Dak Noni
Assalamualaikum, admin dan warga AAN yang dihormati lagi dikasihi. Terima kasih, admin kerana sudi menyiarkan cerita aku ni. Terima kasih juga aku ucapkan kepada pembaca Kak Chik dan Mak Yah kerana menyokong aku sebagai penulis baru. Komen-komen korang sangat memberangsangkan, tak terkecuali menghiburkan.
Kali ni cerita aku ni tak pasti la termasuk dalam kategori mistik ke kifarah ke, korang baca dan korang nilailah sendiri ya.
Aku ada seorang kawan yang aku kenali sejak kecil lagi. Anak jiran sebelah rumah mak bapak aku. Nama dia Noni. Dak Noni ni aku anggap dah serupa malaikat sebab dia punya baik, boleh buat kau salah anggap. Aku kasi satu contoh dia punya baik macam mana.
Beberapa tahun lepas, cermin depan kereta aku pecah sebab terkena serpihan tayar lori yang meletup. Masa tu aku kat highway, on the way ke Ipoh. Aku pos pasal kemalangan tu kat Facebook dan Whatsapp sebab aku nak mintak info tentang tow truck kat area Ipoh. Kalau boleh, aku nak deal dengan orang yang member-member aku dah kenal. Masa tu dah senja. Dak Noni ni baca pos aku, lepas tu terus dia call tanya macam-macam. Dia punya stail minta information tu macam dia tengah stalk profile aku jer. Siap jerit kat aku bila aku jawab main-main. Serem.
Tak lama lepas tu satu tow truck sampai. Mula-mula aku cakap takpe, takpe, aku dah panggil tow truck lain datang padahal tak pun. Aku masih tunggu info dari kawan-kawan di FB dan Whatsapp. Mamat tu pulak bila tengok aku menolak servis dia, dia terus call entah sapa dan bagi tahu orang tu yang aku dah panggil tow truck lain. Aku masa tu dah gelabah dah. Dia ni siapa sebenarnya. Sindiket ke apa. Dahlah senja. Kalau dia belasah aku dan campak aku kat dalam gaung tu, memang sah aku jadi penunggu kat Terowong Menora, menunggu kasih yang tak kesampaian. Cia cia cia…
Pastu mamat tu bagi phone dia kat aku. Mula-mula tu aku refuse la. Kutlah kena mandrem ke pulak aku nanti melalui phone dia tu, pastu aku dengar suara Dak Noni ni kat phone tu, panggil-panggil nama aku. Dak Noni ni cakap dia otw ke Ipoh masa tu. Tow truck driver tu member dia, so dia suruh aku ikut member dia tu ke bengkel mamat tu. Aku punya syukur, tak tahu nak cakap la masa tu.
So, aku pun ikut mamat tu ke bengkel dia sambil tersengih-sengih sebab dah lama aku teringin nak naik tow truck. Merasa jugak aku petang tu. Next, nak naik GCB pulak. Dalam perjalanan ke bengkel dia, mamat ni ceritalah yang dak Noni ni lah penyelamat hidup dia suatu masa dulu, masa dia orang tengah study kat Uitm. Dia dah tak nak sambung study sebab mak bapak dia asyik gaduh jer. Pastu duit satu sen pun tak hantar kat dia. Mak dia pulak kaki ngadu, asal gaduh jer dengan laki dia, mesti ngadu kat mamat ni pastu bila berbaik balik dengan laki dia, tak nak pulak cerita kat anak. Bapak dia pulak sikit-sikit mintak duit kat dia tapi tanggungjawab dia orang kat dia, tak pernah dia orang jalankan. Pandai cakap suruh dia belajar rajin-rajin jer.
Dia tension dan nak berhenti belajar tapi dak Noni ni tak bagi. Sebab tak cukup duit je kau nak musnahkan masa depan kau? Macam tulah Dak Noni tu marah dia, kata dia. Pastu Dak Noni dapatkan dia kerja sambilan kat McD. Dak Noni pun kerja kat McD tu jugak. So, dia orang pergi kerja sama-sama naik kereta Dak Noni. Kalau Dak Noni off, dia sanggup hantar dan ambik mamat tu ke McD. Pastu, dia orang study sama-sama sampai dia orang berdua konvo. Masa konvo, mak bapak mamat tu tak datang pun tapi dak Noni ni sanggup kongsi mak bapak dia dengan mamat tu.
Mamat tu sampai simpan perasaan pada dak Noni ni tapi macam aku kata tadi, dak Noni ni dia baik suka tolong orang je. Tak ada maksud apa-apa. Last-last mamat tu sedar dak Noni ni tak ada perasaan kat dia, so dia orang berkawan baik saja sampai sekarang.
Tak lama lepas tu, Dak Noni pun sampai Ipoh. Dia dari KL je sebab dia kerja dan tinggal di KL. Korang tahu dia buat apa bila dia sampai kat bengkel mamat tu? Dia kasi aku guna kereta dia, pastu dia suruh aku hantar dia ke stesen bas. Malam tu gak dia balik KL. Tu kalau bukan serupa malaikat, aku tak tahulah nak kasi nama apa kat Dak Noni tu.
Lepas tu, Dak Noni ni lurus bendul dan bukan jenis suka mengelewar tak tentu hala. Dia percaya cakap kau 100%, walaupun kau tipu dia, dia tak pernah nak pertikaikan. Budak-budak yang aku kenal selalu tipu dia sebab dia orang nak ngelat suruh dia gantikan dia orang buat kerja. Konon dia orang demam la, itu la, ini la… padahal tak pun. Tapi tu la, sebab yang dia orang aniaya tu budak baik, dia orang betul-betul jatuh sakit.
Okey, habis intro pasal Dak Noni. Aku nak cerita apa jadi pada dia dua tahun lepas. Seperti yang korang semua tahu, Dak Noni ni tinggal dan kerja kat KL. Kerja dia jual Insurans Takaful. Satu hari tu dia pergi jumpa satu klien. Masa Dak Noni ni melobi produk insurans dia, mamat ni rupanya dah jatuh hati kat dia. So, hari-hari mamat ni bagi hadiah, bagi bunga, coklat dan macam-macam lagi kat Dak Noni sampai ke tahap dia cederakan diri sendiri semata-mata nak jumpa dak Noni. Berkejarlah Dak Noni ni ke hospital nak tengok klien dia. Rupa-rupanya mamat tu buat propa je walaupun kecederaan dia real. Dia buat semua tu sebab Dak Noni tak layan dia. Yalah, mamat tu laki orang. Anak dah dua. Nak cari pasal buat apa?
Satu hari tu dua orang perempuan datang ke ofis Dak Noni. Salah sorang daripada dua perempuan tu serang Dak Noni dengan ganas sekali. Dak Noni ni mati-mati cakap dia takda hubungan dengan mamat tu kecuali profesional je. Dia sampai bersumpah laknat kat depan perempuan yang maki dia, lempang muka dia dan tarik tudung dia sampai tercabut.
Tiba-tiba perempuan tu cakap, “Aku bukan bini dialah, betina sundal. Ni hah bini dia!”
Semua orang yang tolong leraikan serangan perempuan tu rasa pelik sebab isteri orang tu tak serang dak Noni pun. Cakap pun tidak. Dia pandang je dak Noni dengan muka sedih. Kawan dia pula yang lebih-lebih.
Sekali lagi Dak Noni ni bersumpah laknat depan isteri mamat tu. Isteri mamat tu terima permohonan maaf Dak Noni sampai berpeluk-peluk dia orang menangis. Bab ni aku tak faham sebab bagi aku, bila kau peluk-peluk dengan orang, maknanya kau dah ada some sort of connection dengan orang tu. Dia orang berdua ni ada connection apa?
Lepas tamat babak air mata tu, isteri mamat tu dan kawan dia tinggalkan ofis Dak Noni. Isteri orang tu memang betul-betul okey. Dia add FB Dak Noni dan follow IG Dak Noni. Siap berbalas-balas komen lagi dia orang berdua. Setengah orang kata dia nak pantau Dak Noni ni buat apa tapi aku tengok macam dia ikhlas jer berbaik dengan Dak Noni ni. At least kat mata akulah dia ikhlas. Mata orang perempuan ni lain sikit, benda yang tak ada pun boleh korang nampak. Eh!
Yang jadi masalahnya, kawan perempuan tu pulak pergi caci maki Dak Noni di FB. Dia dengan geng mak cik bawang dia pergi attack FB Dak Noni, tulis benda-benda tak betul kat wall Dak Noni, tuduh Dak Noni ni perampas suami orang dan viralkan gambar Dak Noni ni makan dengan lelaki tu dengan kapsyen ‘Amaran Kepada Isteri-Isteri Di Luar Sana. Inilah Wajah Ejen Insurans Yang Suka Main Dengan Laki Orang. Nak Ke Mana Lepas Makan Tu…’
Gambar tu mak cik bawang tu ambil dari FB Dak Noni sendiri. Padahal, gambar yang Dak Noni upload tu gambar yang innocent, diambil lepas mamat tu tanda tangan kontrak beli insurans. Bukan dengan mamat tu sorang je Dak Noni bergambar lepas berjaya jual insurans, dengan semua klien baru dia dia bergambar dan tayang kat FB.
Mak cik-mak cik bawang ni siap tulis nama Dak Noni, nombor telefon dan alamat ofis Dak Noni kat gambar yang dia orang viralkan tu. Tak cukup kat FB, mak cik-mak cik bawang ni attack Dak Noni kat Whatsapp pulak. Siap add Dak Noni ni dalam grup Whatsapp dia orang. Ramai rupanya geng dia orang. Dekat 20 orang tapi yang kuat berkicau tu tujuh orang je. Yang kelakarnya, grup tu ditubuhkan khas untuk bashing Dak Noni je, memang takde cerita lain. Hari-hari dia orang up gambar yang Dak Noni up kat FB dia, lepas tu dia orang bash dia ramai-ramai. Dah memang takde kerja gamaknya dia orang ni.
Dak Noni ni punya down sampai dia tutup FB dan IG dia. Dia block semua nombor mak cik-mak cik bawang tu. Lama jugak baru dak Noni ni okey balik. Tapi tu lah kuasa Allah, rezeki Dak Noni ni melimpah-limpah sejak cerita palsu tu viral.
Lepas beberapa bulan, Dak Noni ni bukak balik FB dan IG dia. Masa dak Noni ni ingat semua dah tenang, tiba-tiba dia terserempak dengan mak cik bawang yang serang dia kat ofis dulu, kat shopping centre. Kebetulan masa tu Dak Noni ni berjalan dengan seorang lelaki, iaitu klien baru dia. Perempuan tu punya kicau, fuh! Satu shopping complex tu dengar. Dia punya tak malu, dia pergi ikut Dak Noni dan lelaki tu, memaki Dak Noni macam-macam sambil heret anak-anak dia.
Kecoh balik hal Dak Noni ni kat FB. Yang tukang menyampainya, isteri mamat yang berpeluk-peluk dengan Dak Noni dulu. Dia bagi semua screenshot kutukan dan cacian kawan dia tu kat Dak Noni. Menangislah jugak Dak Noni masa tu sebab diaibkan dengan sangat teruk, padahal dia tak buat salah pun kat mak cik bawang tu. Perempuan tu takde kena-mengena pun dengan dia. Itu yang dia pelik kenapa perempuan tu beria-ia nak musnahkan dia.
Tak sampai dua minggu lepas tu, Dak Noni terima berita mak cik bawang yang serang dia tu dah mati kena langgar kereta lepas dia tiba-tiba je lari ke tengah jalan raya. Tapi sebelum tu, mak cik bawang tu pernah mengadu kat kawan-kawan dia yang dia selalu nampak bayang-bayang hitam dan bayang-bayang hitam tu selalu ikut dia. Bila dia lari, bayang-bayang hitam tu kejar dia. Dia tuduh Dak Noni yang hantar menatang kat dia tapi Dak Noni bersumpah dengan nama Allah, dia tak pernah buat kerja syirik tu. Seminggu dia kena gangguan tu. Masa tu, memang dia tak up pasal Dak Noni langsung. Dia asyik cerita pasal gangguan kelibat hitam tu jer. Masa hari dia mati tu, laki dia kata isteri dia tiba-tiba je menjerit masa dia orang tengah pilih lauk kat satu kedai makan di tepi jalan ni. Lepas tu isteri dia terus berlari ke tengah jalan raya. Kena langgar dengan kereta. Mati di tempat kejadian.
Aku dapat tahu, yang enam orang lagi tu masing-masing dapat balasannya jugak. Cukuplah aku cakap, dia orang tak berani dah nak ngata Dak Noni ni lagi.
Sekian, cerita Dak Noni.
********
Suntingan dan gambar: Gongpal Topek
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
1 comment:
best
Post a Comment