KARNIVAL KAMPUNG ALOR
=========================
"Apa tu, Man?" Talib mengecilkan matanya, melihat jauh ke ufuk utara kampung yang masih gelap. Cawan kopinya digodak perlahan. Sebelah kakinya diletakkan di atas bangku kedai kopi pasar Kampung Alor itu.
Azman menoleh ke arah apa sahaja yang menarik perhatian Talib tadi. "Karnival kot," jawabnya selamba.
"Karnival? Dalam kampung kita?" kening Talib terangkat, "siapa nak datang?"
"Orang kampunglah."
Talib diam sejenak. "Dalam kampung ni ada 432 buah rumah. Kalau kita kira kasar, ada dalam 1,500 sampai 2,000 orang dalam kampung ni. Yang tua kerepot saja dah separuh. Di pekan Banting tu, kau tahu, ada berpuluh ribu orang!" Kopinya dihirup deras, "apahal diorang nak buat karnival dekat sini?"
"Kau susah kenapa?"
"Tanya jer," Talib mencebik bibir.
Di arah utara kampung itu kelihatan beberapa buah khemah berkubah bersaiz sederhana. Semuanya berwarna kuning, manakala di tengah-tengah kumpulan khemah-khemah kuning tadi, berdiri sebuah khemah berkubah besar berjalur merah dan putih. Tiang-tiang bendera tinggi terpancang tidak tersusun. Tali-tali berhiasan digantung dari satu tiang ke tiang lain. Semuanya mengibarkan bendera merah dan kuning. Tampak meriah, cuma tiada seorang pun yang kelihatan. Seakan sebuah tapak ekspo yang telah ditinggalkan. Mungkin pagi terlalu awal. Mungkin juga orang kampung masih belum perasan, kerana khemah-khemah itu masih belum di situ malam semalam. Atau beberapa jam sebelum itu. Atau sebelum Talib menegurnya.
"Mana kau tahu itu karnival?"
Azman diam, memejamkan matanya, seakan mengamati sesuatu. "Kau dengar tu?" Bisiknya perlahan.
Talib yang sedikit tercengang turut memejamkan matanya, cuba mengamati setiap getaran bunyi di sekelilingnya. Kedengaran sayup-sayup muzik ceria gabungan irama foztrot dan waltz yang dianak-anakkan. Talib mengangguk, "yalah, memang muzik karnival tu."
"Aku agak jer. Sebab muzik tu lah," Azman menjeling ke arah Talib, "nak pergi tengok ke?"
Talib berkira-kira sejenak... pagi masih awal. Kalau terlalu awal ke bendang pun, boleh beku kaki. "Jom," ujarnya selamba.
Kedai kopi pasar itu ditinggalkan. Hamdan si tuan kedai sekadar menggeleng melihat gelagat dua orang sahabat itu. "Duit tak tinggal. Nak masuk bukulah tu."
Keheningan pagi Kampung Alor membuatkan desiran tapak kaki mereka kedengaran kuat. Matahari masih belum bersinar. Cuma cahaya pudar kekuningan yang kelihatan dari ufuk timur sampai separuh langit.
Langkah mereka terhenti beberapa meter dari hadapan salah sebuah khemah kuning tadi. Muzik tadi kedengaran semakin jelas. Tidak terlalu kuat, tidak terlalu perlahan, namun jelas. Talib mendongak, mencekak pinggang, lagak seorang ketua projek yang sedang mengamati bangunan baharu mereka. Azman pula menghentak-hentak kakinya, cuba untuk memisahkan tanah berbecak dari tapak seliparnya. Serentak itu juga kedengaran suara seseorang berdehem dari dalam khemah tadi. Talib dan Azman saling berpandangan.
"Assalamualaikum!" Ucap Talib deras.
"Hoi, yang buat karnival-karnival ni biasanya..." Azman menoleh ke kiri dan kanan, "biasanya Cinalah!" Bisiknya deras.
"Ah, ya tak ya," Talib membetul-betulkan topi nelayan di atas kepalanya. "Hello!"
"Hello!" Balas suara seorang lelaki dari dalam khemah tadi. "Hello!" Ulangnya lagi. "Hello!" Buat kali ketiga. Setiap ucapan itu dalam nada yang berbeza, namun suara yang sama. Seakan-akan mengajuk. Sekali lagi Talib dan Azman saling berpandangan, mengangkat kening.
"Ada apa ni encik? Karnival ke?" Talib menyoal penuh yakin. Panjang lehernya terjenguk-jenguk mencari pintu khemah. Namun tidak kelihatan.
"Ada apa ni encik? Karnival ke? Karnival ke? Ada apa ni encik? Karnival ke?" Sekali lagi suara lelaki tadi mengulangi setiap patah perkataan.
"Eh, kurang ajar dia ni!"
"Kau ni. Nama pun karnival. Mungkin ini trick," Azman kekal tenang.
"Trick apa? Bukannya dah mula pun. Gelap lagi ni."
"Gelap lagi ni. Gelap lagi ni. Eh, kurang ajar dia ni. Gelap lagi ni."
Tali mengetap giginya. Tangannya menggenggam penumbuk. Azman pula menepuk dahi melihat gelagat rakannya itu.
"Dah, dah, jom! Kita tunggu benda ni mula, nanti kita datang lagi," ujar Azman separuh merayu.
"Jom! Jom! Jom!" Suara tadi kedengaran semakin kuat mengulangi perkatan yang sama. Talib dan Azman tercengang. Muzik yang tadinya beralun jelas kini kedengaran semakin deras, menelan suara yang berulang-ulang tadi. "Jom! Jom! Jom!"
Talib menanggalkan topi nelayannya. Azman pula merapi-rapikan seliparnya, bersedia untuk pergi dari situ. Entah kenapa nalurinya kuat menyuruh dia berjalan laju menjauhi tapak 'karnival' itu. Lari, kalau boleh.
Muzik yang kedengaran semakin kuat tadi seakan tiada kemuncaknya. "Jom! Jom! Jom!" Kini suara itu bergema satu pekan kecil Kampung Alor.
Raungan Talib dan Azman ditenggelami irama foxtrot dan waltz yang dianak-anakkan. Ceria menutupi raungan mereka yang menggerunkan. Beberapa saat kemudian, semuanya kembali senyap. Tiada raungan, tiada irama, tiada suara berulang-ulang.
Matahari muncul setengah jam selepas itu. Waktu ini, beberapa orang kampung sudah mula mengerumuni tapak ceria itu. Tok Sibir si ketua kampung berdiri di hadapan sekali, cuba menenangkan keadaan. Muzik tadi masih kedengaran, namun seperti awalnya, bermain sekadar jelas. Tidak terlalu kuat, tidak pula terlalu perlahan. Cukup menceriakan suasana.
"Apa ni tok? Mengganggu orang nak tidur! Siapa kasi diorang lesen ni? Tok ke?" Seorang lelaki pertengahan umur bermisai lebat bersuara lantang, menggegarkan setiap lemak dalam tubuh gempalnya.
"Kau ni Sadan, cuba jangan tuduh-tuduh. Kalau aku yang kasi lesen, takkan aku nak diamkan saja. Mesti aku umumkan tentang 'pampe' (funfair) ni!"
"Pampe apa? Funfair lah tok!" Tegur seorang lelaki muda berjambang kemas, separuh tertawa.
"Ha, yelah. Pampe," ulang Tok Sibir malas.
"Habis, kalau bukan tok, siapa?" Soal seorang lelaki lain.
Tok Sibir diam merenung lelaki itu, kemudian ke arah gugusan khemah-khemah besar di belakangnya. Tampak mengarut berdiri di atas tanah kosong di tengah sebuah kampung kecil. "Kejap, aku masuk tanya."
"Kami ikut, tok!"
"Tak payah! Biar aku masuk seorang. Kalau korang masuk karang, jadi masalah! Semua panas baran."
Yang lain diam menurut. Tok Sibir melangkah perlahan, dengan tangan ke belakang, meninjau setiap bahagian khemah. Tiada pintu. Khemah di hadapannya pula. Tiada pintu juga. Beberapa buah khemah ditinggalkan di belakang. Tumpuan Tok Sibir kini tertumpu kepada khemah besar di tengah-tengah gugusan itu. Kelibat orang-orang kampung yang lain tidak lagi kelihatan di sebalik warna kuning terang khemah-khemah yang lebih kecil tadi. Jika tidak kerana muzik ceria yang dimainkan berterusan itu, keadaan pasti sunyi.
"Assalamualaikum!" Laung Tok Sibir. Diam. Tok Sibir menggaru-garu kepalanya.
"Selamat pagi!" Ucapnya lagi, jelas.
"Selamat pagi!" Balas suara seseorang dari dalam khemah besar berjalur merah putih itu.
"Ah, ada pun orang," bisik Tok Sibir mengangguk-angguk. "Encik, saya Sibir. Ketua kampung. Boleh keluar sekejap?" Tok Sibir menjenguk-jengukkan kepalanya, mencari pintu khemah itu. Seperti juga khemah-khemah kuning tadi, khemah besar itu tidak berpintu. "Encik?" Panggil Tok Sibir lagi.
"Kurang ajar dia ni!" Ujar suara tadi.
"Eh! Aku pulak yang kurang ajar?" Bentak Tok Sibir tidak percaya. "Kau semua dari mana? Siapa bagi kebenaran buat 'pampe' (funfair) dalam kampung aku ni?"
"Kau semua dari mana?" Soal suara tadi. Tenang tidak bernada.
"Kami semua orang kampung sini! Dari sinilah! Kau tu dari mana?"
"Dari sinilah!"
Tok Sibir mengetap giginya, geram. "Encik, saya cakap elok-elok ni. Jangan main-main. Tolong keluar. Kita jumpa... bincang!"
"Jom! Jom! Jom! Jom!" Ulang suara tadi.
"Hah, jomlah!" Sahut Tok Sibir, sedikit tercabar.
"Jom! Jom! Jom! Jom!" Suara tadi kedengaran semakin kuat, seakan datang bukan dari dalam khemah di hadapan Tok Sibir, tapi dari khemah-khemah di sekelilingnya juga, "jom! Jom! Jom! Jom!"
Tok Sibir kaget. Kedengaran semakin ramai yang mengulangi perkataan ringkas itu dari dalam khemah-khemah lain. Baru sahaja Tok Sibir hendak berpaling pergi, muzik yang bermain sejak dari tadi kedengaran semakin kuat dari mengelilinginya. Khemah besar di hadapannya tadi bergerak-gerak, seakan ditiup angin, namun dari arah dalam. Lutut Tok Sibir terasa longgar. Seluruh tubuhnya ditenggelami bayang-bayang hitam. Bayang-bayang sesuatu yang berdiri tinggi di hadapannya. Tok Sibir mendongak dengan mata buntang sebelum raungannya ditenggelami bunyi muzik keanak-anakan tadi.
Di luar tapak 'karnival' itu, Sadan sedang berdiri mencekak pinggang, lagak seorang ketua yang tidak dilantik. Beberapa orang di belakangnya mula menutup telinga. Muzik tadi berubah bingit. Menggigil bahu Sadan menahan marah.
"Ah! Lantaklah, apa nak jadi, jadi! Aku nak masuk! Siapa nak ikut, jom!" Matanya mengerenyet menahan kebingitan pada gegendang telinga. Suaranya yang sedia kuat hampir tenggelam. Beberapa orang pemuda yang lain mengangguk. Yang tua-tua sekadar menggeleng tidak bersetuju.
"Jom!" Laung Sadan penuh semangat.
Enam orang lelaki lain melangkah penuh berani di belakang Sadan. Sadan berusaha menahan dirinya dari menutup telinga. Namun yang lain-lain jelas kelihatan terganggu dengan muzik yang dimainkan semakin deras itu.
Sampai sahaja mereka ke tengah-tengah tapak itu, kelihatan khemah besar di mana berjalannya perbincangan pendek Tok Sibir tadi. Namun tidak kelihatan kelibata lelaki tua itu di mana-mana. Yang ada cuma tanah becak yang penuh dengan kesan tapak kaki seseorang. Sadan melutut, mengamati kesan tapak kaki itu. Kemudian dia menoleh ke setiap arah. "Tok! Oh, tok!" Laung Sadan, "Tok Sibir!"
Yang lain-lain turut melaung memanggil-manggil nama ketua mereka itu, "Tok! Oh, tok!" Tanpa perlu berbincang, mereka berpisah, melangkah menyusuri celah-celah gugusan khemah kuning di sekitar tapak itu. "Tok! Tok Sibir!"
Melihat rakan-rakannya yang lain sudah mula menjalankan tugas tanpa disuruh, dia melutut semula, mengamati kesan tapak kaki di hadapan khemah besar tadi. Perut boyotnya membuatkan dia berasa mengah melutut terlalu lama. Dia melalukan jari-jemarinya di atas kesan itu. Entah kenapa kesan tapak kaki itu kelihatan pelik. Ya, memang dia yakin itu milik Tok Sibir (kerana cop selipar jepun jenama Bowling yang memang sering dipakai oleh orang tua itu), namun kesan seretan di sekeliling tapak kaki itu kelihatan seperti lelaki tua itu terhayun-hayun ke kiri dan kanan. Sadan menoleh ke sekelilingnya. Sesekali tangannya menutup telinga tanpa sedar. Tiada kesan tapak kaki lelaki tua itu berlalu pergi dari situ. Yang ada cuma seretan panjang yang mengarah ke dinding khemah besar di hadapannya.
"Macam mana Tok Sibir boleh masuk?" Fikirnya sendiri, "tak ada pintu pun," lehernya panjang menjenguk ke setiap sudut yang tercapai oleh matanya, kemudian ke arah kesan seretan tadi, "Kenapa terseret?"
Dia bangun, berkira-kira memandang dinding khemah. Tangannya kini tetap pada telinganya. Sesekali kedengaran sayup-sayup laungan rakan-rakannya memanggil-manggil nama Tok Sibir. Dia biarkan saja. Tumpuannya kini lebih kepada khemah di hadapannya. Dia melangkah perlahan, menghampiri dinding khemah itu. Teragak-agak, dia melalukan tangannya pada permukaan kanvas berwarna merah putih itu. Terasa panas. Berdenyut. Seakan ada sesuatu sedang bersandar di sebaliknya. "Tok?" Panggilnya ragu-ragu, "Tok?"
Beberapa minit kemudian, tujuh orang lelaki tadi kembali berkumpul di hadapan khemah besar. Masing-masing kelihatan keliru memandang antara satu sama lain.
"Mana Sadan?" Tanya salah seorang dari mereka; Khalid, seorang lelaki muda berjambang kemas, berkasut but tukang kayu. Yang lain sekadar menghenjut bahu. "Takkan dia tinggalkan kita?"
Tanpa mereka sedar, muzik yang membingitkan telinga tadi semakin reda ke nada asal. Jelas, namun tidak mengelirukan.
"Tok... Tok... Tok Sibir... Oh, tok..."
"Dahlah tu, kita cari Sadan dulu! Kita tanya dia, nak buat apa. Aku rasa Tok Sibir dah balik," kata Khalid sambil berpaling ke arah rakan-rakannya, kemudian dia terdiam.
"Tok... Oh, tok... Tok... Oh, tok..."
Yang lain turut berpaling, memandang satu sama lain. Tidak seorang pun yang bersuara. Siapa yang masih memanggil-manggi orang tua itu? Namun apabila diamati, suara itu tidak melaung seperti mereka, namun kedengaran tenang. Seakan sedang mengajuk, "Tok Sibir... Oh, Tok... Tok... Oh, tok..."
Khalid memandang rakan-rakannya seorang demi seorang. Kemudian dia berpaling ke arah khemah-khemah lain. Suara memanggil itu datangnya dari dalam khemah-khemah kuning di sekeliling mereka.
"Siapa?!" Laungnya deras.
"Tok... oh, tok... tok... siapa?! Tok... oh, tokkk..."
Khalid menggaru-garu kepalanya, "jangan main-mainlah!" Jerkahnya geram. "Jom, kita pergi cari, siapa main-mainkan kita ni?!"
Yang lain mengangguk. Sekali lagi mereka berpisah, melangkah ke setiap celahan gugusan khemah-khemah kuning di sekeliling mereka. Ada yang mengetuk-ngetuk di dinding kanvas khemah-khemah itu, ada pula yang cuba mengangkat, namun tidak terdaya. Suara memanggil-manggil Tok Sibir tadi masih kedengaran dari dalam setiap khemah.
"Sadan!" Laung Khalid, "kau dekat mana, oi?!"
Diam. Yang kedengaran cuma alunan muzik keanak-anakan yang sudah lali pada telinganya, juga suara panggilan "tok" yang tidak putus-putus. Kedengaran ramai, namun semuanya dalam nada suara yang sama.
"Berkumpul semua! Berkumpul!" Laungnya, memanggil rakan-rakan yang lain. Dia melangkah dahulu ke arah hadapan khemah besar. Tempat mereka berpisah tadi. Kelihatan tujuh orang rakannya sudah sedia berdiri di situ. Dia memandang setiap seorang, menduga-duga. Yang lain sekadar diam memandangnya. Sekali lagi dia memandang seorang demi seorang, kali ini dengan jari telunjuknya menuding satu-satu. Mengira. Tujuh orang. Termasuk dirinya, lapan. Termasuk Sadan yang entah di mana, sembilan. Khalid menggaru-garu dagunya, kemudian menggeleng, seakan apa yang ada di dalam benaknya pada waktu itu karut belaka.
"Terima kasihlah kepada yang baru sertai kami, tapi aku rasa baik kita berkumpul di balairaya. Mungkin Tok Sibir sama Sadan pun dah balik," katanya.
Ketujuh-tujuh orang lelaki di hadapannya mengangguk, namun diam. Melihatkan gelagat rakan-rakannya itu, kening Khalid terangkat. Kemudian, dia menuding ke arah salah seorang rakannya; seorang lelaki muda tinggi lampai dengan rambut tersikat kemas, "kau! Siapa nama kau?"
"Siapa nama... Tok Sadan..." jawab pemuda itu. Namun ada sesuatu yang pelik tentang nada suaranya. Mendatar. Seperti seseorang yang baru belajar bercakap Bahasa Malaysia.
"Tok Sadan? Kau main-main, kan?"
Pemuda tinggi lampai tadi diam.
"Kau? Siapa nama?" Soalnya kepada seorang lelaki lain pula.
Lelaki itu diam merenung Khalid. Kemudian, "Talib," balasnya tenang.
"Talib? Setahu aku ada seorang saja Talib dalam kampung ni. Talib Sawah. Kau Talib apa?"
"Talib Azman... Talib Azman..."
"Talib Azman?" Lama Khalid merenung pemuda itu. "Yalah, jom. Kita ke balairaya."
Khalid melangkah di hadapan sekali sementara tujuh orang rakannya berjalan cukup tenang di belakangnya. Sesekali dia menoleh memandang mereka. Semua berjalan tegak tanpa menoleh ke kiri dan kanan. Tanpa berbual-bual tentang apa yang berlaku. Tanpa suara. Yang kedengaran cuma panggil "tok" yang diulang-ulang dari dalam setiap khemah, namun nyata semakin perlahan.
Sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari tapak 'karnival' itu, suara-suara panggilan tadi lenyap. Yang tinggal cuma alunan muzik karnival yang bermain jelas. Tidak perlahan, tidak pula kuat. Langkah Khalid terhenti. Dia menoleh sekali lagi memandang rakan-rakannya.
"Korang rasa tanah bendang dekat hujung kampung tu nanti, siapa dapat?"
Tujuh orang lelaki di hadapannya diam. Namun kepala setiap dari mereka kelihatan bergetar-getar, seakan sedang memproses sesuatu.
Salah seorang dari lelaki itu melangkah sedikit ke hadapan. Yang lain-lain beralih, memberi laluan, "Siapa? Azman..." jawab lelaki itu tenang.
Khalid mengangguk-angguk. Tanpa sedar tangannya menggosok dagu, berfikir. "Apa kaitan Azman dengan tanah bendang tu, eh?" Soalnya, sengaja menduga, "aku bukannya tahu sangat."
Lelaki yang melangkah ke hadapan tadi kelihatan kaget. Bibirnya bergetar, seakan sedang berkira-kira untuk mengatakan sesuatu. Khalid sabar menunggu jawapan.
"Siapa bagi kebenaran buat 'pampe' (funfair) dalam kampung aku ni?" Jerkah lelaki itu tiba-tiba.
"Pampe?..." ujar Khalid sendirian. Serentak itu juga dia membuka langkah seribu, cuba untuk menjauhi tapak karnival itu. Kakinya terhayun sendiri. Dia cuma mahu pergi jauh dari ketujuh-tujuh lelaki tadi. Dari arah belakang, kedengaran suara lelaki-lelaki itu, deras, "jom! Jom! Jom! Jom! Jom!"
Semakin pantas dia berlari, semakin kuat mereka mengulangi perkataan itu, "jom! Jom! Jom! Jom! Jom!" Suara mereka kedengaran semakin kuat. Semakin hampir. Khalid menoleh ke belakang. Langkah ketujuh-tujuh lelaki tadi kelihatan terlalu selamba, tidak sesuai dengan kelajuan pergerakan mereka menghampiri Khalid. "Jom! Jom! Jom! Jom! Jom!" Mata setiap seorang dari mereka memerhatikan setiap langkah Khalid. Belum sempat Khalid berpaling ke hadapan semula,
"BAMM!"
Bergegar batang pokok kelapa di hadapannya menerima hentaman tubuh Khalid. Pandangan Khalid semakin gelap. Dia rebah, hampir pitam. Perkataan "jom!" Masih terngiang-ngiang di dalam telinganya. Semakin lama semakin deras. Sebelum matanya tertutup, Khalid dapat melihat ketujuh-tujuh orang lelaki tadi sedang mengerumuninya. Masing-masing sedang mengulangi perkataan yang sama sejak dari tadi, "jom! Jom! Jom! Jom!"
"JOMM!" Khalid terasa seseorang menarik lengannya. Kepalanya terlalu biul untuk membuka matanya. Dia turutkan sahaja.
"Khalid? Khalid..." kedengaran suara seorang lelaki memanggil namanya. Serta-merta dia membuka matanya lalu bangkit duduk, tercungap-cungap. Di sekelilingnya, beberapa orang lelaki sedang memerhatikannya. Bukan lelaki-lelaki di tapak karnival tadi. Wajah Hamdan, si pekedai kopi tersenyum lega memandangnya. "Kau ok tak, Kahlid?" Tanya Hamdan perlahan.
"Mana... mana orang-orang tu?" Soal Khalid gabra, "siapa diorang ni semua?!" Dia memandang ke arah wajah setiap lelaki di hadapannya seorang demi seorang. Kemudian ke arah persekitarannya. Dia berada di bilik rehat kedai kopi Hamdan. Dia tahu kerana pernah tumpang bersolat di dalam bilik itu beberapa kali.
"Jangan risau. Ini semua orang kita."
"Orang kita? Kau pasti?"
Hamdan mengangguk kecil, "ya, aku pasti."
Khalid diam. Tangannya meraba-raba pelipis kepalanya. Lebam teruk. Hujung jari-jemarinya basah dibasahi darah. "Apa yang berlaku sebenarnya? Korang tahu kena tentang karnival dekat hujung sana tu?"
"Aku pun tak tahu nak cakap macam mana, Khalid. Awal pagi tadi, si Talib sama Azman. Aku perhati saja kalau-kalau diorang keluar semula. Tapi tak ada. Aku curiga juga."
"Talib sama Azman pun dalam tu?"
Hamdan menghenjut bahu, "aku tak tahu," jawabnya ringkas. "Lepas tu, waktu Tok Sibir sama korang ke sana, aku perhati dari jauh. Lama Tok Sibir masuk, kan?"
Khalid mengangguk.
"Lepas tu, Sadan sama korang pulak masuk. Tujuh orang semuanya. Lama aku duduk dekat bawah pokok mangga tengah jalan tu, perhati. Tahu-tahu, kau keluar dengan tujuh orang yang lain. Memang muka semua macam orang-orang kampung kita. Tapi bila aku tengok gaya diorang, aku tahu, itu bukan orang kita. Siap bertambah pulak."
Khalid menoleh deras memandang Hamdan, "mana diorang semua?! Itu bukan orang-orang kampung kita!" Dia bangkit, lalu bergegas keluar dari bilik rehat itu, memerhati ke arah utara, "aku takut diorang..." Khalid terdiam. Gugusan khemah-khemah besar serta tiang-tiang bendera tadi sudah lenyap. Yang ada cuma jajaran pohon-pohon kelapa di kaki hutan Kuala Langat. Pemandangan biasa kampung mereka.
Hamdan menyusul. Dia berdiri di belakang Khalid, memegang bahu lelaki itu. "Diorang dah tak ada. Dah pergi," ujarnya.
"Dah pergi? Berapa lama aku pengsan?!"
Hamdan menjeling ke arah jam di dinding, "sejam, mungkin."
"Takkan sebanyak-banyak khemah sama tiang tu boleh dialihkan dalam masa sejam?!"
Hamdan senyum, memandang Khalid. "Ini Kampung Alor, Khalid. Macam-macam boleh berlaku dekat sini."
Khalid diam, kemudian mengangguk faham. Memang banyak perkara-perkara pelik yang pernah berlaku di Kampung Alor sejak dari dahulu lagi. Zaman Jepun ambil alih Malaya dulu, peristiwa kematian Pawang Busu. Kemudian, amukan Argono. Tahun 90-an pula, pasangan suami isteri yang dimakan mawas (walaupun ada sesetengah pihak kuat mengatakan bahawa ia angkara anak mereka sendiri). Baru tahun lepas, kecoh satu kampung bila gerai mi Pak Abbas rupa-rupanya hidangkan daging manusia kepada para pelanggan. Kali ini... karnival misteri itu pula.
"Ini Kampung Alor, Khalid. Macam-macam boleh berlaku dekat sini," ulang Hamdan tiba-tiba. Sekali lagi Khalid mengangguk faham. Kemudian dia tersentak. Perlahan-lahan dia berpaling ke arah Hamdan.
"Ini Kampung Alor, Khalid. Macam-macam boleh berlaku dekat sini," Hamdan tersenyum lebar. Namun tanpa ekspresi. Sekadar bukaan mulut kaku yang menampakkan baris-baris giginya yang kemerahan.
-Tamat-
Rujukan kisah Kampung Alor yang lain:
1) Tujuh Pintu
2) Misteri Pawang Busu
3) Homo-Canis
4) Gerai Mi Pak Abbas
=========================
KARNIVAL KAMPUNG ALOR
© Ahmad Rusydi
Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
1 comment:
best
Post a Comment