Saturday, 16 December 2017

Siri H.E.R.O : ORKID - Muiz Robyn


ORKID

Penulis: Muiz Robyn

=========================
“Dengan ini mahkamah memutuskan Cik Orkid binti Abdullah tidak bersalah.”
Tukul diketuk tiga kali. Bunyi ketukan itu masih terngiang-ngiang. Walaupun ketukan itu membawa dia satu kemenangan tetapi dia langsung tidak gembira.
Dia mengemas pakaian yang dibawa, disusun masuk ke dalam almari. Hari ini merupakan hari yang agak memenatkan. Perjalanan yang cukup jauh. Mujurlah dia tidak disuruh masuk terus ke kelas hari ini.
Dia berbaring di atas katil setelah selesai mengeringkan rambut. Memikirkan banyak perkara. Sama ada betul atau tidak keputusan yang dibuat. Dia memikirkan juga apa yang bakal berlaku esok. Sindrom budak-budak masuk sekolah baru. Risau campur teruja. Takut campur suka. Dia sepatutnya lebih banyakkan bersedih dengan apa yang berlaku beberapa hari lepas.
Hopefully ada lelaki handsome dalam kelas itu – bisik hati kecilnya lalu dia tersenyum sendiri.
Dia kemudiannya menoleh ke tepi, ke arah Marisa, teman sebiliknya yang baru. Bilik ini tidak kecil dan tidaklah besar. Selesa untuk didiami oleh dua orang manusia. Ada bilik mandi sendiri. Tidak seperti di asrama sekolah-sekolah lain di luar sana.
Marisa sudahpun berselubung di bawah selimut. Kedatangannya siang tadi ke bilik ini langsung tidak disambutnya mesra oleh Marisa. Cukup sekadar, “Oh, hai aku Marisa.” Berjabat tangan pun tidak.
Ah, aku harap aku dapat tempuh kehidupan aku kat sini selepas ini dengan lancar – bisiknya lagi.
SMK Pulau Bayang. Ini tempat baru untuk dirinya. Minggu lepas, dia bukan di sini.
***
Ketika doa sedang dibaca, hujan renyai mula turun menyembah bumi Kampung Busut Jin. Sudah hampir dua bulan hujan tidak turun, hari ini mungkin Tuhan mahu memberi rahmat. Mungkin juga sebagai tanda Dia sedang menyambut kedatangan ahli baru ke dunia barzakh - mak dan abah.
Dia biarkan sahaja hujan renyai membasahkan ubun-ubun. Begitu juga yang lain-lain. Langsung tidak berganjak dari posisi. Tangan terus ditadah ke langit, menyedekahkan ayat-ayat agung buat ibu bapanya. Langsung tidak berpayung, tak dia sangka langit bakal menangis. Bersama-sama.
"Orkid.." Tok Aji, si ketua kampung, datang mendekati ketika dia, Orkid, yang bersendirian di tepi kuburan. Hujan sudah berhenti.
“Sekejap lagi saya balik lah, Tok.” Ujar Orkid, tidak menoleh langsung ke wajah orang tua itu.
“Tok tau kamu sedih tetapi tak eloklah meratap macam ni lama-lama.”
“Saya tak menangis lah, Tok.”
“Habis tu, kamu buat apa lama-lama dekat sini. Makcik Rogayah kata dari pagi tadi kamu keluar dari rumah.”
“Saya ziarah kubur mak dan abah, bukannya pergi mana-mana.”
“Makcik Rogayah tu risaukan kamu. Keluar waktu hujan macam ni. Tengok tu, payung pun kamu tak bawa. Tok bukan apa, risau kamu buat benda bukan-bukan. Hati kamu tu tengah goyah, senang syaitan nak rosakkan.”
“Pandai lah saya jaga diri. Saya dah besar. Dah 15 tahun. Tok cari saya ni sebab Makcik Rogayah suruh ke?”
“Eh, bukan. Tok ada hal lain. Ada orang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat cari kamu.”
Akhirnya, Orkid memaling muka ke arah Tok Aji yang berada di belakang. Nun, jauh di depan pagar tanah perkuburan, seorang wanita lengkap memakai sut, berkaca-mata hitam dan berpayung sedang berdiri memandang ke arahnya. Satu envelop coklat dikepitkan di celah ketiak. Orkid mengerutkan dahi tanda hairan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat? Kenapa?”
“Kamu tu kan dah tak ada saudara terdekat. Nama kamu automatik di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan.”
“Makcik Rogayah ada.”
“Dia jiran kamu je, Kid.”
Orkid akhirnya bangun dan berdengus. Melepaskan keluh yang dalam, mungkin sudah lama dia simpan. Sekali lagi matanya memandang ke arah wanita bersut di luar sana.
Siapakah dia? Apa tujuannya? Bertubi-tubi soalan bermain di fikiran, apatah lagi apabila wanita itu datang dengan sebuah Vellfire berkaca hitam gelap. Ada seorang lelaki di dalam sedang asyik menggunakan telefon bimbit. Menambahkan lagi rasa curiga dalam hati Orkid.
“Cik Orkid?” soal wanita itu setelah Orkid dan Tok Aji tiba di sana.
"Ya, saya." Orkid menyahut.
"Saya Anita dari Kementerian Pendidikan." Ujar wanita itu sambil menghulurkan salam.
Salam disambut. Matanya tajam memandang wanita itu kemudian dikalihkan ke muka Tok Aji. Musykil. Anak matanya berkilau biru – tanda dia mula rasa tidak sedap hati.
“Tok Aji cakap jabatan kebajikan?”
“Betul. Tetapi saya juga wakil dari Kementerian Pendidikan.”
"Ada apa ye?"
“Orkid sekarang dah masuk di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jadi, saya datang hari ni atas arahan pihak kementerian untuk bawa Orkid ke Putrajaya. Orkid akan dipindahkan ke sekolah baru dan penempatan baru."
Envelop yang sejak tadi kemas terkepit di celah ketiaknya, diserahkan kepada Orkid.
"Eh, kenapa pula nak kena pindah?"
"Ini arahan dari kementerian. Orkid tak boleh tolak. Lagipun, Orkid kan..." wanita itu memandang ke arah kubur mak dan abah yang masih merah.
Ya, dia tiada adik beradik lain. Mak nya anak tunggal. Abah nya pun anak tunggal. Genetik mereka barangkali. Kedua-dua atuk dan nenek dari kedua-dua belah juga sudah lama meninggal dunia. Kali ini, orang tua nya pula mengikut jejak langkah mereka. Secara teknikalnya, Orkid kini yatim piatu dan sebatang kara.
"Hari ini juga ke Puan Anita?" soal Tok Aji.
"Kalau nak ikutkan sepatutnya hari ini. Tapi tak apa, saya bagi kelonggaran. Saya nak adik Orkid balik rumah dulu, baca surat ni elok-elok. Kemaskan semua pakaian. Isnin pagi saya datang jemput Orkid semula."
Kata-katanya berbaur arahan. Arahan yang tidak memberikan dirinya opsyen untuk menolak. Siapa dia untuk menolak? Dia tak ada apa-apa kuasa. Nak tinggal di kampung ini – siapa nak jaganya nanti? Makcik Rogayah, anak dia sahaja ada 7 orang. Takkan lah senang hati nak ambil dirinya jadi anak angkat.
Orkid ada terfikir untuk bertanya setelah pulang dari pertemuan itu, tetapi niatnya terpaksa dibantutkan apabila mendengar kata-kata Makcik Rogayah ketika berbual dengan Tok Aji petang itu.
“Elok lah tu orang jabatan kebajikan nak ambil dia. Duduk kat kampung ni pun tak ada orang nak tengok-tengokkan. Nak harapkan saya, Tok, jenguk gitu-gitu je boleh lah. Lagi pun saya risau. Orkid tu anak dara. Anak saya pula semuanya jantan. Masa kecil ni, boleh lah duduk sekali tak rasa apa. Dah besar nanti, susah, tok.”
Orkid faham.
Pagi Isnin itu, dia dijemput seperti yang dijanjikan. Puan Anita datang dengan wajah manis. Pemandu di dalam Vellfire hitam itu juga adalah lelaki yang sama – juga masih sibuk dengan telefon bimbitnya.
"Orkid jaga diri elok-elok tempat orang. Ingat..solat tu jangan tinggal. Orkid sorang je lah harapan abah dan mak nak masuk syurga nanti. Kalau ada masa terluang, balik lah jenguk kampung ni. Nanti sekali-sekala makcik bersihkan rumah peninggalan arwah mak ayah kamu ni." Pesanan terakhir dari Makcik Rogayah sebelum kereta meluncur laju meninggalkan Kampung Busut Jin.
"Tak apa. Biar saya bawa beg ni. Cik Orkid ikut je Puan Anita masuk ke dalam." jelas si pemandu kereta setelah mereka sampai. Orkid masih belum tahu namanya. Ah, tidak penting.
"Ikut saya." seru Anita.
Orkid mengekori dari belakang, masuk ke pejabat Kementerian Pendidikan. Bangunannya lebih cantik dan moden berbanding pejabat Kementerian Pendidikan yang lama. Lobinya agak luas dan sedikit sibuk dengan orang ramai (pekerja?).
Kaunter depan hanya ada seorang pekerja wanita yang sedang sibuk mengenakan gincu. Pengawal keselamatan sedang bercakap dengan lelaki berkemeja biru cair di sudut tepi. Seorang lelaki sedang membawa gelas berisi air kopi menuju ke ruang kerjanya. Jam di dinding menunjukkan pukul 11 pagi. Televisyen di ruang sofa sedang memaparkan rancangan jualan barangan kecantikan dari syarikat tv swasta. Papan tanda Bahagian Pendidikan Khas terpampang besar pada dinding di sebelah kanan.
Setelah mereka melangkah masuk ke dalam lif, Anita meletakkan tapak tangannya pada skrin yang terdapat pada dinding. Cahaya hijau kebiruan seolah-olah mengimbas tapak tangannya. Wow! – gumam Orkid dalam hati.
Lif bergerak menurun kemudian terhenti pada aras P7. "Platform Seven." Suara mesin operatorberbunyi lalu pintu lif terbuka.
Dahi Orkid berkerut. Barangkali dia mula berasa hairan dengan apa yang ada di depan ketika itu - sebuah stesen keretapi bawah tanah. Lengang tanpa manusia melainkan mereka bertiga.
Sekali lagi Anita menepek tapak tangannya, kali ini pada skrin yang terdapat di tepi pintu keretapi. Pintu terbuka lalu mereka melangkah masuk.
Gerabak itu bukan seperti gerabak keretapi biasa. Isi dalamnya bukan seperti yang sering dia lihat ketika menaiki monorel di Kuala Lumpur ataupun seperti ERL. Gerabak ini lengkap dengan katil, peti sejuk, televisyen dan meja makan. Perlu ke semua ni? – gumamnya.
"Saya boleh hantar Orkid setakat ini sahaja. Orkid ambil kad akses ni, nanti dekat sana Cikgu Abraham akan jemput Orkid dari stesen," jelas Anita lalu dia menyerahkan sekeping kad berwarna chrome kepada Orkid. Muka Orkid terpampang jelas pada kad. Muka yang sama terdapat pada kad pengenalan.
Kedua-dua mereka meninggalkan Orkid sendirian di dalam gerabak. Apabila keretapi sudah bergerak, mereka hanya tersenyum tanpa melambai. Orkid menarik bagasi mendekati tubuhnya yang sedang terhenyak di atas katil. Matanya meliar memandang ke sekeliling. Tiada apa-apa. Semuanya gelap gelita. Dinding konkrit yang tebal barangkali.
"Terima kasih di atas kesudian menggunakan perkhidmatan kami. Destinasi seterusnya - Pulau Bayang - mengambil masa selama 5 jam 18 minit. Para penumpang dijemput menggunakan fasiliti yang kami sediakan di dalam gerabak masing-masing. Terima kasih." Suara operator kedengaran dari corong speaker.
Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Bayang. Itulah yang tertulis pada surat yang diterimanya tiga hari lepas. Sejujurnya dia tak pernah dengar langsung tentang sekolah ini. Ada juga dia bertanya kepada kawan-kawan lain, semua kata tak pernah dengar. Google pun tak jumpa.
"Sekolah baru kot, Orkid. Best la kau dapat sekolah baru." Kata-kata Rina ketika dia menelefon rakan karibnya itu malam semalam, masih lagi bermain di kepalanya.
“Pulau Bayang. Pulau Bayang.” Suara menjengkelkan keluar dari corong speaker membuatkan Orkid terus terjaga dari tidur. Dia sendiri tidak sedar bila masa dia sudah lena di atas katil. 5 jam berlalu pantas.
Pintu gerabak terbuka dengan sendiri. Apabila dia melangkah keluar, seorang lelaki tua bertongkat sedang berdiri menunggu tidak jauh dari situ.
“Cikgu Abraham?” soalnya.

“Selamat datang, Orkid.”
“Maaf kalau cikgu tunggu lama.”
“Tak mengapa. Memang ini tanggungjawab saya.”

Orkid mengekorinya menuju ke arah lif. Lif ini sama seperti di pejabat Kementerian Pendidikan. Ada handprint scanner. Cikgu Abraham menepek tangannya ke situ. Setelah tangannya diimbas, lif naik ke tingkat G. Cuma kali ini, mereka bukanlah berada di dalam bangunan seperti di Putrajaya tetapi berada di dalam sebuah pondok telefon berdinding merah, di atas dataran batu.
Di luar pondok telefon, satu bangunan yang cukup besar berdiri megah di depan mereka. Perkataan SMK PULAU BAYANG tertera pada dindingnya. Ada sekumpulan pelajar sedang duduk beristirehat di bawah pokok rendang. Ada juga yang sedang bermain bola keranjang di gelanggang sana. Tak kurang juga ada kelas yang sedang berjalan tetapi sesi P&P dibuat di atas padang rumput di tepi kolam.
"What kind of school is this?" gumamnya.
***
“Sebelum tidur, tutup lampu tu.” Suara Marisa mengganggu lamunan Orkid ke kisah perjalanannya siang tadi.
Orkid melihat ke arah gadis itu yang masih berselubung di dalam selimut. Itu suaranya yang kedua kali dia dengar hari ini. Orkid memutarkan bola mata. Ada sedikit rasa jelik terhadap sikap teman sebilik barunya itu. Dengan pantas Orkid bangun dari katil lalu menekan suis lampu.
Ketika dia baru melabuhkan kepala ke bantal, tombol pintu bilik berbunyi. Dipulas seseorang. Pintu kemudian terkuak lalu lampu dari koridor masuk menerpa ke dalam bersama-sama bayang sekujur tubuh perempuan. Suis lampu ditekannya.
“Aaaaa!!” gadis di depan pintu menjerit. Tindakan responsif dari Orkid, dia turut sama menjerit. Jerit berduet.
“Kenapa pandang aku macam tu?” soal gadis itu.
“Aku terkejut, ada orang masuk. Kau siapa?” soal Orkid.
“Sorry tak sempat nak balik bilik satu hari ni. Jadual aku padat sangat. Kau Orkid kan? Cikgu Abraham ada bagitahu aku akan dapat roommate baru hari ni. By the way, aku Marisa.” Gadis itu menghulurkan tangannya untuk berjabat.
Orkid terpempan. Marisa? Jadi siapa.. - dia memandang ke arah katil Marisa. Kosong. Tiada sesiapa yang berselubung dengan selimut di situ.
“Aku ni president kelab teater. Minggu depan ada pertandingan. Sebab tu busy sikit lately ni. Kau maybe akan kerap keseorangan kat bilik ni dalam seminggu dua. Aku janji lepas habis semua hal teater ni, aku bawa kau ronda-ronda pusing sekolah, pusing pulau ni.” Kata Marisa lagi sambil dia sibuk menyalin pakaiannya.
Orangnya ramah sebenarnya. Jauh berbeza dengan ‘Marisa’ tadi.
***
Pagi Selasa.
Hari pertama Orkid sebagai pelajar di sekolah ini. Dia mengekori Cikgu Abraham menuju ke kelas 3 Utarid. Dari jauh, suasana riuh kelas itu dapat didengari. Pasti guru matapelajaran yang bertugas masih belum masuk.
Kedatangan mereka disambut dengan laungan selamat pagi dari seorang lelaki berkaca mata yang duduk di meja paling depan di barisan tengah. Ada 3 barisan yang menggabungkan dua buah meja secara kembar. Dalam satu barisan, ada 5 meja berkembar tersusun elok sehingga ke belakang. Jadi, secara rawak jumlah meja dan kerusi yang ada di dalam kelas itu adalah sebanyak 30 buah. Tetapi, tidak semuanya dihuni. Masih ada beberapa unit kerusi dan meja yang kosong.
“Hari ini, kamu semua akan dapat pelajar baru. Saya perkenalkan, Orkid.” Ujar Cikgu Abraham. Orkid menguntum senyum. Dia memandang ke segenap isi kelas. Melihat raut-raut wajah pelajarnya. Ada yang melambai, ada yang tersenyum, ada yang menjeling, ada yang langsung tidak memandangnya, ada yang tidur dan ada yang sedang menekan-nekan kalkulator. Matanya tiba-tiba tertarik ke arah seorang lelaki yang duduk di meja paling belakang di barisan meja paling kiri. Lelaki itu langsung tidak senyum.
Handsome tapi sombong – gumamnya.
“Orkid, awak boleh pilih mana-mana meja yang kosong.”
Orkid mengangguk lalu dia terus berjalan menuju ke meja yang kosong terdapat di baris paling kiri, betul-betul di hadapan lelaki sombong. Cikgu Abraham terus meninggalkan kelas kemudian diganti masuk pula oleh seorang guru perempuan berambut panjang lepas sehingga ke paras pinggang. Rambutnya sedikit keperangan. Dia memeluk sebuah buku teks Sains Tingkatan 3.
Kelas yang tadinya riuh, kini sunyi sepi. Biasanya suasana seperti ini akan berlaku sekiranya guru di hadapan adalah seorang yang garang.
“Selamat pagi, kelas!” serunya.

“Selamat pagi, cikgu.” Sahut seluruh isi kelas. Lelaki di belakang Orkid hanya diam.

Mulut pun berat nak buka – omel Orkid lagi.
“Oh, hai Orkid! Welcome to SMK Pulau Bayang. Harap awak boleh sesuaikan diri dekat sini. Terutamanya kelas ni. Budak kelas ni nakal sikit. By the way, saya Cikgu Fatimah. Awak boleh panggil saya Cikgu Fety je.”
Orkid sekadar tersenyum dan mengangguk.
“So, class. Hari ini kita akan masuk ke bab seterusnya. Buka buku teks muka surat 126.”
Kali ini, Orkid sedikit terpempan. Entah bagaimana, papan putih yang tadinya bersih kini perlahan-lahan munculnya perkataan MITOSIS dan MEIOSIS.
“Ramdan, wake up! Open your text book!” Cikgu Fety memanggil lelaki yang sedang tidur di meja paling belakang di barisan kanan.
Lelaki itu serta-merta bangun walaupun matanya masih tertutup. Pergerakannya seolah-olah dipaksa. Beg sandang di belakangnya terbuka dengan sendiri. Buku teks Sains Tingkatan 3 melompat keluar lalu mendarat kemas di atas mejanya. Kemudian, terbuka dengan tepat ke muka surat 126.
“Aaaaa!!” Orkid menjerit. Semua orang memandangnya. Bulu romanya naik meremang. Dia lantas bangun lalu berlari menuju ke dinding kelas.
“Orkid?” Cikgu Fety menegur. “Kenapa?”

“Cikgu tak nampak ke?” soal Orkid sambil menunjuk ke arah Ramdan.
“What?” Ramdan menyoal hairan. Lelaki sombong di meja belakang pula tersenyum mengejek.
“Beg tu bergerak sendiri. Buku tu pun.” Jawab Orkid, gugup.

Satu kelas pecah tawa.
“Kamu biar betul ni, Orkid?”

“Betul. Saya nampak!”
“Bukan. Maksud saya, kamu biar betul tak tahu apa kamu nampak tadi. Saya tahu, saya nampak juga tapi kamu betul-betul tak tahu?” soal Cikgu Fety.

Dahi Orkid berkerut. Dia betul-betul kaget sekarang.
“Awak betul-betul tak tahu awak berada di mana sekarang Orkid?” soal Cikgu Fety.
Orkid menggeleng. Dia menggigil. Tangannya mula menjadi sejuk.
“Puan Anita tak ada bagitahu apa-apa?” Orkid menggeleng. “Cikgu Abraham?”
“Serious lah kau ni? Kau tak pernah nampak ni?” seorang pelajar perempuan bangun lalu tubuhnya terbakar. Seleruh tubuhnya marak dengan api yang kemerahan.
“Aaaaaaa!!” Orkid menjerit ketakutan. Satu kelas gelakkannya.
Tok! Tok! Tok! – meja guru diketuk oleh Cikgu Fety, “Diam!!” jeritnya.
Ketukan tersebut membuatkan otak Orkid semakin ligat berfikir. Mengimbau kembali bunyi ketukan tukul sang hakim. Muka hakim yang garang. Muka pendakwaraya yang sombong. Dia sendiri tidak menyangka dia bakal duduk di dalam kandang mahkamah atas kesalahan membunuh. Mujurlah peguambela yang diupah oleh bapanya antara yang terhebat. Dia dibebaskan dan diputuskan tidak bersalah. Namun, tragedi sebenar masih tak dapat dibuang dari kotak memori.
“Well! Well! Tengok siapa ada dekat sini..” Rose dengan bongkaknya menegur Orkid di dalam tandas pelajar perempuan, Blok F, blok paling hujung di SMK Busut Jin. Blok ini antara blok yang paling jarang digunapakai disebabkan kedudukannya yang jauh dan kelas-kelas di sini dipenuhi dengan bengkel Kemahiran Hidup dan Makmal Sains.
Azila dan Fazura turut sama mengekori. Masing-masing lagaknya macam samseng.
“Kau nak apa ni, Rose?” soal Orkid.

“Eh, ni bukan tandas bapak kau, lantak aku la nak buat apa kat sini.”

Orkid hanya menggeleng. Selepas tangannya dicuci, dia bergegas mahu keluar tetapi dihalang oleh Rose, keras.
“Lek lek la dulu..”

“Aku ada kelas lah!”
“Wuuuu. Busy nau nau...ye aku tau kau selalu busy. Sebab tu kau busy body report nama kitorang dekat Cikgu Shaari (guru disiplin) pasal kitorang isap rokok kat belakang bengkel KH hari tu, kan?”

Orkid terpempan. Nak disangkal, memang itu yang dilakukannya.
“Apa masalah kau dengan aku ni, Orkid?” Rose menolak bahu Orkid. Azila cepat-cepat mengunci pintu utama tandas.

“Aku ada kacau hidup kau ke betina?!” bentak Rose lagi. Kepala Orkid ditunjalnya kuat sehingga gadis itu terjelopok ke lantai.
“Apa ni Rose. Aku tak cari pasal dengan kau pun.”
“Tak cari pasal kau cakap? Tak cari pasal?! Habis yang Cikgu Shaari sampai rotan kitorang tu, tu bukan cari pasal? Dasar betina sundal!” satu sepakkan padu hinggap ke perut Orkid. Azila dan Fazura juga tak lepaskan peluang. Ringan sahaja kaki mereka memijak-mijak badan Orkid.
“Cukup!” seru Rose. “Angkat dia, pegang tangan dia.”

Laju sahaja kedua-dua rakan konconya itu mengangkat Orkid yang sudah lembik. Tubuh Orkid disandarkan ke dinding. Tangan Orkid dikunci kemas oleh kedua-dua mereka. Rose tersenyum jahat. Dirabanya tiub kaca kecil yang ada di dalam poket.
“Say hi to my friend, perkenalkan..Senti.” Rose tersenyum melihat lipan bara belaannya yang berada di dalam tiub kaca.

“Jangan Rose, jangan!!!!!” Orkid menjerit ketakutan.
“Huh! So anoyying..” rungut Fazura lalu dia melorotkan seluar dalamnya dari dalam kain. Digumpalnya, lalu disumbat ke mulut Orkid. “Hummpph..hummpph..hummpphh..” gadis itu meronta-ronta.

Rose menyingkap tudung yang dipakai Orkid. Kolar baju kurung sekolah Orkid direntapnya lalu lipan bara di dalam tiub kaca dituang ke dalam baju. “Hummmmpppphhhhhhhhh!!!!!” Orkid menjerit, tersekat.
Satu sengatan berbisa terasa di atas pangkal dadanya. Orkid terus menjerit dan meronta. Air matanya mula tumpah. Rose dan dua sahabatnya ketawa puas. Berdekah-dekah. Puas dan jahat. Mereka seronok melihat Orkid menggeletis minta dilepas.
“Sakit? Macam tu lah sakitnya kitorang hari tu bila kena rotan dengan Cikgu Shaari. Semua sebab mulut puaka kau tu. Sekarang kau rasa lah!” bisik Rose ke telinga Orkid.
“Sudah! Jom!” seru Rose lalu dia menapak menuju ke pintu.
“Aarrgghh!!” suara Orkid meraung kasar setelah kain yang tersumbat di mulut berjaya dikeluarkan. Suasana sekeliling mula menjadi dingit. Sejuk seperti di kutub utara. “Aaarrgghh!!” lolongannya semakin kuat. Dalam sekelip mata seluruh genap ruang tandas tersebut beku diselaputi ais. Dinding, lantai, siling, tingkap dan pintu. Semuanya membeku.
Rose, Azila dan Fazura terpempan. Tombol pintu mengeras dilatupi ais, tidak bisa dipulas.
“Rose!” Fazura menggigil. “Apsal ni weh? Kenapa Orkid jadi macam tu?”

“Setan! Setan!” jerit Azila “Orkid bela setan!!”

Orkid berdiri dengan garang di depan mereka. Mata Orkid bercahaya kebiru-biruan. “Kau orang salah besar buat aku macam ni!!!” pekik Orkid. Cerucuk-cerucuk ais yang tajam tumbuh laju, naik dari lantai lalu menikam perut ketiga-tiga mereka. Darah memercik ke sana-sini.
Orkid terjelopok pengsan.
Entah berapa lama dia tidak sedarkan diri. Apabila dia membuka matanya, dia melihat Marisa sedang duduk di atas bangku sambil menelaah sebuah novel di tangan. Lampu kalimantang bulat memancar putih terang di atas siling, menyilaukan matanya.
“Dah jaga.” Marisa menegur.

“Aku kat mana ni Marisa?” soal Orkid.
“Pusat Kesihatan sekolah. Kau pengsan dalam kelas.”

Mendengar penjelasan Marisa, Orkid terus tersentap bangun. Dia teringat semula tentang apa yang dilihatnya di dalam kelas tadi. Nafasnya turun naik, laju.
“Kau relaks. Sekejap lagi aku bawa kau pusing sekolah ni. Cikgu Abraham patutnya jelaskan dekat kau lebih awal, tak adalah kau culture shock sampai macam ni sekali.” Marisa memujuk.
Petang itu, Marisa melunaskan janjinya. Orkid di bawa pusing-pusing satu kawasan sekolah.
SMK Pulau Bayang. Sekolah ini dibina dua tahun lalu. Dibina di atas sebuah pulau diberinama Pulau Bayang. Pulau ini tiada di dalam peta Malaysia mahupun peta dunia. Kewujudannya dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Satu-satunya jalan untuk ke pulau ini adalah menerusi laluan keretapi bawah tanah yang telah dibina oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat secara rahsia.
Apa yang berada di pulau ini? Itu yang sepatutnya diberitahu kepada Orkid sejak awal lagi.
“Pulau ni, tempat anak-anak buangan macam kita.”

“Anak-anak buangan?”
“Serius lah kau tak tahu apa-apa, Orkid?”
“Kau ceritakan lah semuanya. Aku memang langsung tak tahu apa-apa.”

Marisa menjemput Orkid duduk di atas sebuah bangku. Di depan mereka, ada sebuah tasik yang tidaklah berapa besar. Sesuai untuk para pelajar sekolah ini menghabiskan waktu petang dengan berjogging.
“See that?” soal Marisa sambil menunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang berjogging. Lariannya pantas. Satu pusingan tasik mengambil masa 10 saat sahaja. “Dia adalah manusia paling pantas dekat sekolah ni. Hafizi. Kelas 5 Musytari.”
“Yang itu pula, Salima. Budak 1 Utarid. ” Marisa menuding jari ke arah gadis yang sedang memberikan sekumpulan burung makan sesuatu di telapak tangannya. “Semua haiwan sayang pada dia. Semua dengar cakap dia.”
“Kau tengok budak laki yang terbaring atas rumput tu.” Marisa memuncungkan bibirnya ke arah lelaki itu. “Ehsan. Sekelas dengan aku, 3 Zuhal. Dia tu, tak pernah jamah makanan sepanjang hidupnya. Dia hidup cuma dengan menyedut cahaya matahari.”
“Photosistesis?” soal Orkid.

“Lebih kurang.”
“Jadi, SMK Pulau Bayang ni macam..macam..”
“Ya, macam tu lah. Aku tahu kau rasa kelakar nak sebut kan?” Kedua-dua tergelak serentak namun tawa Orkid kembali memudar pantas.

"Tapi aku dah bunuh orang.." gumamnya perlahan. Hiba dan kesal.
Marisa lantas memaut bahu Orkid. Lengan gadis itu digosok-gosoknya ibarat memujuk agar terus bersabar.
“Semua orang kat dalam ni ada sejarah hitam masing-masing. Cuma tunggu masa untuk kau ketahui semuanya.” Jelas Marisa.
“Thanks, Marisa. Sudi jadi kawan aku.”
Marisa sekadar tersenyum.
-Tamat Bahagian 1-
=========================
ORKID

© Muiz Robyn

Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...


good job writer.