Monday 9 October 2017

SI KUCING HITAM - Nil Kuhaku


SI KUCING HITAM
karya: Nil Kuhaku

*******
Kucing hitam itu menapak perlahan, menuju ke arah rumah kayu dua tingkat yang tersorok di dalam hutan. Tubuhnya besar, hitam pekat, laksana malam. Siang pada waktu itu kian menjengah. Dia kelaparan. Sepatutnya kanak-kanak perempuan itu akan menyimpan sisa-sisa makanan kepadanya.

Pandangannya tertancap pada susuk kecil yang berbaring di dalam bilik, dari tingkap bawah. Kucing itu menarik nafas dalam. Hidungnya kembang kempis. Ya. Bau biasa kanak-kanak itu menyelubungi dirinya, manis – bagai bau gula aising. Dia tidak tahu bagaimana mahu menceritakan bau seorang anak tiada dosa itu macam mana, tetapi itulah baunya. Manis. Seperti gula aising. Di penghujung bau, ada terasa sedikit habuk manis di lidahnya.
Dia menyediakan posisi mahu melompat. Belakangnya dibengkokkan, hinggalah satu bau asing singgah di pelusuk deria baunya. Dia tergamam. Telinganya menegak.
Bau darah!
Pantas, dia melompat ke birai jendela. Susuk kecil itu membelakangi dirinya, berbaring di atas katil.
“Meow.” Dia mengiau dalam. Seperti kucing jantan memanggil teman. Tiada jawapan. Budak itu lansung tidak berkalih.
Kucing itu mula mundar-mandir di birai jendela. Dia mendengus bimbang. Langkahnya berhenti, sambil merenung susuk itu.

“Mreowww.” Dia mengiau sekali lagi.
Tiada jawapan.

Pantas, kucing itu terjun ke dalam bilik. Menapak perlahan. Dia perlu hati-hati. Ini bukan ‘kawasan’ nya. Dia sekadar melintas sahaja.
Susuk makhluk kecil itu melompat ke atas katil. 
Dia tergamam. Ekornya dilibas ke kanan dan kiri.
Anak itu terbaring mengerekot dalam baju tidur merah jambu. Darah bersimbah di atas katil. Mata anak itu separuh terbuka, menatap kosong.

Rambutnya masih bersinar lembut. Badannya masih terasa hangat.
Kucing itu terdiam. Kaku, buat beberapa ketika. Perlahan, dia menghulur kaki depannya lembut, menutup mata anak itu. 
Tiba-tiba, dia terasa satu tiupan angin kuat. Pantas, kucing itu mengelak.
Sesuatu menyerangnya!

Dia melompat turun, mendesis. Bulu-bulunya ditegakkan, memarahi susuk gelap yang menyeringai garang di bucu dinding. Pantas, dia melompat keluar, berlari laju dari rumah itu. Setelah dia selamat sampai ke suatu tempat, dia berhenti.
Hatinya sedikit hiba.
Jin berupa kucing hitam itu memerhati rumah kayu itu dari jauh. Dia duduk. Merenung saka yang menyeringai garang dari jendela ke arahnya. Perlahan, dia berpaling. Menapak pergi.
============================================================================
Pada awalnya, jin itu sekadar menghampiri rumah kayu dua tingkat itu atas dasar ingin tahu. ada pelbagai jenis jin di sini, dan kebanyakkannya bukan dari kalangannya.
Atau agamanya.
Dia berupa sebagai seekor kucing hitam, hitam keseluruh badannya, termasuk lidah. Hanya anak matanya yang bersinar kadang-kadang. Waktu itulah, dia bertemu Mardhiah.
“Meow. Meow.” Panggil anak itu. Jin itu pada awalnya melarikan diri, tidak hirau. Namun dia terbau makanan.
“Kitty. Makan.” Ujar anak itu mulus. Menghulurkan sisa tulang-temulang padanya. Kucing hitam itu melibas ekornya kekiri dan kekanan. Merenung dalam anak ini.
Di belakang tubuh kecil ini, ada susuk yang sedang menyeringai. Jin berupa kucing itu menapak ke belakang. Rumah ini, ramai ‘penjaga’. Kalau dia menyeberangi sempadan ini, habislah dia.
Lantas dia melarikan diri. Mardhiah turut ikut. Cekal mahu memberikan kucing itu makan. Mungkin sahaja kalau Mardhiah lebih tua, pasti dia mempersoal kewujudan seekor kucing besar, hitam, yang muncul secara tiba-tiba dalam hutan, di tepi lebuhraya.
Tetapi Mardhiah tidak faham. Dia baru menginjak enam tahun. Dia mengikut kucing itu hingga jauh sedikit dari ‘sempadan’ yang dijanjikan kepada saka-saka tersebut.
“Kitty jangan lawi. Jangan lawiii.” Ujar Mardhiah pelat. Jin yang berupa kucing itu berhenti. Mardhiah melemparnya makanan, yang dimakan jin itu lahap.
“Kitty sowang je ke?” ujar anak itu, yang bercangkung memerhatinya makan.
“Mawdiah pun seowang. Ada Nek Mah, Nek Nab, Ayah Ish, Ibu dengan Abah. Tapi dalam wumah tu sunyi. Mawdiah tak suka.” Anak itu pelat huruf R.
“Nek Mah, Nek Nab, Ayah Ish, Ibu suka bakar kemenyan. Suka duduk dalam bilik tingkat atas. Mawdiah tak suka naik tingkat atas. Takut.” Cerita anak itu lagi.
“Abah pula diam. Semua cakap Ibu dia ikut. Dia pergi kerja balik kerja. Lepas tu duduk tenung dinding. Tak nak main dah dengan Mawdiah.”
Kucing hitam itu menghabiskan makanannya. Lantas, dia melarikan diri.
“Kitty esok datang lagi ya…!” Laung Mardhiah. Jin itu berkira-kira sebentar. Awalnya dia tidak mahu datang. Dia tak mahu. Nahas sekiranya dia menghampiri.
Tetapi esoknya, dia tetap datang. Menemui Mardhiah yang memegang bungkusan yang dibalut tisu. Dia mengintai dari balik semak-samun. Melihat anak manusia yang tertinjau-tinjau mencarinya dengan wajah mulus.
Dia mengalah.
Perlahan, dia keluar. Mardhiah menjerit kesukaan. “Nah kitty, makan. Kitty baik, kitty baik.”
Dia makan dengan lahap. Mardhiah tidak pula menyentuhnya, atau membelainya. Cuma bercerita mengenai hidupnya sehari-hari. Lama kelamaan, dia mulai rapat dengan Mardhiah. Dia tidak mahu berdamping. Bukan itu apa yang dia mahu. Dia bukan segagah mana. Lagipun, dia kurang gemar dengan suasana rumah Mardhiah.
Tiap hari, dia muncul. Tiap hari, anak berambut kerinting halus, panjang ke pinggang itu menunggunya dengan sisa-sisa makanan.
Tetapi hari ini, Mardhiah telah mati. Kukunya dicengkam ke tanah.
====================================================
Lelaki itu menangis teresak-esak. “Anak kita Saleha. Apa dah jadi. Apa dah jadi…” 
Lelaki itu merangkul anak perempuan sulungnya. Wanita itu cuma memandangnya dingin.

“Yang abang telefon polis tu kenapa? Bukannya boleh hidup dia balik pun!” Isterinya menjerkah. Adik Saleha, Rais mengangguk.
“Betul apa Kak Leha cakap tu. Bukannya Mardhiah hidup balik pun. Mengada-ngada la abang ni.” Dia menunjal dahi abang iparnya yang sedang merangkul jasad kaku anaknya. Dua wanita tua di belakang mereka cuma diam. Mulut mereka terkumat-kamit. Menyeru sesuatu.
====================================================
Jin berupa kucing hitam itu memerhati kereta polis dan ambulan yang diparkir dihadapan rumah angker itu. Dia terpaksa memerhati dari jauh. Bergentayangan makhluk-makhluk di luar rumah itu, menyeringai memandangnya.
Dia tahu, di kampung ini ada dua keluarga pawang terkenal. Pertama, keluarga inilah. Keluarga Nek Mah. Kedua, keluarga Tok Cah Puteh. Mereka dari dahulu lagi menghantar santau ke pelbagai keluarga di kampung ini. Terpaksa, penduduk kampung mencari mereka untuk mengubati santau yang dihantar oleh khadam mereka sendiri.
Keluarga Nek Mah dan Tok Cah Puteh berantakan. Mereka berperang dengan menghantar khadam-khadam mereka, yang bertempur dalam malam pekat. Puak penyembah iblis ini saling menuntut ilmu hitam paling ampuh untuk menundukkan lawan masing-masing.
Baru-baru ini, Nek Mah mendapatkan saka berupa naga. Saka itulah yang cuba menyerangnya tadi. Jamunya adalah darah sendiri, atau darah daging Nek Mah.
Sudah tentu, si kecil Mardhiah yang menjadi korban.
Dari jauh, kucing itu melihat wajah polis yang tiba-tiba kebingungan sebaik sahaja menapak masuk ke rumah Nek Mah. Dia mendengus, geram.
Terbayang-bayang di benakknya wajah mulus Mardhiah. Terbayang lembut suara anak itu memanggilnya.
Dia mendesis garang.
Mardhiah. Mardhiah. Si kecil Mardhiah.
“Kitty, Mawdiah saaaaayang kitty. Kitty je kawan Mawdiah kat sini.” Suara itu muncul di benaknya.
Dia menutup mata, erat.

Dia mula berlari. Menuju ke rumah kayu dua tingkat. Apa hendak jadi, jadilah!
Dia merempuh makhluk-makhluk di hadapan rumah Nek Mah. Awalnya, tubuh kecil miliknya dia tercampak. Dia bangun, menyeringai dalam kesakitan, menjerit memuja nama Pencipta. Makhluk –makhluk kafir itu menyerangnya bertalu-talu, dan dia mendesis kesakitan. Dengan tenaga terakhir, dia mencari sesuatu.
Keris yang digunakan oleh Saleha. Ibu Mardhiah sendiri.
Keris itu melayang keluar dari tanah, jatuh tepat di kaki para polis. Lelaki-lelaki muda itu seakan tersedar dari kebingungan. Keris dikutip mereka.
Jelas di pandangan jin itu, wajah Saleha yang ketakutan. Dalam kesakitan, dia terdengar bunyi derap kaki gerombolan saudaranya yang mengibarkan panji Islam, menuju ke rumah kayu bertingkat dua.
Lemah, dia perlahan menutup mata.
-Tamat-
*****
Suntingan: #kamenrider
Gambar: Nil Kuhaku

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...

Sedih nya cerita ni. T____T