Thursday 19 October 2017

TANDAS PUAKA - Muhd Ikhwan


TANDAS PUAKA
Karya : Muhd Ikhwan
Kredit : Oga
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Pada suatu malam yang hening, sebuah sekolah di pinggir bandar telah mengadakan kem bina semangat. Jadi mereka yang terlibat akan bermalam di sekolah.
Di sekolah itu terdapat tandas terbiar dan juga beberapa buah kelas yang tidak lagi digunakan lantaran telah terlalu usang. Tempat yang terbiar seringkali mempunyai “rahsia” yang tersimpan.
Di antara puluhan pelajar yang mengikuti perkhemahan itu, terdapat dua orang sahabat baik yang sedang nyenyak tidur. Mereka adalah Kevin dan Nizam. Beberapa buah kelas telah digunakan sebagai tempat tidur mereka.
Kira-kira pukul 3 pagi, Kevin terjaga kerana pundi kencingnya telah penuh. Dia berasa dia tidak dapat lagi untuk menahan hajatnya itu. Jadi terpaksalah dia mengejutkan rakan baiknya daripada tidur untuk menemaninya ke tandas.
Kevin : Wei Nizam! Aku nak pergi tandas. Jom teman aku!
Terpisat-pisat mata Nizam kerana diganggu tidurnya. Kevin terus menggoyangkan badannya supaya segera bangun. Perlahan-lahan Nizam bangun dan hanya duduk diam beberapa ketika untuk menyegarkan otaknya yang masih blur.
Nizam : Kevin, kau tau tak kenapa salah satu tandas kat sekolah kita ni ditutup?
Kevin : Kenapa?
Nizam : Aku dengar cerita dulu pernah ada orang buang bayi kat situ. Sejak itulah ada je "benda" pelik muncul kat situ. Jadi sekolah terpaksa tutup tandas tu. Kalau kau masuk tandas tu waktu malam kan....
Belum sempat Nizam habis cakap dia telah dicekik oleh Kevin.
Kevin : Sudahlah kau! Kalau taknak teman, cakap jelah. Ni nak takutkan aku pulak!!
Nizam : Agggghhh…erkkkk… Oksigen oksigen!!
Kevin : Nizam punya pasal la ni. Rasa cuaklah pulak! Eh, ada orang lalu kat koridor arah ke tandas la!! Woi Nizam kau dah tak payah teman aku lagi! Kau tunggu jelah kat sini.
Nizam melihat Kevin berlari dengan perasaan bercampur-baur. Dahinya berkerut.
Kevin memecut laju cuba menyaingi pelajar itu ke tandas.
Kevin : Woi sape kat dalam cepatlah! Aku dah nak terkucil ni!!
Pelajar di dalam tandas : Kau pergilah tandas lain!
Kevin : Celaka punya budak!
“Eh bukan tandas hujung tu dah tutup? Kenapa sekarang buka pulak? Erghhh!! Aduh tiba-tiba perut memulas la pulak. Macam-macam hal la. Lantaklah!” bisik Kevin di dalam hatinya.
Kevin berjalan laju terus masuk ke dalam tandas hujung. Sebarang perkara seram sudah tidak dihiraukannya kerana dia ingin segera melepaskan hajat yang sudah tidak mampu ditahan lagi.
"Takde air la pulak dalam lubang jamban ni! Lama sangat orang tak guna sampai kering kot air. Ahhhh takpelah janji aku dapat melepas."
Tandas duduk itu dicangkungnya sebab dia berasa geli untuk duduk kerana permukaan jamban hitam dan terlalu kotor. Tengah Kevin sedap melabur dia berasa ada angin keluar dari arah lubang jamban itu.
"Aikk, kenapa boleh ada angin bertiup dari lubang tu? "
Tiba-tiba Kevin terperasan ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam lubang jamban. Dia memberanikan diri untuk merenung benda apakah yang berada di situ. Setelah ditenungnya, sekonyong-konyong kelihatan dua biji mata merah menyala.
Kemudian perlahan-lahan kelihatan kepala muncul. Kepala bayi! Kevin terpempan. Kelihatan leher bayi itu seperti dikelar. Darah membuak-buak keluar. Bayi itu terus terkodek-kodek cuba keluar dari lubang jamban.
“AarghhhhhhHHH!!!!!”
Kevin menjerit sekuat hati. Kelam-kabut Kevin cuba membuka pintu tandas. Namun pintu langsung tidak dapat dibuka. Seperti dikunci dari arah luar. Dia menendang-nendang pintu sekuat hati namun tetap tidak terbuka. Kevin semakin menggelabah.
Kevin berpaling ke arah belakang dan kelihatan bayi itu telah memunculkan seluruh dirinya di bibir jamban.
Zuppppp!
Bayi puaka itu melompat dan melekat pada perut Kevin. Kevin yang tidak sempat mengelak terhumban ke pintu dan jatuh terduduk. Dengan pantas perutnya dicakar berulang kali dengan kuku bayi itu yang tajam. Sesekali bayi itu membenamkan kukunya.
Uwekkkkk!
Kevin memuntahkan darah yang banyak. Seluruh lantai tandas telah basah dengan darahnya.
Bayi puaka itu kemudian mencekik leher Kevin. Dia meronta-ronta dan cuba menarik bayi puaka itu daripada terus mencekiknya. Dia menarik bayi puaka itu dan melontarkannya ke sudut tandas. Namun sepantas kilat bayi puaka itu menerkam kembali ke arahnya dan memeluk erat tubuh Kevin.
“Tolongggggggg!!!! Aghhhhhh!!”
Laungan Kevin sangat kuat sehingga mampu didengari oleh pengawal keselamatan yang lebih dikenali sebagai Uncle Fook. Dia sedang bertugas meronda kawasan sekolah.
Uncle Fook : Suara siapa menjerit tu? Suara dari dalam tandas ni ke?
Cikgu Ibrahim yang sedang tidur di kelas berhampiran turut terjaga. Lantas dia berlari ke arah Uncle Fook yang turut berlari ke arah tandas hujung. Para pelajar lain turut terjaga dan keadaan menjadi kecoh.
Cikgu Ibrahim : Apa dah jadi ni?
Suara Kevin masih kedengaran menjerit dari dalam tandas. Namun semakin perlahan.
Uncle Fook segera bergegas mengambil penukul yang terdapat di bilik Kemahiran Hidup. Terkocoh-kocoh dia mencungkil paku dan papan yang digunakan untuk mengunci pintu tandas hujung.
Akhirnya pintu berjaya dibuka.
Nizam : Kevinnnn!!!!
Kevin ditemui pengsan di lantai tandas. Terdapat kesan lebam besar pada perutnya. Tiada sesiapa pun yang tahu perkara sebenar kerana Kevin langsung tidak menjawab ketika ditanya akan kejadian itu. Macam mana Kevin dapat masuk ke dalam tandas yang ditutup itu turut menjadi tanda tanya.
Sejak daripada kejadian hari itu, Kevin sudah banyak berubah. Malah dia semakin renggang dengan Nizam dan turut menjauhkan diri daripada rakan rakannya yang lain. Ada cakap-cakap mengatakan walaupun mukanya tidak berubah, tapi sebenarnya dia itu bukanlah Kevin yang sebenar!!
-Tamat-
***Tahniah diucapkan kepada penulis. Ini merupakan penulis termuda yang pernah menghantar karya kepada Arkib Angker Negara. Teruskan menulis dik!
Karya : Muhd Ikhwan
Kredit : Oga
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: