Wednesday 18 October 2017

RAGUT - Xander Xavier


RAGUT
Karya: Xander Xavier

=====================
7 Februari 2017
“Woi, jadi tak petang ni ? Aku dah kopak habis ni. Nak makan pun dah tak ada duit,” Faiz bertanya sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di kerusi warung Pak Mat.
“Mestilah jadi, aku ambil kau dekat rumah. Lepas tu, terus gerak pergi pekan. Hari ni 7 hari bulan kan… Kau jangan risau,” Razi mengeluarkan asap Vape berkepul-kepul daripada mulutnya. 
Seorang ibu mengandung berlalu meninggalkan kedai kerana tidak tahan dengan asap yang dikeluarkan Razi.

Petang itu, Razi datang ke rumah papan milik Faiz bagi menjalankan misi mereka. Hon dibunyikan beberapa kali, Faiz keluar dengan memakai helmet dan penutup mulut. Razi memecut laju motosikalnya. Faiz membonceng dengan cermat. Takut juga dia, kalau-kalau terjatuh.
Mereka mempunyai modus operandi yang tersendiri. Faiz akan memerhatikan ‘sasaran’ mereka dan Razi akan sentiasa bersedia dengan motosikalnya. Hari ini mereka memilih bank sebagai kawasan operasi. Sedang Faiz memerhati individu-individu yang keluar dan masuk daripada bank, seorang wanita berambut perang menarik perhatiannya. Wanita itu memasukkan wang yang baru dikeluarkan, ke dalam beg tangan berjenama miliknya. Nampak tebal. Sasaran dikenal pasti.
Faiz memberikan isyarat kepada Razi supaya bersedia. Wanita itu kini berada di tepi jalan. Setelah dipastikan keadaan sekelilingnya selamat. Faiz meluru ke arah wanita itu! Faiz merampas beg tangannya dan berlari sekuat tenaga mendapatkan Razi tanpa menoleh ke belakang. Dia tidak menoleh lagi…
Malam itu, mereka berdua ketawa riang. Tidak mereka sangka, wanita itu sangat kaya. Di dalam beg tanggannya ada 3 buah telefon pintar, wang RM 5000 dan seutas rantai emas. Razi ketawa terbahak-bahak, manakala Faiz tidak habis-habis mengira wang tunai yang mereka dapat hari ini.
Setelah penat ketawa, Razi pulang ke rumah ibu bapanya manakala Faiz masuk tidur. Entah mengapa, mata Faiz sangat sukar untuk dilelapkan. Dia terbayang-bayang wanita yang menjadi sasarannya tadi. Mungkinkah dia sedang menangis ? Atau mungkin dia terluka akibat tindakkannya?
“Eh, aku ni dah kenapa ? Selama ni aku buat kerja ni, tak ada pula rasa serba-salah. Tidurlah…,” Faiz menutup matanya. Melayang… Melayang… Tidur…
Tok ! Tok ! Tok !
Faiz bangkit daripada katil. Dia berjalan ke pintu sambil tidak henti-henti menyumpah-seranah kerana tidurnya terganggu. Ketukan masih tidak berhent lagi... Faiz segera membuka pintu rumahnya.
Dia tergamam.
Dia melihat wanita yang diragut siang tadi menangis teresak-esak duduk di tangga rumah sambil membelakangi Faiz. Walaupun wanita itu menundukkan kepalanya, Faiz sangat pasti kerana wanita itu masih memakai baju yang sama. Dia menoleh ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada polis di situ.
“Cik, ada apa-apa yang boleh saya bantu ?,” Faiz mula bersuara.
Tiba-tiba wanita itu berhenti menangis. Dia tidak menoleh tapi berbisik perlahan. Faiz tidak dapat menangkap butir bicaranya.

“Maaf, saya tak dengarlah,” Faiz bergerak beberapa tapak bagi menghampiri wanita itu.
“AKU CAKAP, PULANGKAN BALIK RANTAI AKU !” serentak dengan jeritan itu, dia memusingkan tubuhnya. Kepalanya pecah memperlihatkan sedikit otak yang berwarna kemerah-merahan. Mata kirinya terkeluar dan tergantung daripada soket.
“Argh !!!” Faiz menarik nafas panjang. Mimpi… Dia bermimpi ngeri… Sangat ngeri !
--------------------
8 Februari 2017

Faiz menghampiri Razi yang sedang bersarapan di warung Pak Mat. Dia menepuk belakang badan sahabatnya itu. Nasib baik tak tersembur kopi hangat yang sedang dihirup Razi.
“Wei, banyak makan… Mesti kau tidur nyenyak kan malam tadi ?” Faiz mengambil tempat di sebelah Razi.
“Mestilah… Poket tebal, hati pun senang. Kau apa hal, tak pernah-pernah tanya aku tidur nyenyak ke tak ?” Razi terus memasukkan mee goreng ke dalam mulutnya.
“Tak ada apa-apalah… Kau dah jual ke rantai tu ?” Faiz menggosok rambutnya. Jujur dia sedang serabut. Mimpi malam tadi sangat mengganggu.
“Belum… Kenapa ? Kau jangan buat hal, kita dah bahagikan ‘harta’ kita semalam,” Razi curiga.
“Tak ada apa-apalah. Pak Mat, teh tarik satu !” Faiz menjerit ke arah Pak Mat yang sedang membungkus nasi lemak. Terkejut orang tua itu !
Pukul 11 malam.
Faiz berbaring di dalam biliknya. Dia rungsing memikirkan mimpinya sebelum ini. Dia tidak pernah rasa serba salah begini. Otaknya berserabut. Badan jadi panas. Faiz duduk dan membuka tingkap kayu yang memang berada di sebelah katil. Udara malam membawa kedinginan yang mengasyikkan. Faiz mencapai beg tangan yang diragut semalam. Dia membuka dompet wanita itu dan mengeluarkan kad pengenalannya.
Nelidia binti Rustam…
Setelah puas menatap gambar kecil Nelidia, Faiz mengemaskannya kembali dan berbaring. Dia merenung ke luar tingkap, bumbung tingkap jirannya menjadi santapan matanya.
Tiba-tiba,
Sesuatu bergerak...
Kelihatan sosok yang bergerak itu seperti kepala Nelidia dengan wajah yang sama seperti mimpinya semalam. Kepala itu menjengah dari tingkap itu dan memandang tepat tajam ke arah Faiz. Sungguh Faiz menjadi kaku langsung tak boleh bergerak.
“PULANGKAN RANTAI AKU!” Nelidia menjerkah.
Mata wanita itu sungguh mengerikan dan semakin lama ia menghampiri faiz. Habis keluar peluh keringat untuk lepaskan diri...
Beberapa ketika dia bergelut akhirnya Faiz berjaya gerakkan badan dan gedebuk terguling jatuh daripada katil

Tak cukup nafas Faiz gagahkan diri juga untuk memeriksa sama ada ‘makhluk’ itu masih di situ ataupun tidak.
Hilang…
----------------------
9 Februari 2017

Razi menepuk bahu Faiz yang sedang termenung di tepi pantai.
“Woi, apa kes kau ajak aku datang tempat-tempat macam ni? Nak ajak bercinta apa?” Razi cuba menceriakan wajah Faiz yang serabut. Razi dapat melihat perubahan yang ketara pada cara Faiz berpakaian. Dia nampak bermasalah.

“Wei, kau dah jual belum rantai tu ? Aku tahu kau akan marah aku gila-gila, tapi aku rasa aku perlukan rantai tu. Kau nak tukar ‘harta’ dengan aku pun tak apa. Aku baru guna RM 100. Tolonglah aku,” Faiz melutut di hadapan sahabatnya itu.
Razi jadi tidak keruan melihat tingkah Faiz yang tidak di sangka-sangka. Dia berfikir buat seketika. Beberapa minit berlalu, Razi menarik nafas panjang.
“Ok lah. Aku tolong kau. Sebenarnya rantai tu memang ada dekat rumah kau pun. Aku takut nak bawa balik, nanti mak aku curiga. Aku sembunyikan dalam tin biskut kau. Kau nak buat apa dengan rantai tu? Nak kata duit kau dah habis, kau baru guna RM 100. Cuba cerita sikit,” Razi ingin tahu segalanya.
Faiz menceritakan peristiwa-peristiwa yang dialaminya. Habis meremang Razi dalam terkedu. Mereka bersetuju untuk pergi ke rumah Nelidia berdasarkan alamat pada kad pengenalannya. Jam 8 pagi besok mereka akan bertolak. Razi pergi ke rumah Faiz untuk mengambil rantai tersebut bersama barang-barang yang lain supaya senang mereka bergerak esok pagi.
Pukul 12 malam. Razi masih belum tidur. Dia terbayang-bayang peristiwa yang diceritakan Faiz. Pusing kiri, pusing kanan, tertiarap, terlentang, dia masih belum boleh tidur. Dia mengalah. Dia bangun dan berjalan ke dapur untuk mengambil minuman. Saat dia mencapai cawan, dia terdengar suara perempuan menangis daripada arah tandas.
“Mak… Mak ke tu ?” Razi melangkah perlahan ke arah tandas.
Saat dia menarik pintu tandas, Razi jatuh terjelepuk di atas lantai. Dia melihat seorang wanita memakai gaun berwarna putih, berambut perang memandang ke arahnya tapi badan ‘makhluk’ itu berada di arah bertentangan. Kepalanya pecah.
“Mak !!!” Razi menjerit sambil menutup matanya.
Mak Mah berlari, mendapatkan anaknya. Ya, berlari. 
“Razi ! Razi ! Kau kenapa ?” Mak Mah memeluk Razi.

----------------------
10 Februari 2017

Faiz dan Razi tiba di hadapan sebuah rumah kecil yang mereka percayai rumah Nelidia. Mereka juga telah mengambil keputusan untuk memulangkan segala ‘harta’ yang mereka ragut tempoh hari. Mereka melihat seorang nenek tua sedang bermain dengan anak kucing di halaman rumah. Nampak uzur benar rupanya. Setelah memberi salam beberapa kali di hadapan pintu, seorang gadis cantik keluar daripada rumah. Nelidia…
“Ya… Ada apa-apa yang saya boleh bantu ?” lembut sahaja suaranya.
“Kami nak buat pengakuan. Sebenarnya kami yang ragut cik tempoh hari. Maafkan kami. Kami janji, kami takkan buat lagi. Jangan laporkan kami pada pihak polis. Tolong Cik.... Kami nak pulangkan semua barang cik. Duit yang saya dah terguna pun saya dah pulang balik. Rantai cik pun ada dalam ni,” Faiz dengan berani membuat pengakuan. Dia terpaksa berhutang dengan saudaranya. Manakala Razi, terpaksa meminta dari ayahnya.
Nelidia memandang Faiz dan Razi tanpa berkedip. Dia mengambil beg tangannya dan memeriksa segala isi. Dia mengeluh berat.
“Baiklah, kali ni saya lepaskan awak. Dah, pergi balik !” Nelidia menghalau mereka berdua.
Sewaktu Faiz dan Razi ingin menyarungkan helmet mereka, entah mana datang seorang nenek menghampiri mereka dan berkata sesuatu.
"Dah jom, jangan ikut diorang lagi. Kau dah balik dekat aku,” nenek itu berkata kepada Razi.
“Nenek nak saya ikut nenek ke?” Razi bertanya.
“Bukan kau, DIA !” nenek tadi menunjuk ke arah belakang badan Razi. Tiada siapa-siapa. Faiz dan Razi terketar-ketar dan nenek itu menyeringai lalu meninggalkan mereka.
Tidak lama kemudian kedengaran suara Nelidia pula.
“Nenek, rantai nenek dah jumpa ! Sini Nel pakaikan,” Nelidia berlari ke nenek tua tadi.
Faiz dan Razi mula faham situasi sebenarnya. Yang mereka ragut tempoh hari nenek tu bukannya Nelidia. Kenapa muka .........
Tanpa teragak-agak, mereka terus memecut meninggalkan perkarangan rumah kecil berkenaan.
P/S : Kepada peragut-peragut yang sedang membaca kisah saya ini, masih ada masa untuk kalian berubah dan kembali ke jalan yang benar. Bertaubatlah…
Saya tahu tak semua peragut itu mahukan ‘harta’, kadang-kadang mereka hanya ingin memuaskan keinginan diri ataupun lebih dikenali sebagai kleptomania. Bagi sesiapa yang merasakan dirinya mungkin ada simptom-simptom kleptomania, berjumpalah dengan doktor.
Tindakan kecil ini mampu membawa perubahan yang besar kepada diri mahupun masyarakat sekitar anda. Ambil yang jernih dan buang yang keruh. Perkara yang baik daripada cerita ni kita simpan, dan yang buruk itu harap boleh dibuang jauh-jauh ya… Sekian…-XX
Glosari : Kleptomania – ketidakbolehupayaan seseorang untuk menghalang dirinya daripada mencuri. Mereka mencuri bukan untuk kegunaan sendiri ataupun masalah kewangan. Sekadar memenuhi rasa ingin mencuri itu.
==========================
Gambar & Suntingan: #kamenrider
Kurator KHAS AAN: Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: