Tuesday 31 October 2017

12-1-A2: PULANG - Azman Zainordin


12-1-A2: PULANG

***************************************

"Weiii bangguunnnnnn!!!"
Suara Muthu memecah suasana. Semua penghuni hostel 12-1-A2 terpinga-pinga.
"Apahal kau jerit-jerit tetengah malam ni setaannn?" Marah Emmet sambil melempar bantal kemuka Muthu.
"Hehe aku lapar la. Jom teman aku pergi beli burger jap." Jawab Muthu sambil tersengih menampakkan gigi yang sedikit kuning.
"Aduhhh tak boleh cakap elok-elok ke?" Marah Afiq.
"Alaa sori la hehe. Nak ikut aku tak?" Tanya Muthu. Masih lagi tersengih-sengih.
"Malas." Itulah jawapan dari penghuni 12-1-A2. Serentak.
"Tak guna, berat bontot la korang ni."
Muthu masuk ke dalam bilik. Mendapatkan Aiman.
"Man, jom teman aku beli burger kat luar. Jom la. Alaa kejap jee. Aku belanja kau burger daging." Muthu mengumpan Aiman.
"Hmm jom la." Balas Aiman ringkas. Kesian pulak dia tengok kawannya itu. Dia bingkas bangun dari katil. Bertukar pakaian. Dari kain pelikat ke seluar panjang. Dari tak berbaju ke berbaju.
"Kai, pinjam helmet."
"Haa ambik la."
"Kai, pinjam motor kau. Kunci mana kunci?" Sekali lagi Muthu tersengih.
"Hmm. Kat meja tu."
"Lepas beli tu jangan merambu pulak. Terus balik. Kang pontianak tumpang motor kang." Gurau Afiq sambil menuang air panas kedalam mug. Bungkusan milo 3 in 1 dibuka dan dicampur serbuknya dengan air panas tadi lalu dikacau perlahan-lahan.
"Ehh mulut kau tak tak boleh teruk lagi ke?" Balas Muthu sambil menutup pintu lalu melangkah laju menuruni anak tangga. Aiman mengikut dari belakang sambil tersengih.
"Kita nak beli kat mana ni?" Tanya Aiman sesudah sampai ke motor.
"Kita beli kat Taman Cempaka. Kat sini tak sedap la." Balas Muthu sambil menghidupkan motorsikal. Sempat lagi dia membuat bunyi tikus bila ada pelajar-pelajar perempuan melintas.
"Geram betul aku. Tadi aku pergi ambik dia kat stesen KTM takde pulak mengadu lapar. Ni dah tengah malam baru terhegeh nak makan." Kai membebel sambil memerhati Muthu menunggang motosikalnya hingga lenyap dari pandangan dari balkoni hostel mereka.
"Alaa rileks la. Tau la kau sayang sangat kat motor kau tu. Kejap lagi kau suruh la dia isi minyak." Emmet membalas sambil memetik tali gitarnya. Sesekali dia bernyanyi perlahan.
"Ha'ah weh. Suruh dia isi penuh." Afiq menambah sebelum meneguk minumannya.
"Berani pulak dia keluar waktu-waktu macam ni." Kai bermonolog didalam hati.
------------------------------
"Bang, burger ayam special satu, burger daging biasa satu." Tempik Muthu dari atas motor.
"Burger daging tu taknak sayur." Tambah Aiman.
"Burger daging tu taknak sayur." Muthu meniru Aiman.
"Haa okay okay." Balas si pembuat burger.
"Aku nak masuk 7E sat. Nak beli barang. Hang nak beli apa-apa dak?" Tanya Aiman.
"Takde kot. Ha takde takde. Kau pegi la. Aku tunggu kat sini." Balas Muthu sambil mengeluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar.
6 minit kemudian Aiman keluar dengan menjinjing beg plastik putih.
"Beli apa?" Tanya Muthu sambil matanya terjegil-jegil memerhati beg plastik ditangan Aiman. Seolah-olah mampu melihat isi dalam.
"Beli megi dengan panadol ja."
"Emm megi." Sambil Muthu menjilat bibir.
"Hang buat perangai elok-elok sikit." Marah Aiman sambil menyembunyikan beg plastik dibelakangnya.
"Emm dik, burger dah siap. Semuanya RM7.50 sen." Si pembuat burger menyerahkan beg plastik kuning berisi burger yang telah siap dibungkus dengan kertas.
Muthu menghulurkan wang.
"Jom." Muthu menghidupkan enjin motosikal. Aiman membonceng kemas dibelakang. Perlahan-lahan Muthu bergerak menuju ke jalan besar. Si pembuat burger hanya memerhati Muthu.
"Man, kau nampak tak pondok bas lama tu? Situ orang cakap keras tau. Setiap kali waktu subuh, ada nenek tua tunggu kat situ. Orang cakap nenek tua meninggal sebab dirempuh teksi tak lama dulu. Kena rempuh kat pondok bas tu." Cerita Muthu. Aiman hanya membisu dibelakang.
Ketika mereka melepasi pondok bas itu, motorsikal Muthu bergetar. Seperti digoncang.
"Eh eh apahal ni???" Kelam kabut Muthu. Namun tangannya tetap kental mengawal motosikal dari terbabas.
"Aku la. Aku nak terkencing. Singgah stesen minyak kat depan tu sat." Balas Aiman sambil ketawa.
"Bongok la kau Man. Buat aku terkejut je. Nasib baik aku pun nak pergi ke stesen minyak." Muthu cuba mengawal perasaan. Degupan jantungnya kembali normal.
Muthu membelok ke stesen minyak, berhenti dihadapan pam minyak.
"Hang tunggu situ tau. Jangan balik lagi." Pesan Aiman sambil berlari-lari menuju ketandas. Tak boleh ditahan. Kalau tak buang, mau terburai tengah jalan.
5 minit kemudian Aiman keluar dengan wajah yang berseri-seri. Lega.
"Dah cuci ke?" Tanya Muthu.
"Dah la. Ingat aku macam hang?"
"Ciss. Dah dah jom. Aku dah lapar gila ni."
Aiman duduk dibelakang. Dengan pantas Muthu memecut laju. Membelah malam. Angin malam menampar-nampar kaki dua sahabat itu.
Muthu membelok masuk ke kolej. Mujur pak guard belum tutup pagar. Motor diletak di tempat parkirnya kembali. Enjin motosikal dimatikan. Tanpa berlengah dia terus bergerak ke tangga. Dengan kakinya yang panjang, selamba Muthu melangkah 4 anak tangga sekaligus. 4 kali langkah, dah sampai didepan pintu hostel. Tombol dipulas.
"Heyy everybody. I'm homeeee!!" Jerit Muthu sambil menolak pintu.
"Diam la setaaannnnn!!!!!" Marah Afiq yang tengah bergayut.
"Kau dah isi minyak?" Tanya Kai.
"Dah." Jawab Muthu pendek sambil membuka bungkusan burgernya.
"Weh, apasal kau off phone? Aku nak kirim burger la." Soal Afiq setelah selesai bergayut.
"Alaa sori la. Bateri phone aku habis la." Jawab Muthu sambil mengunyah burger. Helmet masih terlekat dikepala. Peduli apa dia. Asalkan perut kenyang.
"Berani pulak kau keluar sorang-sorang waktu macam ni." Emmet menyampuk.
"Sorang mende. Aku keluar dengan Aiman la." Jawab Muthu sambil mengunyah lagi.
"Kau merepek apa ni? Aiman balik kampung la. Kan dia kena demam denggi. Kau dah lupa ke?" Kai membalas. Ditatapnya muka Muthu.
Jantung Muthu seakan-akan terhenti. Mukanya tiba-tiba pucat. Peluh mula keluar. Baru dia teringat. Aiman balik ke Perlis minggu lepas kerana disyaki menghidap demam denggi.
"Tadi kau pergi dengan siapa?" Tanya Afiq. Kai dan Emmet bersila kemas dihadapan Muthu.
"Aku.. Pergi.. Dengan.. Aiman la.. Tadi aku ajak dia masa dia duduk dalam bilik.. " Terketar-ketar Muthu. Burger tetap dikunyah.
Kai, Emmet dan Afiq saling berpandangan. Burger yang digigit belum sempat dikunyah, terus ditelan begitu saja oleh Muthu. Tiba-tiba satu lembaga berambut panjang bergerak masuk perlahan-lahan.
"Korang nampak tak tu?" Tanya Muthu. Air matanya mula mengalir. Ditambah pula dengan kepedasan burger. Matanya dipejam kemas manakala tangannya kemas menggenggam burger.
Lembaga itu hanya berdiri disudut dinding sambil menundukkan kepala. Panjang rambutnya mencecah pinggang. Pakaiannya putih lusuh. Terapung-apung diudara.
Mereka berempat berkumpul sesama mereka sambil memerhati lembaga itu.
"Apa kita nak buat ni weh?" Tanya Muthu sambil menggenggam burger. Matanya masih belum dibuka.
"Call ustaz Saiful. Minggu ni dia bertugas jadi warden kan?" Emmet memberi cadangan.
Terketar-ketar Afiq mencapai telefon pintarnya. Segera dia mendail nombor telefon ustaz Saiful.
"Hello.. Assalamualaikum ustaz.. Ustaz tolong datang ke bilik kami. Ada.. Benda.. 12-1-A2."
"Waalaikumussalam. Benda? Ya baik baik." Ustaz Saiful menjawab pendek.
Lembaga itu bertukar menjadi nenek tua. Rambutnya kelabu kusut masai. Pakaiannya koyak rabak, dipenuhi darah. Wajahnya hancur sebelah. Dia bergerak perlahan-lahan, seperti menuju kearah mereka berempat.
Burger yang digenggam sejak dari tadi sudah mulai lunyai. Sos bercampur mayonis meleleh dicelahan jari Muthu.
"Kau buang je la burger kau tu. Dah tak rupa burger dah aku tengok." Marah Emmet.
"Mana boleh. Aku belum habis makan lagi." Muthu membalas. Matanya masih dipejam erat.
"Assalamualaikum." Kedengaran suara ustaz Saiful memberi salam dari luar.
"Waalaikumussalam." Jawab mereka bertiga serentak. Muthu mengurut dadanya tanda lega. Tetapi masih belum membuka mata.
Lembaga berupa nenek tua itu mengalihkan pandangan ke ustaz Saiful.
"Allahu. Apa yang korang dah buat ni?" Tanya ustaz Saiful sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
"Entah la ustaz. Muthu ni haa."
"Eh, apahal pulak aku." Marah Muthu. Sos dan mayonis masih meleleh dicelah jari. Matanya dibuka sedikit, tapi belum berani nak menatap lembaga itu.
Ustaz Saiful merenung tajam kearah lembaga itu sambil mendiamkan diri. Sebenarnya Di sedang berkomunikasi dengan lembaga itu.
Setelah beberapa minit diam, ustaz Saiful mula berkata-kata.
"Dia nak suruh korang hantar dia balik."
"Hantar balik? Tapi macam mana? Bukan kami yang ambik dia." Emmet bertanya.
"Siapa yang bawak benda ni balik?" Ustaz Saiful bertanya kembali.
Kai, Emmet dan Afiq serentak menunding jari kearah Muthu.
"Tapi ustaz, saya rasa saya bawak kawan saya. Saya bawak dari hostel ni la. Macam mana saya boleh bawak balik dia pulak?" Muthu cuba mempertahankan dirinya.
"Yang kamu bawak tu benda ni la. Dia dah tahu kamu nak lalu jalan tu. Saja nak bergurau." Jawab ustaz Saiful sambil tersenyum.
"Amende gurau macam ni." Sos masih lagi meleleh di celah jari Muthu. Menitik-nitik diatas lantai.
"Haha yela saya hantar. Korang ada botol kaca tak?" Tanya ustaz Saiful sambil memerhati sekeliling. Lembaga itu masih lagi berdiri kaku memerhati ustaz Saiful.
"Botol kaca takde. Botol plastik ada lah. Boleh ke?" Afiq menunjuk kearah botol-botol plastik yang kosong ditepi almari.
"Botol plastik nak buat apa. Benda ni dah la dari api. Cair la plastik bila kena api. Hmm kalau takde takpe la. Kita try guna botol plastik. Yang lain kita serahkan kepada Allah." Ujar ustaz Saiful sambil mendapatkan botol air mineral besar ditepi almari.
Ustaz Saiful mula berzikir. Sesudah itu beliau membaca ayat Kursi. Ketika ayat kursi dibacakan, lembaga itu mendengus kuat. Seperti marah.
Belum sempat ustaz Saiful membaca surah An-Naml, makhluk itu mula merangkak laju. Merangkak kearah Muthu. Matanya bulat memerhati Muthu. Air liur pekat mengalir jatuh ke lantai. Lidahnya sedikit hitam terjelir menyapu lantai. Dalam beberapa saat, makhluk itu sudah sampai dihadapan Muthu. Mukanya bertentang dengan muka Muthu. Cuma sejengkal. Muthu memejamkan matanya kembali. Dia dapat menghidu bau hanyir. Dengusan nafas makhluk itu terasa mengenai mukanya.
"Ustaz, tolong saya ustaz!!" Tangan kanannya terkapai-kapai diudara. Burgernya berselerak dilantai. Tangan kirinya menutup kepala. Emmet, Kai dan Afiq hanya memerhati Muthu tanpa boleh berbuat apa apa. Apa yang boleh mereka buat adalah menjarakkan diri daripada Muthu.
"Allahuakbar!" Ustaz Saiful melaungkan takbir. Serentak dengan itu, makhluk tadi pun ghaib.
"Mana benda tu dah pergi?" Tanya Kai sambil matanya liar memerhati sekeliling. Muthu masih lagi menangis sambil menutup kepala dengan tangan.
"Saya dah tangkap dah. Ada dalam botol ni. Saya mintak diri dulu. Kena cepat ni. Botol plastik tak tahan lama. Nanti dia terlepas lagi, susah korang. Kalau ada apa-apa, telifon saya. Assalamualaikum." Ustaz Saiful keluar dari bilik hostel itu, dengan pantas menuruni anak tangga.
Selepas menjawab salam, Emmet bangun berdiri.
"Weh Muthu. Kau tengok burger kau ni. Bersepah-sepah. Kau cuci balik lantai ni. Tadi aku suruh buang, taknak buang. Degil." Marah Emmet.
Muthu masih lagi tersedu-sedu tidak mampu berbuat apa-apa. Bahkan hendak bercakap pun dia tak mampu. Kesan dari peristiwa tadi. Muthu hanya mampu memerhati sayu sisa-sisa burgernya yang berselerak dilantai sambil menjilat jari jemarinya yang dipenuhi dengan sos dan mayonis. Air matanya sekali lagi tumpah.
***********************
Follow penulis : Azman Zainordin
Editor : Shizu
Gambar : Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: