Tuesday 24 October 2017

TEMPAYAN EMAS - Nil Kuhaku


TEMPAYAN EMAS
KARYA: Nil Kuhaku 
====================

-Sabtu, 2 September 2017@ 5.45 PM-
Anggota polis itu mengerutkan muka.
"Encik pasti dengan laporan Encik ni?“
Lelaki di hadapannya mengesat air mata. Mengangguk.
"Betul tuan. Saya tak tipu."
Polis itu terdiam. Ujian air kencing lelaki ini bebas dadah. Tiada rekod jenayah, tiada rekod sakit mental.
"Cuba encik ulang balik." ujarnya.
Lelaki muda itu menggigil. Dia menarik nafas panjang.
-Rabu, 30 Ogos 2017, 12.42 PM-
Tajul menghampiri rumah pusaka miliknya. Dia menghela nafas. Memerhati barisan kereta milik abang-abangnya.
Tak ada angin, tak ada ribut. Mesej pun tak. Dia tak tahu menahu abang-abangnya akan balik kampung.
Lelaki itu melepaskan keluhan. Kain di bahunya ditarik. Mukanya yang berpeluh dilap. Dia mempercepatkan langkah.
Bunyi hingar-bingar anak-anak saudaranya membingitkan telinga. Dia menghampiri paip air, membasuh kakinya terlebih dahulu. Matanya terpandang timbunan kampit simen berhampiran rumahnya. Dia hairan. Simen siapa pula ni?
"Assalamualaikum." ujarnya.
"Waalaikumussalam." salamnya dijawab. Ramai.
"Paksu! Paksu!" anak-anak saudaranya menerpa, berebut mahu bersalam dengannya. Dia tersenyum. Galau dihatinya sedikit terubat.
"Dah, dah. Jangan peluk Paksu. Paksu busuk ni." ujarnya. Anak saudara perempuannya, Aisha yang berumur lapan tahun bergayut di kaki. Mengekeh tertawa. Bunyi pinggan mangkuk di dapur menandakan kakak-kakak iparnya mungkin disana.
Tajul mengalihkan pandangan kepada abang-abangnya. Mereka sedang duduk di sofa, menghisap rokok. Hati Tajul sebal. Tajul tidak merokok, jadi rumahnya memang tiada bekas abu rokok. Abu rokok dijentik mereka ke dalam cawan. Lelaki muda itu menarik nafas panjang.
"Abang Long. Abang Ngah. Bila sampai?“ dia bertanya.
"Baru je. Kau kemana?" Abang Long berkata.
"Baru balik kebun, Long."
"Menjadi ke kau menanam tu?“
"Bolehlah. Lada, timun hijau menjadi tahun ni. Kalau tahu Along dengan Angah nak balik, adik kailkan udang sungai. Kenapa tak cakap awal-awal?"
Along mendengus. Mencebik.
"Tak payah. Aku balik ni ada sebab."
Tajul memandang Angahnya yang buat tidak tahu. Leka memandang televisyen.
"Sini kau. Duduk."
Tajul menurut. Dia duduk berhadapan Angah dan Along.
"Aku balik ni, aku nak renovate tandas rumah ni."
Tajul mengerutkan muka.
"Buat apa, Along?"
"Buat apanya? Nanti kau juga selesa nak duduk."
"Macam ni pun adik dah cukup selesa. Buat apa nak renovate lagi?“ ujar Tajul tak puas hati.
"Kau jangan nak tinggi-tinggi suara dengan aku eh. Aku buat ni nak kau selesa!" Along tiba-tiba menjerkah. Anak-anak saudara Tajul yang awalnya sibuk bermain, terdiam.
"Tapi rumah ni adik punya. Ibu bagi kat adik. Kenapa tak bincang dengan adik dahulu?“ Tajul tidak mahu kalah. Macam dia tidak tahu perangai abangnya!
"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku!" Along menjerkah kembali. Angahnya diam. Anak saudara Tajul yang bongsu, anak Angahnya - mula menangis ketakutan.
"Along tak minta apa-apa pun Adik. Nanti Adik juga selesa. Kami bayar kos semua." ujar Angahnya lembut.
Tajul mengeluh nafas kasar.
"Ikut suka Alonglah. Ikut suka Angahlah. Adik tak mahu tolong. Adik sibuk di kebun nanti." ujar Tajul. Lantas dia bangun, menuju ke biliknya. Menahan marah yang menggelegak.
Selepas arwah ibu meninggal, dia tidur di dalam bilik ibunya. Bilik ibu sudah tersedia bilik mandi. Mujurlah. Dia mahu berkurung sahaja dalam biliknya hari ini.
Tak sampai setahun ibu meninggal. Mesti Along dah habis berjoli. Masa ibu hidup pun macam tu perangainya. Elok-elok berkerja, dia masuk MLM. Duit ibu simpan untuk haji habis ibu bayar untuk barang entah apa-apa Along jual.
Apa yang Tajul dapat cumalah rumah pusaka dan tanah kebun ini. Tanah-tanah lain semua diperoleh Along dan Angah. Tajul pasti, tanah itu semua dah habis dijual Along.
Tak lama selepas Along masuk MLM, Along dibuang kerja sebab pecah amanah. Mujur majikan Along tak bawa pada pihak berkuasa kerana kasihankan anak-anak Along.
Angah pula sama naik dengan Along. Apa-apa Along cakap Angah turut. Lansung tak menegah walau terang-terangan benda tu salah.
Tajul mengeluh kasar. Dia menuju ke bilik mandi.
-Khamis, 31 Ogos 2017, 7.10 AM-
Aroma nasi goreng menyelubungi rumah Tajul. Lelaki muda itu menjenguk dapur. Kelihatan kakak ipar sulungnya sedang memasak.
"Tajul. Dah nak keluar ke? Tunggu kejap, kita makanlah sama-sama."
Tajul menggeleng. "Tak apalah kak. Saya nak ke kebun ni."
"Minum pun tak nak?“
Tajul terdiam. Mahu mengambil hati, dia menuang kopi susu suam ke dalam cawan. Diteguk laju.
"Makanlah sama-sama Tajul. Baru meriah. Dah nak siap ni." pujuk kakak iparnya.
"Tak apa kak, saya-"
"Kau tak payah bimbanglah Jannah. Budak tu dah besar. Dia tak nak makan sudah." Along mencelah.
Tajul terdiam. Dia bingkas bangun, menuju ke singki mahu mencuci cawan.
"Dia ingat setakat kerja kebun tu dia boleh senang. Aku dah cakap dahulu. Kalau dengar kata aku, taklah merempat macam ni!“ Alongnya menyindir lagi. Kakak iparnya serba-salah. Tajul cuma diam.
"Kak Long makanlah. Saya pergi dahulu." ujar Tajul, buat tidak tahu.
Tajul tak kisah. Dia boleh makan di warung Mak Lang mereka. Tajul tahu Kak Longnya memasak dengan barangan dapur milik Tajul. Tajul tahu Alongnya sudah hampir bankrup, dan mungkin sahaja mereka sekeluarga sudah tiada tempat berteduh.
Tapi Alongnya ego!
-Khamis, 31 Ogos 2017, 10.15 AM -
Lantai tandas dipecahkan. Bilik air rumah ini tidak rata, jadi Along mahu meratakan bahagian yang tinggi. Sedang Along mengorek, cangkulnya terkena sesuatu. Keras.
"Angah. Aku cangkul apa ni? Batu ke?" Ujarnya.
Angah mengerutkan muka. Dia menguis-nguis tanah dengan cangkulnya.
"Macam bukan batu, Along. Cuba kita korek."
Tanah digali. Hinggalah muncul satu penutup tembikar, usang.
Along dan Angah berpandangan. Pantas, cangkul mereka menggali tanah. Sedikit demi sedikit,muncul satu tempayan setinggi pinggang orang dewasa, berwarna coklat gelap.
Kedua adik beradik itu mengangkat tempayan itu keluar.
"Apa benda ni Along? Besar betul."
"Entah-entah ada mayat dalam ni." Alongnya mengusik.
"Mayat kepala hotak kau. Cuba buka dulu."
Penutup dibuka.
Mata Along dan Angah terbeliak.
Kilauan emas memancar, memanah mata dengan gemilang warnanya. Ia berkilau di sebalik suram warna tempayan itu. Syiling emas sebesar duit syiling lama 50 sen memenuhi segenap ruang tempayan tersebut.
"E.. Emas?" Along tergagap. Angah ternganga.
"Kita kaya Along. Kita kaya!“ ujar Angah penuh teruja.
"Shhhh!“ bentak Along. "Kau diam sikit! Nanti jiran-jiran dengar!“ ujarnya tamak.
"Tapi, Along." Muka Angah berkerut. "Emas ni kita jumpa di tanah Adik. Kalau Adik minta macam mana?“
Along mendengus.
"Kita sorok ni di bilik aku. Kita yang jumpa. Bukan dia!“
-Khamis, 31 Ogos 2017, 2.02 PM-
Tajul menyanyi kecil. Dia terserempak rakan sekolahnya, Amnah tadi. Segan pula Tajul bila gadis itu menegur. Maklumlah, dia belajar sampai STPM sahaja, kerja pun kerja kampung sahaja. Amnah pula bakal pendidik. Sedang belajar di maktab. Segannya bertambah apabila gadis itu kini semakin ayu. Tajul tersengih-sengih sendiri. Dia membuka pili air, membasuh kaki.
"Adik. Kejap." Angahnya menggodek tangan di jendela. Tajul memandang hairan.
"Ada apa Angah?“
"Cuba kau pergi kedai emas Ching kejap. Tanya dia ni emas betul ke palsu." Angahnya menghulur sesuatu. Tajul menyambut. Sekeping syiling emas sebesar duit 50 sen lama, berkilau dipanah matahari. Tiada simbol apa-apa. Kosong.
"Wah. Cantiknya Angah. Berat pula ni. Mana Angah dapat?" Tajul berkata teruja.
"Adalah. Pergilah tanya kejap."
"Orang penatlah. Solat pun belum ni." Cebik Tajul.
"Kejap je. Beli santan sekali, dalam dua biji. Kak Long kau nak masak. Budak-budak dah lapar. " Angah memaksa.
Tajul mengeluh. Dicapainya helmet. Kalau tak sebab anak-anak saudaranya nak makan, memang dia malas nak pergi. Duit pun tak hulur.
Bunyi motor kapcainya bergema, perlahan meninggalkan halaman rumah.
-Khamis, 31 Ogos 2017, 2.34 PM-
Tajul terkulat-kulat merenung staf kedai emas di hadapannya. Perempuan itu masuk sebentar ke dalam bilik untuk menguji ketulenan emas tersebut. 
Tak lama kemudian, dia keluar. Membelek-belek syiling emas itu penuh minat. Dia kenal perempuan itu, kakak rakan sepermainannya dahulu. Sekelas dengan Angah waktu sekolah menengah.

“Mana dapat ni, Tajul?”
“Entah kak Lia. Angah yang suruh saya check.”
“Angah kau balik?”
“Along pun ada. Kaklong, kakngah dengan anak-anak semua ada kat rumah tu.”
Kak Lia mengangguk.
“Emas tulen ni. Tapi kalau nak buat barang perhiasan kena campur sikit.”
“Campur?“
“Ya dik. Kalau tak,mudah patah gelang kalau buat pakai emas ni. Ni emas pure. Lansung tak campur apa-apa. Tengok, nak bengkokkan pun mudah.” Kak Lia membengkokkan syiling itu. Kemudian, perempuan itu membetulkan kembali syiling tersebut ke keadaan asal.
Tajul mengangguk faham.
“Angah kau main kutu emas kot?” Kak Lia memberi andaian, sambil menghulurkan syiling emas kepada Tajul.
“Ye la kot kak Lia. Terima kasih ya. Assalamualaikum.”
Salam dijawab. Tajul melambai kak Lia sebelum keluar kedai.
Syiling emas dimasukkan kedalam poket. Ia bergetar perlahan, seakan bernyawa.
-Khamis, 31 Ogos 2017, 2.50pm-
Sempat Tajul membelikan biskut dan buah pisang mas untuk anak-anak saudaranya. Melompat-lompat mereka gembira. Diamlah sekejap dengan plastik biskut Chipsmore di tangan. Selepas solat dan membersihkan diri, Tajul duduk diluar, melayan anak-anak saudaranya.
“Membazir je Tajul.” ujar Kak Ngah serba salah.
“Tak apalah Kak Ngah. Bukan selalu.”
Kak Ngahnya kelihatan serba salah. Seakan mahu bertanya sesuatu.
“Tajul. Akak nak minta tolong sikit, boleh?“
“Kalau boleh kak. Tak ada masalah. Kenapa kak?”
Kak Ngah tersenyum malu.
“Kak Ngah mengidam nak makan udang sungai. Yang sepit biru tu. Sekarang… ada tak jual kat mana-mana?”
“Kak Ngah mengidam? Kak Ngah ada isi ke???” ujar Tajul gembira. Kak Ngahnya mengangguk malu.
“Dah sembilan minggu kot. Malu pula, si Addin baru setahun setengah.”
“Eh dah rezeki kak! Tak apalah. Esok Tajul pergi kailkan ya.”
“Tak susahkan Tajul ke?”
“Ish taklah. Seronoknya dapat baby baru. Kail la baru fresh kak. Akak nak masak macam mana?”
“Kak Ngah mintak Kak Long goreng pedas. Hehe. Maaf ya Tajul, Kak Ngah susahkan.”
“Jangan cakap macam tu kak. Anak saudara Tajul juga tu. Eh. Angah dengan Along mana?”
Muka Kak Ngah berubah sedih.
“Entah. Dari pagi tadi duduk dalam bilik dengan Along. Apa dibuatnya tak tahu. Anak-anak duk memanggil pun dia tak keluar.”
“Ya Tajul. Bilik air tu dah terbiar terbongkah macam tu. Dari pagi lagi. Hari tu kemain semangat nak renovate.” Kaklongnya mencelah, menatang dulang terisi pinggan dan nasi.
Tajul menggeleng.
“Nanti Tajul jenguk.”
Kak Longnya mengangguk.
“Ajak mereka makan sekali ya.” ujarnya.
Tajul menurut. Menuju ke bilik Alongnya. Patutlah Kak Ngah banyak duduk melayan anak-anak. Kak Long yang masak. Rupanya Kak Ngah ada isi! Tajul tersenyum sendiri.
“Along?Angah?” pintu diketuk.
Diam. Cuma terdengar bunyi bisikan dari dalam bilik. Tajul mengerutkan muka.
“Along. Angah. Kak Long ajak makan tu.” pintu diketuk lagi.
Diam.
Tajul tidak puas hati. Diketuknya pintu sekuat hati. Anak-anak saudaranya turut datang. Memanggil ayah mereka keluar.
“Ayah, ibu masak kari ayam! Ada acar timun lagi. Timun yang Paksu tanam!”
“Mari la keluar ayah. Mak Long masak sedap!”
Tajul menghela nafas.
“Along, Angah. Keluarla. Korang ni apahal? Anak-anak duk memanggil ni.” ujar Tajul jengkel.
Pintu dibuka kasar.
“Nak apa! Bising!” Angah menjerkah. Tajul tergamam. Angah kelihatan pucat. Ada lingkaran gelap ketara di bawah mata. Anak-anak saudara Tajul terdiam, seraya lari menuju kearah ibu mereka. Takut melihat Angah.
“Angah okay tak ni?”
“Syiling tadi mana? Kau dah jual ke?”
“Ada ni dengan orang. Nah. Kenapa ni Angah? Along mana-”
Sebelum sempat Tajul menghabiskan ayat, Angah merampas syiling dari tangannya. Pintu dihempas kuat ke muka Tajul.
“Dah kenapa engkau ni!” laung Tajul geram. Dia menendang pintu marah. Sakit. Dia berdesis, menuju ke bilik air yang dikatakan mahu di renovate Along.
Beristighfar panjang Tajul. Bilik air dikorek dalam. Lansung tak ada tanda mahu diubah suai. Serpihan mozek dan tanah bersepah.
Tajul menyumpah seranah. Dia menuju ke bilik Along.
“Wei! Bilik air ni nak biar macam ni je ke!” Tajul mengetuk pintu bilik sekuat hati. Geram betul dia. Nak ratakan lantai bilik air, tukar pili shower dengan tukar mozek lantai je pun. Tak sampai sehari boleh siap!
Diam.
“Hish!”
Tajul menuju ke ruang makan dengan muka cemberut. Kak Long dan Kak Ngahnya berpandangan bimbang.
“Biarlah Tajul. Nanti dia lapar dia keluar. Mari, kita makan dahulu.” Kak Longnya memujuk. Pinggan berisi nasi berasap nipis disua. Kak Ngah mengangguk, sedang menyuap Addin bubur pekat.
Tajul menurut. Entah apa yang merasuk abang-abangnya.
-Jumaat, 1 September 2017,8.05 AM-
Tajul melangkah masuk kerumah, menjinjing plastik roti canai pemberian Mak Lang. Hari ini Tajul mahu menyiapkan pengubahsuaian bilik air rumahnya. Yalah, kakak-kakak iparnya mesti segan nak tumpang masuk ke biliknya malam-malam. Kot nak tukar lampin anak ke. Nak harapkan abang-abangnya, haram! Dari semalam duk memerap dalam bilik.
“Maaf ya Kak Ngah. Esok saya kail udang. Hari ni saya nak siapkan bilik air tu.” ujar Tajul jengkel. Jengkel terhadap abang-abangnya. Bini mengidam pun tak nak ambil tahu.
“Tak apalah dik. Maaf ya Kak Ngah susahkan Tajul.”
“Tak pun Kak Ngah. Saya geram kat Along dengan Angah ni.”
Muka Kak Ngahnya berubah pucat.
“Tajul, semalam Angah ada keluar bilik. Dalam pukul 2 pagi.” cerita Kak Ngahnya.
“Oh? Dia keluar kenapa? Cari makan?”
Kak Ngah mengangguk.
“Habis makanan dia makan. Banyak tu Kak Long masak. Kan cadangnya lebihan kari semalam tu nak makan dengan roti canai Mak Lang. Licin dik. Periuk kosong!”
Tajul ternganga.
“Banyak kot tu!“
“Ya. Kak Ngah nampak dia bercangkung dalam gelap, makan lauk pauk di dapur. Seram Kak Ngah. Panggil tak bersahut.”
“Lauk dalam peti pun tak ada Tajul.” Ujar Kak Long hairan. “Takkanlah deme ni makan benda mentah?“
Tajul menggeleng kepala.
“Tak apalah Kak Long. Nanti Tajul beri duit, minta budak-budak belikan lauk. Tajul nak baiki bilik air tu.”
Kak Long dan Kak Ngah mengangguk, serba salah. Segan. Suami sendiri lansung tak menghulur duit.
-Jumaat, 31 Ogos 2017, 12.15 pm-
Tajul mengelap peluh di dahi. Mozek sudah dipasang separuh. Aroma ayam goreng memenuhi suasana. Tajul berkira-kira mahu berhenti sebentar untuk solat Jumaat. Nanti disambungnya.
“Paksu, ibu kata dah pukul 12 suku. Ibu dah gosok baju melayu Pak Su.” terjengul anak saudaranya, Aisha, anak Along, dan Fatin, anak Angah. Keduanya sebaya.
“Iya? Ibu tolong gosok?“
“Em. Aisha dengan Fatin tolong pasangkan butang!” ujar Fatin bangga. Tajul tersengih.
“Terima kasih. Nanti Pak Su nak mandi kejap.”
Aisha dan Fatin berlari keluar. Tajul segera bersiap.
Selepas bersiap, Tajul mengetuk pintu bilik Along.
“Along. Angah. Dah la tu. Mari solat Jumaat.”
Diam.
Sesekali bunyi bisikan. Bunyi dentingan syiling.
“Along. Angah. Dah lewat ni.”
Diam.
Seraya, belakang tengkuk Tajul terasa panas. Seram sejuk. Bunyi bisikan makin kuat, berserta bunyi dentingan syiling. Bau busuk seakan bangkai muncul seiring.
Tajul menggosok belakang tengkuknya. Hairan. Lantas, dia meninggalkan bilik Along.
-Sabtu, 2 September 2017, 6.25 AM-
“Eh. Awalnya mahu keluar, Tajul?” ujar Kak Longnya hairan, melihat Tajul mengisi termos air dengan kopi susu.
Tajul tersengih.
“Nak kail udang sungai, kak. Nak bagi orang mengidam.” ujar Tajul.
“Ooohhhh.” Kak Longnya memuncungkan mulut sambil mengangkat kening.
“Elok lah tu dik. Kail banyak-banyak sikit. Yang isi lemak sahaja ni pun boleh tumpang sekali.”
Kak Long tersengih sambil mengusap perutnya. Tajul ketawa mengekeh. Kak Ngahnya tersipu di meja makan, sedang membancuh susu Addin.
“Tajul pergi dahulu ye kak.”
Sewaktu dia sedang menarik sampannya, dia ternampak Amnah dan adik lelakinya. Sedang berjogging. Amboi. Orang bandar betul. Tajul tersenyum simpul.
Dari jauh, Amnah melambai. Tajul membalas kembali lambaian Amnah yang tersenyum riang memandangnya. Tajul meraup muka. Bahang terasa. Cepat-cepat dia menolak sampan ke sungai.
-Sabtu, 2 September 2017, 9.45 AM-
Kak Long mendengus marah. Suaminya dan adik iparnya masih berkurung. Apa dibuat dalam bilik tu?
“Kak Long tak kira, Aina. Kak Long nak panggil deme ni keluar. Kalau tak Kak Long pecahkan pintu!”
“Jangan Kak Long. Kita dimarah nanti.”
“Biar! Tak malu dengan Tajul. Dia pula duk menyara kita makan! Suami ada pun tak guna!” Kak Longnya mula bergenang air mata.
“Sabarlah Long. Ada hikmahnya jadi macam ni. Sabar kak. Sabar demi anak-anak.” Kak Ngah mengusap belakang birasnya.
Kak Long menyeka air mata.
“Sebab anak-anaklah Kak Long kena tegur deme ni Aina. Dah melampau! Hari tu dia masuk MLM. Habis harta arwah ibu digadai. Rumah kami pun bank dah ambil Aina. Mana lagi kami nak pergi kalau bukan sini? Malu Kak Long dengan Tajul.” ujar Kak Long sebak. Aina mengangguk dengan mata berkaca.
Kak Longnya bangun. Mengambil sebatang tukul. Apa nak jadi, jadilah! Wanita itu nekad.
“Abang, Angah!“ panggilnya.
Diam.
“Abang, kalau abang tak buka, Jannah pecahkan pintu ni. Jannah tak kira!” laungnya. Kak Ngah duduk di luar bersama anak-anak dan anak-anak saudaranya. Diam. Menanti peperangan yang bakal meletus.
Kak Long mengetap bibir.
Degang!
Bunyi tukul berlaga dengan tombol pintu.
Degang! Degang! Degang!
Kak Long memukul tombol pintu menggila. Hinggalah, pintu dibuka kasar.
Kak Long mengangkat muka. Baru mahu membuka mulut -
Chukkk!
Leher Kak Long ditikam. Darah memancut, membuak dari arteri.
Kak Long memegang lehernya yang berlubang. Tergamam sebelum dia jatuh terjelepuk.
Chukk! Chukk! Chukk!
Badan Kak Long ditikam bertubi-tubi, sebelum terdengar bunyi dengusan kasar dari mulut Kak Long.
Badannya kaku.
“Kak Long? Apa yang berla - Allah!“ Kak Ngah menjerit nyaring. Suaminya berlumuran darah. Kakak iparnya terbaring, tidak bernyawa.
“Abang, apa dah jadi ni?“ ujar Kak Ngah.
“Abang!“
Angah berpaling. Merenungnya.
“Aku tengah kira syiling emas. Syiling emas aku. Banyak. Banyak sangat. Tak habis-habis aku kira. Dia bertambah. Tiap kali aku kira dia makin banyak. Makin banyak.” ujar Angah tidak keruan.
Kak Ngah berundur dalam gentar. Matanya tertancap pada pintu bilik yang terbuka. Di dalam, berkilau timbunan syiling emas yang melimpah, memenuhi segenap ceruk bilik.
Di bawah timbunan syiling tersebut, ada satu sosok mayat, menggelembung, membusuk - terbaring dengan pisau di dada.
“Along!!!” Kak Ngah menjerit nyaring. Dia teresak-esak.
“Kau nak ambil duit syiling aku, kan?“ ujar Angah serak.
“Tak. Tak Abang. Ni Aina bang. Jangan macam ni.” Kak Ngah merayu. Di belakang Angah, syiling-syiling itu bertambah, berganda, memecah dua, semakin banyak. Melimpahi badan kaku kaklong. Bergerincing bunyinya, berdesir, berbisik bahasa jelik.
“Kau nak ambil syiling emas aku. Kau nak! Kau jangan tipu!” Angah mengacukan pisau ke arah wajah Kak Ngah. Kak Ngah menggeleng-geleng dalam tangisan.
“Ibu!” terpacul suara pelat Addin di belakang Kak Ngah. Seakan ditiup satu nafas kekuatan hangat, Kak Ngah segera berlari. Mengangkat Addin. Sebelum sempat mereka keluar, rambut Kak Ngah ditarik Angah. Disembelihnya seperti lembu. 
Addin mengongoi menangis. Anak-anak itu berlari, menyorok di bucu dinding. Berpelukan sama sendiri. Angah membelah perut isterinya yang sudah kaku, menarik janin keluar dengan rakus. Berjuntaian uri dan tali pusat yang berdenyut-denyut. Dimamahnya tanpa belas ihsan!

Syiling itu memecah. Berganda. Melimpah ke ruang tamu. Berbisik-bisik.
“Kau pun nak ambil syiling aku kan?” jerkah Angah terhadap anak-anak itu. Mereka menangis. Menjerit ketakutan apabila Angah menghampiri.
“Jangan ayah! Jangan! Taknak!”
Slash!
Krakk!
Chukk!
Sepi.
“Tinggal satu lagi!” Angah menyanyi.
“Pak Ngah, jangan, Aisha minta ampun, Aisha minta ampun!” Aisha mengongoi di dalam timbunan mayat sepupu dan kakak-kakaknya.
Dia menarik lengan Aisha yang seakan histeria. Pisau diangkat tinggi.
Kak!
Kepala Angah pecah. Dihentak lesung oleh Kak Long. Dalam sakaratulmautnya – Kak Long berjaya mengumpul kekuatan, menyelamatkan darah dagingnya. Kak Long berdiri merenung Aisha dengan darah bersimbah, sebelum rebah - dalam dakapan Aisha.
“Ibuuuuuu!” Aisha menangis pilu.
Syiling itu tiba di kaki Aisha, lalu berhenti. Perlahan, ia lenyap, bersama tempayan puaka itu.
-Sabtu, 2 September 2017, 12.45 PM-
Tajul menarik sampannya ke tebing. Dia menyanyi riang. Banyak betul habuan udangnya! Cukup untuk disedekahkan kepada jiran-jiran. Dia menjinjing sebaldi penuh udang sungai, kebanyakannya gemuk dengan telur jingga kekuningan diperut. Tajul menelan air liur. Dibuat tomyam pun sedap!
“Eh Tajul. Baru balik mengail?“ Tegur Amnah yang membawa plastik berisi sayuran dan ikan. Ehhh! Jumpa lagi. Inikah jodoh? Tajul tersenyum tersipu-sipu.
“Ha’ah. Kail udang. Banyak saya dapat.” Tajul menyuakan baldi terisi udang. Amnah menjenguk.
“Wah! Banyak tu!“ gadis itu berkata teruja. Tajul tersengih-sengih.
“Kalau nak, saya hantarkan sedikit.”
“Tak apalah Tajul, kami sekeluarga ni alergik udang. Kalau sotong kami naklah.” ujar Amnah tersengih-sengih. Amboi demand!
“Insya Allah. Tajul balik dahulu.” ujarnya. Melambai ke arah Amnah.
Hatinya berbunga-bunga. Esok kalau terserempak lagi, dia akan cuba-cuba minta nombor telefon Amnah. Baldi berisi udang di letak.
“Assalamualaikum!”
Pintu ditolak.
“Allahuakbar!” laung Tajul. Lututnya terasa lembik. Keluarganya bergelimpangan, bersimbah darah.
“Pak Su!” raung Aisha. Menerpa Paksunya. Tajul menyambut, mendakap erat Aisha. 
“Tempayan tu buat! Tempayan tu buat!” Raung Aisha di bahunya. Tajul cuma mampu memerhati, tergamam.

-Sabtu, 2 September 2017@ 6.15 PM-
“Itu yang berlaku, tuan. Itu yang Aisha cerita kat saya.” ujar Tajul dalam esak tangisnya.
“Tempayan tu… Hilang? Takkan tempayan sebesar tu hilang macam tu je?” ujar polis itu hairan.
“Betul, tuan. Memang hilang. Saya tak reka cerita. Tanya Kak Lia yang kerja Kedai Emas Ching tu. Dia nampak saya bawa syiling emas tu.”
Polis itu mengangguk. Memang, perempuan yang dipanggil Kak Lia itu sendiri datang dengan majikannya. Sanggup menunjukkan rakaman CCTV kedai sekiranya perlu.
“Tajul budak baik. Dia takkan buat macam tu!“ seraya kata-kata tegas wanita itu terpacul dalam benak.
Saksi, Amnah dan adiknya Ashraf turut muncul. Menceritakan Tajul mengail di sungai sepanjang pagi. Ada beberapa pengail lain yang turut serta memberikan keterangan.
Maka, Tajul bukan lagi suspek. Mungkin saksi, Aisha, anak saudara Tajul terlalu trauma hingga tidak perasan kemunculan perompak yang membawa lari tempayan emas itu.
Kes diklasifikasikan sebagai kes rompakan.
Tetapi, kalian lebih tahu, bukan? 
Jaga-jaga.

Ia berdesir. Berbunyi halus gemerincingnya. Berbisik bahasa jelik. Ia berpuaka.
Yang tamak bakal menjadi mangsa!
TAMAT
===================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: