Friday 6 October 2017

PERIGI EMAS - Atikah Che Yasin


PERIGI EMAS
by Atikah Che Yasin


“ Naik, naik, naik….!!!” Berkali-kali Tok Mat menyeru benda itu untuk naik. Manteranya baru sahaja habis dibaca. Kemenyan yang dibakar tadi diambil lalu dibawanya bekas berisi kemenyan yang berasap itu mengelilingi perigi.

Kawasan perigi lama itu agak sunyi namun itu tidak menggentarkan semangat Tok Mat. Dia sudah biasa dengan keadaan begitu. Apa guna jadi bomoh kalau takutkan tempat sunyi? Membayangkan habuan yang bakal diperolehinya nanti membuatkan semangatnya semakin kuat.
Jalil hanya memerhatikan sahaja kelakuan Tok Mat. Sekali- sekala dia menggosok hidungnya. Bau asap kemenyan menyengat hidung. Tidak selesa rasanya namun dia hanya memendamkan di dalam hati. Tok Mat sudah berpesan awal-awal agar dia tidak bersuara biar apa pun yang terjadi.
Kelihatan Tok Mat menjengukkan kepalanya ke dalam perigi itu. Dalam kesunyian itu Jalil dapat menangkap bunyi air perigi seperti dipukul oleh sesuatu. Bunyi seolah-olah ada objek yang sedang timbul dari dasar ke permukaan air dalam perigi. Berkocak keras bunyinya seolah-olah sesuatu sedang timbul naik dari dalam air.
Jalil membuntangkan matanya sebaik sahaja dia melihat objek yang terapung di tengah-tengah perigi di hadapannya. Sah! Itulah yang dinantikannya. Habuan yang bakal mengubah nasib hidupnya. Di bawah cahaya bulan itu jelas kelihatan tempayan bersaiz sederhana itu dipenuhi dengan emas. Hati Jalil melonjak gembira. Ternyata perhitungannya untuk meminta tolong Tok Mat berbaloi. Habuannya akan dibahagi dua nanti.
Kelihatan Tok Mat bertungkus-lumus untuk mengeluarkan emas itu daripada perigi. Namun usahanya itu bukanlah mudah. Berkerut-kerut muka Tok Mat. Mantera terus dibaca. Jalil menjarakkan dirinya daripada perigi itu. Kini tempayan itu terapung-apung di depannya. Jalil melihat Tok Mat semakin penat.
Mungkin tenaga Tok Mat merundum sejak dari mula upacara dijalankan. Sampai saja tadi, Tok Mat memulakan upacara dengan bersilat disekeliling perigi itu. Silat yang dilakukan bukan biasa-biasa. Tok Mat bersilat untuk melawan “makhluk-makhluk” lain di kawasan tersebut. Katanya penting supaya tiada yang mengganggu kerja mereka.
Walaupun tidak ramai yang tahu tentang kewujudan Perigi Emas itu, namun segelintir yang mengetahui kewujudannya bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan emas di dalamnya. Sengaja mereka membiarkan segala jenis jin peliharaan masing-masing untuk tinggal di tempat itu. Tujuannya adalah untuk menggagalkan usaha orang yang cuba mendapatkan emas dari perigi tersebut.
Kelihatan tempayan itu mulai turun kembali ke dalam perut perigi. 
“Jalil, kau pegang tempayan tu. Jangan lepaskan!,” ujar Tok Mat. Jalil kelihatan teragak-agak.

'Pegang? Silap-silap aku terjatuh pula' detik hati Jalil.
“ Cepat pegang!” desak Tok Mat.
Jalil tiada pilihan. Dia terpaksa lakukan sesuatu sebelum tempayan itu tenggelam semula. Peluang itu hanya datang sekali sahaja. Jalil membongkokkan badannya dan menjenguk ke dalam perigi. Tangannya dihulurkan ke dalam perigi itu untuk mencapai tempayan yang mulai turun perlahan-lahan.
“ Ahh, tak sampailah pulak.” Jalil menjingkitkan sedikit kakinya. Dia berjaya mencapainya.
Tok Mat meneruskan bacaan mantera.
Jalil mula membayangkan segala kemewahan yang bakal diperolehinya nanti hasil daripada harta itu. Dia sudah jemu hidup susah. Sudah jemu makan nasi berlaukkan ikan masin setiap hari. Oleh kerana terlampau dibuai perasaan, Jalil tidak sedar bahawa badannya semakin di tarik ke dalam perigi itu. Kakinya tidak lagi berpijak di tanah. Dia hanya menyedari hal itu apabila dia merasakan badannya tidak seimbang.
Dushhh!!
“ Tok Mat, tolong saya” Jerit Jalil.
Tiada respon.
Tok Mat seolah-olah tidak mendengar jeritan Jalil. Mulutnya terkumat-kamit kusyuk membaca mantera sambil mengelilingi perigi itu.
Jalil meronta-ronta, dia cuba menggagau dinding perigi itu untuk berpaut namun dinding perigi itu hanya berlapik lumut. Dia sudah tidak ghairah lagi dengan emas tersebut. Hanya ketakutan yang dirasainya sekarang.
“ Tolong, tolong!” Jalil menjerit sekuat hati meminta tolong. Perit dan loya kerongkongnya akibat tertelan air perigi yang bercampur lumut. Jeritan suara Jalil memecah keheningan tempat itu. Namun lama-kelamaannya suaranya tenggelam, tidak lagi kedengaran. Tok Mat menjenguk ke dalam perigi. Dia tersenyum sinis apabila melihat jasad Jalil tidak lagi kelihatan.
Upacara diteruskan dengan bacaan manteranya. Sekali-sekala dia menyuakan asap kemenyan ke arah perigi. Sekali lagi kelihatan tempayan berisi emas itu naik semula dengan perlahan-lahan. Tok Mat tersenyum. Akhirnya emas itu menjadi miliknya seorang setelah korban manusia yang di minta oleh penunggunya.
“ Jalil, Jalil. Tak sangka kau ni lurus bendul sangat,”
Tok Mat bersiul-siul gembira membawa tempayan itu pulang. Sebelum tidur, dia memeriksa tempayan tersebut untuk melihat emas-emasnya. Sedang dia menyeluk tangannya ke dalam tempayan itu, tiba-tiba tangannya terasa digigit sesuatu. Dia merespon pantas dengan menarik tangannya. Objek yang berupa kepala manusia itu sedang menggigit tangannya.
“ Jalil !!!???”
Objek yang menggigit tangan Tok Mat itu tersenyum menyeringai terhadapnya. Tok Mat meraung minta dilepaskan tetapi sia-sia sahaja. Objek yang menyerupai kepala Jalil itu semakin rakus membenamkan gigi-giginya yang tajam ke dalam daging sehingga ke tulang terasa. Di siat-siat isi tangan lelaki tua itu. Darah Tok Mat semakin banyak keluar, namun dia tidak berputus asa untuk melepaskan diri.
Dibacanya segala mantera yang menjadi amalannya selama ini. Namun kesakitan yang dialaminya akibat kerakusan Jalil menyiat-nyiat isi dagingnya membuatkan segala manteranya berterabur. Tok Mat semakin tidak keruan apabila merasakan bahawa dirinya sedang disedut ke dalam tempayan itu.
Dia meronta-ronta meminta dilepaskan. Warasnya yang masih bersisa membuatkan dia bertindak menunjal-nunjal kepala Jalil menggunakan tangannya yang lagi satu. Namun sia-sia.
Mata Jalil membuntang merah merenung Tok Mat seolah-olah memukau mangsanya supaya tenggelam ke dalam alamnya.Tok Mat merasakan dirinya semakin lemah. Akhirnya Tok Mat tewas.Terkulai layu dan tidak bernyawa lagi.
Beberapa minggu kemudian….
Penemuan aneh di sebuah rumah yang terletak di hujung kampung menggemparkan penduduk setempat. Skulptur emas yang berupa susuk badan manusia ditemui secara tidak sengaja oleh sekumpulan anak muda yang menebang buluh di hutan berdekatan rumah itu.
Menurut penduduk setempat mereka tidak tahu langsung tentang kewujudan rumah itu di kampung mereka. Berita tentang penemuan tergempar itu tersebar ke seluruh pelusuk tanah air. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin menyaksikan sendiri skulptur emas yang separuh badannya di dalam tempayan usang. Pihak berkuasa terpaksa mengawasi tempat itu bagi memastikan orang awam tidak masuk dekat ke ruangan skulptur itu.
Skulptur emas misteri ini juga telah menarik minat ramai termasuk ahli-ahli arkeologi dari dalam dan luar negara. Beberapa rujukan dari pelbagai pakar menunjukkan bahawa susuk tubuh skulptur itu terdiri daripada seratus peratus emas tulen kecuali rambutnya sahaja mempunyai DNA manusia.
Sejurus itu tersebar, kisah misteri skulptur emas ini berkemungkinan betul-betul manusia yang disumpah menjadi emas. Walaubagaimanapun , tiada seorang pun yang dapat mengesahkan kesahihan khabar angin tersebut. Sehingga kini ia hanya kekal simbolik misteri yang mempunyai seribu satu persoalan.
Usaha dilakukan untuk memindahkan objek tersebut ke muzium tetapi tidak berjaya. Objek itu tidak dapat dialihkan seolah-olah memberi gambaran bahawa ia ingin ' tinggal ' di rumahnya bukan di muzium. Akhirnya pihak kerajaan mewartakan tempat itu sebagai hak milik kerajaan dan dibangunkan sebagai tempat perlancongan. Sehingga ke hari ini tiada sesiapapun yang dapat merungkai misteri penemuan aneh tersebut.
Cuba teka di mana lokasi Perigi Emas itu?
--------------------
Karya : Atikah Che Yasin​
Suntingan Karya & Gambar : #kamenrider

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: