Wednesday 18 October 2017

PUSARA CINTA - Fakhri Zainuddin


Pusara Cinta

==================
“Nyum nyum nyum . Sedapnya daging ni. Abang, burger satu lagi, daging double ya”.
“Nyum nyum nyum”. Hazriq meneruskan kunyahan, gigi taring di hadapan dan geraham di belakang tak berhenti menjalankan kerja mengisar. Setiap kunyahan daging burger bersama roti yang disalut mentega di dalam mulut Hazriq membuatkan dirinya berada di awang-awangan. Sedap tak terkata !
Sebagai seorang pemilik warung burger di tepi jalan, Badrul tersenyum riang. Dia gembira bila pelanggannya gembira. Setiap hari, pujian akan dihamburkan oleh pelanggan kepadanya. Warung burgernya laris di Kampung Utan Aji, Perlis. Siapa tak kenal Badrul, pemilik burger jenama Pusara Cinta. Burger yang paling sedap di kampungnya selepas jenama Ramly Burger.
“Burger daging special siap ! “ Badrul memekik sebaik sahaja order yang terakhirnya siap. Daging dan roti sudah habis. Minyak masak perlu di beli. Stok lama sudah pun habis. Hatinya puas, perniagaannya makin maju,baru setahun lebih bertapak tapi sudah buat duit beribu-ribu. Senyumannya tiba-tiba berubah saat dia terpandang plastik daging burger yang tertera nama “Pusara Cinta”. Matanya mula berkaca….”Maafkan abang sayang..maafkan abang….” Badrul merintih hiba.
………………………
Lima tahun yang lalu.
“Ya, aku ni peniaga kampung sahaja Tok Moh. Mana mampu ! Tolongla Tok Moh, kasi la saya minyak tu. Bagi murah lah. Tolonglah“
Badrul merayu-rayu. Kekasih hatinya, Intan Diana cuba memutuskan ikatan pertunangan. Ikatan yang dibina selama 5 tahun terlerai begitu sahaja dek kerana Intan Diana terpikat pada seorang lelaki yang hartawan semasa menuntut di universiti di Kuala Lumpur.

Hati Badrul remuk dan berkecai saat mengetahui akan hal itu. Dia tidak bisa berhadapan dengan masa depannya, yakni tanpa orang tersayang di sisi. Sementelah dia merupakan anak yatim, kehilangan ibu dan ayah semasa kecil lagi, kurang kasih sayang sehinggalah bertemu wanita idamannya.
Kini Badrul bertekad untuk memilih jalan yang salah, berjumpa bomoh dan bersekongkol dengan kesyirikan yang nyata. Memilih untuk menggunakan minyak pengasih untuk mengembalikan kekasih hati ke pangkuannya.
“Baik…aku bagi minyak pengasih tu….murah tapi kau kena ikat satu perjanjian,” Tok Moh bertegas.
Badrul tersenyum riang. Pujukannya berhasil. “Apa perjanjiannya Tok Moh?’ Badrul semakin tidak sabar untuk memiliki Intan Diana, satu-satu kekasih hatinya .
Tok Moh termenung jauh. “ Ada dua syarat. Syarat pertama, setiap 6 bulan sekali, bermula hari ini, kau mesti beri makan kepada ‘penjaga’ aku. Dan makanannya adalah darah segar dari tuan empunya minyak pengasih ini nanti . Dan syarat kedua, kau jangan sesekali langgar syarat pertama”
Senyuman Badrul menjadi kelat.
“Darah? Berapa banyak? Dan..err…” 
Belum sempat Badrul menghabiskan ayat, Tok Moh pantas memberikan Badrul satu mangkuk kecil, sebesar ibu jari.

“Owh, saya ingat nak sebaldi darah. Sikit je rupanya Tok Moh. Hahaha” Badrul ketawa gembira.
Tok Moh tetap dalam keadaan serius. “Aku nak ingatkan kau ni Badrul. Jika kau langgar syarat ni, padah menanti.” Tegas Tok Moh.
“Baik. Saya setuju dengan syaratnya”

“Ok, kalau begitu, kita mulakan sekarang prosesnya” Segera Tok Moh mengambil mangkuk dan pisau kecil yang telah dipanaskan dengan api lilin pada matanya dan dihulurkan pada Badrul. Badrul melekatkan hujung mata pisau pada pergelangan tangannya. Darah kelihatan menitis deras menuju ke dalam mangkuk kecil itu tadi.
Maka, bermulalah proses mengikat perjanjian dengan syaitan yang selalu menyesatkan kaum Adam. Mantera dibaca, hantu jembalang diseru. Seketika rumah Tok Moh bergoncang, bumbung seakan-akan mahu runtuh, kemudian darah Badrul dipersembahkan. Kilat sabung-menyabung, bagaikan mahu hujan. Bulu roma Badrul tegak berdiri. Takut tapi tekadnya yang kuat, dan niatnya mahu dicintai itu yang menguatkan semangatnya. Seketika, dia hanya memerhati sahaja perlakuan Tok Moh. Upacara itu selesai sebaik sahaja darah pada mangkuk kelihatan hilang.
“Nah, dia sekarang kepunyaan kamu.” Tok Moh menghulurkan sebotol minyak kecil, warna yang gelap kepada Badrul.
Badrul menerimanya dengan penuh kegirangan.

……………………………………
Setahun sudah berlalu.
Kebahagiaan Intan Diana dengan Badrul seakan-akan tidak akan pudar. Ikatan cinta mereka utuh. Seutuh binaan Taj Mahal di India. Mereka berdua bagaikan belangkas. Tidak berenggang walaupun sesaat. Mereka berniaga bersama-sama dengan menjual burger. Walaupun tidak sekaya borang lain, tapi dengan hasil jualan tersebutlah dia mampu bertahan sehingga sekarang.
“ Abang, sayang saya kan?’
“Mestilah !” Tegas Badrul apabila mendengar suara manja Intan Diana, isteri yang dikahwininya hampir setahun yang lalu.
‘Yelah, susah je aku ikat perjanjian nak dapatkan minyak tu’ Badrul bercakap di dalam hati. Kemudian, tidak semena-mena, Badrul teringat sesuatu. Hari ini genap bulan ke 6, dan dia perlu memberi makan kepada belaannya.
“Sayang jaga kedai dulu. Abang pulang ke rumah sekejap, sakit perut. Nanti abang datang balik.” Badrul memberikan alasan. Isterinya hanya mengangguk.
Badrul bergegas pulang, dan sampai sahaja di rumah, terus dia mengambil pisau dan berkurung seorang diri dalam bilik. Mangkuk diambil, pisau di sterilkan dengan api lilin, sambil membaca mentera, Badrul menghiris sedikit pada pergelangan tangannya dengan berhati-hati, dikhuatiri takut terputus urat nadinya. Darah menitik laju masuk ke dalam mangkuk.
Upacara seperti tahun yang lepas kini berulang demi memastikan perjanjian itu hidup dan bernyawa !
………………………………………
3 tahun berlalu.
Harini gerai burger Badrul dibuka seperti biasa bersama isterinya yang tercinta.
“ Ermm, genap harini 2 tahun sejak aku tidak memberinya makan. Entah-entah sudah tidak wujud benda ni. Tok Moh pun sudah lama aku tak jumpa. ” Badrul menggumam sendirian.
“Apa dia bang?” Intan Diana menegur dengan manja. Dia sudah lali dengan sikap suaminya yang suka bercakap sendirian.
“Erm, tak ada apa.” Jawab Badrul acuh tak acuh.
.
.

Angka menunjukkan pukul 11.45 malam. Gerai sejak dari awal lagi sudah ditutup. Badrul merasakan sesuatu. Hatinya berdebar-debar sejak dari pagi tadi lagi. Isterinya sedang nyenyak tidur, keletihan. Badrul masih lagi berada di atas katil, sukar untuk melelapkan mata. Tangan kirinya diletak atas dada, manakala tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Badrul kegelisahan.
Tiba-tiba, Badrul terdengar bunyi haiwan bersahut-sahutan. Diselang-seli bunyi seperti ngauman serigala. “
Woooooooooo….Wooooooooo”
Bunyi –bunyian ini memecahkan kesunyian dan keheningan malam. Peluh mula membasahi dahi, manakala tangan dan kaki Badrul terasa pijar seperti dibakar. Rasa panas kemudian datang menerpa di dada.
Kerana tidak tahan, Badrul segera berlari keluar dari rumah. Badannya terasa begitu panas membahang dan matanya mula berpinar. Badannya seakan-akan mahu meletup, sekejap mengembang dan sekejap terasa badannya memanjang .
Tiba-tiba terasa bulu mulai keluar dari setiap urat saraf dan liang roma. Rambutnya mula memanjang,bulu yang membaluti tubuhnya semakin lebat. Jari –jemarinya mula memanjang. Dadanya melebar, kakinya juga membesar ! Badrul berlari dengan laju sambil mengerang kesakitan. Giginya juga mulai meruncing, tumbuh bagaikan gigi seekor serigala jadian ! Badrul memecut laju, tangkas bagaikan seekor mawas menyelinap di celah-celah pokok di kawasan hutan kampungnya.
Sehingga azan subuh kedengaran, Badrul mula bertukar menjadi normal. Baju dan seluarnya yang koyak cepat-cepat ditukar sebelum dikesan isterinya . Perkara ini kekal menjadi sumpahan buat Badrul !
.
.

“Tok Moh ! Apa yang berlaku pada saya !” Badrul menjerit sebaik sahaja Tok Moh munculkan diri di sebalik pintu rumahnya. 
Tok Moh mendengus kemarahan. “Tok Moh, apa yang sedang berlaku?” Badrul mula mengendurkan suaranya apabila Tok Moh menjengilkan matanya.

“Kau bodoh ! Ingat tak perjanjian kau dengan makhluk tu ? Kau dah langgar perjanjian. Makhluk tu dah marah !“
Perjanjian syaitan antara Badrul dengan makhluk belaan Tok Moh sudah dilanggar. Bukan sekali Badrul tidak memberi makan, malahan sudah 2 tahun lamanya upacara pemberian darah tidak dilakukan oleh Badrul. Kini, makhluk belaan Tok Moh mengamuk dan cuba mengambil alih badannya. Setiap hari, jam 12 tengah malam sehingga subuh, makhluk tersebut akan cuba menjelmakan diri dengan memasuki badan Badrul !
“Aku sudah pesan awal-awal. Benda ni bukan main-main. Sekarang sumpahan ini akan kekal ! “ Tok Moh menjerit-jerit dan menyumpah dalam bahasa siam. Kelihatan Tok Moh kesal kerana mempercayai Badrul tidak akan melanggar perjanjiannya itu.
“Tok Moh, tolonglah saya, saya tidak sanggup bertukar jadi benda itu. Sangat sakit ! Kulit seperti terbakar dan daging terasa ditusuk dengan kaca.” Badrul merintih. Lagipun dia tidak sanggup bertukar setiap jam 12 dan terpaksa melarikan diri di celah-celah hutan. Bagaimana kalau orang kampung tahu? Habis lah dia nanti!
“Baiklah. Ada satu cara kau nak selesaikan masalah ini. Tidak ada cara lain dah” Tok Moh memandang wajah Badrul dengan penuh kesal.
……………………………………………
‘Teet, teet, teet ‘
Jam tangan digital Badrul berbunyi, menunjukkan angka sudah menginjak ke pukul 12 tengah malam. Lamunan Badrul terhenti . 
Kelihatan titisan air mata keluar dari hujung mata Badrul. Dicuba untuk menyembunyikan kesedihan dan kekesalannya, tapi tidak dapat dibendung. Air matanya dibiarkan mengalir. Perlahan-lahan dia menyapu air matanya dengan hujung lengan bajunya.

Setelah pelanggan terakhir tadi datang membeli, Badrul bersiap-siap untuk menutup gerainya. Sebelum dia berlalu pergi, dia melutut dan mengucup tanah di tepi gerainya.
“Selamat bersemadi di sini sayang, selamat malam, abang sayangkan kamu. Nanti esok kita berjumpa lagi. Kita jual bersama-sama macam biasa ya sayang”.
Air mata Badrul semakin laju mengalir….
-TAMAT -
Follow Facebook : Fakhri Zainuddin
Page : The Ngaji

Suntingan & Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: