“Hello Mat, kau kata kau nak duit kan, malam ni race dekat Waha. Aku cover duit dulu untuk kau,” panggilan Zack malam itu mengejutkan lena Mat. Perlahan dia menyorotkan pandangannya ke arah jam dinding. 11.15 malam.
“Waha ? Kalau aku kalah macam mana ?” Mat agak ragu-ragu dengan permintaan rakannya itu. Memang dia sedang memerlukan duit sekarang ni.
“Alah setakat budak-budak EX5 dengan Demak nak lawan RXZ kau, memang kalahlah diorang tu. Dah sekarang ni, kau jangan banyak cakap. Aku tunggu dekat simpang nak masuk Waha ni. Gerak lu, apa-apa roger,” panggilan dimatikan.
Mat bergerak malas menggantikan t-shirt lusuhnya dengan pakaian lain yang nampak sedikit baru. Kain pelikat juga dibaling dan digantikan dengan seluan jeans. Kalau tidak disebabkan duit, tak ada maknanya Mat sanggup bergerak malam-malam begini.
Mat memerlukan duit untuk membeli hadiah hari jadi buat tunangnya. Dia baru dipecat sebagai penghantar pizza sebulan yang lalu jadi, jujur sudah tiada baki duit yang tersisa di dalam beg kulit milik Mat. Nak minta dekat mak abah, memang tak kot. Tunang haritu pun diorang yang belanja, takkan nak beli hadiah pun nak minta.
Mat menjenguk perlahan dari celah pintu. Harap mak sudah masuk tidur. Kalau tidak habis disiasat sampai ke akar umbi. Setelah memastikan tiada orang di ruang tamu, Mat melangkah perlahan mendapatkan pintu utama. Baru saja Mat mahu memegang tombol pintu…
“Mat, nak ke mana tu ?” nasib baik tak luruh jantung Mat. Maknya berada di muka pintu bilik utama.
“Mak ni, luruh jantung Mat. Mat nak keluar jumpa kawan dekat Waha jap. Mak pi lah tidur. Dah malam ni,” ucap Mat lembut. Ibu-ibu haruslah dihormati.
“Kau pergilah Waha tu malam-malam ni. Terserempak dengan hantu baru padan muka,” kata mak sambil berlalu ke dapur.
Waha memang bukan destinasi pilihan budak-budak rempit sejak dulu tapi entah mengapa Zack memintanya untuk ke sana malam itu.
Meremang juga bulu roma Mat. Hantu pun hantulah. Untuk tunang yang tersayang Mat sanggup melakukan apa sahaja. Dia meneruskan langkahnya ke arah motosikal kesayangannya itu. Dia bergerak laju. Waha dan rumahnya bukanlah jauh sangat. Jika memandu dengan kelajuan 80 km/j, 45 minit pasti tiba di destinasi.
Mat tiba di tempat yang dijanjikan Zack tepat pukul 12 malam. Tiada pula dia melihat sesiapa di situ. Dia berhenti di bahu jalan. Mat mengeluarkan telefon bimbitnya. Tiada rangkaian. Mampus ! Tiada langsung kelibat Zack di situ.
Setelah 15 minit di situ. Mat mula berasa tidak sedap hati. Entah-entah budak-budak ni kena angkut dengan polis kot. Dia memusingkan motosikalnya. Dipandunya perlahan. 40 km/j. Tangan kirinya masih mencuba mendail nombor telefon Zack. Pada saat dia mematikan telefon bimbitnya dan kembali memecut, dia terpandang ada sesuatu berdiri tegak dibahu jalan. Namun, tidak dapat dipastikan apakah imej itu. Sampai tertoleh kepalanya cuba mendapatkan kepastian.
“Ah… Signboard baru kot…,” ucap Mat perlahan.
Mat kembali menoleh ke hadapan dan alangkah terkejutnya dia melihat sesuatu sedang berguling di atas jalan dari seberang ke seberang yang satu lagi. Dan Mat sangat kenal dengan ‘sesuatu’ itu. ‘Sesuatu’ itulah yang membuatkan jalan di sekitar sini cukup takut untuk dilalui orang ramai setelah azan Maghrib berkumandang. ‘Sesuatu’ itu POCONG !
Mat membrekkan motorsikalnya. Dia hilang kawalan lalu tercampak ke hadapan. Dia tertiarap. Dadanya sakit. Mukanya berdarah. Untung, kepala tak pecah. Helmet masih melekat rapi. Dalam kepayahan dia cuba berdiri. Matanya masih tertancap pada tar jalan raya. Gelap. Ya Allah ! Mana lampu? Dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket sebelah kiri seluar jean. Berjaya ! Lampu dihidupkan.
Mat berpusing-pusing mencari motosikalnya. Dia melangkah beberapa tapak daripada arah dia tercampak tadi. Tiba-tiba, Mat dapat merasakan ada nafas dingin meniup tengkoknya. Memori pocong berguling tadi kembali menghantui ingatannya. Dia memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Muka masih ditundukkan. Badan perlahan-lahan dipusingkan. Mata terpejam rapat.
“Allahu Akhbar !” Mat membuka langkah seribu.
Apa yang dilihatnya sangat menyeramkan. Sosok manusia tanpa bola mata dan dibaluti dengan kain putih itu membuatkan Mat hilang seluruh jiwa lelakinya. Tambahan pula dengan muka yang terkopak sebelah itu mampu menakutkan sesiapa sahaja.
Mat berlari laju. Tidak jejak tanah. Dalam kesamaran malam, Mat dapat melihat motorsikal RXZ miliknya. Dia mempercepatkan larian. Semakin dia melihat motorsikalnya semakin cepat langkahnya. Tapi, Mat sekali lagi tergolek ke hadapan apabila dia tersandung sesuatu di atas jalan raya.Mat pengsan.
Keesokkan harinya, Mat dibawa ke hospital dan apabila dia membuka mata, orang pertama yang dilihatnya adalah Zack. Setelah doktor melakukan pemeriksaan Zack mula bersuara.
“Woi, aku belum bagitahu mak kau tau. Kalau dia tahu ni matilah kau. Nasib baik aku jumpa kau pagi tadi masa nak pergi kerja dengan member aku. Motor kau benyai gila. Kau buat apa kat Waha? Kau langgar apa sampai motor kau jadi gitu ?”
“Kau tanya aku, aku buat apa dekat Waha ? Kau yang ajak aku race dekat Waha. Siap nak cover duit untuk aku dulu. Pukul 11 lebih kot kau call aku tadi malam. Pukul 12 tepat aku sampai Waha. Aku sampai kau tak ada. Kau gi mana?” Mat membetulkan kedudukannya kepada posisi bersandar.
“Wei, kau cakap apa ni ? Masa bila aku call kau ? Aku kerjalah hari ni, takkan nak race kot. Lagi satu, aku takkan pernah sanggup nak race dekat Waha. Kau tak pernah dengar ke ada orang selalu terserempak dengan pocong lepas maghrib dekat situ ? Inikan lagi race pukul 12 malam. Huu.. Seram..”
Mat terkedu. Siapa yang menelefonnya malam tadi ? Adakah itu hanya imaginasi ? Kalau imaginasi macam mana Zack boleh menemuinya terbaring di kawasan Waha ? Pocong tu… Ah !! Sakit kepala !
“Weekend race nak ? Dekat Adela. Guna motor aku,” Zack bertanya.
“Tak nak aku. Banyak Cik Pon !” langsung ayat tu terpacul dari mulut Mat. Dia sudah serik dan insaf.
Penulis : Xander Xaxier https://www.facebook.com/profile.php?id=100017505879620
Suntingan : Arkib Angker Negara
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
*Gambar: Hasil carian di Google
No comments:
Post a Comment