Thursday 26 October 2017

SEKOLAH ANGKER - Iskandar Zulfaqar


SEKOLAH ANGKER
Karya : Iskandar Zulfaqar
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Aku baru sahaja di-posting-kan ke sebuah sekolah di kawasan selatan tanah air. Sekolah ini terletak jauh di kawasan dalam kampung dan di bahagian belakangnya hanya dipenuhi dengan semak-samun dan lalang yang ghairah menumbuh tinggi. Maaf aku terpaksa rahsiakan nama sekolah ini tetapi perkara yang ingin aku ceritakan ini merupakan kisah benar yang berlaku.
Orang-orang dahulu pernah berkata, ‘dengarlah cakap orang tua-tua kerana mereka lebih awal makan garam berbanding kita.’
Kata-kata itu tepat sekali. Peristiwa yang terjadi padaku ini adalah disebabkan diriku sendiri yang degil dan tidak mendengar nasihat generasi veteran.
Pihak sekolah ingin mengadakan aktiviti perkhemahan. Oleh itu, mereka mencari beberapa orang guru yang sanggup untuk menjadi fasilitator dan juga memegang tanggungjawab untuk menjaga keselamatan murid-murid sepanjang aktiviti perkhemahan itu berlangsung.
Beberapa nama guru lama telah disenaraikan dalam mesyuarat yang diadakan untuk memegang tanggungjawab itu. Oleh kerana aku baru sahaja beberapa bulan di sekolah itu dan aku merasakan tanggungjawab itu perlu diserahkan kepadaku kerana usiaku yang masih muda dan bertenaga, aku menyatakan hasratku untuk menjadi guru penasihat kem komanden perkhemahan itu.
“Maafkan saya, cikgu. Bolehkah saya menawarkan diri untuk menjadi kem komanden perkhemahan ini. Lagipun saya masih baru di sini. Ini merupakan peluang saya untuk mencari pengalaman di samping dapat mengeratkan hubungan dengan pelajar yang belum semuanya saya kenal lagi,” jelasku kepada guru besar yang mempengerusikan mesyuarat itu.
Riak wajah guru besar berubah serta-merta. Dia seperti kurang bersetuju dengan keputusanku itu. Namun, dia tidak boleh menyatakan secara terang-terangan kerana dia menghormati keputusan aku.
Bilik mesyuarat sepi seketika. Tiada keputusan yang dapat diambil. Guru besar juga terus menyepi. Ustaz Ahmad yang duduk di kerusi sebelahku mencuit bahuku sambil menarik kerusinya mengham-piriku.
“Kau fikir betul-betul. Sekolah ni sekolah lama. Kau tu baru lagi. Kau tak kenal sekolah ni secara mendalam lagi.”
Kata-kata Ustaz Ahmad itu meninggalkan persoalan di dalam diriku. Aku terpinga-pinga memikirkan apakah maksud yang tersirat di sebalik kata-kata ustaz itu.
“Biar saya saja yang jadi kem komanden. Cikgu Amar boleh ikut serta tetapi saya akan ada bersa-manya.” Cadangan Cikgu Malik itu memecahkan sepi bilik mesyuarat yang secara tiba-tiba terdiam.
Guru besar masih lagi terdiam. Wajahnya resah seperti dibadai konflik besar yang tiada noktah penyelesaiannya. Aku masih lagi bingung mengapa guru-guru di sekolah ini susah sangat mem-benarkan aku menjadi kem komanden untuk perkhemahan ini. Padahal apa yang aku buat ini juga adalah sumbanganku untuk sekolah.
“Saya sudah ada banyak pengalaman dalam mengendalikan perkhemahan dan saya juga masih me-merlukan pengalaman di sekolah ini. Jadi tolonglah izinkan saya untuk menjadi kem komanden perkhemahan ini. Saya akan menjaga pelajar sebaiknya. Itu janji saya.” Aku masih lagi berusaha untuk mendapatkan kepercayaan guru besar.
“Saya hargai semangat Cikgu Amar itu. Baiklah saya melantik Cikgu Amar sebagai kem komanden dan guru penasihat perkhemahan ini tetapi ingin saya tegaskan kepada Cikgu Amar supaya berhati-hati. Sekolah kita ni sekolah lama. Dah banyak cerita-cerita yang tak sedap kita dengar berlaku di sini,” kata guru besar.
Jadi itulah maksud di sebalik kata-kata Ustaz Ahmad tadi. Rupa-rupanya sekolah ni berhantu. Se-umur hidupku, perkara yang paling aku tidak percaya ialah hantu dan alam mistik. Semua benda ni tahyul dan aku yakin orang sengaja mereka-reka cerita bagi tujuan menakutkan warga sekolah ini.
“Kalau ada hantu, saya kencing dekat muka dia,” kataku kepada Ustaz Ahmad sambil disokong oleh ketawaku terbahak-bahak. Reaksi wajah Ustaz Ahmad juga berubah setelah mendengar aku bercakap begitu.
Hari perkhemahan itu tiba dan seperti kebiasaan, aktiviti di siang hari pada hari pertama perkhemahan tidaklah terlalu lasak. Pelajar hanya perlu membersihkan tapak perkhemahan, mendirikan khemah, mendengar taklimat dan aktiviti riadah petang. Tiada juga perkara yang pelik dan mistik berlaku sepanjang siang hari itu.
Namun pada sebelah malamnya, segala-galanya berbeza. Inilah merupakan kali pertama aku mem-percayai kewujudan entiti paranormal. Gangguan bertali-arus menerpa diriku sepanjang malam itu. Bermula ketika pelajar mula bersolat Maghrib. Sebagai kem komanden, aku bertanggungjawab me-mastikan semua pelajar berada di surau untuk solat jemaah bersama-sama. Setelah selesai menghambat semua pelajar untuk pergi ke surau dan solat jemaah, entah mangapa tiba-tiba perutku terasa memulas dan sakit yang teramat.
Hasratku untuk solat berjemaah bersama pelajar juga tidak kesampaian kerana aku hanya berulang-alik ke tandas. Nasib baik ada Ustaz Ahmad yang memimpin solat berjemaah. Aku masih lagi di dalam tandas ketika mereka usai solat berjemaah. Ketika itulah aku terdengar bunyi tapak kaki menghampiri tandas. Aku hanya mendiamkan diri dan tidak memikirkan apa-apa. Itu mesti Ustaz Ahmad yang datang untuk bertanyakan keadaanku. Ya, memang benar itu Ustaz Ahmad.
“Kau ok ke Amar? Dah lama dalam tandas ni,” tanya Ustaz Ahmad.
“Ya saya okey. Sakit perut je.” Aku membalas pertanyaan Ustaz Ahmad.
Beberapa ketika selepas itu, kedengaran tapak kaki Ustaz Ahmad meninggalkan tandas. Aku masih lagi bergelut dengan sakit perut yang entah apa puncanya. Lebih kurang dalam dua minit selepas per-ginya Ustaz Ahmad dari tandas itu, aku sekali lagi terdengar bunyi tapak kaki menghampiri tandas.
“Apa lagi Ustaz Ahmad ni nak? Nak buang hajat pun tak senang.” Kataku dalam hati.
“Kenapa ustaz?” Aku menyoal ustaz dari dalam tandas.
Tiada jawapan yang diberikan. Bunyi tapak kaki itu semakin dekat denganku. Aku juga terus mendi-amkan diri. Perasaanku sudah mulai tidak enak.
Tok! Tok! Tok!
Tiga kali pintu bilik air itu diketuk sebaik sahaja bunyi tapak kaki itu berhenti. Sehingga itu masih juga tidak kedengaran sebarang suara walaupun aku telah menyoalnya beberapa kali. Akhirnya aku menyudahkan proses melepaskan hajatku dan setelah membasuh apa yang patut, aku membuka pintu tandas itu. Apa yang peliknya ialah tiada langsung sesiapa di luar. Tiada langsung kelibat manusia di luar tandas itu.
Aku tidak memikirkan apa-apa sebaliknya terus bergegas ke tapak perkhemahan untuk memantau aktiviti pelajar. Namun, sebelum sempat aku sampai ke tapak khemah, perjalananku terhenti apabila aku melihat Daniel, seorang pelajar darjah 5 yang aku ajar sedang duduk mencangkung di koridor hadapan bilik guru sambil mengutip sesuatu.
“Daniel, kamu buat apa di sini?” Aku menyoal Daniel kerana hairan melihatnya berkelakuan pelik duduk bersendirian di dalam gelap.
Daniel tidak menjawab pertanyaanku sebaliknya dia terus mendongak mukanya ke arahku. Apa yang memeranjatku ialah kedua-dua belah mata Daniel kesemuanya berwarna putih. Tiada langsung kelihatan biji matanya.
“Ya Allah!”
Aku terus beredar dari situ dalam keadaan berlari menuju ke tapak khemah. Aku lebih terperanjat apabila melihat Daniel sedang bersembang dengan rakan-rakannya di tapak khemah itu. Jika begitu siapakah budak yang aku jumpa tadi?
“Kau ni kenapa? Lari macam nampak hantu saja?” Soal Ustaz Ahmad kepadaku.
“Takde apalah. Jangan risau.” Aku masih lagi tidak memberitahu perkasra sebenar kerana aku yakin itu semua hanyalah khayalanku.
“Kalau macam tu takpelah. Nak minta tolong kau sikit ni. Tolong pergi stor dan ambil satu lagi khemah dalam tu. Khemah untuk kita belum lagi dipasang,” arah Ustaz Ahmad kepadaku.
Walaupun masih lagi trauma dengan kejadian tadi, aku tetap pergi ke stor seorang diri kerana iktikad aku bahawa tidak wujudnya hantu masih kuat. Aku membuka kunci pintu stor dan menggunakan lampu daripada telefon pintarku untuk mencari khemah. Untuk pengetahuan korang, lampu stor tu memang dah lama rosak. Dah banyak kali aduan dibuat namun bajet tidak berapa cukup untuk dibaiki.
Kejadian dalam stor inilah yang telah meruntuhkan peganganku bahawa hantu tidak wujud. Ketika aku sedang mencari-cari khemah menggunakan lampu daripada telefon bimbit, tiba-tiba aku tersuluh sesosok tubuh wanita, berjubah putih dan berambut panjang. Aku tidak dapat melihat mukanya kerana dia berpaling ke arah bertentangan dengan mukaku.
Aku masih berfikiran positif. Mungkin dia adalah Kak Bie, tukang sapu sekolah ini yang selalu menghabiskan masanya melepak di stor apabila waktu terluang. Tiba-tiba aku terfikir sejenak. Sekarang dah malam. Kak Bie kerja sampai pukul 5 sahaja dan pintu stor ini tadinya kunci, macam mana dia boleh masuk. Sejenak aku terfikir ketika itu juga wanita itu memalingkan wajahnya ke arahku.
Seluruh tubuhku menggeletar. Ketika itu jugalah pintu stor terhempas kuat dan tertutup rapat. Wajah perempuan itu sungguh buruk dan hodoh. Bayangkan muka hanya sebelah lengkap seperti manusia dan sebelah lagi hampir reput. Lidahnya juga menjalar sehingga ke paras dadanya. Saat itu jugalah dia mengilai seperti dalam cerita kuntilanak Indonesia.
Aku ingin berlari tetapi malang bagiku apabila kedua-dua belah kakiku kaku tidak dapat bergerak. Matanya tepat memandang ke dalam mataku. Riak mukanya yang begitu marah seolah-olah ingin membalas dendam kepadaku.
“Kau celaka! Cakap besar kat kawasan aku!” Itulah kata-katanya yang sempat aku dengar sebelum aku rebah. Tubuhku longlai dek rasa takut yang begitu mendalam.
Di hujung-hujung telingaku aku terdengar laungan azan dari luar stor tersebut. Aku juga terdengar bunyi orang cuba membuka pintu stor tersebut. Suara itu tidak lain dan tidak bukan adalah milik Ustaz Ahmad. Semakin kuat Ustaz Ahmad melaungkan azan, semakin kuat hilai tawa gadis bermuka buruk itu. Aku pula separa sedar kerana terlalu takut.
Beberapa minit selepas itu, pintu berjaya dibuka dan Ustaz Ahmad bersama Sham, pengawal kesela-matan yang bertugas malam itu menghampiri aku dan memapah aku untuk bangun. Mereka berdua ingin membawa aku keluar tetapi sebelum sempat sampai ke pintu, perempuan berwajah buruk itu awal-awal lagi berdiri di hadapan pintu stor itu.
“Kau mahu apa wahai makhluk Allah? Kau makhluk Allah, aku juga sama. Jangan cuba sakiti kami. Allah akan membalas perbuatan kamu itu.” Ustaz Ahmad cuba berkomunikasi dengannya.
“Manusia ini celaka!” Perempuan berwajah buruk itu menuding jarinya tepat ke arahku.
“Dia sombong. Dia tak hormat tempat aku di sini. Aku nak dia pergi dari sini,” jelas makhluk itu.
“Apa dia buat kat kau?” Soal Ustaz Ahmad kembali.
“Dia pernah cakap nak kencing di muka aku. Kurang ajar!” Balas makhluk itu.
Ketika itu barulah aku sedar kesalahanku. Aku pernah memperlekehkan makhluk jin dengan menga-takan aku ingin kencing pada muka mereka jika terjumpa mereka. Aku melafazkan kata-kata itu setelah guru besar menasihatiku supaya berhati-hati.
“Dia tidak tahu. Kau maafkanlah dia. Sekarang kau pergi dan jangan datang lagi ke alam kami.” Ustaz Ahmad menghalau makhluk itu supaya pergi meninggalkan kami.
Alunan Bismillah lima dilafaz oleh Ustaz Ahmad di bibirnya sambil ditiup tepat ke arah makhluk jin itu. Suatu jeritan dapat aku dengar seraya kelibat wanita berwajah buruk itu tiba-tiba lesap daripada pandangan.
Aku dibawa pulang ke rumah selepas kejadian itu. Jawatan sebagai kem komanden telah diambil alih oleh Ustaz Ahmad kerana aku mendapat cuti sakit selama tiga hari akibat demam panas. Itulah padah buat diriku yang tidak mendengar nasihat warga veteren dan juga bermulut celupar. Peristiwa itu telah menjadi iktibar buat diriku.
-TAMAT-
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: