Rumah Wan saya di Kedah betul-betul dihadapan surau yang sebelahnya adalah tanah perkuburan. Jadi tak susah nak cam rumah mereka walau bertahun saya tidak balik
Jadi kalau ada tanah perkuburan maka saya yang masih remaja masa tu automatik akan tidur awal waktu malam sebab takut dengar cerita kebangkitan hantu pelbagai spesis tatkala detik 12 tengah malam.
Ajaibnya, bila tiba bulan puasa perasaan itu terbang sama sekali. Diri jadi over berani.
Teringat kerenah nakal saya, adik, serta rakan di kampung dahulu tatkala ramadhan menjelang tiba. Kalau tak salah umur dalam 15tahun masa itu. Kebetulan memang saya dan adik saya yang ketiga sahaja perempuan di kalangan sepupu-sepupu. Maka boleh agak kekasaran saya masa itu.
Hari itu giliran rumah Wan untuk menyediakan moreh. Biasalah urusan membahagi moreh tu terletak di tangan kami anak-anak muda.
Kemudian kami sepakat untuk berkumpul malam hari untuk menjalankan satu projek menakutkan orang ramai di malam hari.
Malam tu kami saling cabar mencabar, siapa yang berani keluar masuk ke dalam kawasan perkuburan sendirian. Maka dengan megah saya dan beberapa orang mengambil giliran untuk menunjukkan kehebatan kami yang tidak takutkan hantu dan jembalang. Bulan puasa kan. Bolehlah mendabik dada. Tapi jika bulan biasa, bagilah upah banyak mana, jangan harap nak pergi. Takut kene sorok dengan hantu nenen.
Salah seorang dari kami membawa pelita minyak tanah, kain putih dan bedak. Tiga orang dari kami mengambil giliran untuk menakutkan orang kampung yang lalu lalang di jalan raya. Kebetulan rumah Wan dan surau yang bersebelahan dengan tanah perkuburan dipisahkan oleh jalanraya dua hala. Ada pula semak yang memang strategik untuk menjadi tempat persembunyian kami. Memang cantik.
Boleh bayangkan, muka dilumur dengan bedah seputih-putihnya kemudian balut badan dengan kain putih dan berjalan melintasi jalan ke pagar kubur dengan memegang pelita. Harus orang lupa bulan-bulan puasa ni syaitan kan diikat.
Kami akan munculkan diri apabila kelihatan ada suluhan cahaya dari jauh tidak kira motor atau kereta. Semangat nak takutkan orang!.
Ya, kereta yang lalu akan menambah kelajuan mereka apabila melihat 'kelibat' putih berdiri 'usha' mereka dari jauh. Motor pula usah cerita, keluar carutan dan jeritan dari mereka apabila ternampak lintasan lembaga. Kami yang menyorok tu tak menahan ketawa melihat kekalutan masing-masing yang ternampak hantu tepung gomak bawa pelita itu.
Sampai satu ketika, ada satu motor lalu. Dua lelaki saya rasa masa itu. Bukan main kuat si penunggang baca ayat kursi apabila nampak ada kelibat 'hantu' betul-betul di depan pintu masuk kubur. Tapi tak pula dia menambah kelajuan motornya. Mungkin antara takut dengan tidak. Pemboncengnya pula menghala suluhan lampu picit ke arah 'lembaga' tersebut. Kami yang sedang menyorok dah tak sedap hati. Rakan yang menyamar pula perlahan-lahan melintasi jalan kononnya nak menambah efek keseraman. Tidak sampai 500 meter motor itu melepasi kami, kami dengar jeritan dari mereka.
'Woy, patah balik. Bulan puasa mana ada hantu. Kuajaq depa ni nak takutkan kita'.
Kami apalagi. Dengar bunyi motor patah balik. Semua bertempiaran lari menyelamatkan diri masuk dalam rumah wan termasuklah si hantu tadi. Kami tak mengeluarkan sebarang bunyi kerana bimbang kena beduk dengan wan serta ibu saudara kami. Mujurlah saya dah standby pintu rumah dalam keadaan separa renggang. Mudah kami seludup masuk.
Kami terhendap-hendap melalui tingkap, memang motor itu patah balik. Siap berhenti di depan surau dan mereka suluh setiap kawasan yang ada untuk mencari kelibat yang dah kacau mereka tadi. Sampai ke semak tempat kami sembunyi mereka dok suluh. Dada kami dah dupdab dupdab. Suluhan lampu picit dihalakan ke rumah wan. Agaknya nak tengok kot-kot kami ni tak sempat nak hapuskan jejak. Lepas pencarian mereka tidak berhasil. Mereka pun pergi. Tapi sempat kami dengar mereka berkata dengan nada yang marah;
'Hari ni hari depa. Esok kita tengok ada dok sakat lagi tak. Hangpa ingat hangpa boleh lepas?. Aku piat telinga hangpa kalau aku tahu siapa hangpa'
Selepas motor itu pergi. Baru saya perasan rakan yang menjadi hantu tadi rupanya tidak ada didalam rumah bersama saya dan sepupu. Rupanya dia menyorok disebalik pokok limau barli bersebelahan rumah kami. Agaknya tak sempat nak masuk kerumah kot.
Dia masih lagi berbungkus kain putih dan muka tak sempat dicuci lagi. Lampu minyak tanah sahaja yang entah dah dicampak kemana. Rakan saya itu terus balik selepas memastikan keadaan terkawal. Dia hanya cakap 'Aku balik dulu' dan berjalan menuju belakang rumah wan yang ada jalan pintas ke rumahnya.
---
Esoknya kami berkumpul semula dan masing-masing tak henti-henti cerita dan ketawa dengan kisah malam tadi. Hinggalah rakan saya yang menjadi hantu tu berkata,
"Hangpa memang tak guna. Cabut tinggai aku kat sana. Nasib baik otak aku geliga. Capai basikal dan balik rumah teruih. Nak terkencin aku takut kantoi. Kalau pelita mak aku pecah. Haru aku nak menjawab tahu dak"
Saya dan sepupu berpandangan.
"Bukan hang nyorok kat pokok limau barli ka semalam. Lepas tu balik lalu jalan belakang?" soal saya.
"Hang gila. Kalau aku menyorok kat pokok limau barli tu, sah-sah kena tangkap. Lepas tu nak lalu jalan belakang tu mana boleh pakai basikal! Denai ja kot"
Maka kami semua terdiam seribu bahasa. Takkan ada hantu di bulan puasa? Kami nak sakat orang. Tapi kami yang kena sakat! Nasib baik hantu tepung tu tak tegur kami lebih-lebih. Kalau dia duduk sebelah saya masa dok mengendap penunggang dan pembonceng motosikal tu. Saya rasa demam dah saya.
Lepas kejadian tu. Kami memang tak sebut langsung tentang projek usik orang kampung walau agak heboh di surau tentang kejadian itu malam esoknya. Kami takut tertangkap, dan kami lagi takut kalau ada teman pula masa sedang jadi hantu.
Notakaki;
Nak jadi hantu, tapi hantu pula yang nak takutkan hantu-hantu
Nukilan
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
No comments:
Post a Comment