KASYAF: AROMA SESEBUAH KEMATIAN
AMARAN KERAS: Kisah ini adalah sebuah kisah benar yang difiksyenkan beberapa plot untuk tujuan keselamatan penulis dan pencetus idea yang dirahsiakan. Diklasifikasikan sebagai 18PA kerana sedikit berunsur keagamaan. Kisah ini bukanlah untuk menegakkan agama tertentu sebagai benar, manakala agama yang lain adalah salah. Mesej yang cuba diketengahkan adalah untuk para pembaca menilai kembali keperluan untuk menyiapkan diri menghadapi dunia akhir zaman yang penuh dengan muslihat dan tipu daya ‘tangan-tangan’ di belakang tabir.
Lapangkan dada, kosongkan minda. Terima dengan hati yang terbuka. Jauhi, jika anda takuti. Sebarkan, jika anda rasa ini satu pengajaran. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mulakan dengan bacaan bismillah. Semoga terhibur.
********
Cahaya. Ruangan gelap penulisan ini memerlukan cahaya untuk bersinar. Yakni sinar untuk teruskan menulis. Juga sinar untuk penulisan ini ‘keluar’ dari kotak pemikiran seseorang penulis. Ada kalanya, sinar itu dibiarkan kelam di dalam puncanya, kerana ada sahaja halangan-halangan menimpa. Halangan secara hakiki, ataupun halangan yang datang secara batiniah. Aku juga seorang penulis picisan, tetapi aku tidak boleh mencoretkan kisah tentang diriku. Aku, dengan izin Allah, dengan lafaz kun faya kun, dikurniakan anugerah untuk ‘melihat’ bibit masa hadapan. Aku, yang pernah merasakan semua ini sebagai satu sumpahan. Suatu yang tidak aku mahukan, tetapi aku yang ‘terpilih’.
Aku tidak boleh menulis tentang ini. Aku perlu bersembunyi daripada perhatian dan pengetahuan ‘mereka’ yang memburu. Aku seharusnya tidak takut akan kematian. Kematian itu adalah cara untuk aku ‘pulang’ bertemu dengan Pencipta Yang Maha Agung. Siapa yang tidak gentar untuk menghadapi mati? Siapa yang tidak takut untuk bersemuka dengan Izrail? Aku juga insan biasa, walaupun ada di kalangan rakan-rakanku yang tahu tentang aku, tidak lagi menggelarkan aku sebagai manusia.
Aku, bukan wali. Jauh sekali seorang malaikat. Aku, hamba Allah yang cuba mencari redha dalam perjuangan di atas muka bumi ini. Perjuangan di alam persinggahan sementara. Aku, manusia yang dibuka hijab mata, telinga, mulut, dan hidungku, untuk melihat, mendengar, bertutur, dan menghidu apa sahaja yang Dia kehendaki. Akulah, si manusia yang penuh dengan kasyaf. Akulah…
HADI AL-HAFEEZ
*********
Pagi itu, seperti biasa. Jambangan bunga yang telah dibeli semalam, dan telah diletakkan di dalam bekas kaca panjang berisi air itu, aku ambil. Disemat ke dalam bungkusan. Aku selimutkan seadanya, seperti hiasan bunga yang baru dibeli dari kedai. Masih segar. Aku hidu bunga-bunga ros tersebut. Mekar, mewangi. Senyuman terukir di bibir. Tiada aroma kurang enak semenjak malam tadi. Pagi ini, bermula dengan sempurna.
Aku bukanlah penggemar kopi tiga dalam satu. Aku lebih sukakan bancuhan kopi sendiri, tidak tertakluk kepada ketetapan syarikat yang menjual. Bunga tadi aku tinggalkan di atas meja makan sebelum menuju ke dapur. Bekas kaca kopi dibuka, isinya ditarik secukup rasa. Sudu menuang hablur kopi ke dalam cawan. Lalu, air panas dituang, menyemar kesucian air tersebut. Aroma pekat kopi menghiasi pagi ini. Seperti mana pagi-pagi sebelumnya. Gula menjadi penerjun terakhir di dalam takungan air, melengkapkan rasa.
“Pagi yang baik, sesuai dengan aroma yang baik. Hmmm…”
Aroma kopi dihidu sepenuhnya, lalu dihembus keluar partikel-pertikel karbon dioksida, dominan di dalam hembusan itu. Rongga mulut mula diisi dengan limpahan kopi. Menikmati setiap sedutan, seperti seekor rama-rama yang sedang menghisap nektar dari bunga.
“Time to go,” ujarku sendirian, lalu melangkah menuju ke kereta. Tiada aroma sebuah kematian menjengah pada pagi ini. Jika aku berjumpa dengan ‘dia’, maka adalah aroma kurang menyenangkan itu. Aroma pelbagai jenis. Aroma bau kapur barus, sekiranya si mati itu, mati secara mendadak. Juga petanda, jika semakin busuk, semakin teruk amalan si mati di muka bumi ini.
Ah, resam manusia pendosa! Mana-mana kematian, termasuk kematianku, bakal berbau busuk juga. Aroma keras yang tidak aku sukai, bakal menjengah untuk aku jua. Aroma kematian, bagiku, bukanlah yang aku pinta. Meniti lembaran hidup sebagai petanda kepadaku, bahawa ada kematian di kalangan ahli keluarga, atau seseorang yang berada berdekatan denganku. Dekat dalam hati, atau dekat dengan lokasi.
********
Hadi tiba di tempat kerja. Keluar dari keretanya, lalu membawa jambangan bunga bersama-sama beg bimbit. Menuju ke pintu masuk syarikatnya.
“Wah, bunga ros! Untuk aku ke ni, Di?” Jambangan bunga itu direntap secukupnya, beralih tangan. Maisara, staf akaun di pejabat. Menghidu bauan enak dari ros tersebut.
“Bukan untuk kau. Pulangkan.” Ringkas, dalam ketegasan, tutur kata Hadi. Mencebik, lalu bunga dipulangkan. Membebel sendirian Maisara, menyangkakan untuk dirinya. Tersenyum sendirian, sebelum membuntuti langkah gadis belum disunting itu.
“Hai, bro. Bunga untuk siapa tu?” Tegur Rashid, teman seangkatan di tempat kerja. Hadi sekadar membalas dengan senyuman.
“Untuk siapa lagi. Kristinalah tu,” usik Mikael, seorang lagi rakan di posisi yang sama dengan Hadi. Bertambah mencebik si Maisara, mendengar kata-kata itu.
Biarkan sahaja telatah mereka. Bunga ini, ada fungsinya, getus hati Hadi.
Satu mesej tertera di telefon bimbit Hadi. Dibaca sendirian sebaik sahaja dia tiba di meja pejabatnya.
“1PM. I’ll be there. Let’s go to the usual place. Lunch on me.” Jemputan menjamu selera tengah hari, seperti biasa diterima saban hari.
“Sure. I have something for you, Kristina.”
“The flowers? You are just so plain. Give me something else lah.”
“That’s more appropriate for you.”
Tiada balas lagi mesej itu. Hadi mengeluh. Kristina faham apa yang cuba disampaikan.
********
Selesai makan bersama. Hanya Hadi dan Kristina. Seperti dijanjikan, bayaran dibuat oleh gadis Sarawak itu. Asalnya seorang klien, kini sudah menjadi peneman makan tengah hari, dan kadang kala, makan malam Hadi. Hadi senang begitu. Urutan pembayaran juga mengikut perjanjian bersama. Kristina, si cantik genit beragama Kristian.
Pemanduan pulang Hadi ke pejabat sedikit terganggu. Semakin hari, aroma yang mengiringi kedatangan Kristina semakin membuak. Bunga ros paling segar, tidak lagi dapat membendung bau busuk itu. Ditambah apabila bunga ros itu disedut bauannya oleh Kristina, tiada lagi yang dapat menghalang aroma kematian itu. Kristina, bakal mati? Entahlah. Lazim bagiku, jika Hadi terhidu aroma seperti ini, tidak lama malaikat maut menjengah. Tidak kurang juga ‘lawatan’ sesuatu memberi petanda akan datangnya penarik nyawa, melalui jasad kurang jelas, ataupun mimpi. Namun, Kristina hanya datang dengan ‘aroma’ itu. Tiada petanda lain.
“So, tell me more about your ability, Hadi. I am sure, the smell, not the only one you can do?” Soal Kristina, seolah-olah faham dengan situasi sekarang di dalam kereta. Gadis itu, sudah mengetahui tentang apa yang Hadi mampu ‘hidu’.
“I’ll be praying to God, if I am you.”
“For what?”
“Praying to spare my life some more. So that, I can stay alive a little bit more,” ujar Hadi, sedikit kejam kata-kata itu, sekiranya didengari oleh si hati tisu.
“Are you scared of death, Mr Hadi?”
Tiada jawapan. Hadi tidak dapat menjawab persoalan itu. Sudah terlalu banyak kematian dia lihat, dengar, dan pandang. Kematian sendiri, tidak tahu lagi. Kristina tidak puas. Dia mahukan kepastian.
“I need to know, if this smell, is the smell of my death, or…”
“Or mine?” Soal Hadi pula. Kini, Kristina pula bungkam. Tidak tahu mahu menjawab ya, atau mengangguk sahaja. Jika benar itu aroma kematian Hadi, kenapa ada pada Kristina?
“Okay. Instead, I’ll tell you more about me. That’s better, right?” Panduan tamat. Hadi sudah melakukan parkir di tempat sewajarnya. Di hadapan pejabat syarikatnya bekerja.
********
Aku tidak ingat bila kali pertama aku berkebolehan begini. Apa yang pasti, bagaimana aku bermula dikurniakan anugerah, atau sumpahan, ini. Aku bangun dalam mimpiku. Aku tidak pasti, itu mimpi, atau aku sedang dalam minda yang mamai. Aku didatangi oleh seorang lelaki, mungkin lelaki, berjubah penuh menutupi raut wajahnya. Suaranya mengherdikku supaya bingkas bangun, dan mengikutinya. Aku seolah-olah faham sendiri, ‘dia’ seorang yang tegas. Aku dibawakan ke suatu tempat yang gelap. Hanya melangkah, menuruti jejak si jubah, dalam kesamaran suasana itu. Aku berhenti, apabila aku dengar tiada lagi derapan kaki dari pemberi arah berjubah itu. Aku tahu, melalui gerak hati. Kami sudah tiba.
Tiba-tiba, kawasan di mana aku berdiri itu disinari satu cahaya dari langit. Seperti suatu sinaran, apabila kita berada di dalam gua, kemudian sinaran itu memasuki celahan batu. Sinaran seperti aku di atas satu pentas, disuluhi cahaya lampu nan satu. Sinaran yang, pada pengamatanku, tidak menyilaukan, tidak menyakitkan mata.
Melalui bantuan cahaya itu, aku mula dapat melihat. Mereka, bukan dia. Bukan seorang, tetapi berempat. Berdiri tegap dengan badan yang tinggi lampai. Di setiap penjuru tubuhku. Aku terkejut bukan kepalang. Musibat apakah semua ini?
“Bersumpah!” Herdik si kanan belakang. Aku menoleh
“Bersumpah apa?”
“Lillahi!” Si kiri belakang pula menyusul.
“Ikut!” Si kanan hadapan menjerkah.
“Lillahi!” Aku tuturkan, seperti yang disuruh. Lalu, yang terakhir mula berbicara.
“Dengan nama Allah, aku bersumpah, akan memperjuangkan segala kehidupanku. Segala hartaku untuk Allah, dan aku memikul segala tanggungjawab yang diamanahkan!”
Setiap bait kata-kata aku turuti. Mereka berundur. Dalam sinaran cahaya itu, imbasan demi imbasa mula menerjah di hadapan mata. Bagaikan suatu kisah hidup. Suatu layar karya. Kisah hidup aku. Aku yang berdosa. Segala dosa dipamerkan dalam ‘layar’ itu.
Aku menangis. Menangis semahu-mahunya. Kesal, bimbang, gusar, bersalah. Semuanya saling hinggap. Menampar pipi, dada, menyesakkan batinku. Aku tersedar ke alam sebenar, dalam ‘layar’ hidupku itu. Aku bagaikan dalam mimpi sebentar tadi. Tiada apa lagi yang tinggal. Hanya, tangisan di malam hari.
Apakah semua ini? Mindaku gagal mencerna apa yang telah aku lalui.
********
“That’s how it started. Since then, some mind blowing abilities had been unlocked. Like a key, to a hidden me.” Hadi menutup bicara. Memandang jam di tangannya. Dua petang. Sudah tiba masanya untuk mereka bersurai.
“That’s not enough. What’s more you can do, Hadi?”
“I’ll tell you, when the time is right. I need to go. You need to go.”
“I am a client, you know. You have to keep me happy, for me to accept you for the job.”
Hadi terdiam. Ugutan? Atau?
“I’m kidding. Cheer up lah! Muka saya macam orang jahatkah?” Tepukan mesra menyinggah di lengan Hadi, lalu Kristina keluar dari kereta.
“You owe me one, for this story. Let’s meet up tonight. On you.”
“On me, sure.” Melambai pergi gadis itu dengan senyuman. Seadanya.
********
Jam 11 malam. Kristina, dengan pakaian tidur singkat dan tipis, menikmati air cokelat panas sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah sewanya. Baru dua bulan menetap di situ, seusia dengan umur pengenalannya dengan Hadi. Dia sengaja biarkan ruang tamu itu dibelenggu kegelapan. Dia lebih gemar begitu. Rumah itu didiami bersama beberapa orang lagi gadis Kristian yang datang ke semenanjung, dengan satu tujuan yang sama. Berdakwah, cara mereka. Cumanya, Kristina mendapat tugasan asing di situ. Berbeza juga cara mendekati sasarannya. Malah, sasarannya hanya satu. Hadi Al-Hafeez. Tidak pernah berlaku sebelum ini, dalam pengalamannya, dan juga pengalaman-pengalaman rakan yang lain.
“How’s the mission?” Tiba-tiba, ada satu suara menyapa. Betul-betul di belakang sofa yang Kristina duduki. Suara dari belakang. Kristina menghela nafas berat.
“What mission?” Soal Kristina semula, tanpa menoleh. Dia tahu, siapa gerangan yang bertanya. Tidak perlu memastikan siapa yang menceroboh masuk ke rumah sewa wanita-wanita di situ. Lelaki itu, pengatur segalanya. Kunci pendua, satu miliknya.
“Oh, don’t play games with me. You know about that mission.” Lelaki itu, masih tidak diketahui identitinya, telah melabuhkan punggung di atas sofa, di sebelah Kristina.
“Give me more time. I need to make sure he is the one.”
“Masa bukan masalah buat kami. Kemahuan itu penting. Kamu perlu mahu, sepenuh hati.”
“Mahu apa, sepenuh hati? Aku tidak pernah dengar apa-apa tentang misi seperti ini. Apa yang perlu aku buat sebenarnya, selain daripada membawa dia ke Sarawak?”
“Syuuhhh, nanti orang lain dengar. Kamu buat sahaja apa saja cara. Kahwini dia. Tuangkan rasa cinta di sebalik misi ini.”
“Kemudian?”
“You guys, can live happily ever after. Well, if he does convert, that is. We need him, more than we need you.”
“Need him, for what? Who do you work for? Vatican?” Soal Kristina lagi, memandang ke arah pendatang itu.
“Curiosity kills, darling. Just do, as you asked. We will give you more time, asalkan tidak gagal,” ujar lelaki itu, seraya memacukan pistol ke arah dahi Kristina.
“So, you in? Or you out?” Nyawa jadi taruhan. Kristina sekadar mendiamkan diri.
“I guess, it’s in. Your eyes, full of fear.”
“I don’t fear death.” Kristina membangkang.
“Well, please don’t. Because when you fail, you will die.” Lelaki itu menyisipkan pistol itu ke sisi seluar semula. Bangun, lalu melangkah pergi.
“Don’t forget to lock the door. Just pretend like nothing happen tonight.”
Kristina meletakkan cawan minumannya. Menyesal kerana menerima tugasan itu.
“That’s the smell of my death, Hadi. I’m sorry.”
Aku pernah melawat ayah sahabat karibku yang sedang terlantar sakit. Dimasukkan ke hospital, dan memerlukan bantuan sewajarnya untuk terus hidup. Kanser, tahap tiga. Masih ada peluang untuk terus hidup.
Aku membantu apa yang patut, seberadanya beliau di hospital. Mereka sekeluarga menganggap aku seperti anak sendiri. Aku tidak menduga bahawa si ayah bakal pergi buat selama-lamanya. Sehinggalah, ‘dia’, memberi isyarat kepadaku. ‘Dia’, dalam bentuk jasad tipis, datang di samping si ayah. Berbicara kepadaku, tanpa sesiapa sedari.
“Aku mahu ‘ambil’ dia,” ujar jasad kabur itu.
“Kejap. Bagi aku tukar pampers dia dulu. Lepas tukar, kau nak ambil, ambillah.” Aku meneruskan tugasku, sehingga selesai.
“Nak…” Panggil si ayah, tiba-tiba. Aku terkejut dengan panggilan si ayah. Jasad itu sudah berlalu. Tiada lagi di sekeliling.
“Ya, pak cik. Ada apa?”
“Nak air. Pak cik haus…”
Aku pendam perasaan, melihatkan si ayah masih mampu berbicara. Benarkah dia akan pergi?
********
“Assalamualaikum, Dil. Apa khabar? Ayah kau, macam mana?”
“Waalaikumussalam, Di. Ada ni, ha. Kami nak siapkan barang untuk discaj.” Jantungku berdegup pantas. Perlukah aku memberitahu ‘perkhabaran’ dari langit, tentang ayahnya?
“Padil, aku minta maaf awal-awal, kalau ayat aku ni kasar. Tapi…”
“Tapi apa?” Soal Fadhil.
“Kau banyak-banyak bersabar, ya. Ada orang nak datang ambil ayah kau.”
“Apa kau merepek ni? Ni dah okay jer ni. Dah boleh jalan pun.” Panggilan dimatikan. Bahana terlalu berterus terang. Aku menarik nafas panjang.
“Innalillahiwainna ilahi roji’un.” Hanya doa dapat aku hadiahkan untuk si ayah.
Tiga jam selepas itu, satu mesej tiba di telefon bimbitku.
“Hadi, aku minta maaf tentang panggilan tadi. Ayah aku dah meninggal. Kau ada masa, kita jumpa? Maafkan aku.”
Apa yang perlu aku lakukan? Aku hanya mengkhabarkan, supaya mereka lebih bersedia. Aku bukan Izrail. Aku bukanlah pencabut nyawa. Aku, manusia yang hina di sisiNya.
********
Bukan itu sahaja beban di hati. Jika tiada pertalian darah itu sudah berat, bagaimana jika perkhabaran kematian melalui aroma ini, mengkhabarkan kematian ahli keluarga? Aku sudah laluinya. Aku berasa khilaf. Aku tahu, tetapi aku hanya boleh ‘melihat’, ‘mendengar’, dan ‘menghidu’. Nauzubillah, jauhkanlah aku daripada perasaan tidak bersyukur, ya Allah.
Nenek sebelah ayahku, sebagai contoh. Aku terhidu bau kapur barus yang kuat, pada pukul 4 pagi. Fikiran kuat tentang nenek, suatu petanda tidak senang. Aku membuat panggilan kepada ayahku.
“Ayah, nek sihat?”
“Sihatlah. Kau dah kenapa?”
“Er, tak ada apa-apa, ayah. Maaf.” Aku hanya mendiamkan hal itu. Bimbang penerimaan orang lain, seperti yang berlaku kepada sahabatku Fadhil.
Tepat jam 6 pagi, perkhabaran tiba. Nenek aku meninggal dunia. Aku diarahkan segera pulang ke kampung, untuk menjelaskan maksud panggilan telefon kepada ayahku sebelum tiba waktu kejadian. Aku menceritakan apa yang aku lalui, termasuk mimpi pada malam itu, sebelum kedatangan bau kapur barus.
“Nenek datang kepada saya. Dia bawa dua ekor harimau. Besarnya sebesar kereta Alza. Kepala yang sangat besar. Seekor putih, manakala seekor lagi hitam. Nenek suruh saya ambil, kalau mahu. Saya ambil yang putih, sebab yang putih nampak jinak dengan saya. Nenek cakap, nenek nak pergi jauh. Jaga elok-elok harimau tu, dan solat jangan tinggal. Nenek pergi, bawa yang hitam sekali.”
Sudah pasti reaksi keluargaku dapat kuduga. Terpempan, tanpa kata. Antara percaya atau tidak. Aku tidak kisah. Aku tidak peduli. Kalian bertanya, mahukan jawapan. Inilah jawapannya. Semoga nenek dicucuri rahmat, dan kekal dalam iman.
Aku sangka hanya itu sahaja yang aku mampu. Kasyaf pada pandangan mata, pendengaran telinga, dan penghiduan hidung. Sangkaan aku meleset. Aku pernah berdoa untuk sepasang suami isteri yang meminta agar dikurniakan zuriat, setelah 13 tahun tidak dikurniakan anak. Dengan izin Allah, doa makbul. Aku bukan takbur. Itu juga mungkin kebetulan. Doa itu, senjata kita. Senjata aku juga, hendaknya.
Tidak kurang juga ada yang mengetahui tentang ‘anugerah’ yang aku miliki ini. Mereka membuat permintaan. Seperti kenalan kepada kawanku. Dia inginkan kepastian daripadaku, dengan meminta aku ‘menilik’ kesudahan ayahnya. Benarkah sudah tiba masanya?
Aku meminta gambar si ayah tersebut, lalu ditatap rapi. Dalam mimpi berturut-turut pada malam-malam seterusnya, aku terima perkhabaran tentang si ayah itu. Si ayah berbicara bahawa dia mahu pergi jauh. Maka, benarlah saat kehidupannya bakal berakhir. Aku nasihatkan kepada si anak (kenalan kepada rakan) itu agar dikemas rumah secukupnya, dilapangkan untuk orang datang. Berakhirlah satu lagi riwayat. Tiada aroma, kerana aku tidak ‘dekat’ dengan mereka. Tiada aroma, kerana tiada ikatan antara kami.
********
Hadi melipat lembaian surat itu. Ditulis sebaik mungkin, untuk diceritakan kepada Kristina kelak. Tidak perlu berbicara lagi. Biarkan penulisan ini menjadi wakil , hati kecil Hadi berbicara.
Teringat kembali saat-saat dia jatuh sakit. Lumpuh merana. Dia tahu, dia diburu. Dia tahu, ada musibah dalam anugerah ini. Dia tahu, ada yang mencari, melalui cara yang salah. Dia tahu, sakit ini sakit sihir.
Pernah dia pergi berubat secara Islam, untuk memulihkan semangat dan kekuatan fizikal ini. Dia secara lazimnya, seorang perawat, waima tidak bertauliah sekalipun. Namun, ‘serangan’ seperti ini, perlu ada yang benar-benar mampu untuk membantu. Masih teringat nasihat-nasihat yang diberikan oleh perawat tersebut.
“Ilmu seperti ini, adalah rahsia alam. Rahsia Allah. Tidak semua perlu tahu, dan perlu merasakannya. Peliharalah sebaik-baiknya diri sendiri. Saya doakan yang terbaik untuk encik.”
Hadi bukan tidak mahu merahsiakan semua ini daripada pengetahuan orang yang rapat dengannya. Kadang-kadang, situasi itu tidak mengizinkan. Mereka yang pernah berkenalan rapat dengannya, lambat laun akan tahu juga. Cuma, dengan harapan, mereka bukanlah yang tergolong dalam golongan ‘pemburu’ yang Hadi risaukan.
Hadi buka komputer riba yang sedari tadi bisu membatu di atas meja. Kerja mahu diteruskan. Teringat tentang sebut harga (Quotation) yang sudah dibalas oleh Kristina dengan pesanan pembelian (Purchase Order) melalui emel. Hadi perasan akan sesuatu tentang Kristina, apabila berbincang tentang dokumen ini. Sedar juga Hadi yang Kristina mencuri-curi guna telefon pintarnya untuk mencari maksud Purchase Order yang Hadi minta sebagai susulan kepada quotation itu.
Siapakah Kristina? Fikiran Hadi mula meliar.
Benarkah Kristina itu klien? Hadi mula mencuriga.
Alamat di dalam Purchase Order diamati. Menulis pantas ke dalam buku nota kecil, sebagai simpanan. Niat di hati untuk ke tempat yang diperkatakan, tetapi hajatnya terbantut. Sarawak? Mana mungkin Hadi dapat tunaikan permintaan itu semata-mata kerana ingin tahu. Dia perlu bekerja. Dia perlu memohon cuti, dan menghabiskan sejumlah wang, hanya untuk itu.
Google Maps, terluah buah fikiran Hadi.
Tetingkap pautan dipilih, lalu ditaip aplikasi web tersebut. Alamat mula dicoretkan pada ruangan yang diberikan. Nah, inilah tempatnya!
Ge…gereja?
“This is absurd. Apa kena mengena gereja dengan kerja aku buat ni?” Hadi berkata sendirian. Dia mula ragu-ragu dengan identiti Kristina. Mula merasakan sesuatu yang tidak baik datang daripada gadis itu.
********
Kristina buntu. Dia tidak menjumpai Hadi di tempat kerja.
“Mikael. Kamu pasti, dia cuti seminggu? Ke mana?”
“Entahlah, Kristina. Ada apa-apa masalah berkaitan kerja Hadi untuk you?”
“No, nothing. Thanks, by the way,” jawab Kristina, acuh tak acuh. Identiti sudah terbongkar? Kristina mula memikirkan senario-senario buruk yang boleh terjadi kala ini.
Tidak mustahil, rahsianya sudah terbongkar. Dia leka dengan tugasannya. Mungkin, dia telah tersalah langkah? Mungkin.
Yes, that Purchase Order! Kristina mula menyedari kesilapannya. Alamat yang tidak sepatutnya ditulis di situ.
Kristina cuba menghubungi Hadi. Tidak dapat disambung. Sah, ada sesuatu yang Hadi sudah tahu. Kristina melangkah pergi, mengharapkan yang terbaik. Nyawanya juga dalam bahaya. ‘Lelaki’ itu, pasti tidak menerima sebarang kegagalan.
********
Suatu malam.
Kristina masih ragu-ragu samada mahu memasuki perkarangan rumah itu. Rumah Hadi, kini di depan mata. Sinaran bulan sabit di langit, tidak menarik perhatiannya lagi. Kristina perlu bertindak segera. Perhubungan melalui telefon sudah tidak berguna lagi. Hadi tidak menerima sebarang panggilan dan mesej. Seminggu Kristina cuba menjejaki Hadi, tetapi tidak berhasil.
Kristina cekalkan hati melangkah menuju ke hadapan pintu pagar. Aneh, tidak berkunci. Dari kejauhan itu, dilihat pintu juga tidak ditutup. Kristina galau.
Ada yang lain telah memburu sebelum aku? Kristina mula memikirkan senario baru apa yang telah terjadi kepada Hadi.
Kristina bagai tidak percaya. Digeleng-geleng kepalanya, menafikan di dalam hati, semua itu tidak terjadi.
Kristina membuka pintu pagar tidak terkunci itu dengan cermat, lagak si pencuri. Melangkah dengan penuh debaran di hati. Jantung mengepam melebihi kepantasan kakinya. Mengharapkan Hadi baik-baik sahaja.
Melangkah masuk, kelam ruang tamu. Waima tiada sebarang cahaya dapat dilihat dari dalam. Hanya bertemankan cahaya dari rembulan di luar. Kristina cuba mencari suis lampu dalam kekelaman itu. Tiba-tiba, dirasakan sesuatu ditusuk dari belakang. Tidak terlalu kuat, tidak menembusi tubuh mungilnya. Cukup untuk menghadirkan jeritan kecil dari mulut Kristina.
“Aku dah agak, kau ini sesuatu! Aku dah agak, bau kematian itu bukan kau punya!” Jelas jeritan Hadi menampar gegendang telinga Kristina.
“Wait, Hadi. We can talk about this. Just calm down,” rayu Kristina.
“Talk about what, Kristina? Love? Am I look like a dumb to you?!” Amarah Hadi membuak. Tiada zikir yang dapat menenangkan si gila ini.
Kristina mempertaruhkan nyawanya. Dia sedar, dia dalam situasi maut, dalam apa sahaja tindakan susulannya itu. Bezanya, siapa pembunuhnya nanti. Hadi? Atau lelaki misteri itu? Kristina mengalihkan badan, tidak menghiraukan bahaya yang menanti jika Hadi bertindak melulu.
Tiada tikaman susulan daripada Hadi. Kini, sudah jelas pandangan Kristina, dengan bantuan sinaran bulan dari luar. Hadi yang kini di hadapan pintu rumah yang terbuka, dalam keadaan kusut masai. Entah apa yang telah berlaku dalam seminggu ini. Kristina mengangkat kedua-dua tangannya, tanda menyerah diri. Hadi masih dalam kedudukan mengacukan pisau tajam ke arah dada Kristina.
“Okay, calm down, sayang. This is not you. I know this is not you. What happened to you?”
“Sayang? Sayang jenis apa yang kau cuba buktikan di sini?!” Hadi masih belum reda. Meskipun tiada tikaman dibuat, belum pasti sama ada Hadi akan mengalah begitu sahaja. Kristina mula bingung. Tidak dapat mengawal keadaan lagi.
“Okay, okay. I’ll talk, Hadi. I’ll talk. Just, just put that knife down first. Jangan jadi bodoh, Hadi.” Perbualan psikologi berbalik cuba diterapkan dengan provokasi lembut. Hadi hanya tersenyum sumbing.
“Siapa kau? Who do you work for?”
“Beat me. I want to know that too. Sumpah! I am forced to follow you.”
“Forced? Siapa yang paksa kau? Apa kerja kau, sampai kena paksa bekerja dengan orang yang kau tak tahu?!”
“I work for missionary. Well, like you read. Church work. Tapi, I tak tahu untuk misi kali ni, kenapa dia target you. You seorang. That’s why I need to know more about you.” Jawapan sejujurnya oleh Kristina. Dia pasrah. Alang-alang mati kelak, biar yang tersayang ketahuan punca dia dibunuh. Biar Hadi tahu serba sedikit punca segalanya berlaku. Punca Hadi diburu. Sebab musabab mereka berkenalan selama ini.
“You don’t even know who instruct you this time?”
“Yes. I mean, no. I don’t know him. I hanya tahu, dia lelaki. Dia juga bukan orang yang sama memerhatikan sister-sister lain di rumah sewa kami. Dia hanya memberi tugas untuk I seorang. Basically, tiada siapa tahu siapa dia. Orang gereja mungkin tahu, tetapi kami tiada kuasa untuk menyoal.”
Illuminati? Knight Templar? New World Order? Ligat pemikiran Hadi, meneka punca kenapa dia diburu.
“Hadi, I am no one anymore. My cover’s blown. They need you, more than they need me. Lepas I cakap semua ni dekat you, I am done. Either you submit to them, or you die. For me, accomplish this mission, or I die. Or…”
“Or?”
“You just kill me here. I am okay with that. Just, let it less painful, sayang.” Hadi mula menyedari sesuatu. Dia yang menyangkakan aroma kematian itu miliknya, mula merasakan aroma itu sememangnya milik Kristina. Semuanya terletak di tangannya. Barulah dia faham. Tiada sebarang petanda lain sebagai rujukan lagi. Ini adalah keputusannya sendiri.
“I’m sorry, Kristina. I’m sorry.”
********
Kecoh pejabat apabila khabar Hadi meletakkan jawatan dalam notis 24 jam diketahui oleh rakan-rakan sekerjanya. Maisara yang menaruh hati kepada Hadi, tidak putus-putus mencari sebab pemergian mengejut Hadi tanpa sebarang ucapan selamat tinggal. Rashid mengangkat bahu, Mikael pula masih sibuk dengan bacaan di komputernya. Tidak kuasa melayan kerenah Maisara. Riak Mikael mula berubah, apabila terbaca berita terkini di media sosial.
“Aku rasa aku tahu kenapa Hadi resign serta merta, guys.” Semua perhatian beralih ke arah Mikael.
“Apa? Kenapa weh?” Maisara, masih kecoh.
“Dia lari, sebab dia tahu Kristina mati. Ni,” ujar Mikael sambil menunjukkan berita yang terpampang di monitor komputernya.
“Dia tahu? Atau, dia yang bunuh?” Bacul mulut si Rashid, walaupun tidak tahu pucuk pangkalnya.
Mikael bergegas keluar dari pejabat, berdiri cemas di hadapan pintu utama. Menekan sesuatu di telefon pintarnya. Bagaikan cuba menghubungi Hadi sendiri. Rashid dan Maisara ingin tahu, tetapi tidak berani membuat kecoh pada waktu pejabat. Menangguhkan perasaan ingin tahu masing-masing.
Panggilan gagal disambung. Mikael menulis sesuatu, kepada seseorang, melalui mesej.
“It’s true. Kristina failed. She’s gone. I lost Hadi too. Advise for next action.”
********
“Jadi, Kristina mati?” aku menyoal Hadi. Hadi membawakan kopi untuk jamuan ringan temuramah kami.
“Aku rasa macam tu, Pek. Dua tiga hari lepas tu, aku pack semua barang, aku lari. Bau busuk kematian yang selama ni aku hidu pada Kristina, sudah hilang.”
“Kau tak bunuh dia?” Aku menduga lagi.
Tiada apa yang mustahil di dunia ini.
“Kau meragui aku, Pek?” Aku hanya mengangkat bahuku. Aku juga manusia. Penuh dengan tanda tanya.
“Aku sumpah, demi Allah. Aku tidak menipu apa yang aku lalui dan ceritakan, sebelum, sekarang, dan selepas ini.”
“Baik, Hadi. Aku juga bersumpah, demi Allah, akan menulis tentang yang benar belaka, berkenaan kau. Tidak akan menukar fakta dengan fiksyen, dan akan menukar fakta dengan fiksyen, hanya dengan kebenaran dari kau.” Suasana tegang tadi, kembali reda.
“Jika kau ada kuasa menghidu aroma kematian, adakah kau sendiri akan membunuh untuk menghilangkan aroma itu?” Satu persoalan dilontarkan kepadaku.
“Mungkin. Kau sudah jelek dengan bau-bau itu. Jadi, apa kata kau hapuskan semua itu, dengan menghapuskan puncanya?” Telahan aku dibalas dengan ketawa Hadi. Tersinggung barangkali?
“Buat apa aku menangis, menyesali akan dosa aku, jika kesudahannya aku membuat dosa yang lebih besar daripada yang aku pernah lakukan, sebelum bersumpah demi Allah di dalam mimpi itu?”
“Entahlah, Di. Aku cuma nak tahu, kenapa kau diburu.”
“Curiosity kills, Topek.” Hadi tersenyum. Signal yang membuatkan aku tidak senang.
“Soalan terakhir, bro. Serius, last.”
“Aku enggan menjawab, Topek. Sorry. Aku tahu apa yang kau mahu tanyakan. Biarlah itu menjadi rahsia di atas sana. Dia lebih berhak untuk mengadili, Dia lebih berhak untuk menyampaikan sesuatu, kepada yang tidak tahu. Dan menyembunyikan sesuatu, daripada yang tidak berhak untuk tahu.”
Aku mengeluh akur. Kesudian Hadi untuk bercerita ini pun sudah cukup berharga buatku. Kami menamatkan perbualan dengan borak-borak kosong tentang teori konspirasi, tentang novel, dan tentang perancangan masa hadapan. Kopi dihabiskan sedaya mungkin. Sungguh pekat. Aroma juga harum. Adakah? Adakah?
“Kau buat kopi ni, nak cover bau kematian aku ke, Hadi?” Hadi ketawa lagi.
“Ini tabiat, bukan nak bagi hint, gila! Ha ha ha!” Aku tersenyum kelat. Bersalaman, lalu melangkah pergi.
Semoga bertemu lagi, sahabat. Semoga kita di jalan yang lurus.
********
Iman dan amal. Kuatkah kita dari segi itu? Cukupkah bekalan kita untuk menghadapi mati? Dekatkah kematian kita itu? Perlukah kita tahu sesebuah kematian itu, barulah kita meletakkan harga pada nyawa kita? Fikirkan kembali. Muhasabah diri.
Aku merasakan semua dugaan ini, tidak akan diberikan kepada yang tidak mampu. Aku tidak mampu. Aku hanya menjadi pencetus karya ini, agar yang bersembunyi itu dapat memberi amaran kepada kita. Dunia ini, ada yang cuba melawan lumrahnya. Persinggahan sementara ini, ada yang cuba menjadi Tuhannya. Walaupun kita ada Tuhan Yang Maha Melihat.
Tidak perlu lagi digali rahsia kematian. Cukuplah yang benar-benar yang hak mengetahuinya. Kita, insan lemah ini, teruskan dengan usaha kita mendekatkan diri kepadaNya. Tiada beza, jika kita tahu akan kematian kita. Kematian itu pasti, hanya bila menjadi persoalan. Maka, bersiap sedialah untuk itu, sebelum maut itu menjengah.
Soalan terakhir yang cuba aku utarakan kepada Hadi:
“Bagaimanakah bau aroma kematian aku?”
BAGAIMANAKAH BAU AROMA KEMATIAN KITA?
-TAMAT-
Nota kaki
-Kasyaf itu adalah hijab yang terbuka, membolehkan seseorang itu melihat, mendengar, berkata-kata, dan menghidu sesuatu yang tidak dapat manusia biasa lakukan.
- Hadi bukanlah berseorangan di dunia ini. Dia adalah salah seorang yang masih bersembunyi daripada diganggu oleh ‘pemburu’ yang menyeksa secara fizikal dan mental, juga secara halus. Ini adalah fail penyelidikan kedua penulis, berkenaan manusia yang melalui ‘cahaya’ dalam mimpi.
- Semoga pembaca sekalian dapat berlapang dada dengan kisah ini.
- Penulis tidak akan melayan sebarang pertanyaan mesej personal berkenaan watak sebenar Hadi, atas dasar keselamatan.
*******
Kisah ini adalah hakcipta terpelihara. Sebarang tindakan plagiat adalah dilarang keras.
Hantarkan kisah anda ke:
aanrc2017@gmail.com
No comments:
Post a Comment