Friday, 23 June 2017

DEJAVU - Karl Akmal


Tersedar dari lamunan dek terlalu fokus dengan kerja yang perlu disiapkan segera. Melihat jam di tangan yang sudah menunjukkan pukul 9 malam. Lantas aku capai beg dan kunci kereta berlari ke arah lift. Ciss..lift berada di tingkat 1 sedangkan aku berada di tingkat 10. Tiba-tiba lift terhenti lama di tingkat 6.
Hampir 5 minit aku menunggu lift tadi tidak kunjung tiba. "Cepatlah wehh.." aku merungut dalam lesu. Aku ambil keputusan untuk turun melalui tangga ke tingkat 5. Tiba di pintu penghadang api kebakaran aku cuba mengintai siapa yang berada di lift. Pintu lift terbuka dan tidak tertutup. Semasa aku cuba menuju ke pintu lift semacam angin bertiup menyapa pipi aku. Pusing kepala menghala ke kanan tiada siapa disitu.
Aku ambil keputusan untuk terus turun melalui tangga sambil berlari. Dengan kepantasan larian aku akhirnya sampai ke tingkat bawah. Sambil berjalan laju melintasi stesen pengawal keselamatan, aku hairan kerana tiada sesiapa di situ.
Pelik rasa malam ini tidak seperti malam-malam yang selalunya. Tapi ada aku kisah?
Semasa di tempat parkir bawah tanah, sememangnya agak sunyi dan hanya tinggal beberapa buah kenderaan. Suasana agak hangat sebab kekurangan ventilasi. Hanya berjalan perlahan sambil mengesat peluh tetapi aku perasan seperti ada yang mengekori aku dari belakang. Mungkin tuan empunya kereta di sebelah kereta aku.
Sekali lagi aku pelik tiada siapa disitu. Aku mula agak seram sejuk walau hangat disitu. Tanpa buang masa, aku terus membuka kereta dan menghidupkan enjin. Sekali saja sudah hidup enjin. Nasib baik bukan seperti klise cerita-cerita seram dalam TV— masa nak hidupkan enjin la macam-macam berlaku. Masuk gear dan terus meluncur keluar dari kotak parkir menuju ke pintu laluan keluar.
Hari ini memang silap aku kerana lambat datang kerja. Makanya kena parking jauh di basement 3A, dan untuk sampai ke pintu keluar mengambil masa 3 - 5 minit. Seperti biasa, aku akan mengikut arahan tanda KELUAR. Sambil menekan punat radio, aku terus mendengar lagu-lagu dari radio PANAS.fm.
"Eh..dah banyak kali aku pusing dan naik tapi tak jumpa lagi jalan keluar? Biar betul" aku merungut sendirian.
Seketika aku menekan brek untuk meninjau arah. Aku buka pintu kereta dan berdiri dengan pantas melihat arah di papan tanda.
"Betul dah tapi mana jalan ni?"
Terus aku teringat kata orang tua kalau masih berada di jalan atau tempat yang sama, bacalah apa yang patut mungkin mata kita telah di selindung. Mulut aku berkumat-kamit dengan bacaan ayat Qursi. Aku nekad dalam berani tak berani, aku terus memandu ikut arah papan tanda. Diakhir ayat Qursi aku terus namapk jalan keluar dan cahaya lampu jalan raya. Alhamdulillah dalam hati masih resah adakah aku telah lalui kisah-kisah alam ghaib?
Tak mungkin.
Jam telah hampir pukul 10 malam dan aku masih berada di sekitar lebuhraya persekutuan untuk menuju ke rumah aku di Puncak Alam. Hanya bertemankan radio sambil aku menyanyi kecil lagu lagu yang tak semuanya aku tahu liriknya. Sekitar 15 minit kemudian, aku telah masuk ke kawasan Puncak Perdana di mana laluan di situ amatlah gelap hanya diterangi dengan lampu kenderaan sahaja. Itupun boleh dikira dengan jari.
Sesekali aku melihat dikiri kanan jalan mana tau ada hantu Al Tantuya. Selalu saja rakan sekerja aku mengusik lantaran aku selalu pulang lewat ke rumah. Celaka betul. Seketika leka dengan jalan yang berbukit-bukau, tidak semena-mena lampu besar memancar kuat ke arah kereta aku dari arah belakang.
"Celaka betul siapa yang high beam kat aku."
Aku memperlahankan pemanduan untuk memberikan haluan kenderaan di belakang untuk memotong. Sepantas kilat kenderaan berwarna putih itu terus potong dan memecut laju sambil hon berkali-kali. Kenapa pula si pemandu itu hon banyak kali sambil nampak bayang tangannya seolah-olah menunjukkan sesuatu ke arah belakang. Buat tak tahu sudahlah brader.
Aku suka cakap sorang-sorang bersekali dengan merungut. Akhir tiba di persimpangan rumah apartment kos sederhana. Semasa aku parking kereta dari bawah aku seolah-seolah diperhatikan oleh satu lembaga di tingkap rumah aku sendiri.
Perlahan menutup dan mengunci pintu kereta aku terus berjalan menaiki tangga ke tingkat 3. Bunyi salakan anjing di kawasan semak berhampiran membuatkan aku teringat cerita serigala jadian yang selalu dalam midnight movie kat TV2.
"Kreeekkk...".
Ku petik suis lampu dan kipas lantas terang benderang rumah aku disinari lampu kalimantang. Lalu menukar pakaian di bilik untuk mandi. Sudahlah mandi waktu malam air pula sejuk tahap gaban.
Selesai solat isyak aku terus ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Sudah menjadi kesukaan aku apabila menonton TV dengan menggunakan lampu kuning manakala lampu lain dipadam bagi menimbulkan mood tenang. Mula-mula aku buka siaran TV3, tapi bosan dengan cerita slot-slot yang di tayangkan. Lagi-lagi kisah cinta, keluarga dua darjat, skandal.
Mata sudah kuyu dan mengantuk. Siaran televisyen menjadi gelap seketika dan tiba-tiba aku melihat kelibat seorang pelakon di televisyen berlari menuju ke lift di dalam sebuah bangunan. Kemudian pelakon itu menuju ke tangga dan menuruni tangga dengan pantas dan terhenti ke tingkat 6. Semasa itu pelakon meninjau ke pintu lift satu lembaga hantu berpakaian putih melintas di depannya menuju ke dalam lift. Aku mula berkerut dahi.
Rasa seperti dejavu!
Lantas aku mengagak aksi pelakon itu yang terus menuju ke tangga sambil berlari menuju ke ground floor dan kemudian melintasi di depan stesen pengawal keselamatan dengan muka yang penuh tanda pelik. Seketika kamera memfokus ke satu lembaga di meja pengawal sedikit pun tidak menjejaskan si pelakon itu. Aku sudah rasa meremang bulu roma.
Aku ke tu?
Aku terus menonton.
Memang benar! Baru aku tahu kenapa aku tidak jumpa jalan keluar dari basement. Rupanya di dalam kereta aku ada lembaga itu. Di jalan Puncak Perdana pula brader yang memotong sambil menunjukkan sesuatu rupanya ada suatu lembaga menuntun di belakang, kereta. Jantung aku berdegup kencang apabila babak pelakon di TV sudah tiba di parking lot di rumah. Kamera mengfokuskan kedudukan lembaga putih di jendela dan dari atas kelihatan si pelakon berjalan menuju ke tangga untuk ketingkat 3.
TIBA-TIBA..!!!!
Aku dengar bunyi kunci dimasukkan dan bunyi grill digoncang kuat disertai dengan ketukan pintu. Peluh jantan dan rasa seram sejuk bersekali bulu roma tegak berdiri. Mata aku tak lepas melihat di pintu dengan degupan kencang jantung dan nafas turun naik.
Aku menjeling ke arah TV dan melihat ada scene di ruang tamu dengan lampu kuning dan si pelakon duduk di sofa yang juga melihat ke arah pintu manakala di sebelah kirinya ada lembaga putih menghampiri dengan perlahan.
Aku pula terus pusing melihat di sebelah kiri ....................
Dejavu
Si pelakon dan bukan si penonton 





Nukilan : @Karl Akmal (https://www.facebook.com/dak.mal.5)

Suntingan : Arkib Angker Negara

Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox Arkib Angker Negara. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: