Friday, 9 June 2017

PERPUSTAKAAN - Xander Xavier


Nama aku Hakim. Aku pelajar tahun pertama kursus sains aktuari di universiti terkemuka tanah air. Walaupun nama aku Hakim, namun aku tak sebijak mana. Aku tak suka kursus ni, tapi sebab prospek masa hadapan yang cerah aku tabahkan juga hati.

Semester pertama aku gagal teruk, setiap kali kuliah aku akan duduk belakang sekali sebab takut kena soal. Tutorial jangan cakaplah, terketar-ketar aku duduk dekat kerusi. Kalau malas memang aku tak datanglah. Nak minta tolong kawan, memang jangan haraplah. Masing-masing lepaskan diri sendiri.

Pensyarah dah patah semangat dengan aku. Semangat aku lagilah, jangan kata patah, debu pun dah tak ada dah. Sampailah pada satu hari ni yang mengubah alam universiti aku menjadi indah dan bahagia. Tapi, tak bahagia sangat...

Pukul 3 petang. Kelas aku habis awal hari tu sebab pensyarah tak berapa sihat. Aku malas nak balik bilik sebab aku dikurniakan seorang rakan sebilik yang tersangatlah ‘baik’ budi pekertinya. Dia panggil aku ‘ulat lembap’ sebab penampilan aku yang nerd dan otak yang tak berapa nak bijak.
Jadi, aku pun lepaklah dekat perpustakaan. Aku tak suka duduk dekat kerusi, aku akan baca buku dekat laluan antara rak-rak buku. Aku keluarkan assignment statistik dan mula menaip.

Buk!

“Adoi!” aku mamai. Aku tertidur rupanya. Rasa sakit di kepala belum hilang lagi, aku toleh ke sebelah. Seseorang sedang mengutip buku yang berada di samping aku.

“Sorry dik, abang tak sengaja tadi, kenapa tidur kat sini?” lembut suara dia. Muka kacak. Dia pakai cermin mata tanpa bingkai. Tinggi gila kot !!! Kalau aku perempuan, mesti cair. Nasib baik iman aku masih kukuh lagi. Hahaha!

“Tak apa, bang. Tak sakit pun”

“Adik ni Hakim kan? Yang gagal sem pertama tu? Nak belajar dengan abang tak ?” kata ‘abang’ tadi tu sambil menunjukkan nota di tangan kirinya.

Mana dia kenal aku ni?

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Aku perlu lulus sahaja untuk jamin masa depan aku. Dengan segera aku mengangguk dan kami bergerak ke bahagian yang mempunyai kerusi dan meja untuk belajar.

Perpustakaan sudah kosong pada ketika itu. Tanpa memperkenalkan diri, dia terus ajar aku itu dan ini. Aku tak teringat langsung dah berapa lama aku dalam perpustakaan tu. Aku hanya sedar apabila tiba-tiba perpustakaan sudah kembali penuh. Cis, aku tertidur lagi.

“Woi, kenapa tak balik bilik semalam? Susah doh, tak ada orang kejutkan aku,” Rahim, kawan sebilik aku yang terlebih ‘baik’ tu menyapa.

“Jam pukul berapa ?” aku menanya selamba sambil memasukkan buku-buku ke dalam beg. Ada nota yang ‘abang’ semalam bagi. Ada nota lekat di atasnya yang tertulis,
JUMPA BESOK PADA WAKTU YANG SAMA.

“9” Rahim meninggalkan aku setelah menjawab pertanyaan itu.

Kenapa tak ada pustakawan yang menghalau aku keluar seperti selalu? Mungkin semalam aku tidur di tempat tersorok agaknya.

Wei, aku dah lambat ke kelas tutorial. Tak lama lagi peperiksaan akhir, aku tak nak gagal lagi. Jadi biarlah aku terkencing sekali pun dalam kelas tu sebab takut kena soal, yang penting aku akan cuba untuk lulus juga.

Sesampai saja di kelas, pelajaran belum dimulakan. Aku pun duduk dan keluarkan semua khazanah dalam beg aku. Kelas tutor hanya mengandungi 5 orang pelajar. Tapi kenapa tutor tu tengok aku lain macam? Dia melangkah menghampiri aku.

“Hakim, awak dapat mana nota ni?”

“Dari ‘abang’ dekat perpustakaan”

“Abang mana?”

“Alamak, saya lupa tanya nama. Sorry, Encik”
Tutor tu pun sambung mengajar. Nasib baik tak betul-betul terkencing tadi. Habis segala urusan dan sesi kuliah, aku kembali ke bilik untuk membersihkan diri dan bergerak semula ke perpustakaan. Setiap hari aku ke situ. Setiap hari juga aku tertidur di perpustakaan dan tidak pernah ada seorang pun yang menghalau aku pada waktu malam aku tertidur di situ.

Tanpa disedari, hari result final semester 2 pun tiba. Aku lulus dengan markah penuh untuk setiap subjek yang aku ambil. Pensyarah tak percaya, aku pun tak percaya. Perkara ini berlanjutan sehingga tahun terakhir aku bergelar mahasiswa ijazah sarjana muda. Nama aku sentiasa tersenarai sebagai pelajar cemerlang. Dan aku semakin rapat dengan abang Hadi.
Aku hanya tahu namanya setalah nama aku tersenarai sebagai salah seorang pelajar yang menerima anugerah dekan. Yang aku pelik, kalau abang Hadi ni pelajar, kenapa dia tak grad lagi? Dia kan pandai.

“Hakim, boleh saya pinjam semua nota yang abang perpustakaan bagi dekat awak ?” tiba-tiba bekas tutor aku telefon. Aku dah lama tak pergi tutor sebab abang Hadi dah cukup bagi aku.

“Boleh. Encik nak bila? Malam ni. Boleh. Saya singgah perpustakaan dulu, nak ambil nota last, lepastu saya jumpa Encik,” panggilan di matikan.

Aku mencampakkan telefon bimbit ke atas katil. Belum sempat aku melabuhkan punggung, Rahim masuk ke dalam bilik. Dia suruh aku buatkan assignment dia. Aku tak nak, jadi adegan tumbuk-menumbuk pun bermula.

Aku yang berbadan kecil ni berjaya meloloskan diri dan berlari ke perpustakaan. Masa tu awal lagi, baru pukul 3 petang. Perpustakaan agak lengang.

“Pipi tu kenapa ?” Hadi bertanya sambil memberikan nota terakhir untuk program ijazah.

“Kena tumbuk dengan Rahim,” aku jawab jujur sebab tidak ada yang aku rahsiakan daripadanya. Kami bagaikan satu.

“Kamu nak balas dendam?” aku tersentak. Dia boleh baca fikiran aku.

“Macam mana, bang?” Hadi hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum sinis. Ini kali pertama Hadi buat muka begitu. Sangat menakutkan.

“Oh ya ! Saya kena pergi jumpa tutor malam ni, saya nak balik awal boleh?”

“Silakan”
Pertemuaan dengan Encik Hisyam (tutor) pada malam itu telah mengembalikan aku ke alam realiti. Rahsia mengapa Hadi hanya berada di perpustakaan, mengapa dia masih berada di situ setelah beberapa tahun, mengapa dia hanya boleh ditemui pada jam 3 petang hingga lewat malam dan rahsia mengapa tiada yang mengejutkan aku setiap kali aku tertidur di perpustakaan terungkap pada ketika itu.

Hadi Harris. Pelajar pintar yang bunuh diri pada jam 3 petang setelah mendapat tahu bahawa tesis yang dihasilkannya untuk tahun akhir adalah gagal. Dia dibuli sepanjang berada di university tersebut. Mayatnya ditemui di lorong antara rak buku pada pukul 2 pagi.

Kenapa perlu waktu lama untuk menyedarinya sedangkan mayat itu telah berada di situ sejak pukul 3 petang? Kerana tiada siapa yang menyangka, lelaki berpakaian kemas dengan buku di tangan itu telah mati. Siswa-siswi lain menyangka Hadi sedang tidur.

Dia ditemui oleh pengawal keselamatan sewaktu melakukan rondaan. Persis posisi sewaktu Hakim pertama kali bertemu dengan Hadi. Sejak hari itu, tiada sesiapa pun berani mengadakan rondaan di perpustakaan kerana pasti akan diganggu.

Hakim juga diberitahu oleh Encik Hisyam bahawa Hadi sudah berada di situ sejak tahun 90-an. Dan dia akan memberikan notanya kepada pelajar terpilih sekali setiap 4 tahun.

Encik Hisyam tahu perkara ini kerana sahabatnya juga adalah penerima nota Hadi. Sahabatnya itu ditemui mati di dalam tandas rumah sewa mereka sebaik sahaja pulang daripada mengambil nota terakhir daripada Hadi. Begitu juga dengan mangsa-mangsa Hadi sebelum ini.

“Hadi dah bagi awak nota terakhir untuk awak grad?” celah seorang ustaz yang di bawa bersama oleh Encik Hisyam.

“Dah. Baru… tadi…” aku terketar. Tak sangka aku berkawan dan di bantu oleh hantu selama ni.

“Cuba tengok halaman terakhir nota tu,” Encik Hisyam memberikan arahan. Aku segera membuka halaman terbabit.

CUKUP SATU NYAWA !
“Tapi syukur, awak masih tak apa-apa,” kedengaran nafas lega ustaz terbabit.

Otak aku tiba-tiba ligat berputar. Aku ada terlupa sesuatu. Memori yang ada di dalam minda semuanya digerakkan semaksimum mungkin agar dapat mengingati perkara terbabit.

“Ya Allah ! Rahim !!!!” semua terkejut.
Moral of the story : Berusahalah sendiri. Kisah di atas hanyalah hiburan semata-mata. Ambil yang jernih buang yang keruh. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah.


Suntingan : Arkib Angker Negara
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
*Gambal hasil carian di Google.

No comments: