Sunday 8 October 2017

PEMAKAN DAGING - Suzie Aziz


PEMAKAN DAGING
Karya: Suzie Aziz

*****
Percutian kali ini membawa empat sekawan jauh ke dalam hutan. Ditemani seorang penunjuk arah jalan mereka yang meredah laluan sukar dalam misi menawan air terjun Menggala. Air terjun yang dikatakan antara yang tertinggi dan tercantik di Asia.
Rin, Aish, Yan dan Muni. Empat sahabat sehidup semati. Mereka mencintai dunia pendakian dan perkhemahan. Sudah beratus tempat dijelajah dalam memenuhi keinginan mereka. Dalam usia menginjak lewat 30an, soal kahwin langsung tidak pernah difikirkan.
“Rin, jauh lagi ke tempat tu? Ni dah nak masuk tengahari ni.” Yan mencuit lengan Rin. Peluh yang mengucur di dahi dikesat dengan belakang tangan.
Rin menoleh sekilas sebelum melaung nama Amir. Penunjuk arah berusia awal 30an itu berhenti. Keningnya yang lebat diangkat.
“Jauh lagi ke tempat tu?”
Amir melihat jam di tangan. “Kalau kita naik bas dalam 10 minit lagi sampailah.”
Akibatnya Amir terpaksa melarikan diri apabila dikejar sekumpulan gadis yang geram dengan gurauannya.
Matahari kian condong ke barat. Sewaktu mereka mendaki satu tebing berbatu, telinga mereka menangkap bunyi deburan air yang mengasyikkan. Aish, Yan dan Muni meluru ke hadapan, meninggalkan Rin dan Amir di belakang. Rin hanya mampu mengelengkan kepala melihat ulah rakan-rakannya itu. Macam budak-budak, getus hatinya.
“Tu budak-budak tadika ke yang akak bawak berkhemah ni?” Amir bercekak pinggang di atas batu sambil melihat telatah tiga orang gadis lewat usia yang riang bermain simbah-simbah. Rin menyiku pinggang anak muda itu. Meletus tawa besar Amir menghinggari kesunyian hutan. Tanpa mereka ketahui tidak jauh dari situ terdapat satu papan tanda yang terlindung oleh akar-akar yang menjalar. Tertulis di atas papan itu satu amaran yang menggerunkan:
TINGGALKAN TEMPAT INI SEBELUM MALAM MENJELMA
KETIKA CAHAYA BERTEMU CAHAYA
JANGAN SAMPAI JADI MANGSA

Amir menghidupkan unggun api. Tiga buah khemah telah didirikan. Rin membantu Amir menyediakan hidangan makan malam. Sekadar sardin yang dipanaskan dan nasi putih.
Yan, Aish dan Muni masih lagi berendam di dalam sungai. Rin terpaksa mengalah akibat tidak tahan dengan kesejukan air dari gunung itu.
“Wei, korang. Dahlah tu. Tak sejuk ke berendam lama-lama?”
“Mana ada sejuk. Best la. Bukan senang nak mandi kat air terjun yang cantik ni.” Aish menyimbah air ke arah Rin. Nasib baik kedudukan Rin agak jauh, jika tidak pasti lencun bajunya terkena air sungai. Namun sedikit percikan terkena wajahnya. Rin menjelirkan lidah ke arah Aish. Mengejek.
Rin duduk di sebelah Amir. Anak muda itu sedang menjerang air. Di tangannya sebuah kole besi besar terisi dengan gula dan teh.
“Amir dah mandi?”
“Dah kak.”
“Mandi kat mana? Tak nampak pun dalam sungai tadi.”
Amir meletakkan kole yang dipegangnya atas seketul batu leper. Air panas yang baru menggelegak dituang ke dalam kole. Sebatang sudu besi dicapai sebelum air teh dikacau perlahan. “Saya mandi kat resort belakang tu. Bayar singgit je.”
“Resort? Kat sini ada resort ke? Kenapa tak cakap? Kan se-”
Rin menghentikan bebelannya apabila terlihat senyum yang tersungging di hujung bibir Amir. Terus ditumbuknya bahu anak muda itu.

“Asyik nak bergurau je.”
“Hehe bosanlah kalau asyik serius je kak.” Amir melihat jam di tangannya. “Kak Rin, baik akak suruh kawan-kawan akak naik sekarang. Esok pun boleh sambung mandi lagi.”
“Baik bos.” Rin meletakkan tangan di dahi sebelum bangun dan berjalan menghampiri sungai. Dia tidak melihat perubahan yang berlaku pada raut wajah Amir.
Bunyi cengkerik kian galak melatari suasana hutan yang beransur gelap. Yan, Aish dan Muni masih lagi bergurau senda di dalam air. Mereka benar-benar menikmati kesejukan air sungai yang mengalir sambil memandang air terjun Menggala yang tinggi menjulang. Tanpa mereka sedari ada sesuatu sedang bergerak di dasar sungai menuju ke arah mereka. Sesuatu yang sangat kecil.
“Muni, tengok sini.”
Muni berpaling apabila Yan memanggil namanya. ”Ap-”
Belum sempat dia bertanya, satu simbahan air yang besar singgah dimukanya. Muni tertelan air sungai. Terbatuk-batuk dia dibuatnya. Marah dengan pelakuan Aish dan Yan, Muni menerpa kedua kawannya dan berjaya membenam Yan ke dalam air. Aish terkekel ketawa apabila melihat Yan tercungap-cungap menghirup nafas. Dia juga terbatuk-batuk akibat tertelan air sungai.
Rin sedar, dia perlu meleraikan kawan-kawannya. Pantas dia menyuruh ketiganya naik. Muni mencuka sewaktu memanjat batu untuk keluar dari sungai. Sewaktu kelima-lima mereka duduk mengelilingi unggun api, tiada sebarang suara yang keluar. Masing-masing menikmati makan malam dalam keadaan sepi. Di langit bulan mula muncul, menyimbahkan cahayanya ke permukaan sungai. Namun keindahan itu langsung tidak menarik minat mereka.
“Korang ni dah kenapa. Macam tersampuk penunggu gua aje.” Rin bersuara memecah kesunyian.
Entah kenapa Muni menghempaskan pinggan sebelum berlalu masuk ke dalam khemah. Tindakan Muni benar-benar mengejutkan mereka bertiga. Amir sekadar menjadi pemerhati. Dia tidak mahu masuk campur urusan keempat sahabat itu.
Rin memandang Aish dan Yan silih berganti. Keduanya hanya mengangkat bahu. Rin mendengus. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dihambur amarah yang membungkam di dada. Sebal hatinya bila percutian kali ini dicemari dengan aksi bermasam muka rakan-rakannya. Ketika Rin mencapai pinggan Muni yang terlungkup di atas tanah, satu raungan kedengaran memecah kesunyian. Muni!
Rin menerpa khemah yang tertutup. Belum sempat tangannya mencapai zip, pintu khemah terbuka dari dalam. Muni tergolek keluar. Dia berguling-guling di atas tanah.
“Sakit!”
“Rin, tolong aku Rin. Sakit!”
Muni mengerengkok atas tanah. Rin dan Aish cuba membalikkan tubuh Muni sementara Amir menggeledah beg sandangnya mencari peti pertolongan cemas. Yan hanya mampu terpaku menyaksikan kejadian yang tak disangka-sangka berlaku.
“Sakit!!”
Muni meraung-raung kesakitan. Habis khemah terbalik ditendangnya. Apabila Rin dan Aish berjaya memusingkan badan Muni, keduanya jatuh terduduk. Mulut mereka tenganga. Dalam samar cahaya bulan, mereka melihat darah mengalir dari mata, hidung dan mulut Muni. Darah merah pekat dan berbau hanyir. Muni memegang perutnya. Amir meluru mendapatkan Muni setelah menjumpai peti pertolongan cemas. Dia mengarahkan Rin dan Aish supaya memegang kaki dan tangan Muni. Rin dan Aish akur. Mereka terpaksa mengerah segenap tenaga untuk menahan tubuh Muni daripada meronta-rota. Tanpa meminta izin, Amir menyelak baju Muni di bahagian perut.
“Ya Allah. Apa benda tu?”
Amir mengengsot menjauhi Muni. Rin dan Aish turut melihat ke arah perut sahabat mereka yang sedang meraung kesakitan. Jelas di hadapan mata mereka, perut Muni tenggelam timbul seperti ada sesuatu yang sangat banyak sedang bergerak-gerak di dalam perutnya. Rontaan Muni semakin kuat. Rin dan Aish terpaksa melepaskan pegangan masing-masing. Dalam keadaan yang tegang itu, keempat-empat mereka hanya mampu memandang Muni yang menggelupur seperti cacing kepanasan.. Aish dan Yan sudah berendam air mata. Rin menggetap bibir. Entah makhluk apa yang sedang mengganas di dalam badan Muni.
“Arghhhhh!!!”
Kepala Muni terdongak. Darah menyembur dari mulutnya yang ternganga luas. Tubuhnya tiba-tiba meregang. Tidak sampai sepuluh saat, segalanya berakhir. Muni kaku tidak bergerak.
“Muni!!!” Rin ingin menerpa mendapatkan Muni namun pergerakannya terbantut bila lengannya disambar Amir.
“Kak Rin, tengok.”
Rin memandang arah yang ditunjukkan Amir. Perut Muni yang bergerak-gerak sebentar tadi mula merekah. Ada sesuatu yang hitam kelihatan menguit-guit keluar. Bukan satu atau dua tetapi banyak. Kelihatan seperti lintah tetapi lebih besar. Makhluk itu semakin banyak keluar dari perut dan mulut Muni yang ternganga dan mula merayap-rayap di atas badan yang kaku itu. Dalam sekelip mata, tubuh Muni diseliputi makhluk seperti lintah itu. Bunyi seperti kunyahan yang kasar memecah kesunyian malam. Tidak sampai beberapa saat, jasad Muni hanya tinggal rangka. Yan memeluk Aish. Dia menggigil ketakutan selepas melihat apa yang berlaku kepada Muni.
Amir mencapai lampu picit di dalam beg galasnya. Minyak tanah yang masih berbaki dituang ke atas jasad Muni. Rin cuba membantah namun akur bila menyedari tindakan Amir adalah betul.
Rin mencapai puntung kayu dari unggun api. “Maafkan aku Muni.”
Api pantas menyambar tubuh Muni yang masih dihurung makhluk pemakan daging itu. Terdengar bunyi teriakan halus yang membingit. Amir mencuit lengan Rin.
“Kita kena keluar dari tempat ini. Cepat!”
“Tapi barang-barang kita?” Aish cuba membantah.
“Tak ada masa. Tengok sana tu.”
Rin, Yan dan Aish berpaling ke arah sungai. Dalam limpahan cahaya bulan, kelihatan hamparan hitam bergerak-gerak menghampiri tapak perkhemahan mereka. Bunyi pekikan yang bingit menghinggari kesunyian hutan. Tanpa berlengah, mereka berlari meninggalkan tempat itu. Dengan hanya berpandukan lampu picit di tangan Amir, mereka terpaksa bergerak berhati-hati. Bimbang tergelincir ke dalam gaung yang curam. Bunyi teriakan halus semakin mendekat.
Rin semakin cemas. Mereka bergerak dalam keadaan berbaris. Aish memegang baju Amir, Yan memegang baju Aish dan Rin di belakang sekali. Ketika mereka cuba mendaki satu tebing, Yan tiba-tiba jatuh berguling-guling. Keadaannya sama seperti Muni. Amir menyuluh Yan yang sedang mengerengkok di atas tanah. Darah mengalir dari rongga di wajahnya. Amir mencapai tangan Rin yang terpaku melihat Yan yang meraung kesakitan. Segera ditariknya gadis itu.
Rin teresak menangis. Dia tak sanggup menghadapi kehilangan sekali lagi. Tapi apa dayanya. Nyawanya harus dipertahankan. Amir menyuluh Yan buat kali terakhir.
“Riiinnnn. Tolong aku…”
Sayu suara Yan meminta simpati. Dalam kesakitan yang tak tertanggung dia merangkak cuba mendaki tebing, namun belum sempat tangannya mencapai akar yang berselirat, tubuhnya terlebih dahulu dikerumuni makhluk pemangsa pemakan daging.
Rin berlari meninggalkan tempat itu. Kedua tangannya memekup telinga. Tidak sanggup mendengar bunyi kunyahan kasar disaat tubuh rakannya dimamah makhluk durjana itu.
“Amir, makhluk apa tadi tu?” dalam kepekatan malam, Rin mendengar suara Aish bertanya kasar. “Kenapa kau tak bagitau kami pasal benda tu?”
Lama dia menunggu Amir bersuara. Cahaya lampu di tangannya bergerak kiri dan kanan mengikut rentak lariannya.
“Benda tu sepatutnya dah berhenti kejar kita.” Amir bersuara perlahan. Dia langsung tidak menjawab soalan Aish.
“Apa maksud kau, sepatutnya dah berhenti kejar kita?”
“Dengar!”
Rin dan Aish memasang telinga. Benar seperti kata Amir. Bunyi pekikan halus sayup-sayup kedengaran di belakang mereka.
“Aku rasa benda tu masih ada dalam badan salah seorang dari kita. Kemungkinan besar ratu mereka. Makhluk ni takkan berhenti selagi mereka tak dapat ratu mereka.”
Aish berhenti tiba-tiba. Rin yang tidak nampak tindakan Aish melanggarnya dan kedua mereka jatuh tergolek. Amir yang tidak menyedari apa yang berlaku kepada dua gadis itu meneruskan larian.
“Amir, tunggu!”
Laungan Rin menghentikan langkah Amir. Dia berpatah balik mendapatkan Rin dan Aish.
“kenapa ni? Kenapa berhenti?” Amir menyuluh wajah keduanya. Aish kelihatan tidak keruan. Air mata kian lebat membasahi pipinya. Rin memeluk Aish erat. Dia juga kelihatan cemas.
“Aku taknak mati…aku taknak mati…Rin, aku taknak mati Rin.”
“Kak Rin kita kena cepat.” Amir terpaksa menarik tangan Aish. Memaksanya bangun. Suara pekikan halus semakin mendekat. Rin bingkas, turut menarik tangan sahabatnya yang menggigil ketakutan.
Larian diteruskan. Dalam kegelapan malam sangat sukar untuk bergerak pantas, ditambah permukaan tanah yang berbatu dan tidak rata. Amir semakin resah. Dia sedar lambat laun makhluk yang kelaparan itu akan mendapatkan mereka. Beberapa kali dia terpaksa berhenti dan menarik tangan Aish yang kelihatan enggan berlari. Gadis itu hanya berjalan terbata-bata. Rin di belakang kelihatan semakin cemas.
“Amir, akak rasa benda tu dah ada kat belakang kita. Kita nak buat apa ni Mir?”
Amir memikirkan sesuatu. ”Kak Rin, datang sini kejap.”
Rin menghampiri Amir. Ditinggalkan Aish sementara dia bercakap dengan Amir.
“Ada apa Mir?”
“Kak Rin, saya minta maaf.”
Rin mengerut kening. ”Kenapa mintak maaf ni Mir?”
Amir tidak berkata apa-apa. Secara tiba-tiba dia meluru ke arah Aish dan belum sempat Rin menghalang, tubuh Aish ditolaknya ke arah makhluk pemakan daging itu. Jeritan Aish bergema sewaktu tubuhnya disambar makhluk seperti lintah itu. Rin yang langsung tidak menyangka tindakan anak muda itu, tergamam.
Amir terus menarik tangan Rin, membiarkan gadis itu memaki hamunnya. Dia sedar apa yang dilakukannya sangat kejam namun dia tiada pilihan. Keaadan Aish meletakkan mereka berdua dalam bahaya. Jeritan terakhir Aish bergema sayup sebelum segalanya senyap.
Mereka terus berlari walau sesekali mereka terpaksa menggelongsor dan mendaki. Rin masih belum berhenti memaki hamun Amir. Hatinya terlalu sakit dengan tindakan anak muda itu. Namun jauh di sudut hatinya dia benar-benar berharap makhluk itu tidak lagi mengejar mereka.
“Ada satu kepercayaan tentang makhluk ni.” Amir bersuara, cuba memancing perhatian Rin. “Menurut orang-orang lama yang tinggal di kawasan ini, makhluk pemakan daging tu hidup di dasar sungai berdekatan air terjun. Aktif hanya pada waktu malam. Bila ia masuk ke dalam badan haiwan atau manusia, ia akan membesar sepuluh kali ganda dari saiz asalnya dan mula makan daging mangsanya dari dalam. Saya syak kawan-kawan akak dah terminum air sungai sebelum mereka keluar dari sungai tu”
Rin mendengus. ”Dah tu. Kenapa masih bawak kami ke situ?”
“Sebab sebelum ni kejadian ni tak pernah berlaku. Baru minggu lepas saya bawa campers bermalam di situ.” Apa yang diterangkan Amir langsung tidak menarik perhatiannya. Hatinya masih sakit dengan pelakuan anak muda itu. Ketika menuruni satu tebing yang agak tinggi, Rin tergelincir dan terjatuh. Kakinya terhentak seketul batu. Dia meraung kesakitan. Amir cemas melihatkan keadaan Rin.
“Kak Rin. Tahan sikit. Kita dah tak jauh dah.” Amir mengangkat tubuh Rin. Tangan Rin diletakkan di atas bahunya. Rin menggigit bibir. Air matanya mengalir menahan kesakitan. Rin terasa sayu. Sakit yang sebegini pun tidak mampu ditanggungnya, apatah lagi kesakitan yang terpaksa dilalui sahabat-sahabatnya sewaktu menjadi mangsa makhluk itu.
“Amir, akak rasa baik Amir tinggalkan akak kat sini. Amir pergilah selamatkan diri.”
“Kak Rin jangan cepat mengalah. Makhluk ni tak boleh jauh dari air. Lepas aje jambatan yang kita lalu pagi tadi kita akan selamat. Bertahan ya.”
Rin terpaksa membius kesakitan yang semakin menjalar. Ya, dia harus bertahan.
“Amir, benda tu masih mengejar kita. Akak…akak takut Mir.” tangisan Rin pecah. Bunyi bingit yang terhasil dari makhluk pemakan daging semakin jelas di telinga. Dia tahu dalam keadaan sekarang dia hanya akan melambatkan pergerakan mereka berdua. Tetapi dia tak sanggup membayangkan untuk tinggal menunggu ajal dengan cara sekejam itu. Walaupun baru sebentar tadi dia meminta Amir meninggalkannya di situ. Setelah agak lama mendiamkan diri, Amir tiba-tiba berhenti.
“Kak Rin. Lepas je pokok besar tu akak akan jumpa tebing. Akak kena turun tebing tu sebelum akak jumpa jambatan yang kita lalu pagi tadi.” Amir menyuluh sebatang pokok besar yang berada kira-kira tiga meter dari tempat mereka berdiri. Amir menurunkan lengan Rin dari bahunya sebelum menyerahkan lampu picit.
“Kak Rin, kalau jumpa isteri saya bagitau dia saya mintak maaf. Kalau selepas ni benda tu masih mengejar, Kak Rin tahu apa perlu dibuat. Jangan sampai makhluk tu keluar dari hutan ini” Amir tersenyum sebelum berpusing mengadap arah mahkluk itu datang. Rin menggertap bibir. Dia tak sangka Amir sanggup menggadaikan nyawa untuknya.
“Terima kasih Mir.” Rin meneruskan perjalanan dalam keadaan terhincut-hincut. Ketika dia menuruni tebing, telinganya menangkap bunyi kunyahan kasar sewaktu makhluk itu melahap tubuh Amir. Rin menangis.
Dalam keadaan susah payah, Rin akhirnya berjaya menuruni tebing. Segera dia mendapatkan jambatan yang berada kira-kira lima meter darinya. Kakinya yang cedera terpaksa diseret. Ketika dia hampir sampai ke jambatan, dia terdengar bunyi bingit yang sangat ditakutinya. Langkahnya terhenti. Jantungnya berdegup laju. Adakah ini bermakna…
“Makhluk ni takkan berhenti selagi mereka tak dapat ratu mereka.”
“Jangan sampai makhluk tu keluar dari hutan ini.”

Terngiang-ngiang kata-kata Amir dibenaknya. Rin merenung jambatan yang berada di hadapan. Jambatan yang memisahkan kematian yang sedang mengejarnya dan kematian yang menunggu lebih ramai manusia di luar hutan ini. Rin sedar jika dia keluar dari hutan itu, dia akan membawa bersama ratu makhluk pemakan daging. Bila tiba masanya sang ratu akan keluar dan membiak di kawasan manusia. Perlukah dia mengorbankan dirinya? Sedangkan dia telah berusaha sejauh ini untuk selamatkan diri.
Dia menyuluh ke belakang. Kelihatan makhluk pemakan daging itu meliuk-liuk menuruni tebing. Tak ubah seperti sekumpulan lintah yang kelaparan. Rin menutup mata. Terbayang wajah ibubapa, sahabatnya dan Amir. Ketika makhluk itu kian hampir, Rin menoleh ke arah jambatan.
Dalam keadaan susah payah, Rin akhirnya berjaya menuruni tebing. Segera dia mendapatkan jambatan yang berada kira-kira lima meter darinya. Kakinya yang cedera terpaksa diseret. Ketika dia hampir sampai ke jambatan, dia terdengar bunyi bingit yang sangat ditakutinya. Langkahnya terhenti. Jantungnya berdegup laju. Adakah ini bermakna…
“Makhluk ni takkan berhenti selagi mereka tak dapat ratu mereka.”
“Jangan sampai makhluk tu keluar dari hutan ini.”

Terngiang-ngiang kata-kata Amir dibenaknya. Rin merenung jambatan yang berada di hadapan. Jambatan yang memisahkan kematian yang sedang mengejarnya dan kematian yang menunggu lebih ramai manusia di luar hutan ini. Rin sedar jika dia keluar dari hutan itu, dia akan membawa bersama ratu makhluk pemakan daging. Bila tiba masanya sang ratu akan keluar dan membiak di kawasan manusia. Perlukah dia mengorbankan dirinya? Sedangkan dia telah berusaha sejauh ini untuk selamatkan diri.
Dia menyuluh ke belakang. Kelihatan makhluk pemakan daging itu meliuk-liuk menuruni tebing. Tak ubah seperti sekumpulan lintah yang kelaparan. Rin menutup mata. Terbayang wajah ibubapa, sahabatnya dan Amir. Ketika makhluk itu kian hampir, Rin menoleh ke arah jambatan.
*****
Perak - Misteri kehilangan empat orang wanita dan seorang lelaki di hutan simpan Menggala masih belum terungkai. Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan selepas dua minggu. (Harian Metro)
Malam ini bulan mengambang penuh. Di sebuah bilik hotel murah, seorang wanita lewat 30-an sedang mengerengkot kesakitan. Darah merah pekat mengalir dari rongga di wajahnya. Kelihatan perutnya tenggelam timbul seperti ada sesuatu yang besar sedang bergerak-gerak.
Tangannya terketar-ketar menarik sebuah pistol dari beg sandang. Dihalakan muncung pistol yang dilengkapi silencer ke perutnya. Dia memejam mata. Cukuplah sesalan yang terpaksa ditanggungnya kerana meninggalkan hutan dan membawa bersama makhluk ganas ke tengah ibu kota. Biarlah malam ini segalanya berakhir.
Di saat kesakitan sudah tidak tertanggung lagi, dia menarik picu dan satu das tembakan dilepaskan.
Rin terkapar di atas katil. Perutnya terburai bersama-sama ratu pemakan daging yang terputus dua. Di saat nyawanya hampir pergi meninggalkan jasad, kedengaran bunyi pekikan halus menjauhi katil dan menuju ke bilik air.
-Tamat-
*****
Suntingan: #kamenrider
Gambar: Wan SC

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: