Saturday 7 October 2017

SELEKOH ANGKER - Cik Edot


SELEKOH ANGKER
Karya: CikEdot (Dee Edot)
Suntingan dan Gambar: Wan SC

*****
07.10.2017
Beg sudah siap kugalas di bahu. Aku sengaja memilih untuk menunggang motorsikal. Lebih santai. Aku harap percutian ini adalah titik tolak untuk aku mulakan hidup baru. Barang yang lepas usah dikenang. Nekad. Aku nak lempar jauh-jauh. Tak pernah aku sangka, putus cinta tu sakit!
Destinasi yang aku tuju ada lah Port Dickson. Hurm...dekat je pun. Last minute punya plan. Orang putus cinta, sempat ke nak plan percutian? Dua hari cuti yang ada ini patut aku manfaatkan. Sama ada aku akan menangis mengenang nasib atau berjimba meraikan status single? Jujur. Aku tak pasti.
Jumaat. Tepat jam 9.00 malam. Aku meredah Highway Plus dari Hicom menghala ke arah selatan. Melepasi kawasan RnR Dengkil, aku tukar plan. Aku memilih untuk belok ke persimpangan Sepang melalui jalan dalam. Tindakan kurang bijak untuk seorang gadis yang jalan bersendirian? Arghhh..lantaklah.
Pada awalnya semua baik-baik sahaja. Namun di pertengahan jalan, tiba-tiba tungganganku sedikit terganggu. Dalam kelajuan sederhana, motorku terhuyung hayang dan agak sukar dikawal. Seperti ada yang tidak kena.
Fuhhh! Hampir sahaja aku terbabas di selekoh tajam itu. Signal ke kiri dinyalakan. Lantas aku hentikan motor di bahu jalan. Torch light di dalam bag galas aku capai. Aku turun dari motor, seraya menyuluh tayar di bahagian hadapan. Aduhhh!! Pancit? Tersembul kepala paku dipermukaan tayar. Ohh,man. Ini bukan masa yang tepat. Aku bungkam.
Dalam rembang malam, aku bersendirian. Kereta dan lori yang lalu lalang langsung tiada niat untuk berhenti. Aku dibahu jalan seolah-olah tidak wujud. Ohh, kejamnya dunia! Waktu-waktu macam inilah, sebiji motorsikal pun aku tak nampak. Huh!! Beginilah insan yang lemah. Putus cinta dan tayar pancit. Damn!
Aku buntu. Telefon bimbit di dalam kocek aku keluarkan. Erkkk.. takda signal? Biar betul? Ceruk mana aku sesat ni? Tak ada cara lain. Aku kena naik dan bawa juga motor ni perlahan-lahan. Aku cuba hidupkan enjin. Beberapa kali. Hampa. Dah kenapa pula ni? Takkanlah sebab tayar pancit, enjin tak boleh start? Pelik. Haru oii! Aku tengok keliling. Gelap gelita.
Baru aku perasan. Rupanya aku dikelilingi ladang kelapa sawit di sebelah kiri dan kanan. Entah kenapa, rasa cuak mula bertandang. Oh, Tuhan. Why me? Mahu atau tidak, aku terpaksa menolak motorsikalku. Aku pandang dada langit, bulan penuh kelihatan. Aku mengharapkan ada keajaiban. Beberapa buah kereta muncul dari jauh. Aku lambai tangan cuba menahan. Tak ada satu pun yang berhenti. Hampa.
"Cik, boleh saya bantu."
"Ohh Mak Kau!!"
Terhenyak badanku ke depan. Kuuuu semangat! Nasib tak terlepas pautan di bahagian pemulas. Kalau tak, jatuh motor aku. Binawe betul!
Di belakangku. Berdiri seorang pemuda. Aku suluh muka dia dengan torch light. Matanya terkedip-kedip sebelum tertutup menahan silau. Handsome. Ehhh!
"Maaf buat cik terperanjat."
"Errrkkk...awak dari mana ha? Tiba-tiba je muncul." Mataku melirik. Mencari-cari kenderaan yang dia naiki.
"Ohh. saya nak ke rumah kawan dekat ladang. Kebetulan saya nampak cik berhenti ni, saya tegurlah."
"Jalan kaki?"
"Iya cik."
"Ermmm... boleh percaya ke? Ni bukan nak rompak kan?"
"Hahaha...takdalah cik. Saya tak zalim nak rompak orang tengah susah. Kenapa dengan motor?"
"Ni ha... Mula-mula tayar pancit. Lepas tu saya cuba hidupkan enjin, sampai ke sudah tak boleh."
"Mari cik, saya cuba tengok."
Motorsikal ditongkat. Tanpa disangka-sangka. Angin tak ada, ribut tak ada. Hujan mula turun. Menggelabah aku.
"Jom cik. Kita tolak motor sampai ke bus stop depan tu."
Ehh..Apasal tadi aku tak nampak ada bus stop kat situ? Ermmm... tanpa banyak soal, aku angguk tanda setuju. Gigih mamat ni tolak motor aku.
Tiba di bus stop. Aku pegun. Rare betul. Jarang aku jumpa bus stop bertiangkan kayu dan beratapkan zink. Arghhh, apa ada hal. Janji boleh berteduh.
"Saya Danial. Nama cik?"
"Nadirah. Panggil Nad je."
"Nad nak kemana? Malam-malam lalu jalan ni. Sorang je pula tu. Tak takut?"
"Ermmm..Saja tak nak lalu highway. Nak kelainan. Ehh, kenapa pula nak takut?"
"Motor dah rosak macam ni pun masih tak takut? Rosaknya kat selekoh angker pulak tu. Heheh.."
"Erkkk...Selekoh angker? Maksud awak?"
Danial senyum. Baru sahaja dia hendak buka mulut, tiba-tiba matanya menyorot ke arah jalanraya. Aku juga turut mengekori pandangannya.
Kelihatan dari jauh, sebuah kereta dengan enjin yang tersengguk-sengguk. Lampu kereta yang tadi terang tiba-tiba malap. Pemandu kereta itu membelok ke bahu jalan. Enjin yang tersengguk-sengguk tadi mati dan berhenti betul-betul di tepi bus stop.
Sekejapan, kedengaran beberapa kali cubaan si pemandu menghidupkan enjin. Namun hampa. Senyuman halus tersungging dibibirku. Monologku dalam hati. "Welcome to the club Encik Iswara." Hikkss..
Beberapa minit berlalu. Akhirnya si pemandu dan penumpang di sebelah turun dari perut kereta. Mereka berlari anak menghampiri kami. Hujan yang tadinya sepoi-sepoi manja kini bertukar lebat. Telefon bimbit di dalam kocek aku keluarkan. Tiada signal. Jam yang terpapar hampir 10.20 minit malam. Aku mengeluh. Sugul.
"Kereta rosak ke bang?" Danial berbahasa basi memulakan perbualan. Aku disisi hanya melihat. Ada seorang wanita bersama lelaki tersebut. Dia memandangku kemudian tersenyum. Aku hanya mengangguk.
"Ha’ah dik. Kereta tiba-tiba meragam pulak."
"Jalan ni sunyi bang. Kalau malam tak banyak kereta dan motor lalu. Lori banyak lah. Bengkel yang paling dekat pun di Lukut. Tapi malam-malam ni, semuanya dah tutup."
"Yeke. Aduhh, susah juga macam ni."
"Saya Danial. Ini Nadirah, kawan saya."
Erkk..aku pandang wajah Danial. Kawan? Sejak bila weii...Stranger!
"Nama abang, Tawfiq. Ini isteri abang, Syafiqah. Korang berdua berteduh dari hujan ke?"
"Sebetulnya bang. Motor saya yang rosak. Si Danial ni tolong tolak motor saya sampai ke bus stop ni. Kebetulan hujan pula. Kami berteduh. Dan cerita si Danial ni masih tergantung lagi pasal selekoh jalan tu. Katanya angker."
Aku pandang Danial sambil angkat kening. Danial, Abang Tawfiq dan isterinya pandang aku secara berjemaah. Tak berkelip.
"Awak betul-betul nak tahu ke Nad? Saya berharap sangat awak dah lupa, tapi......"
"Takpelah Danial. Cerita je. Dia nak tahu kan. Abang pun ada dengar macam-macam juga pasal selekoh tu. "
"Ermm...Baiklah. Nad, masa awak lalu kat selekoh tu, awak takda nampak apa-apa? Atau rasa apa-apa?"
"Takda pulak. Tapi kan, motor saya betul-betul pancit kat situ. Kenapa? Ada hantu ke?"
Sekali lagi. Tiga pasang mata itu merenungku. Ermm..dah kenapa? Aku salah cakap ke? Kata angker, mesti lah ada hantu kan?
"Dekat selekoh tu orang kata angker sebab ada lintasan dan berpenunggu. Dah banyak kali berlaku accident sebelum ni. Ada yang melibatkan kematian Nad."
"Lintasan? Penunggu? Hahaha...saya tak nampak apa-apa pun tadi. Mungkin mangsa kemalangan yang mati tu sebab diorang cuai dan bawa laju kot."
"Kita ni jangan cakap besar kalau kita tak nampak dan alami sendiri!"
Ermmm. Bila kak Syafiqah yang diam sedari tadi tiba-tiba bersuara. Ehh, emosi pulak kakak ni. Aku bagi pendapat je kot. Jungkit bahu. Tumpuanku kembali pada Danial.
"Ada dua kes kemalangan yang masih saya ingat sampai ke hari ni. Kes satu, terjadi 2 tahun lepas. Seorang penunggang motorsikal maut serta merta di tempat kejadian. Badannya terputus dua." Bersungguh Danial bercerita sambil bebola matanya pegun melihatku.
"Dan kes satu lagi berlaku tahun lepas. Melibatkan sebuah kereta pula. Sepasang suami isteri mati di tempat kejadian. Kepala suaminya terpisah dari badan. Anggota tangan dan kaki isterinya pula ada yang hancur dan putus. Tragik. Kesian. Dengar cerita, isterinya sedang mengandung anak sulung pulak tu. Betul tak Danial?"
"Ya..Betul bang."
Gullppp! Terasa kering tekakku. Liur ku telan berkali-kali.
"Sebetulnya, apa yang diorang nampak. Lintasan tu? Rupanya macam mana?"
"Nad... cuba awak tengok tu."
Danial mengajukan tangannya ke jalanraya. Aku seraya menoleh mengikut telunjuknya. Gelap. Dahlah hujan. Mana mau nampaknya. Ohhh... Torch light aku!
Dari suluhan. Aku melihat seekor lembu berwarna putih sedang melintas jalan. Mak aii... besarnya! Besar dah macam sebuah kereta. Lembu baka apa ni?
Usai lembu putih itu melintas, tidak semena-mena aku dinampakkan pula satu sosok yang sedang mengayuh basikal. Lagak gayanya seperti seorang lelaki tua. Dia juga turut melintas ke seberang jalan. Mengayuh gelap-gelap. Soalnya, dia nampak ke?
"Awak nampak tak Nad?"
Aku mengangguk.
"Nampak. Tapi apa kaitannya lembu putih dan orang tua tu?"
"Awak masih belum faham? Budak motor tu mati sebab nak elak lembu putih." Danial mengeluh.
"Suami isteri tu pulak mati sebab nak elak orang tua berbasikal tu melintas." Sambung Abang Tawfiq. Dia menunduk pandangan.
"Ermmm....susah saya nak percaya semua ni. Bagi saya, lembu dengan orang tua tadi tu bukan apa pun. Normal je bagi saya. Lainlah kalau nampak pontianak ke? Pocong ke?"
"Jadi, Nad memang tak percaya?"
"Macam saya cakap tadi. Saya susah nak percaya. Tapi, jujur saya cakap. Saya tak dapat bayangkan macam mana keadaan mangsa kemalangan tu. Putus badan lah. Tercabut kepala lah. Kaki tangan hancur. Aduhh, dengar pun dah ngeri. Kalau tengok, mahu saya pengsan."
Aku menunduk pandangan. Menguis-nguis kakiku di lantai bus stop. Aku risaukan motor aku sebenarnya. Port Dickson? Ermmm....
"Nad....Cuba awak tengok saya."
Aku mengangkat wajah. Sosok Danial ku pandang sekilas.
Allah!!
Aku menekup mulut. Separuh badannya terletak elok duduk di sebelahku. Separuh lagi terdampar di atas lantai. Badan Danial terputus dua! Darah pekat membuak-buak jatuh ke lantai. Basah. Aku menggigil. Rasa takut menyentak adrenalinku ke tahap maksima. Aku mula menangis!
"Nad...tengok abang Nad."
Damnn!! 
Wajah Abang Tawfiq betul-betul didepanku. Dia menyeringai. Anak matanya dilarikan ke kiri kanan. Kemudian berputar 360 darjah. Ada tangan yang mencengkam rambutnya. Kepala!! Ya, hanya kepalanya didepanku. Abang Tawfiq menghayun kepalanya sendiri.

Dada aku rasa nak pecah. Aku bingkas bangun. Tangisanku terdengar nyaring. Rasa takut bukan kepalang. Kenapalah aku tak pengsan je!! Aku membuka langkah. Niat untuk melarikan diri.
Pappp!!
Aku tersentak. Pergerakanku kaku. Terasa kakiku dipegang erat!

"Nadirahhhh...... kutip tangan akak dik. Kaki akak hancur. Tolong kutipkan dik."
Kak Syafiqah!! Aku meronta-ronta cuba melepaskan pautan tangannya. Ya, hanya tangannya yang mencengkam kaki kiriku. Tubuhnya yang kudung tanpa kaki dan tangan, terdampar disisi Danial. Mereka bermandian darah. Hanyir!
Kaki kananku spontan memijak dan menyepak tangan Kak Syafiqah. Paapp!! Melambung kemudian jatuh ke lantai. Nah, tangannya bergerak. Kembali mengejarku.
"Aarrggghhhhhhhh!!!!!!"
Aku berlari sambil menjerit dan menangis. Kemudian....
Bammmmmm!!!!
***********
SEPANG, Ladang Merah - Seorang wanita berusia 27 tahun, meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah lori trailer. Mayat mangsa dilaporkan dalam keadaan sungguh mengerikan. Mengikut pemandu lori yang dikenali sebagai Encik Ghafur 28 tahun, beliau langsung tidak menyedari kehadiran mangsa sebelum itu. Begitu juga kata saksi kedua, iaitu kelendan yang dikenali sebagai Encik Izzwan, 27 tahun. Kata beliau, mangsa tiba-tiba sahaja berada di tengah jalan semasa lori yang dinaikinya melalui selekoh tajam.
Ironinya, selekoh tajam ini sudah mengorbankan beberapa nyawa sebelum ini. Yang menjadi misteri, adalah tarikh berlakunya kemalangan. Mengikut kronologi, kes kemalangan yang berlaku dua tahun berturut- turut juga berlaku pada tarikh yang sama.
Pada tarikh 07.10.2015, seorang penunggang motorsikal maut. Manakala pada tarikh 07.10.2016, sepasang suami isteri menemui ajal di tempat kejadian. Dan hari ini 07.10.2017, sekali lagi ada korban di selekoh yang sama. Mayat kesemua mangsa, mati dalam keadaan tragis. Selekoh angker menagih korban?
-Tamat-
***********
Epilog
07.10.2018
Selekoh, Ladang Merah.

Fendi ditemani sahabatnya, Nabil di bahu jalan.
"Ini semua kau punya pasal lah Fendi. Aku dah cakap tadi, check minyak. Kau degil! Ni bahana nya. Jauh lagi ni nak sampai pam minyak. Tu, kat Lukut sana tau tak!" Nabil membebel.
Fendi hanya diam membisu. Dia akui, itu semua salahnya.
"Ya, aku tahu. Sorry bro. Hari nak hujan ni, Bil. Tu kat depan sana ada bus stop. Nampak macam ada orang. Jom!"
*****
Karya: CikEdot
Suntingan dan Gambar: Wan SC

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: