MESIN TAIP DAHAGA
=============================
FIRASH menjeling sekilas pada Herman yang dari tadi ralit membaca helaian A4 yang terselit pada sebuah mesin taip buruk. Dia tahu Herman pasti tidak perasan kehadirannya di dalam bilik itu. Dia mengilas matanya pada sekeliling bilik yang suram dengan bau terkepam itu.
Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!
Laju jemari Herman menari di atas butang-butang huruf yang terletak pada mesin taip buruknya. Bibirnya pula tersenyum lebar. Entah kenapa sejak dua menjak ini ideanya datang mencurah-curah. Bila mengenangkan dua keping cek royalti yang dimasukkan ke bank semalam, lagilah hatinya berbunga riang. Berbaloi usahanya bersengkang mata siang dan malam. Lima buah cerpen 10 muka surat dan sebuah manuskrip novel telah pun berjaya dia siapkan dalam tempoh dua bulan. Satu pencapaian terbaik yang pernah dilakukan di dalam hidupnya sebagai penulis dalam masa sesingkat itu. Hanya menunggu masa untuk dihantar kepada penerbit dan seterusnya menikmati imbuhan royalti. Senyum Herman semakin lebar.
“Kau dah makan?” tanya Firash sebaik langsir bilik itu ditarik. Bilah tingkap dibuka seluasnya sehingga terasa angin pagi menyerbu masuk menampar wajahnya ketika itu. Menghambat terus bau kepam di dalam bilik Herman. Entahkan bau baju kotor, bau makanan basi atau bau badan Herman yang sepertinya sudah lama tidak mandi.
Herman diam. Matanya dikecilkan tanda silauan matahari mengganggu fokusnya. Jemarinya masih laju menaip. Firash menggeleng kepala lantas segera mengutip baju-baju yang berselerakan di atas lantai.
“Apa nak jadilah dengan kau ni Man? Kenapa kau berhenti kerja? Aku baru tahu semalam yang dah tiga bulan kau tak kerja. Itu pun sebab Aizat tanya aku kau kerja apa sekarang.”
Bisu. Jemari Herman saja yang masih ligat menaip.
“Aku tahu kau minat menulis. Dari zaman kita belajar lagi aku tahu minat kau ni. Tapi kenapa sampai berhenti kerja? Menulis ni kan sekadar hobi kau, memenuhi masa lapang kau. Kenapa kau sanggup ketepikan pendapatan tetap kau semata-mata untuk menulis? Banyak sangat ke yang kau dapat dengan menulis?”
Herman mendengus. Terus terhenti jemarinya menaip.
“Semalam aku baru masukkan dua cek royalti cerpen aku.”
“Ada sebanyak gaji sebulan kau?” Firash senyum menyindir.
“Tapi bil bulanan rumah ni aku bayar macam biasa kan? Sewa rumah pun aku bayar kan?”
Firash terus diam. Herman kembali mengetuk butang huruf. Kali ini lebih kuat tanda protes. Marah bila soal hidup peribadinya diambil tahu oleh Firash.
“Kalau kau rasa pendapatan kau tu lebih berbaloi dari kerja kau dari sebelum ni, takpelah. Aku bukan nak menyibuk. Cuma aku rasa kau dah lain….”
“Apa yang lain?” Herman menoleh ke arah Firash yang sudah pun duduk di birai katilnya sambil menggendong baju-baju kotor yang dikutip tadi.
Firash menelan liur bila merenung ke dalam anak mata Herman. Apatah lagi saat itu jemari Herman masih ligat menaip. Seolah otaknya masih berfikir tentang penulisan, jemarinya ligat menaip sedangkan matanya memandang ke arah Firman seperti ingin menelannya. Sesuatu yang sangat mustahil untuk dilakukan serentak!
Dia terus terasa seram. Serta merta terasa aura dingin dan kepam di dalam bilik itu menyelubungi tubuhnya. Menaikkan bulu romanya.
“Kau terperuk jek dalam bilik sejak ada mesin taip ni. Dah tak nak join aku tengok tv, lepak-lepak mamak, main futsal. Setiap masa aku dalam rumah ni, aku akan dengar kau ketuk mesin taip tu. Sebelum pergi kerja kau menaip, lepas aku balik kerja pun kau menaip. Malam pun kau menaip. Kadang aku terjaga tengah malam buta pun aku boleh dengar kau menaip. Kau tak tidur ke?”
“Tidur. Tapi sekejap jek. Lepas tu aku sambung menaip balik.” Herman tersenyum. Senyuman yang sangat menyeramkan. Dengan bawah matanya yang hitam, matanya yang kemerahan dan rambutnya yang kusut masai. Posisinya masih seperti tadi, ligat menaip tapi wajahnya dipaling tepat ke arah Firash. Cepat-cepat Firash melarikan pandangannya ke arah meja.
“Itu mee semalam yang aku beli kan? Kenapa tak makan? Sampai basi mee tu.” Firash menjuih mulutnya menunjuk pada polisterin yang terdedah dan baru terusik sedikit. Di bawah meja berlonggok lagi bekas-bekas polisterin berisi makanan yang entah sudah berapa lama terbiar tidak disentuh. Lalat menyerbu masuk menghinggap pada longgokan polisterin sebaik saja tingkap dibuka tadi.
“Aku tak lapar.”
“Tak lapar? Semua makanan ni kau tak usik!”
“Biarlah! Kenapa kau nak paksa aku?” tengking Herman.
“Kau sakit Man. Kau tak sedar ke semua ni?”
“Kau tak payah campur urusan aku!” jemari Herman berhenti menaip. Dia berdiri menghadap Firman dengan nafas turun naik.
“Aku ambil berat Man. Kita kawan dari U lagi. Satu bilik, satu course. Susah senang kita hadap sama-sama. Bukan macam ni. Kau sakit Man.”
“Sakit apanya kalau aku boleh duduk menghadap mesin taip ni Rash? Kalau aku sakit, aku dah terlantar atas katil tu.”
“Kau bukan sakit macam tu! Kau sakit lain!”
“Aku sihat! Aku okey! Kau tak payah sibuk! Keluar dari bilik ni! Keluar!” Herman menjerit-jerit seolah hilang akal. Dia menumbuk meja kuat sebelum menendang kerusinya sehingga terlentang ke lantai.
Firash diam. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu. Dia tahu ada sesuatu kelainan semenjak Herman membeli mesin taip buruk itu entah dari mana. Entah apa tujuan dibeli mesin taip itu Firash sendiri tidak tahu sedangkan Herman memiliki laptop lengkap dengan mesin pencetak.
“You need help, Man.”
Firash memulas tombol pintu lalu melangkah keluar dari bilik itu dengan penuh kekesalan. Kesal kerana gagal menolong sahabatnya. Tanpa dia sedar kelibat seorang wanita berbaju putih dengan rambut panjang kehitaman menutupi seluruh wajah berdiri di balik pintu.
‘Rash, tolong aku!’ Herman menjerit di dalam hati sambil memandang pada pintu bilik yang tertutup. Jemarinya semakin ligat menaip, dia menangis.
*****************
Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!
Firash terjaga. Dia menggapai telefon bimbitnya sebelum skrin ditekan. 3 pagi! Dia mendengus marah bila memikirkan Herman yang masih belum tidur pada waktu sebegini. Dia kembali melelapkan mata. Malas mahu mengambil pusing.
Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!
Firash kembali membuka matanya. Terasa ketukan butang huruf mesin taip itu terlalu kuat seolah-olah masuk ke dalam kepalanya.
Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!
Firash bingkas bangun. Bunyi ketukan itu masih lagi kuat. Memenuhi seluruh ruangan bilik dan rumah itu. Perlahan-lahan dia membuka pintu biliknya. Bunyi ketukan masih lagi berterusan dari tadi. Kuat dan laju. Telinganya menangkap pula bunyi tangisan sayu mendayu-dayu. Dia tercari-cari sehinggalah telinganya didekatkan di hadapan pintu Herman.
Sah! Tangisan itu datang dari dalam bilik Herman. Herman menangis?
“Kau o...” Firash terdiam sebaik pintu dikuak dan dilihat katil Herman kosong. Pantas dia menoleh ke arah meja kerja Herman. Buntang terus matanya melihat seorang wanita berpakaian putih menekap wajahnya pada mesin taip buruk milik Herman.
Wajah wanita itu tidak kelihatan kerana ditutup dengan rambutnya yang panjang mengurai sehingga mencecah lututnya. Tangisannya masih belum reda. Perlahan tapi mendayu-dayu seolah-olah meratapi kesedihannya. Dia juga seolah-olah menggumam ayat-ayat yang tidak dapat didengari dengan jelas.
Firash melangkah perlahan ke arah lembaga itu. Takutnya dia bukan kepalang tapi keinginannya untuk mengetahui butir bicara lembaga itu sangat tinggi. Peluh dingin mula berjurai seluruh badannya sehingga dia sendiri terasa sejuk bukan kepalang.
“Aku....aku...”
Setapak lagi Firash melangkah. Cuba mendengar ayat yang diucap lembaga itu.
“Aku...”
Firash melangkah lagi. Semakin lama semakin dekat. Degupan jantungnya laju. Takut tetapi ingin tahu.
“Aku dahaga!” jerit makhluk itu lantas bangun menerpa ke arah Firash.
Terkejut bukan kepalang, Firash jatuh terduduk. Dia cuba bangun ingin melarikan diri dari bilik itu tetapi tidak berupaya. Seolah olah melekat di atas lantai. Peluhnya jatuh berjurai-jurai, jantungnya berdegup kencang bagaikan ingin terkeluar dari dadanya.
Sedar tidak mampu bergerak, dia membiarkan saja lembaga itu melekap di pehanya. Sebaik lembaga itu menunjukkan wajahnya yang bengis dengan mata kemerahan dan wajah hodoh diselaputi darah, dia menutup mata serapat-rapatnya. Terus terasa angin sejuk menampar wajahnya.
Sebaik dia membuka mata, dia sudah pun duduk di hadapan mesin taip milik Herman. Jemarinya tiba-tiba bergerak sendiri menuju ke arah butang-butang huruf mesin taip. Puas dia menarik tangannya dari menyentuh mesin taip Herman tetapi gagal.
Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!
Jemarinya menaip sesuatu tanpa relanya. Seolah-olah jemarinya dipaksa dengan kuasa ghaib.
‘Aku dahaga darah!’
‘Jangan ganggu Herman!’
Serentak itu juga kesemua jarinya yang melekat di butang-butang huruf mesin taip itu berdarah. Firash semakin cemas. Dia terasa ingin meraung saat terasa butang-butang huruf itu seolah menggigit dan menyedut jari jemarinya. Ketika itu juga darahnya itu mengalir terus meresapi ke tali reben dakwat menukarkan ayat-ayat yang tertaip tadi ke warna merah. Merah darahnya!
“Kau buat apa dalam bilik aku?” sergah Herman sebaik dia tercegat di hadapan pintu biliknya melihat Firash yang sedang menaip sesuatu.
Terus saja jemari Firash yang melekat tadi terlepas dengan sendirinya. Cepat-cepat dia bingkas bangun sebelum berlari keluar rumah. Entah ke mana, Herman tidak mahu ambil tahu.
Dia segera menutup pintu. Herman menghadiahkan senyuman paling manis pada lembaga yang tercegat di sudut biliknya sebelum meletakkan seekor bangkai kucing yang baru disembelihnya di atas butang-butang huruf mesin taip. Rakus, mesin taip itu menyedut darah yang dihadiahkan.
********************
“Kau ni tak habis-habis menaip! Menaip! Menaip! Tapi mana hasilnya? Apa yang kau dapat?” Ismail menengking lagi pada Zalikha yang sudah separuh lembik terbaring di lantai selepas dia membelasahnya tadi.
Dia perlukan duit. Orang-orang Taiko Chen sudah mengekori dia ke mana sahaja menuntut dia menjelaskan hutang judinya. Balik saja ke rumah bila dilihat Zalikha yang tekun menaip, hatinya jadi panas.
Pam!
Daun pintu diterajang dari luar. Datang tiga orang pemuda lengkap bersenjata parang tajam menerpa ke arah Ismail yang langsung tidak dapat mempertahankan atau melarikan diri.
Zas! Zas! Zas!
Malam itu mesin taip milik Zalikha penuh dengan percikan darah dia dan suaminya. Kenyang mesin taip itu dengan darah mereka suami isteri.
*****************
Dengan sekali rodok, menyembur darah terpercik keluar dari mulut Firash. Herman menekan lagi hulu pisaunya lebih kuat, sehingga tubuh Firash sedikit terangkat.
“Maafkan aku, Rash.” Herman menutup matanya. Memeluk bahu sahabatnya itu lebih kuat.
“Kenapa buat a….aku….ma…macam ni…” mata Firash buntang. Terkejut dengan tindakan tidak diduga Herman. Datangnya tadi cuma ingin mengambil mesin taip buruk Herman. Ingin dibuangkannya jauh-jauh dari rumah ini supaya tidak lagi menghantui dia dan Herman.
“Kau tak faham Rash. Mesin taip aku tak nak darah binatang!” Herman menarik hulu pisaunya dari perut Firash. Terus pemuda itu jatuh terjelepuk ke lantai. Dia menekap perutnya yang berlumuran darah.
“Kalau aku tak bagi dia minum darah, aku tak boleh menulis. Aku takde idea yang hebat, takde cerpen dan manuskrip yang bagus untuk dihantar ke penerbit. Kau tak dengar ke dia cakap, aku dahaga…..aku dahaga!” Herman tergelak besar.
“Rash….maafkan aku. Aku tak…tak boleh lari dari mesin taip ni. Aku dah pernah buang, tapi dia datang balik! Aku dah tak tahan nak bagi dia hisap darah aku lagi!” Herman mengunjuk jemarinya ke wajah Firash. Jemarinya penuh dengan darah dan luka-luka lama dan baru seolah-olah digigit tikus. Dan jari hantunya sudah pun kudung!
Firash kesejukan. Pandangannya terasa kelam saat itu. Telinganya terasa sayup-sayup mendengar gelak tawa Herman. Dalam kelam itu, dia dapat melihat lembaga wanita itu berdiri tersenyum di sebelahnya dengan wajah pucat yang menakutkan sebelum silauan dari bilah kapak tepat menembus batang lehernya.
Buk!
“Nah, minuman kau aku dah sediakan!”
Herman mencampak kepala Firash ke atas butang-butang huruf mesin taip kesayangannya. Serentak itu lembaga tadi menerpa ke arah tubuh Firash yang menggeletik, rakus menjilat darah yang menyembur keluar.
“Kau takkan dahaga lagi sayang!”
TAMAT
********************
Gambar dan suntingan: Wan SC
Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com
1 comment:
best...
Post a Comment