeliak mata Cikgu Wahab apabila mendengar perkataan 'pengecaman mayat' yang disebut sarjan Borhan itu.
"Kalau boleh datang ke hospital sekarang juga!" ulang sarjan Borhan lagi.
Cikgu Wahab terduduk! Lemah longlai rasa tubuhnya apabila dirinya disuruh sarjan Borhan membuat pengecaman mayat. Terasa dunianya terhenti seketika. Tanpa disedari air matanya mula bertakung, lalu jatuh membasahi pipi. Saat ini dia mula teringatkan Amira. Adakah polis sudah menemui Amira? Adakah Amira yang dimaksudkan oleh sarjan Borhan itu? Cikgu Wahab meraup wajahnya yang suram. Merembes segala peluh yang semakin kering didahi. Cikgu Wahab menarik nafas sedalam-dalamnya. Lalu nafas dilepas secara perlahan. Cuba mencari kekuatan.
Mereka yang barada disitu hanya memandang sayu. Seolah mengerti dengan satu perasaan yang terpamer diraut wajah cikgu Wahab. Cuaca dilangit semakin mendung. Seakan seiring dengan perasaan mereka. Sebagaimana mendung di awan, begitulah mendung dihati mereka.
"Kita kena pergi hospital ke cikgu?" Soal Jali.
"Ya, kita perlu pergi ke hospital sekarang." jelas cikgu Wahab.
"Jadi Amira sudah ditemui? Mereka jumpa Amira di mana?" Bertalu soalan Jali kepada cikgu Wahab.
"Entahlah. Saya sendiri tak tahu! Saya hanya disuruh datang ke sana. Untuk pengecaman mayat!" tegas cikgu Wahab.
"Kalau macam itu. Mari kita pergi sekarang." arah Jali.
................................................
Cikgu Wahab duduk termenung di atas sejadah. Ditangannya tergenggam senaskhah surah yassin. Air mata yang bertakung dikelopak matanya diseka perlahan. Dia mula berasa sebak. Sebak apabila melihat sekujur tubuh mayat seorang gadis remaja dihadapannya sewaktu dibilik mayat dihospital ketika membuat pengecaman mayat petang tadi. Usai solat Isyak cikgu Wahab teringin untuk sedekahkan bacaan surah Al Fatihah dan surah Yassin pada mangsa. Teringatkan mangsa, teringat pula Amira.
Paling tidak dapat hendak dilupakan apabila dia sendiri melihat kedua-dua kaki gadis itu dipotong hingga keparas betis. Seakan pelaku itu sengaja memisahkan kaki dari tubuh mangsa. Malah buat masa ini hanya mangsa sahaja yang ditemui. Itupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Difikirannya ketika itu, mujur bukan mayat Amira. Namun begitu perasaan sedih dan sayu tetap bersarang dihatinya. Sedih kerana gadis itu seusia Amira. Sedih apabila melihat kedua-dua ibubapa gadis itu meratapi kematian anak mereka dan sedih kerana apabila melihat raut wajahnya seperti tidak merelakan dirinya diperlakukan begitu! Kebetulan kedua-dua ibu dan bapa gadis itu juga kehilangan anak gadis mereka pada hari dan waktu yang sama seperti Amira. Kebetulan gelang kaki yang turut dipakai mangsa juga turut hilang. Hanya mangsa dan kaki yang sudah dipotong sahaja berada ditempat kejadian. Adakah ia kebetulan atau sememangnya sudah dirancang?
Cikgu Wahab memejam matanya. Cuba untuk mengawal diri agar tidak terlalu hanyut dengan lautan kesedihan. Dia perlu fokus dengan pencarian Amira.
"Adakah aku akan meratap dan menangis seperti kedua-dua ibubapa budak perempuan itu apabila melihat tubuh Amira sudah tidak bernyawa lagi?" antara persoalan yang sentiasa berlegar dikotak fikirannya.
"Mana kau nak. Papa dan mama benar-benar risaukan mu Amira." bisiknya lagi.
Dalam cikgu Wahab berkeadaan sedih memikirkan Amira, tiba-tiba terasa dibelakang badannya seperti disandar oleh seseorang. Sesuatu yang hangat sedang membasah dibelakang bajunya. Cikgu Wahab menoleh. Kelihatan isterinya Rohani yang masih bertelekung menyandarkan kepalanya di belakang badannya. Sedari tadi isterinya sentiasa berada di belakang cikgu Wahab. Hanya menunduk, diam membisu tanpa sebarang kata. Pada fikirannya, untuk apa bersuara, untuk apa?
Biarlah dia hanya berdiam dari menyalahkan sesiapa. Cukuplah hanya air matanya menjadi jawapan pada kesedihan yang ditanggungnya. Malah cukuplah hanya dirinya dipersalahkan kerana mengizinkan Amira keluar dari rumah pada waktu kejadian. Kalau dia tidak izinkan sudah tentu Amira berada dihadapannya sekarang. Sedang mengulum senyum kepadanya. Sedang baring di atas ribanya kini.
"Kasihan abang tengok kedua ibubapa gadis tu. Melihat jasad anak sudah tidak bernyawa. Itu bahagian mereka, bahagian kita tak tahu lagi bagaimana."
Rohani hanya menunduk diam. Tidak mampu bibirnya menutur sebarang kata. Turutkan kata hati mahu sahaja dia menangis semahu-mahunya. Menjerit! Menarik segala rambut di kepala biar putus sehingga ke akarnya!
Berguling di atas lantai seperti anak kecil yang dirampas permainannya! Namun, semuanya terpendam didalam hati. Malah dia sendiri tidak betah untuk berbuat begitu. Biar masalah kehilangan anaknya itu tenggelam dengan air mata. Biar dia sendiri lemas dengan air matanya.
"Esok abang dan Jali akan cuba cari ditempat lain pula. Polis juga sedang mengesan Amira. Sebenarnya bukan sahaja Amira dan mayat budak perempuan tu sahaja yang didapati hilang. Menurut sarjan Borhan ada dua kes remaja perempuan didapati hilang pada tiga bulan lepas. Bulan lepas seorang remaja perempuan juga didapati hilang.
Bulan ni, anak kita dan mayat budak perempuan tu. Menurut sarjan Borhan lagi mengikut rekod, laporan polis yang kita beri dan juga kesemua laporan ibubapa remaja-remaja perempuan yang hilang tu adalah sama. Kesemua gadis-gadis itu telah mendapat panggilan dari telefon bimbit masing-masing yang mengatakan ada panggilan dari seseorang. Seseorang yang ingin berjumpa dengan mereka. Tetapi siapa agaknya?"
Cikgu Wahab menceritakan kronologi ringkas kepada isterinya Rohani.
"Entahlah bang. Mungkin kawan-kawan mereka agaknya. Buat masa ni saya tak nak fikir siapa yang hubungi atau apa-apa pun. Saya hanya fikir Amira saja." Barulah kedengaran suara Rohani meluahkan sedikit perasaan terpendam.
"Abang faham. Yang abang cerita ni pun ada kena mengena dengan Amira jugak. Kemungkinan semua ni ada kaitan. Seeloknya tidak dapat banyak, sedikit pun kita harus ambil tahu. Ini bukan kes anak kucing hilang. Ini fasal anak kita yang hilang!" kedengaran nada sedikit tinggi terkeluar dari mulut cikgu Wahab. Bukan bermaksudnya dia marah, tetapi dia mahu Rohani tahu akan serba sedikit tentang perkembangan kehilangan Amira. Sekurang-kurangnya dia tidak merasa bersendirian.
Rohani yang mendengar suara suaminya yang sedikit meninggi mula bingkas bangun dan terus keluar dari bilik tanpa menoleh ke arah suaminya. Mungkin terasa hati dengan kata-kata suaminya tadi.
Namun cikgu Wahab hanya mampu memandang isterinya dengan pandangan sepi. Membiarkan si isteri menggumam sendiri.
.................................................
"Papa.... Papa.... Papa...."
"Papa.... Papa...."
"Tolong Mira. Mira sakit. Tolong Mira papa....."
Plap!
Cikgu Wahab terjaga dari tidurnya. Berpeluh-peluh dirinya saat menerima mimpi sedemikian. Lalu terus terduduk dan bersandar di kepala katil. Cuba mentafsir mimpi anehnya itu. Dalam mimpi itu jelas kelihatan Amira berdiri dihadapannya dalam kesakitan dan dalam keadaan mengeletar. Mungkin kerana kesejukkan, kerana didalam mimpi tersebut cikgu Wahab terlihat jelas pakaian yang dipakai oleh Amira basah lenjun.
Berdebar-debar dirinya apabila teringatkan mimpi aneh itu. Seolah-olah itu petanda mimpi buruk tentang Amira.
"Amira...." Cikgu Wahab benar-benar kerisauan apabila teringatkan mimpi itu. Lalu isterinya yang lena disebelah dipandang sayu. Ditatap wajah isterinya itu dalam perasaan menyesal. Menyesal kerana meninggikan suara pada isterinya. Percayalah itu bukan niatnya. Semua itu berlaku kerana perasaan tertekan. Tertekan dengan masalah besar yang melanda. Seolah-olah masalah itu bagai menghenyak-henyak tubuhnya untuk terus tersungkur agar dia tidak mampu untuk bangun lagi. Namun ditahan dirinya untuk rebah.
Memandangkan jam hampir ke pukul 3 pagi, dia bercadang untuk menunaikan solat sunat Tahajjud. Itu adalah jalan terbaik, fikirnya. Sebaik kakinya melangkah untuk ke bilik air, tiba-tiba...
TOK! TOK! TOK!
TOK! TOK! TOK!
Langkahnya mati apabila terdengar bunyi ketukan dari luar di pintu utama.
KREKKK....
BAMM!!
Cikgu Wahab terperanjat! Dia terdengar bunyi seseorang sedang membuka pintu utama di ruang tamu. Susulan itu dia terdengar pula bunyi pintu ditutup dengan kuat. Dadanya mula berdebar-debar. Peluh dingin mula merembes keluar. Apa tidaknya, semuanya kerana terlalu terkejut dengan bunyi pintu utama seperti dibuka kemudian ditutup kuat oleh seseorang secara tiba-tiba.
Lalu Cikgu Wahab mengambil keputusan untuk keluar dari biliknya untuk melihat siapakah atau apakah yang sedang berada di dalam rumahnya sekarang. Suis lampu di ruang tamu dibuka. Maka teranglah keseluruhan ruang tamu itu. Tanpa berlengah terus sahaja pintu utama itu diperiksa. Namun yang peliknya pintu utama itu tetap berkunci seperti biasa. Malah dia sendiri yang mengunci pintu tersebut waktu sebelum tidur.
"Pelik?"
Cikgu Wahab termenung seketika. Cuba untuk mengingati adakah pintu rumahnya berkunci atau tidak.
"Rasanya aku dah kunci. Tapi macam bunyi pintu ni terbuka."
Kemudian cikgu Wahab cuba untuk menuju ke dapur, sewaktu hendak melangkah ke dapur tiba-tiba terasa kakinya seperti terpijak sesuatu. Sesuatu yang basah. Seperti lantai yang basah!
"Kenapa lantai basah?" Cikgu Wahab pelik.
Sebaik sahaja dia memandang ke arah lantai yang basah itu, rupa-rupanya lantai diruang tamu dibasahi dengan air sehinggalah laluan menuju ke arah dapur. Basah seperti diseret oleh sesuatu!
Gulp!
Cikgu Wahab menelan liur. Hatinya mula berbolak-balik sama ada mahu ke dapur atau tidak. Namun alang-alang mandi biar sampai basah! Cikgu Wahab terpaksa akur. Dia perlu gagahkan diri menuju ke dapur.
Berkemungkinan rumahnya dimasuki pencuri, fikirnya. Ketika dia berjalan kearah dapur yang gelap itu…
TAMAT PART 1
=============
Suntingan dan gambar: Nil
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment