Saturday, 27 May 2017

JANIN - Bel Nawhen


Dua line merah di 'pregnancy kit' ternyata mengujakan Maria. Usia Amir sudah masuk 2 tahun dan keinginan untuk hamil lagi membuak-buak.
Jika dihitung, hari itu genap 5 minggu kehamilannya. Kerana gusar impian itu menjadi angan-angan, terus dilakukan scan 4D di klinik berhampiran. Lega di hati apabila imej janin kelihatan jelas di filem dan skrin mesin scan. Mana tidak lega, keguguran sekali selepas melahirkan Amir pun cukup mendatangkan gangguan emosi kepada diri.
---
Bau yang busuk menganggu tidurnya. Pantas dalam kegelapan malam, mata mencari-cari di mana datangnya bau yang kurang enak itu. Nak kata ada bangkai binatang, mustahil. Anaknya membuang air? Itu memang bukan bau tahi!
Esoknya, tiba-tiba terasa sakit menyucuk terasa di pangkal rahim. Rasa sakit itu serupa dengan rasa sebelum keguguran setahun yang lepas.
Lantas, pesanan melalui Whatsapp dihantar kepada doktor yang merupakan rakan baiknya. Scan dilakukan segera.
"Aku tengok, kantung ada tapi janin macam belum ada lagi. Diikutkan bilangan minggu kehamilan kau, sepatutnya ada dah janin. Dah 10 minggu. Sepatutnya denyutan nadi dah nampak. Ni lebih kepada blighted ovum (kandungan tidak berjanin). Takpe. Kita tengok lagi 2 minggu. Kalau still kosong kantung kau, terpaksa cuci" ujar rakannya itu.
Hiba dan sayu rasa hati. Baru berangan mahu menimang cahaya mata. Berita yang diterima ternyata membawa khabar duka.
---
Hujung minggu, bagi mengurangkan resah di hati, Maria mengikut keluarga iparnya mendaki Bukit Jugra dan melawat istana lama di sana. Sambil mendaki bukit di awal pagi, debaran di dada menerbitkan rasa aneh di hati. Terasa ada mata yang memerhati.
Melintasi perkuburan cina pula, membuatkan Maria semakin tidak keruan. Rasa seram sejuk. Terlihat di matanya beberapa tubuh aneh berjalan laju ke kuburan masing-masing. Sambil menoleh kepadanya. Terkaku Maria disana. Terpegun.
Rasa sakit di perutnya kembali menyedarkan Maria. Merasakan apa yang dilihatnya tadi hanya khayalan semata-mata maka Maria mendiamkan diri.
Pendakian diteruskan lagi. Sampai ke puncak bukit, langkah diatur ke Istana Lama yang menjadi perhatian pelancong. Bersih. Terjaga.
Cuma, perasaan aneh masih menyelubunginya. Perasaan diperhatikan oleh entah siapa menganggu lagi. Kemuncak perasaan itu apabila terdengar bisikan halus kanak-kanak menyebut namanya.
"Maria"
Puas dicari. Namun tidak ditemui tuan punya suara.
"Mommy, tadi kita nampak kawan" ujar Auni.
"Amir, takut" ujar si adik dalam pelat.
Entah siapa yang mereka nampak pun tidak tahu. Bagi mengalih perhatian anak-anaknya, Maria menghampiri suaminya yang berkumpul bersama keluarga ipar.
---
Pulang ke rumah, rasa sakit menjadi-jadi diikuti dengan darah yang keluar tanda janin yang mungkin tidak terjadi.
Pedih

Perit
Sakit

Plan admit ke wad diteruskan. Esok Maria akan di D&C. Malam itu, tidak nyenyak tidur Maria. Gusar. Memikirkan kaitan gangguan di malam-malam sebelum.
3 malam berturut mimpikan janinnya ditarik rakus dari rahim. Tumpahan darah disana sini dengan senyum sinis wanita berbaju putih labuh berambut panjang selekeh. Rakus menjamah janinnya dan jeritan halus janin itu terdengar-dengar. Tiap kali terjaga dari mimpi, peluh dingin melencunkan bajunya.
--
Pembedahan selesai. Umpama di alam mimpi rasanya. Lama tidak dapat lena sebegitu. Cuma Maria mula rasa kehilangan. Umpama post partum blues. Maria hilang arah.
Rasa benci menggunung kepada siapa sahaja yang dilihatnya. Yang kelihatan dimata Maria, semua seolah memandangnya penuh benci. PARANOID. Hingga rakan sekerja pun tidak mahu dilihatnya.
3 malam berturut juga Maria tak tahu apa mimpi yang hadir. Cuma setiap kali bangun, Maria tercungap-cungap mencari udara. Mahu bercakap pun tak terdaya. Berjalan umpama mayat hidup yang tidak punya rasa.
Waktu maghrib, leka mengelamun di dalam gelap. Menangis meratapi nasib diri. Tidak berguna apabila sering keguguran. Suara-suara aneh bergelak ketawa di telinganya. Menuduh Maria isteri tidak ada apa-apa. Tahu hamil tetapi lekatnya tidak. Rambutnya terasa diusik. Kakinya terasa dicuit. Hari demi hari Maria semakin tertekan. Semakin menggunung sesal dan semakin benci kepada diri. Suara aneh sering menghasut. Sesak nafas Maria semakin parah.
Pisau dihala.
"Kau ceraikan aku! Aku benci kau. Kau cari isteri lain. Aku tak berguna. Kau cari skandal kau yang kau cinta!" jerkah Maria kepada Marwan.
"Atau kau bunuh aku. Aku penat macam ni. Aku benci kau. Aku benci semua" sambung Maria lagi.
Marwan kaget. Keadaan Maria parah. Belum pernah isterinya meminta yang tidak-tidak. Puas disabarkan isterinya. Bimbang jika bertindak di luar kemampuan. Dua anaknya sudah menjerit ketakutan. Kelihatan di mata mereka, itu bukan ibu tetapi entah makhluk apa yang membantu si ibu dalam amuk begitu.
Maria mengurung diri didalam bilik. Pegun. Bermain-main dengan pisau ditangan. Emosinya berkecamuk. Entah apa yang tak kena Maria tidak tahu. Benar-benar buntu.


.....Panggilan dari adiknya yang memaksanya balik untuk menyambut ulangtahun kelahiran ibunya terngiang-ngiang. Mahu tidak mahu dituruti permintaan si adik.

--
"Kaklong kau lain macam je. Ni bukan dia. Mana pernah dia macam ni. Senyap dan tak berbunyi. Macam jasad di sini tapi roh entah dimana. Bawa dia jumpa Pakcik Rahmat, ngah" bilang ibu.
--
Di rumah Pakcik Rahmat.
Pandangan Maria yang tajam penuh dendam kesumat menarik perhatian Pakcik Rahmat. Dia tahu ada benda menduduki tubuh wanita beranak dua itu.
"Cerita apa masalah"
"Tiada masalah. Disuruh ke sini maka aku turutkan. Cepat. Aku nak balik. Aku penat" ujar Maria bengis.
Kalimah Allah dibaca. Setiap baris kalimah meresahkan Maria. Terbakar di dada. Merebak ke kerongkong kemudian turun ke dada semula. Gelodak di dalam tubuhnya membuatkan Maria semakin tidak senang duduknya..
"Allahuakhbar!" laung Pakcik Rahmat sambil melakukan beberapa renjisan air ke tubuh Maria. Asap putih keluar, bertukar hitam apabila keseluruhannya dikeluarkan dari tubuh Maria.
Puff! Hilang.
Tangis mendayu kedengaran di luar rumah Pakcik Rahmat disertai dengan angin kuat seperti rempuhan makhluk entah apa. Bergegar isi rumah.
Sunyi.

Sepi.

"Minum air ni nak" ujar Pakcik Rahmat sambil menghulur secangkir air kepada Maria, disambut lemah dan dibantu suaminya.
"Isteri kau kemurungan. Apabila emosi berkecamuk, dengan diri yang sedar dalam hadas maka ada sahaja makhluk yang akan mendekat dan mengambil kesempatan. Rohnya diseru entah kemana pergi dan diganti dengan makhluk laknat itu. Jika terlambat, harus porak peranda rumahtangga kalian. Niat asal mahu kalian berpisah." panjang lebar Pakcik Rahmat memberitahu.
"Mimpi pertama dengan bau busuk itu amaran awal. Tanda ada yang sedang mendekati. Apabila mula alpa, maka kesempatan yang ada digunakan oleh makhluk itu. Janin kalian menjadi makanannya. Kemudian sedikit demi sedikit cuba memakan diri dari dalam" ujarnya lagi.
"Maka, sebagai suami kamu perlu sokong isteri dan fahami emosinya. Jangan kamu tidak ambil endah dengan aduan dan kegusarannya. Adakala, ilmu perubatan moden pun tidak boleh digunakan jika ia berkaitan dengan spiritual begini. Syaitan itu ada." ujarnya penamat bicara.

Tamat

Nukilan: Bel Nawhen
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: