Thursday 19 October 2017

SENYAP - Mat Lester


SENYAP
Karya : Mat Lester
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Malam kian menjelma.
Kelihatan sebuah Proton Wira jenis Aeroback berwarna hitam diparkir di sebuah kawasan taman permainan.
Jari jemari Azlan bergendang pada stereng kereta. Matanya tidak lekang memerhatikan seorang budak perempuan Melayu yang sedang berdiri terpacak di depan pintu pagar rumahnya. Meskipun rambut budak perempuan itu disisir kemas, tapi raut wajahnya nampak sugul.
Sudah hampir sebulan Azlan dan rakannya iaitu Khairul berada di kawasan taman perumahan banglo mewah itu bagi mencari budak untuk diculik. Kebiasaannya, mereka berdua hanya akan muncul di taman itu sebaik sahaja masuknya waktu maghrib.
Situasi pada lewat petang itu agak menjanggalkan Azlan. Biasanya, budak-budak tidak lagi akan berkeliaran di luar rumah pada waktu sebegitu. Tapi, budak perempuan berkaki ayam yang direnungnya dari tadi masih tidak berganjak walau seinci pun dari luar pagar rumahnya.
"Woi, cepatlah. Kau tunggu apa lagi?" Gesa Khairul yang duduk bersebelahan dengan Azlan.
"Jap, kau tak rasa pelik ke? Biasa maghrib macam ni, budak-budak dah masuk rumah dah. Dia ni lain macamlah. Bergerak pun tak," ujar Azlan kebingungan.
"Aduhhhh, kau ni pun! Mungkin dia tengah merajuk pasal kena marah ngan mak dia ke apa. Benda remeh camni takkan tak boleh fikir. Sekarang ni kau nak duit ke taknak? Aku bajet dia ni 7 ke 8 tahun. Cecah tiga ratus K ni," kata Khairul. Dia menyarung topeng hitam pada kepalanya.
Azlan tidak menjawab.
Memikirkan hidupnya yang tidak tenteram dek kerana sentiasa dikejar along, Azlan terus menghidupkan enjin kereta.
Vroom...Vroom....Vroom...
Bunyi deruman ekzos kereta menyebabkan seorang perempuan cina yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya berasa terganggu. Dia bingkas bangun dari sofa dan berjalan ke arah tingkap yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk rumah.
Perempuan cina mengalihkan separuh dari kain jendela tingkap. Dia mengintai ke luar. Sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam dipandu dengan begitu laju dari arah taman permainan.
Proton wira hitam itu berhenti betul-betul di depan pagar rumah jirannya. Dengan serta merta, seorang lelaki bertopeng hitam keluar dari pintu penumpang sebelah pemandu. Lelaki bertopeng itu kemudiannya berdiri kaku sebentar.
Perempuan cina memerhatikan segala gerak geri aneh lelaki bertopeng hitam itu dengan penuh kehairanan. Lelaki bertopeng masuk semula ke dalam Proton Wira melalui pintu penumpang.
Vroooomm...
Kereta Proton Wira terus dipecut.
Perempuan cina menutupi semula kain jendela tingkap. Dia lekas mencapai phone nya di atas meja ruang tamu.
***
Proton Wira itu memasuki lebuh raya. Khairul menanggalkan topeng. Dia memandang budak perempuan yang duduk di sebelahnya. Budak perempuan itu berkelakuan sangat ganjil. Dia cuma merenung belakang kerusi penumpang sebelah pemandu.
Sepanjang Khairul terlibat dalam sindiket penculikan budak-budak, ini kali pertama dia menculik seorang budak dengan begitu senang sekali. Budak perempuan itu langsung tidak meronta mahupun menjerit.
Masa Khairul membuka pintu kereta tadi, budak perempuan itu memasuki kereta dengan rela hati tanpa melibatkan sebarang sentuhan badan dan seolah-olah menunggu pintu kereta dibuka untuknya.
"Siapa nama kau?" tanya Khairul.
Mendengar saja pertanyaan Khairul, Azlan memandang cermin pandang belakang.
"Elisa."
Akhirnya budak perempuan itu membuka mulut tanpa memandang Khairul pun.
"Cantik nama tu. Pandai mak ayah kau pilih." komen Khairul.
Elisa membisu.
"Dia ni pelik semacamla," sampuk Azlan di depan.
"Mungkin jenis lembap kot," getus Khairul.
Khairul mengeluarkan phone dari poket seluar. Paparan pada skrin phone nya itu menunjukkan tiada sebarang isyarat. "Takde linela pulak." ujar Khairul.
"Habis tu macam mana? Pegi port atau nak pegi direct jumpa Joshua?" Tanya Azlan.
"Pegi port jela dulu. Kena bincang dengan Husni macam mana. Budak ni tak banyak songeh. Rasanya boleh mark up lagi," jawab Khairul.
Azlan menganggukkan kepala.
Proton Wira dipandu ke haluan yang menuju ke arah jalan kampung, jalan yang biasa mereka lalui untuk pulang ke port rahsia mereka.
***
Jalan kampung yang malap tanpa diterangi sebarang cahaya lampu itu sunyi sepi seperti kebiasaannya. Khairul baru saja tertidur. Elisa masih diam seperti tadi. Azlan pula melayani lagu rock yang sedang berputaran di radio. Sekali sekala dia mengintai Elisa melalui cermin pandang belakang.
Radio kereta tiba-tiba terpadam. Lagu rock tidak lagi kedengaran. Azlan cuba menggodek-godek radio itu.
"Na.. nananana..na..nananana..na,na,na...na,na,na..."
Radio itu hidup sendiri dengan diiringi alunan suara seorang budak perempuan. Bulu roma Azlan naik meremang serta merta. Azlan menekan butang padam radio berkali-kali, namun nyanyian perempuan di radio itu terus kedengaran.
"Na.. nananana..na..nananana..na,na,na..na,na,na..."
Tatkala Azlan menggelabah, dia sempat memandang Elisa melalui cermin pandang belakang.
Elisa tersenyum.
Mulut Azlan terlopong. Dia terus menekan brek kereta secara mengejut hingga menyebabkan kepala Khairul terhantuk pada belakang kerusi Azlan. Radio bersiaran semula seperti biasa. Lagu rock kembali berputaran.
"Apasal pulak ni. Aduh!" Rungut Khairul yang terbangun dari tidurnya.
Azlan memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Dilihatnya ekspresi muka Elisa sudah kembali seperti sedia kala.
"Kau dah kenapa?" Tanya Khairul sambil menarik muka.
Azlan tidak menjawab. Dia memusingkan semula kepalanya ke depan. Pedal minyak kereta terus ditekan. Pergerakan Proton Wira semakin laju.
Azlan berasa gelisah seperti cacing kepanasan. Belum hilang lagi ketakutan yang dialaminya sebentar tadi, mata Azlan tertumpu pula ke arah stesen bas yang kira-kira berada 200 meter di depan. Azlan melihat sesuatu yang belum pernah dilihatnya selama dia melalui jalan kampung itu.
Seorang lelaki tua berambut uban yang memakai baju serta seluar pendek berwarna putih bangun berdiri dari bangku stesen bas.
"Rul!" Panggil Azlan.
"Apa lagi kau ni!" Marah Khairul.
"Kat stesen bas tu," jelas Azlan. Pandangan mata Khairul beralih arah ke stesen bas.
Saat Proton Wira melepasi stesen bas itu, lelaki tua tadi mengangkat tangan kiri dan melambai-lambai kepada Khairul. Khairul tercengang. Proton Wira dipandu semakin laju. Lelaki tua yang semakin jauh ketinggalan di belakang masih lagi melambai-lambai ke arah mereka.
"Rul, cam mana ni..aku tak sedap hatila."
"Lantakla. Orang gila kot."
" Yelah. Kita dua pun tak pernah nampak dia sebelum ni. Rasanya kita dua kena stop ngan budak ni."
"Maksud kau apa? Jangan mengarut boleh tak? Bukan senang nak dapat lubuk emas camni."
"Kau tak perasan ke dari tadi. Budak ni lain macam. Diam memanjang. Cakap tak, menangis tak, jerit pun tak. Pastu, line phone tiba- tiba takde. Masa kau tidur tadi dengar ke tak radio tadi mati sendiri. Pastu suara budak menyanyi. Si Elisa ni boleh pulak senyum kat aku. Ni orang tua dok melambai-lambai pulak. Haa..lepas ni apa pulak?"
"So kau nak cakap budak ni berhantu? Peduli apa aku. Yang penting is money, money, money."
Khairul menjentikkan ibu jarinya. Dia berasa geram pula dengan Azlan yang dari tadi dianggapnya merapu sakan.
Azlan yang keresahan sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala.
***
Proton Wira hitam berhenti di depan sebuah rumah jenis kayu dua tingkat yang hanya dikelilingi dengan pokok-pokok hutan. Rumah kayu itu merupakan rumah peninggalan arwah nenek kepada si Husni, lelaki berbadan gempal yang sedang berdiri menunggu di pintu masuk rumah.
Azlan keluar dari kereta, diikuti Khairul yang bergegas membuka pintu penumpang. Kaki Elisa menyentuh tanah. Dia mengekori dari belakang Azlan dan Khairul untuk memasuki ke dalam rumah.
"Budak ni normal tak?" Tanya Husni sebaik saja dia berselisih dengan Elisa di pintu. Pertanyaan Husni tidak dijawab. "Wei, aku call korang banyak kali jadahnya nak voicemail memanjang," tutur Husni lagi.
"Line takde," jawab Azlan sambil menuju ke dapur.
Khairul dan Elisa pula duduk atas kerusi rotan di ruang tamu.
"Comel pulak budak ni," ujar Husni sambil menduduki kerusi sebelah Elisa.
Dia membelai-belai rambut Elisa.
"Jangan kau berani sentuh dia." Larang Khairul sambil menuding jari kepada Husni. Husni menarik kembali tangannya dari rambut Elisa.
"Kau call Joshua sekarang, deal ngan dia yang budak ni pendiam, 7 ke 8 tahun. Confirm tak melawan. Starting 350 k.'' Arah Khairul.
"Aku rasa boleh dapat lebih lagi ni kalau kau dah cakap gitu. Aku tryla," balas Husni. Dia bangun berdiri dan mengambil phone-nya di atas rak televisyen.
"Aikk? Takde line pulak. Tadi elok je," cakap Husni sambil menyentuh skrin phone-nya.
Azlan yang berada di dapur terus berhenti mengunyah roti dalam mulutnya selepas terdengar percakapan Husni. Dia segera berjalan ke ruang tamu.
"Rul, aku dah cakap kan. Phone dia pun tiba-tiba takde line,'' kata Azlan.
"Kau ni kecohla dari tadi. Satu Malaysia la tu takde line," bidas Khairul.
"Apa kes ni Rul?" sampuk Husni.
"Dia ni haa. Dari tadi dok merepek bukan-bukan. Cakap budak ni berhantu."
Husni senyum tersengih. Kelakar pula rasanya.
"Haaa Lan, kau bawaklah budak ni masuk bilik atas," ungkap Khairul.
"Taknakla aku. Kau bawakla sendiri,'' jawab Azlan ringkas dan berlalu pergi dari ruang tamu.
"Eh, dah besar cam ni pun nak touching ke?" Sindir Husni.
"Biarlah dia. Haa, kau bawak la budak ni naik atas. Sekali lagi aku cakap, jangan sentuh badan dia. Aku serius ni." Tegas Khairul.
"Okay. Jom." Husni mempelawa Elisa untuk mengikutinya naik ke tingkat atas. Elisa menuruti saja pelawaan Husni. Mereka berdua pun beredar dari ruang tamu.
Khairul menggeliat, menghilangkan segala rasa penat lelah yang dirasainya sepanjang hari. Azlan pula berdiri di beranda luar rumah untuk menghirup udara segar sambil menghisap rokok. Fikirannya serabut memikirkan masalah hutangnya dan juga tentang seorang budak perempuan yang bernama Elisa.
***
Elisa duduk atas katil.
"Tidur elok-elok. Kalau kau cuba buat benda bukan-bukan. Nahas kau." Ugut Husni dari pintu bilik. Dia mematikan lampu dan terus menutup pintu dari luar.
Husni bersiul-siul menuruni tangga.
Menyedari Khairul sudah pun terlena atas kerusi ruang tamu, bisikan hasutan syaitan mula menguasai diri Husni. Niat Husni hanya ingin merasai tubuh badan Elisa terlebih dahulu sebelum budak malang itu dijual kepada Joshua.
Husni berjalan ke dapur, lalu membuka pintu peti sejuk. Sebotol air sejuk diambil. Husni menuang air dari botol itu ke dalam segelas cawan kaca yang berada di atas meja. Tanpa Husni sedari, pintu peti sejuk di belakangnya yang telah tertutup sendiri dengan senyap.
Usai rasa dahaga di tekak sudah hilang, Husni berpusing semula ke belakang. Dia terkejut pula melihat peti sejuk tertutup.
"Aikkk?" cakap Husni keseorangan.
Bzzzzz...bzzzzz...bzzzzzzz...
Lampu di dapur berkelip-kelip sebentar. Melihat keadaan itu, Husni mengambil sebilah pisau di singki dan bergegas meninggalkan dapur. Dia menaiki semula anak tangga.
Pintu bilik tidur Elisa dibuka dan ditutup oleh Husni dengan perlahan. Lampu bilik dihidupkan. Elisa berdiri sebelah bucu katil. Husni memandangnya dengan pandangan yang penuh bernafsu.
Husni berjalan dengan memegang serta mengacu pisau ke arah Elisa.
"E..Li..Sa..nak peluk boleh?" Goda Husni halus. Dia semakin dekat dengan Elisa.
Tiba-tiba, lampu bilik terpadam.
"Alamak," bisik Husni.
Tiga saat kemudian, lampu bilik kembali menyala. Entah bagaimana, Husni tiba-tiba mendukung Elisa. Mata Elisa juga berbinar, manakala tangannya menyerkup mulut Husni. Dengan serta merta, kepala Husni dipusing Elisa 360 darjah ke belakang.
Prappp!!
Kedengaran tulang leher Husni patah. Husni jatuh meniarap dalam keadaan matanya terbeliak luas.
***
Bunyi suara yang nyaring daripada televisyen menyebabkan Khairul terbangun. Dia terus terduduk apabila melihat Elisa sedang berdiri di depan rak televisyen.
"Uishhh! Kau ni!!" Kata Khairul sambil mengesatkan-ngesat matanya dengan jari.
Muzik tema stesen Berita Gempar kedengaran di televisyen. Bunyi muzik itu menyebabkan Khairul tertonton berita secara tidak sengaja.
"Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh di rumahnya di taman perumahan Bestari Persik Jaya pagi tadi," pembaca berita membuka mukadimah.
Berita itu nyata menarik perhatian Khairul. Lagipun, dia dan Azlan baru saja menculik Elisa di taman seperti yang diberitahu oleh pembaca berita.
"Mayat kanak-kanak perempuan itu dikenal pasti sebagai Nur Elisa Raihana Binti Kamaruddin...."
Gambar Elisa berukuran passport turut dipaparkan di penjuru kanan kaca televisyen. Mulut Khairul ternganga. Dahinya berkerut.
"Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah. Motif pembunuhan juga masih belum dikenal pasti. Dan berikut adalah sedikit sedutan rakaman suspek yang berjaya ditangkap melalui rakaman cctv dari halaman rumah mangsa."
Rakaman cctv itu menayangkan bagaimana Proton Wira hitam yang dipandu oleh Azlan berhenti di depan pagar rumah Elisa. Khairul dilihat berperangai pelik kerana keluar dan masuk kereta tanpa sebab. Tiada kelibat Elisa pun dalam rakaman itu. Tiada sesiapapun, melainkan Khairul yang berdiri keseorangan di luar kereta.
Melihat sedutan rakaman cctv itu, Khairul terus tergamam. Lidahnya terkelu. Dia tidak menyangka budak perempuan yang mereka culik tadi sebenarnya telah mati!
Khairul enggan memandang Elisa dan cuba mengangkat punggungnya dari kusyen kerusi. Belum sempat Khairul melarikan diri, Elisa terus menerkamnya. Kelihatan pada dinding ruang tamu, bayang-bayang Elisa mencakar badan Khairul berkali-kali.
"Arghhhhh...!" Pekik Khairul.
Mendengar jeritan Khairul, Azlan yang masih berada di beranda lekas memasuki semula ke dalam rumah. Langkah Azlan terhenti apabila melihat sekujur tubuh badan Khairul yang berlumuran dengan darah terbaring mengangkang di atas kerusi.
Elisa berdiri di depan rak televisyen dan merenung tajam muka Azlan. Azlan mula ketakutan. Benarlah apa yang difikirkannya daripada tadi, Elisa bukan manusia biasa.
Azlan teringat yang kunci kereta diletakkan di atas meja dapur. Apa lagi, dia pantas berlari ke dapur. Sekali lagi, Azlan ketakutan. Manakan tidak, Elisa tiba-tiba berdiri bersebelahan dengan meja dapur.
Kunci kereta di meja itu berjaya dicapai Azlan. Tanpa berlengah, dia berlari keluar dari rumah. Azlan memasuki kereta. Enjin kereta dihidupkan dan Proton Wira dipecut dengan laju. Proton Wira melalui semula jalan kampung.
Radio kereta hidup dengan sendiri.
"Na.. nananana..na..nananana..na,na,na...na,na,na..."
"Arghh! Diamla jahanam!" Jerit Azlan sambil menumbuk-numbuk radio itu hingga terpadam.
Azlan berasa lega seketika, tapi tak lama kemudian dia dapat merasakan seseorang berada di kerusi penumpang belakang.
"Na.. nananana..na..nananana..na,na,na...na,na,na..."
Melalui cermin pandang belakang, Azlan melihat Elisa sedang bernyanyi-nyanyi. Proton Wira hilang kawalan, lalu terbabas sebelum akhirnya jatuh menjunam ke dalam gaung.
***
Dalam keheningan malam, Azlan berdiri tegak di tepi jalan. Mukanya kelihatan sugul. Dari jauh, sebuah kereta Alphard berwarna hitam kian menghampiri. Alphard berhenti betul-betul di depan Azlan. Seorang lelaki cina berbadan sado keluar dari Alphard dan mengheret Azlan masuk ke dalam kereta.
Alphard terus dipecut.
Lagu cina rancak berkumandang di radio kereta. Leher Azlan diacu dengan pisau.
"Haiya! Lama suda tak nampak wo. Mana u mau lari hahh! U punya hutang bila mau bayar anjing!"
Azlan membisu dan cuma merenung ke arah belakang kerusi pemandu. Kelakuan aneh Azlan itu menimbulkan kemarahan lelaki sado. Dia menumbuk muka Azlan sekali. Walaupun ditumbuk, Azlan masih mendiamkan diri.
"Woi! U sudah bisu kah!" Tengking pemandu Alphard.
Radio kereta Alphard tiba-tiba terpadam. Dua orang lelaki cina diam sekejap. Tiga saat kemudian, radio itu hidup semula.
"Na.. nananana..na..nananana..na,na,na..na,na,na..."
Suara seorang lelaki menyanyi kedengaran di radio kereta.
Azlan tersenyum.
-Tamat-
Karya : Mat Lester
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: