Monday 13 November 2017

CTRL C + V - Vion Krisalis


CTRL C + V

OLEH: Vion Krisalis



“MAZNAH! Meh turun makan!”
Maznah menjulingkan mata ke atas. Jengkel dengan laungan ibunya. “Kejaplah mak. Nak siapkan kerja ni!”
Detap-detap jemari mengetuk papan kekunci. Nama page yang dicari segera terpapar. Satu persatu cerpen dibaca hanya sekali lalu, sekadar untuk mengetahui jalan cerita dan bukannya untuk menghayati.
Baguslah, baru dua hari tak jenguk dah ada banyak cerita baru. Dia tersenyum sendiri. Untuk hari itu saja, lima cerpen diambil dan dimuatnaik di page sendiri.
Dalam dua hari itu, penguikutnya hanya dihidangkan dengan link-link artikel dengan tajuk gempak. Bimbang juga kalau mereka muak. Namun link-link artikel itu tetap penting untuk menjana isi poketnya dan tetap akan dimuatnaik dari semasa ke semasa.
Clickbait. Cara senang buat duit. Tambahan pula page Siku Lipat kini hanya dia seorang yang kendalikan, maka keuntungan dari link-link itu masuk ke dalam poketnya seorang.
Selesai kerjanya, dia terus saja ke meja makan. Nasi dicedok ke pinggan.
“Kerja sekolah dah siap?
Terkebil-kebil dia memandang ibunya. “Err... dah. Siap dah.”
MALAM itu, berduyun-duyun notifikasi masuk. Maznah membaca satu persatu.
‘Bes cerita. Tak pernah menghampakan.’
‘Apak seram woi! Dahlah aku sesorang kat rumah!’

Senyum melebar ke telinga. Pujian-pujian yang membuatkan dia rasa bagai diawang-awangan. Langsung tak rasa bersalah walaupun yang dipuji bukanlah hasil penat lelahnya memerah idea.

Skrol ke bawah lagi.
‘Page Siku Lipat dah tak macam dulu. Dahlah suka post link, lepas tu main plagiat karya orang. Mana admin lama Siku Lipat??’
Spontan muka terasa sebu. Telinga terasa bahang. Langkah mudah – block saja. Hilang seorang, ada lagi 300k. Tak bagi kesan pun. Tapi geram juga bila ada yang pertikai.
Kalau bagus sangat, kau buatlah page sendiri! Marahnya dalam hati. Langsung tak sedar diri bahawa page yang dipegang sekarang pun diperoleh dengan cara kotor.
Page Kisah Angker dibuka lagi dengan rasa tak senang hati. Betul sangkaannya, para kurator dan pengikut-pengikut dah menggila dengan isu plagiat karya penulis di situ.
“Tak apa. Bukannya dia orang tahu aku siapa.” Ujarnya perlahan sekadar untuk menyedapkan hati.
Ting! Notifikasi baru masuk.
‘Hai admin! Aku memang minat gila dengan page kau. Ni aku ada attach link bahan best. Kau post je la, tak payah kredit nama aku.’
Dia tertawa kecil. Bukan main seronok lagi. Lantas pautan diklik tanpa ragu-ragu. Kusyuk dia membaca maklumat berkenaan deepweb yang disertakan sekali dengan gambar-gambar ngeri. Mual tekaknya tiba-tiba. Akibat tak tertahan dengan kengerian itu, dia menghentikan bacaan dan terus saja memuat naik post berkenaan.
Tak perlu tunggu lama, beratus-ratus sukaan diperoleh. Setelah berpuas hati dengan feedback yang diterima, Maznah segera merebahkan tubuh ke katil. Rasa mual masih terasa.
MAZNAH yang tadinya hampir terlelap terus terjaga. Lagu entah apa tiba-tiba saja kedengaran dari laptopnya. Rasa seriau menerpa. Lambat-lambat dia turun dari katil dan menghampiri meja belajar. Pada skrin, dia melihat aplikasi FLV sedang memainkan lagu yang tak pernah dia dengar dengan imej abstrak menjadi hiasan. Tertulis tajuk pada sebelah atas tetingkap FLV, Haunted – Evanescene.
Bila masa aku ada lagu ni?
Dia menghela perlahan. Fikirnya mungkin tadi dia ada muat turun lagu itu dan memasangnya. Debaran di dada kembali normal. Dengan pantas tangannya melarik touchpad ke arah ikon pangkah. Serta merta lagu terhenti.
Maznah kembali ke katilnya, namun baru saja dia berbaring, lagu lain pula berkumandang. Rasa takut kembali menjelma dan dengan pantas dia berlari keluar bilik.
“Abahhh!” Jeritan nyaring mengejutkan kedua-dua orang tuanya yang sedang leka menonton drama.
“Kenapa ni?”
“Laptop Nah...”
Tanpa banyak soal, ayahnya segera ke dalam bilik. Namun apa yang dilihatnya hanyalah skrin gelap.
“Tak apa -apa pun? Kenapa Nah jerit tadi?”
Mahu saja dia kata laptopnya berhantu, tetapi suara tersekat di kerongkong. Dia hanya mampu terkebil-kebil di pintu bilik. Sekejap dipandang ayahnya, sekejap dipandang laptop. Sudahnya, si ayah terus keluar sambil menggeleng perlahan.
“Laptop Nah tiba-tiba berbunyi sendiri,” ujar Maznah perlahan setelah berusaha memaksa suaranya keluar.
Ayahnya mendekati. “ Bunyi macamana?”
“Lagu. Tapi Nah tak tahu lagu apa. Bunyi dia seramlah abah.”
“Tak ada apa-apalah tu. Nah lupa yang Nah ada pasang agaknya. Dahlah, pergi tidur. Esok nak sekolah.”
“Baiklah abah.”
Perlahan Maznah melangkah masuk ke dalam bilik. Mata tak lepas dari memandang laptop yang tersadai di atas meja belajar. Dia mendekati laptopnya dan perlahan tangan mencapai lid untuk ditutup. Entah kenapa rasa takut masih menghantui sehinggakan nak tutup lid pun dadanya berdebar kuat.
Maznah segera berbaring di atas katil dan menarik selimut menutupi seluruh tubuh. Seram sejuk, terasa macam diperhatikan.
PULANG dari sekolah, Maznah terus menghadap laptop. Nafas ditarik panjang dan dihembus perlahan. Rasa takut masih bersisa. Namun dikuatkan hati untuk menekan butang power.
Power on. Skrin memaparkan desktop bergambar pemandangan padang bunga.
Normal.
Tiada lagu seram. Dia menghela nafas lega.
Log masuk Facebook. Ikon notifikasi ditekan dan terpaparlah berderet-deret komen dan sukaan dari para pengikut. Satu persatu komen dibaca. Pada mulanya semuanya elok-elok belaka, tak lekang dengan kata-kata pujian. Namun semakin ke bawah, semakin banyak pula yang mengecam.
Takkan nak block semua yang mengecam? Berkurang pula pengikutnya nanti. Maka dengan hati yang berat, dia merelakan kata-kata kecaman itu. Biarlah dia pejamkan mata dan abaikan kecaman yang dianggap daripada haters.
Page Kisah Angker dibuka. Nampaknya ada cerita baru dari dua kurator page. Tanpa rasa bersalah, Maznah terus meniru bulat-bulat karya itu dan memuat naik pada pagenya. Senyuman kepuasan terukir.
Tiba-tiba saja, laptopnya mengalami screen freeze – tak berfungsi walau berkali-kali kekunci CTRL+ALT+DEL ditekan. Maznah mati akal. Hanya itu yang diajar ayah kalau laptop ‘hang’.
Apa aku nak buat sekarang ni?
Dalam dia berfikir, jemari terkaku dan mata terpaku pada skrin. Entah bila masanya skrin bertukar paparan. Mata kucing merah menyala berlatarkan warna hitam pekat. Hampir gugur jantungnya melihat mata itu yang seolah-seolah merenung tajam ke arahnya. Perlahan dia menolak kerusi ke belakang, menjauhi laptop.
Debaran bertambah kencang apabila melihat persatu huruf muncul pada skrin.
HENTIKAN.
Hentikan? Hentikan apa? Dia bergumam perlahan.
HENTIKAN APA YANG KAU LAKUKAN.
Maznah bangkit dari kerusi dengan tergesa-gesa dan tersadung. Agak kuat dia terjelepuk hingga lututnya terasa sakit. Dan ketika itulah intro Master of Death oleh Peter Gundry berkumandang kuat mengisi suasana rumah yang hening. Dia menoleh ke arah laptop. Mata kucing itu masih merenung tajam. Tanpa dapat ditahan, Maznah menangis teresak-esak.
Nama siapa yang nak dijerit sekarang ini? Kedua-dua ibu bapanya sedang bekerja. Hanya dia seorang di rumah.
Bagaikan digam, matanya tertancap pada skrin, memandang satu per satu hasil plagiarismanya terpapar silih berganti. Kakinya terasa lembik untuk menampung tubuh. Kerana itu, dia hanya mampu duduk kaku di situ menyaksikan ‘hasil kerja’ kotornya ditayang.
Terdetik di hatinya, mungkin salah seorang penulis telah berdendam dengannya. Tapi bagaimana orang itu buat semua ni? Hacked?! Atau takkan dengan menghantar hantu untuk porak perandakan hidupnya pula?
Rasa takutnya bertambah tatkala skrin memaparkan gambar-gambar dirinya dan ibu bapanya. Tanda pangkah berwarna merah pada setiap wajah membuatkan dia hampir putus nafas.
“Tolong...” Perlahan suaranya, seolah-olah tersekat di rengkungan.
TOLONG APA?
Nafas tertahan. Bibirnya menggeletar gara-gara terkejut dengan situasi yang sedang berlaku. Siapa yang sedang bermain dengannya? Orang itu – kalau betul manusia – kenapa dia boleh dengar apa yang dikatakan?
“Aku minta maaf. Aku janji tak buat lagi. Sumpah tak buat lagi.”
TAKUT?
Maznah mengangguk laju. Air mata masih deras mengalir.
Lagu yang dimainkan semakin perlahan. Mata merah si kucing juga semakin memudar.
Baru saja Maznah mahu berasa lega, tiba-tiba saja jeritan nyaring bergema dari speaker membuatkan Maznah turut terjerit sambil menekup kedua-dua telinga. Kemudian, jeritan nyaring berganti dengan suara tawa yang garau selama beberapa saat sebelum laptop terpadam.
Serta merta suasana hening menyelubungi. Maznah yang masih berteleku sambil menekup telinga perlahan-lahan mengangkat kepala. Laptop dipandang dengan rasa takut.
Dah hilang ke?
Maznah bangun dan mendekati laptop. Jelas ia sudah dimatikan. Shutdown. Dia terduduk di sisi meja dan menangis teresak-esak. Rasa takut masih menyelubungi.
PAGE Kisah Angker kecoh petang itu. Tiba- tiba saja seorang gadis tampil memohon maaf secara terbuka atas aktiviti plagiat yang dilakukan. Respon yang diterima sudah dijangka. Dia dikecam dan dikeji. Malah ada yang bertindak keterlaluan dengan mendoakan kecelakaan terhadapnya. Gambar dirinya pula sudah disebarkan oleh seseorang. Sekarang, semua sudah kenal mukanya. Maka tak perlu lagi dia menyembunyi diri.
Mungkin juga dengan cara ini dapat memuaskan hati semua orang. Live FB menjadi tontonan netizen.Jumlah tontonan pula meningkat dengan mendadak.
Perlahan, dia memanjat kerusi.
Tangan mencapai gantungan tali leher si ayah..
Kerusi ditolak kuat.
Buat beberapa minit, tubuhnya terkapai-kapai seksa.
Peparu terasa bahang akibat kekurangan oksigen.
----------------------------------------------------------------------
RUANGAN itu hanya diterangi cahaya samar dari skrin komputer. Dia bersandar selesa pada kerusi beroda sambil tangan mendepang di belakang, menahan kepala. Senyum sinis terukir tatkala melihat tubuh kaku si gadis terbuai-buai di bawah kipas.
Jemari menggendang meja mengikut alunan Haunted oleh Evanescene yang berkumandang menerusi speaker.
Seketika kemudian, jemari dibawa ke papan kekunci. Huruf-huruf ditekan laju lalu terpaparlah koding-koding pada tetingkap berlatarkan hitam. Segala jejak perlu dihapuskan supaya identitinya kekal terlindung.
Caranya?
Biakkan virus ciptaannya supaya hard drive sasaran musnah sepenuhnya.
=====================

Suntingan & Gambar : #kamenrider

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: