Monday, 18 December 2017

3 HALA - Cik Edot


3 HALA
Nukilan Oleh Dee Edot (Cik edot)

BUKIT TAGAR
===================================

7.15 malam
"Tittt"
Kad Touch N go disentuh, palang automatik terangkat pantas. Kereta kami meluncur melepasi palang. Aku pandang wajah Muhammad yang sedang tekun memandu.
"Awak, saya rasa segan lah dengan family awak."
"Laaa. Apa yang nak di segankan?"
"Yelah. Inikan kali pertama saya nak bermalam rumah keluarga awak."
"Dah, tak payah nak segan-segan. Awakkan dah jadi tunang saya. Lagipun, mak abah tak sabar nak jumpa awak. Tadi pun mak ada call, tanya saya jadi ke bawa awak balik."
"Ermmm, ye ke? Kalau macam tu baiklah. Ehh Awak, kenduri arwah esok pukul berapa ya?"
"Insyaallah, lepas isyak. Tunggu jemaah surau datang."
Aku mengangguk, tanda faham. Aku diam. Jujurnya, aku debar ingin bermalam di rumah keluarga Muhammad. Bukan apa, aku sebenarnya takut andaikata perlakuan dan kata-kataku nanti tidak kena dengan mereka.
Maklumlah, aku orang Melaka. Percakapan aku mungkin terdengar kasar. Walhal, keluarga Muhammad cakapnya lembut sahaja. Argghhh, rasa macam melampau pula perasaan aku ni. Segan tak bertempat. Lantaklah.
Aku menarik nafas panjang. Dan menghelanya perlahan diiringi keluhan halus. Aku memicingkan mata, mengintai ke cermin tingkap disisiku. Fuh, gelapnya! Kenapa lah jalanraya ni tak berlampu? Kiri kanan sudahlah hutan. Bahaya betul.
Aku alihkan pandangan ke cermin hadapan. Sungguh, jalanraya dihadapan hanya diterangi dengan biasan lampu kereta kami. Sekali lagi, aku mencuri pandang. Kali ini melalui cermin pantul bahagian atas. Ehh, dari arah belakang juga gelap.
Aku jadi pelik. Nah, baru aku perasan. Dari tadi, hanya kereta kami sahaja yang melalui jalanraya tersebut sejak melepasi Tol Bukit Tagar. Kereta dari laluan bertentangan juga, tiada.
Entah kenapa, terbit perasaan seram di pundak hati. Aku menunduk. Pantas jariku memicit punat ON di radio. Punat demi punat aku tekan.
Aneh! Tiada frekuensi? Radio hanya mengeluarkan bunyi desiran. Bingit menyentak cupingku. Papp! Punat CD pula aku tekan. Beberapa ketika berlalu, tiada sebarang bunyi atau lagu yang kedengaran. Senyap secara total.
"Awak. Radio rosak ke?"
Diam. Ya, Muhammad diam tanpa memandangku.
"Awakk! Saya tanya ni kan? Diam pula."
Tiada jawapan. Malah, Muhammad leka memandu. Matanya tidak sedikit pun dikalih memandangku. Seolah-olah aku tidak wujud di sebelahnya.
Sebal!
Aku memeluk tubuh. Muncung juga sudah naik sedepa. Cemberut. Aku mengalih pandangan ke cermin hadapan. Jauh hati.
Tiba-tiba..
Ehhh, apa tu? Besarnya! Mata., aku bundarkan sebesar mungkin. Alamak!!
"Awak, lembu!!"
Muhammad diam. Tidak menoleh.
"Hei, awak ni tak dengar ke? Ada lembu depan tu. Jangan sampai awak langgar!"
Muhammad buat bodoh!
Aduhh. Tak boleh jadi ni. Nyawa dulu, gaduh kemudian!
Zappp! Aku melarikan stering kereta yang dikendali Muhammad ke sebelah kiri jalan.
Streeeeettttttt!!
Pedal break ditekan mengejut, santak ke lantai kereta. Aku. Muhammad. Masing-masing terkedu. Kaku. Dadaku turun naik. Melonjak adrenalin yang berpusar bak puting beliung di dasar perut.
"Awak ni dah kenapa? Bahaya tahu tak?"
"Ehh, saya pulak! Awak tu menonong je bawa kereta. Sikit je lagi awak nak langgar lembu putih tu!"
"Awak cakap apa ni? Mana datangnya lembu? Mana?"
"Ehh. Punya besar lembu tu melintas depan tu, takkan awak tak nampak? Saya panggil awak berkali-kali, awak buat tak tahu je. Menyampah betul."
"Ya Allah. Awak cakap apa ni? Saya tak nampak seekor lembu pun yang melintas. Lepas tu, awak cakap awak panggil saya? Bila masa?"
"Awak tak nampak? Awak tak dengar saya panggil?"
"Tak. Langsung tak. Lagipun, awak tidur dari Shah Alam tadi. Awak cakap, awak sakit kepala. Saya biarkan awak rehat. Tup-tup, awak tarik stering kereta sambil menjerit. Teeperanjat saya."
Tidur? Bila masa? Sumpah. Aku terkedu. Terkaku. Terbangang. Terlembam. Dan berapa banyak ter... yang aku rasa saat itu. Keliru.
TOL MAMBAU - PORT DICKSON
===================================

"Dik. Kalau lewat sangat, tak payah balik malam ni. Balik esok pagi je lah."
"Takpelah Ayah. Bukannya adik tak biasa balik kampung tengah malam."
"Awak tu perempuan dik. Manalah Ayah tak risau. Sorang-sorang pulak tu. Balik esok je lah."
"Elehh. Ayah ni. Macam tak suka je adik balik kampung. Orang dahlah rindu kat mak ngan ayah."
"Bukan tak suka. Ehhh, susahnya lah cakap dengan budak ni. Degil tak sudah! Balik tu nanti, bawa kereta hati-hati. Jangan laju-laju."
"Baikkk, bos. Roger!"
Aku senyum sendiri. Perbualan aku dan ayah 2 jam sebelum aku bertolak, terngiang-ngiang di minda.
Sudah menjadi kebiasaan aku memandu sendirian, pulang ke kampung. Yang sering menjadi perbalahan antara aku dengan mak ayah, adalah waktu perjalanan.
Aku lebih suka memilih untuk memandu di sebelah malam. Sejuk. Tenang. Kereta yang lalu lalang juga, tidak banyak. Aku benci akan jalan sesak!
Tapi, aku tahu. Ada sebab lain kenapa ayah dan emak melarang aku pulang ke kampung lewat malam.
1.17 minit pagi.
Aku hampir tiba di Tol Mambau. Sengaja aku memilih untuk melalui lebuhraya. Lazimnya, aku sering menggunakan jalan melalui Sepang - Lukut - Port Dickson untuk pulang ke kampung.
Tetapi memandangkan peristiwa yang berlaku bulan lepas, aku jadi agak keberatan. Mahu tidak? Aku ditahan oleh seseorang di bahu jalan, berhampiran sebuah kuil.
Dari jauh, ya aku memang nampak dia melambai tangan menahan keretaku. Aku tanpa berfikir panjang, memperlahankan kereta dengan niat ingin menumpangkannya.
Hendak dijadikan cerita, bila sampai je aku depan dia. Terperanjat tenuk aku dibuatnya. Dia takda kepala!! Celaka betul. Salah aku juga. Pukul 2.00 pagi kot. Aku boleh tak terfikir langsung. Inilah padahnya. Baik tak bertempat, padan muka!
1.28 minit pagi.
"Perghhh. Gelap bukan main highway ni!" Monologku sendiri.
Aku melepasi Tol Mambau. Entah kenapa, aku rasa lain macam. Sunyi. Gelap. Bergabung, jadi seram sejuk.
Tapp!
Punat penghawa dingin, aku matikan. Terasa sejuk, dingin menjalar ke tulang belulang. Berpintal segala liratan urat ditubuh.
Aduh! Lemas pula berkedap. Aku mengeluh. Sekejapan, pantas cermin tingkap aku turunkan separa. Oksigen. Segar dari angin luar.
Bappp!!
Erkkk. Terkedu aku.
Serasa, seperti ada sesuatu yang jatuh terhempas di bumbung kereta.
"Aduhh. Bala apa pula yang datang ni!"
Bappp!!
"Bala!"
Bapppp!!!
"Sah. Memang bala!"
Arakian, tidak semena-mena kereta aku terasa amat berat sekali. Pedal minyak aku tekan. Santak. Mengaum si ketotku membelah lebuhraya. Jarum meter mencapai aras 120km/ sejam. Tapi, perginya macam siput!
"Kenapa ni? Tolonglah bukan! Bukan seperti apa yang aku fikir sekarang."
Gulpp!
Aku menelan liur. Hidung, aku tekup penuh. Ketat hingga sukarku bernafas. Mulut kungangakan sedikit. Tarik nafas. Buang nafas. Ikut mulut. Cermin tingkap, aku naikkan segera.
Tapp!
Punat penghawa dingin, aku hidupkan.
Arghhh!
Busuknya! Bau lantun getah pun kalah. Bangkai? Lebih kurang. Cermin pantul di bahagian atas, aku larikan ke sebelah kiri. Sumpah. Aku tak nak jenguk ke belakang. Sebabnya? Ya. Aku tahu ada penumpang tak diingini.
"@$@&_#$-(/"
"%$@*+&$-@"
Eikkk. Berborak? Aku menajamkan pendengaran. Cuba menangkap setiap butir bicara penumpang di belakang. Sungguh. Aku tak faham.
""Haaaaaahhhhhhhsssss"
Allah!!
Telinga kiriku dihembus! Hembusan datang dari arah sebelah kiri. Maknanya? Sebelah aku pun ada penumpang!
"Tolonglah! Jangan kacau aku. Nak tumpang, aku tumpangkan. Tapi, jangan usik aku!"
"Hikkkkhikkkk!"
Gulpp!
Entah ke berapa kali aku menelan liur. Memang tak makan saman. Sumpah. Kereta aku hingar bingar. Riuh dengan suara borakan dan gelak tawa. Percuma bau-bauan enak hingga meloyakan anak tekak.
Aku meneruskan perjalanan dengan kereta bermuatan 'berat'. Aku gagahkan diri. Sudah nasibku, sering diuji begini.
Aku semakin menghampiri jambatan itu. Jambatan yang seringkali digelar jambatan angker. Dibina bukan untuk laluan kenderaan. Untuk apa? Aku sendiri tidak pasti.
Limpas sahaja keretaku melalui bawah jambatan itu, automatik keretaku menjadi ringan! Tidak seberat tadi. Hingar bingar bicara bahasa alien hilang! Bauan tungkik juga hilang secara total!
Aku meneruskan perjalanan hingga selamat tiba ke rumah orang tuaku. Ironinya, aku tahu kenapa ayah melarang keras aku pulang lewat malam. Kerana tubuhku ibarat medan magnet. Lompang-lompang yang sedia ada, memudahkan mereka mendekati aku.
Pssttt...Jangan memandu lewat malam berseorangan! Jangan degil!
SELEKOH & SIMPANG ANGKER.
==============================================

Sebenarnya, masa mula-mula saya nak pindah ke rumah sekarang macam-macam yang saya dengar.
Kata kawan saya, tempat yang saya nak pindah ni tempat jin bertendang lah, tempat orang buang segala jenis jin lah dan macam-macam lagi.
Mula-mula rasa cuak juga. Tapi sebab tiada pilihan, saya ikutkan saja.
Kami suami isteri hidup berdua sahaja. Jadi, tengah malam jika tergerak hati nak mengeteh di kedai mamak, kami pergi je.
Kami pergi je tak kira waktu. Pukul 2 atau 3 pagi pun sanggup. Nak-nak kalau ada game bola sepak, memang galak. Minat bersama.
Nak dijadikan cerita, ada satu malam ni kami balik dari kedai mamak. Kedai ni terletak tidak jauh dari rumah.
Kalau naik motor, memang tak perlu pakai topi keledar pun. Walaupun kedai mamak tersebut sebaris Balai polis.
Hendak masuk ke simpang rumah saya, perlu melalui satu pintu gerbang. Selepas dari pintu gerbang tersebut, masa hendak sampai ke selekoh saya tiba-tiba terperanjat.
Berderau darah. Saya yang membonceng dibelakang, terus menepuk bahu suami. Saya paksa dia berhenti.
Dia yang sedikit terperanjat, kelam kabut memberhentikan motor. Dia menoleh ke arah saya.
Baru sahaja dia hendak buka mulut bertanyakan kenapa, saya terus buat isyarat jari telunjuk dibibir. Mohon dia diam. Dia mengangguk, tanda faham.
Selepas beberapa ketika, baru saya suruh dia meneruskan perjalanan.
Sampai di rumah.
"Kenapa tadi tu? Kenapa suruh saya berhenti?"
"Awak tak nampak ke?"
"Nampak apa?"
"Ada yang tengah melintas jalan. Sikit je lagi awak nak langgar budak tu."
"Budak?"
"Ya. Ada budak dengan mak dan ayah dia tengah melintas tadi. Muka mak dia bengis. Pandang orang macam nak telan je. Rambut pun menggerbang. Berkemban dengan kain batik je. Ayah budak tu, badan sasa. Tinggi dia adalah 2 kali ganda awak."
**********
September 2017
Lokasi: Warung Bro Kacamata.

"Ehhh, korang tahu tak ada accident kat selekoh semalam?"
"Tahu bang. Saya nampak kereta pun tak beralih lagi. Tapi mangsanya selamat kan?"
"Alhamdulillah,selamat kali ni. Baru je makan nyawa kan minggu lepas."
"Ohh..maksud abang budak motor tu ke. Masa hari kejadian saya lalu nak ke pekan, arwah masih hidup lagi bang. Tapi bila saya balik, arwah dah bertutup kain putih. Muda lagi budaknya."
"Bukan nak cakap apa lah. Selekoh tu memang angker."
"Maksud abang?"
"Baru-baru ni, kawan abang si Leman tu. Dia nak balik Tg. Malim, jenguk isteri dia dalam pantang. Dia drive sorang lah dari sini. Masa lalu je kat selekoh tu, tiba-tiba kereta dia rasa berat. Mula-mula dia buat tak tahu je. Tapi lepas dia dengar suara budak, dia terus tengok cermin. Masa tu dia nampak ada 3 beranak duduk dekat seat belakang. Dia terus naikkan cermin tu ke atas. Benda tu ikut dia sampai ke kampung. Yang abang gelak bila dia cakap. Masa nak balik, 3 beranak tu pun tumpang ikut balik. Sampai kat selekoh depan ni, si Leman ni berhenti kejap, lepas tu terus cabut."
"Tiga beranak bang? Dia ada cakap macam mana rupa benda alah tu."
"Leman cakap, yang perempuan tu berkemban. Suami dia besar badannya. Anaknya pulak rambut bertoncet."
Masa ni, suami saya pandang saya tak berkelip. Saya senyum.
"Ermmm...Abang dah lama duduk sini ke?"
"Abang start duduk sini hujung 90-an. Masa tu block abang duduk tu ada lah 2,3 biji rumah je yang ada penghuni. Dulu kalau bagi duduk free pun orang tak nak dik. Nama je takda penghuni. Tapi bila malam, hingar dia macam penghuni block tu penuh. Dulu, ada seorang ustaz ni dah pindahkan jin-jin ni semua naik bas. Tak pasti lah dia tempatkan ke mana. Lagi satu, belakang sana tu ada kubur lama. Orang kata kubur orang asli. Kat sini banyak kes dik. Bunuh diri pun ada. Mati dalam kereta pun ada."
"Ermmm......" Thaqief.
"Bang. Saya nak cakap sikit boleh?"
"Apa dia dik?"
"Kalau dekat traffic light simpang tiga gudang pasaraya tu. Kalau masa lampu merah, tak ada kereta sekalipun abang jangan lalu ya."
"Kenapa dik?"
"Sebab bila lampu merah. Kita tengok takda orang lalu kan? Tapi sebenarnya ada je bang. Itu sebab saya selalu pesan kat suami saya, jangan langgar lampu merah kat situ walaupun dia satu-satunya kenderaan yang ada masa tu."
"Situ pun keras kan. Dah berapa ramai yang accident jatuh sendiri. Pastu parah pulak tu. Entah-entah ada yang diorang terlanggar kot."
"Mungkin lah bang."
"Maaf tanya. Awak pernah nampak ke benda kat simpang tiga tu? Macam mana rupanya?"
"Pernah bang. Jangan tanya rupa bang. Nak cakap pun tak sanggup. Cuma kita beringat je lah."
"Ermmm...seram pulak abang dengar dik oii."
"Haaa....lagi satu bang. Kalau waktu malam, ada budak motor tahan dekat simpang masuk tol ke tempat kita ni.... Jangan berhenti. Kalau abang nak tolong sangat pun, sampai dekat tol bagitau je kat jurutol yang bertugas. Tapi jangan berhenti!"
"Ehhhh...kenapa pulak dik?"

"Budak tu takda kepala bang!"
Thaqief dan Bro Kacamata saling berpandangan.....
****
Konklusinya, walaupun saya tidak betah tinggal di sini, tetapi saya terpaksa.
Saya tetap juga kena lalu selekoh dan simpang yang sama setiap hari. Suka atau pun tidak, tiada pilihan.
Jangan kata jalanraya sahaja yang angker, rumah yang saya diami ini pun apa kurangnya?
Main guli. Lantun bola, ketuk dinding dan seumpamanya. Walaupun kadang-kadang saya agak rimas bila 'anak-anak' mereka bising tengah malam, saya jadi tak kisah. Sebab saya dah terbiasa. Setiap hari, tak pernah senyap.
Tapi, bila 'anak-anak' mereka main terjun-terjun dari tingkat 5 hingga ke bawah sambil gelak-gelak, itu saya tak sanggup.
Rasa ngeri, bila saya nampak segerombolan budak-budak hitam terjun satu persatu ke bawah. Berkecai kepala. Bunyi keriut tulang belulang yang patah, merenggut damainya pendengaran.
Ehh. Yang peliknya, boleh elok balik? Ya, yang mana berkecai, patah riuk bersambung kembali. Mereka berlari, naik semula ke tingkat 5 dan terjun kembali. Lagi dan lagi. Berterusan.
Ermmm. Walaupun saya tak sanggup, tapi apa boleh buat? Kita hidup berkongsi alam kan. Pasrah je lah.
-TAMAT-
Gambar: KamenRider
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...


thumbs up