Monday 30 October 2017

Tajuk: GUMAM - Fahmi Hassan


Tajuk: GUMAM
Karya: Fahmi Hassan
===============

“Hmmmmm.. hmm.. hmmm.. hmmm…”

Ceria betul En. Aiman bergumam mendendangkan lagu. Terukir di Bintang tajuknya dari Yuna. Bergema-gema bunyi di tandas alunan muzik tanpa lirik.
“Gembira hari ni En. Aiman. Masuk gaji ke?” Aku berseloroh.
En. Aiman hanya senyum dan mengangkat kening.
Begitulah kebiasaan En. Aiman. Lebih suka bergumam lagu berbanding berbual. Ada sahaja lagu-lagu terkini yang digumamkan. Terutamanya di dalam tandas. Pilihan lagu yang tak sesuai dengan usia. Patutnya lebih layak jika lagu-lagu Sharifah Aini yang dipilihnya.
Bermacam-macam ragam orang di pejabat ini. Membuatkan hari-hari bekerja ceria dan tidak bosan. Ada yang ketawanya kuat sehingga penuh satu pejabat dengan gelaknya. Ada yang senyap tidak suka bercakap. Ada yang suka menyanyi. Yang paling ramai suka mengumpat.
Dah 3 tahun aku bertugas di sini. Seronok? Biasa lah kerja. Kalau tak seronok kena juga cari cara untuk gembira berkerja. Mana ada kerja yang seronok. Tidur ya lah seronok.
Pejabat ini agak luas. Ada lebih 250 pekerja di sini. Asal pejabat ini kecik sahaja. Hanya memuatkan sekitar 30 orang pekerja. Lama kelamaan, pekerja makin bertembah. Pejabat juga telah diubahsuai berulang kali.
Oleh itu bentuk pejabat ini agak pelik. Banyak ruang-ruang yang ditambah seolah tidak kena dengan reka bentuk pejabat. Ada yang nampak sangat gelap dan tersorok.
Waktu mula bekerja ialah jam 7.30 pagi. Tapi seawal jam 6.50 En. Aiman sudah tiba di pejabat. Rumah beliau jauh, perlu keluar awal untuk elakkan kesesakan. En. Aiman akan buka semua lampu pejabat bila dia sampai.
En. Aiman seorang yang pendiam. Dia jarang berbual dengan rakan pejabat yang lain. Cuma bergumam sambil membuat kerja kerja di komputer.
Waktu akhir pejabat beroperasi adalah jam 5.30 petang. Tapi biasalah, kerja di pejabat kadangkala terpaksa pulang lewat untuk siapkan kerja. Lagi-lagi bila dah sampai ‘dateline’.
Jadi setiap hari ada dua orang yang dijadualkan untuk menutup pejabat sekitar jam 6.15 ke 6.30 petang. Bergilir-gilir semua warga pejabat melakukan tugas ini. Semua lampu perlu dipastikan telah ditutup dan semua pintu masuk pejabat dikunci. Jadual bertugas pula biasanya dikeluarkan dua kali setahun untuk tempoh 6 bulan.
Walaupun jam 6.30, pejabat ini sangat gelap apabila semua lampu ditutup. Tiada langsung cahaya luar kerana kebanyakan tingkap terletak di dalam bilik pegawai. Jika berjalan di ruang legar pejabat tanpa bantuan lampu memang kebarangkalian untuk terlanggar perabut pejabat amat tinggi.
Tahun lepas aku mengalami kecederaan sewaktu bermain futsal. Tulang berhampiran tumit kakiku terkeluar dari soketnya. Dalam bahasa perubatan ia dipanggil ’Subtalar Dislocation’. Akibat dari itu kakiku terpaksa disimen dan aku diberikan cuti sakit untuk hampir 3 bulan.
Setelah hampir 3 bulan tidak bekerja, minggu pertama kembali ke pejabat itu amat menyeksakan bagiku. Lupa sudah apa yang perlu dibuat di pejabat. Tiada apa yang dapat menandingi perasaan bercuti berbulan-bulan di rumah.
Hari kedua aku bekerja, secara kebetulan adalah hari aku ditugaskan untuk menutup pejabat. Seorang lagi pegawai yang dijadualkan bertugas bersamaku adalah En. Aiman.
Petang itu sekitar jam 4 petang aku cuba mencari En. Aiman di tempatnya. Meja pejabatnya tersusun rapi tanpa banyak barangan di atas meja. Skrin komputernya juga gelap. Mungkin En. Aiman bercuti pada hari tersebut. Nampaknya terpaksalah aku menutup pejabat seorang diri pada hari ini.
Sekitar jam 6.30 petang, aku pun keluar dari bilik untuk menutup semua lampu dan mengunci pintu-pintu pejabat. Keadaan di luar pejabat amat senyap. Tiada seorang pun yang masih berada di pejabat selain aku.
Aku mula menutup dan memeriksa suis-suis eletrik dari kawasan yang paling jauh dari pintu keluar. Seram juga rasanya bila memikirkan yang aku hanya seorang diri di pejabat yang luas dan gelap. Tapi aku tetap tenang.
Aku biasanya akan keluar dari pintu di sebelah tepi pejabat. Untuk ke pintu ini aku perlu melalui sebuah pintu untuk ke tandas. Dari pintu itu aku akan keluar melalui satu lagi pintu yang boleh dibuka menggunakan cap jari.
Setelah semua suis lampu dan lain lain ditutup, aku menuju ke pintu keluar. Aku buka pintu pertama sambil memandang belakang bagi memastikan semua lampu telah ditutup. Setelah berpuas hati, aku menekan kunci di tombol sebelum menutup pintu. Pintu ini hanya boleh dibuka dari sebelah dalam pejabat setelah ia dikunci.
Setelah itu aku pun menuju ke pintu keluar. Aku letakkan jari di pengimbas untuk membuka pintu.
“Tetttt”. Gagal.
Aku mngesat tanganku di seluar. Mungkin sedikit basah menyebabkan pengimbas tidak dapat membaca cap jariku.
“Tetttt’. Gagal lagi.
Aduh. Mungkin ada perubahan sistem sewaktu aku bercuti membuatkan cap jariku tidak dapat lagi membuka pintu tersebut. Aku kaget. Pintu masuk ke pejabat semula tidak berpusing setelah aku cuba.
Nampaknya terpaksa aku menghubungi pegawai keselamatan untuk datang mengeluarkan aku yang terkunci. Nasib baik aku agak rapat dengan pegawai tersebut.
Alangkah malangnya panggilanku tidak diangkat. Mungkin dia sedang memandu. Sedang aku cuba untuk menghubunginya sekali lagi, aku terdengar sesuatu dari luar.
“Hmmmmm.. hmm.. hmmm.. hmmm…”
Terdengar bunyi gumaman lagu. Tapi rentaknya lain. Biasanya lagu ceria yang menjadi pilihan En. Aiman. Hari ini rentaknya sayu sahaja.
Rupa-rupanya En. Aiman ada di pejabat dan masih belum pulang. Nasib aku amat baik. Kalau tidak terpaksa pula aku menyusahkan pegawai keselamatan untuk datang membuka pintu. Pintu dibuka dari luar.
“Terima kasih En. Aiman. Kalau tidak terpaksa saya tidur di pejabat hari ini,” aku cuba berseloroh.
En. Aiman hanya senyap memandangku dan tersenyum. Dia berpusing dan terus berjalan keluar.
Aku pun menyusun barang-barangku dan turut keluar menuju ke pintu utama. Aku cuba mengejar En. Aiman tapi tidak kelihatan. Hati aku terdetik, bagaimana En. Aiman boleh tahu yang aku terkunci. Mungkin dia terdengar bunyi cubaan aku memutar tombol pintu.
Elok sahaja aku memasuki kereta untuk pulang, telefon aku berbunyi. Rupanya pegawai keselamatan menghubungi aku semula.
“Fahmi, maaf aku tak perasan kau telefon tadi. Kenapa?”
“Tadi aku terkunci di pejabat. Ingat nak minta kau datang selamatkan aku. Tapi tak apa, rupanya En. Aiman belum balik. Dia bukakan pintu tadi”.
“En. Aiman? Kau dah keluar ke Mi?”
“Dah. Dekat dalam kereta dah”.
“Mi, masa kau cuti sakit dulu, En. Aiman terlibat dalam kemalangan. Dia dah meninggal”.
Aku terdiam. Aku menjeling cermin pandang belakang. Terlihat susuk tubuh En. Aiman di pintu utama pejabat sedang tersenyum memandang kearahku.
Aku memecut laju kereta dan terus pulang ke rumah.
================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: