Wednesday 25 October 2017

OMBAK - Xander Xavier


Ombak
Karya: Xander Xavier

=========================
1703, Selat Melaka

Berlayarlah seorang pendekar di atas sebuah kapal dagang milik orang kaya daripada Tanah Acheh. Hasratnya ingin membawa hati yang luka ke tempat orang bagi mencari kedamaian. Hati yang hancur akibat wanita ini harus segera dikembalikan kepada pemilik abadi. Dia mengambil keputusan untuk mendalami ilmu agama. Dia akan kembali ke madrasah yang pernah menjadi rumahnya suatu ketika dahulu. Seorang kiai akan menunggunya apabila dia tiba di Acheh nanti.
Zulkarnain nama asalnya. Digelar Pendekar Nain kerana dia hebat dalam ilmu persilatan. Lelaki berusia 35 tahun itu banyak mencurahkan ilmu kepada anak-anak muda sewaktu di Melaka dahulu. Dia berdiri di atas pelantar menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Matahari yang sudah mula terbenam memancarkan cahaya kejingaan membuktikan kehebatan Ilahi mencorak langit senja. Zulkarnain masih di situ. Dia disapa oleh lelaki tua daripada belakang.
“Nak Nain, bolehkah kamu mengimamkan budak-budakku untuk solat malam ini? Badanku yang tua ini terasa sakit sekali,” sungguh orang tua itu menghormati Zulkarnain. Dia pernah diselamatkan oleh Zulkarnain sewaktu di kepung oleh kumpulan perompak ketika berada di Melaka beberapa bulan yang lalu.
“Baiklah Pak Saudagar. Mari kita ambil wudhuk. Lagi pula, sebentar lagi sudah masuk waktu maghrib. Biar saya tolong Pak Saudagar,” Zulkarnain memimpin tangan pak tua itu.
Suratan takdir sudah tertulis, Pak Saudagar meninggal dunia di dalam sujud maghribnya. Kapal diambil alih oleh anak Pak Saudagar yang sangat berbeza dengan bapanya. Mungkin kerana dia dimanjakan dengan kemewahan menyebabkan segala sifat Malik sangat bertentangan dengan Pak Saudagar. Dia merasakan dirinyalah yang paling berkuasa. Tiada sedikit pun air mata dititiskan atas pemergiaan Pak Saudagar. Dia menghampiri Zulkarnain yang masih merenung jasad Pak Saudagar.
“Hei orang asing, kau tiada kena-mengena dengan kami. Aku hairan, bagaimana bapaku bisa membenarkanmu ikut bersama kami tanpa sedikit pun bayaran. Apa yang kau punya sekarang adalah milikku. Berikan !” Malik duduk mencangkung di sebelah Zulkarnain.
“Sungguh demi Tuhan yang Maha Agung, aku tidak punya apa-apa selain daripada pakaianku. Mari kita uruskan jasad Pak Saudagar dahulu. Diakan ayahmu,” Zulkarnain merayu kepada Malik. Dia tidak sanggup melihat jasad orang baik seperti Pak Saudagar dibiarkan oleh anaknya sendiri.
“Ah ! Peduli apa aku ! Kau tidak layak berada di atas kapal ini tanpa sebarang bayaran. Kau mahu aku uruskan dia ? Tidak ! Dia boleh ikut denganmu keluar daripada kapal ini !” Malik menengking dan mengherdik.
Beberapa anak kapal mengepung Zulkarnain dan jasad Pak Saudagar. Mereka menyerbu ke arahnya. Berkali-kali tendangan dan tumbukan daripada anak-anak kapal itu ditepisnya. Tidak sekali pun serangan anak-anak kapal berjaya menyentuh Zulkarnain. Namun, dia terpaksa mengalah apabila jasad Pak Saudagar sudah dihanyutkan di dalam sampan kecil yang dilepaskan oleh Malik dan beberapa orang pembantunya.
Dia terjun ke dalam lautan. Dinginnya menusuk hingga ke tulang hitam. Zulkarnain mengagahkan dirinya berenang ke arah sampan Pak Saudagar yang teroleng-oleng dipukul ombak kecil. Segala tenaga dikerahnya. Akhirnya, Zulkarnain berjaya naik ke sampan Pak Saudagar. Jasad Pak Saudagar masih di situ. Dia mengucapkan rasa syukur walaupun mereka sudah tidak berada di atas kapal lagi, tapi mereka masih selamat. Zulkarnain masih hidup dan jasad Pak Saudagar masih utuh.
Kedengaran sorak-sorai Malik dan anak-anak kapal yang lain daripada atas kapal. Semakin lama, mereka semakin berjauhan antara satu sama lain. Zulkarnain tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Malam semakin pekat. Lautan pula sangat hitam. Dia bermunajat kepada Allah SWT. Memohon pertolongan daripada-Nya. Bibirnya sentiasa dibasahi dengan Zikrullah.
Dia tenggelam di dalam dunianya memuji Tuhan Yang Esa, tiba-tiba telinga Zulkarnain dapat menangkap suara wanita menyanyi daripada kejauhan. Sangat merdu. Dia cuba mengekalkan khusyuknya namun gagal. Mata masih dipejam rapat. Sampan yang dinaiki terasa kuat digoncang seolah-olah di tolak daripada bawah. Risau akan keselamatan dirinya Zulkarnain membuka mata.
Dia berganjak sedikit ke sisi sampan dan melihat ada sesuatu berenang di bawah sampan mereka ! Suara nyanyian tadi semakin lama semakin kuat. Dia mencari fokus pada bayang-bayang yang bergerak dalam air itu dengan bantuan samaran cahaya rembulan purnama, Zulkarnain sangat pasti bahawa sesuatu itu berbentuk seperti ikan. Tiba-tiba, sampannya ditolak, hampir saja dia termasuk ke dalam air.
“Wahai makhluk Allah, aku melihat kebaikanmu di atas kapal tadi. Kamu tidak sepatutnya berada di tempat pemburuan kami,” akhirnya muncul seorang wanita cantik separa tenggelam di tepi sampannya. Entah dari mana dia datang ? Diakah makhluk yang menyerupai ikan yang aku lihat tadi?
Zulkarnain terpegun melihat wanita itu. Sungguh cantik. Tersentak dia setelah beberapa saat mengelamun, menyesal. Dia tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu dalam keadaan begini. Zulkarnain beristighfar panjang di dalam hati. Namun, masih sempat dia melihat wanita itu mempunyai ekor dan bukannya kaki ! Ekornya pula bersinar dengan pantulan cahaya malam itu.
.
“Wahai orang muda, sungguh mulia dirimu. Kamu bukan mangsaku,” wanita separuh ikan itu berkata lagi.

“Makhluk apakah engkau ?” Pendekar Nain bertanya.
“Makhluk Allah sama sepertimu. Namaku Ombak. Kau mahu ke Acheh bukan ? Aku dan teman-temanku akan menghantarmu dan jasad pak tua ini ke destinasi. Berehatlah,” wanita itu meniupkan sesuatu daripada tapak tangannya.
Penglihatan Zulkarnain menjadi kelam dan gelap.... dia tidak lagi ingat apa yang berlaku selepas itu.
Zulkarnain terjaga dek cahaya matahari yang memancar tepat ke mukanya, terik.. peritnya baru terasa. Tiba-tiba memori wanita cantik separa ikan itu muncul dikotak memorinya. Perlahan-lahan dia menghadam apa yang berlaku malam tadi.
Dia bangkit. Jasad Pak Saudagar masih di sisinya di dalam sampan. Zulkarnain memerhati sekeliling. Dia sudah berada di pantai yang tidak asing baginya ! Mungkinkah ini Acheh ? Kelihatan seorang lelaki tua berjubah putih keluar daripada rumahnya yang memang berada di tepi pantai itu dan berlari terkocoh-kocoh ke arah Zulkarnain.
“Assalamualaikum. Sudah besar kamu ,Zulkarnain. Cepat sekali datangmu, nak. Bukankah seharusnya satu purnama lagi ? Siapa pak tua yang bersamamu itu ?” Kiai Salleh memeluk Pendekar Nain yang masih kebingungan.
“Waalaikumusalam ,Kiai. Ini jasad Pak Saudagar. Mahukah Kiai Salleh membantuku menguruskan jasadnya ini ?” Zulkarnain tidak mahu jasad Pak Saudagar terbiar terlalu lama.
“Inalillahi wa inalillahi rojiun… Pak Saudagar orang kaya itu? Mari kita uruskan cepat,” Kiai Salleh memanggil beberapa orang kampung bagi membantunya. Sebahagian lagi diarahkan untuk memberitahu mengenai perkhabarkan berita pemergian Pak Saudagar kepada keluarganya.
Setelah selesai proses pengebumian Pak Saudagar, Kiai Salleh dan Zulkarnain duduk di serambi surau. Pendekar Nain menceritakan segala-galanya kepada Kiai Salleh. Kiai Salleh tidak berhenti-henti beristighfar dan berselawat. Sungguh dia tidak sangka Malik sanggup melakukan perkara itu kepada bapanya sendiri.
Isterinya si Malik yang sarat hamil 7 bulan masih menangis di atas pangkuan ibu mertuanya. Mereka berada di dalam surau kerana akan diadakan bacaan tahlil untuk arwah Pak Saudagar malam ini. Dia merasakan seakan-akan Malik tidak akan pulang lagi. Kiai Salleh masih mendengar cerita Pendekar Nain dengan teliti.
“Sungguh, saya tidak tahu apa yang berlaku kepada kamu sebenarnya. Kamu anggap sajalah bahawa Allah telah membantumu, Zulkarnain. Sejujurnya, saya juga tidak tahu makhluk apa yang kamu katakan tadi,” Kiai Salleh berlalu meninggalkan Zulkarnain sendirian bagi membolehkan anak muda itu merehatkan fikirannya yang diasak dengan pelbagai persoalan.
Sepurnama berlalu…
Orang kampung memberi salam berkali-kali di hadapan pintu madrasah. Setelah menjawab salam, Kiai Salleh berjalan perlahan ke arah pintu. Setelah dibuka, terjatuh beberapa orang kampung di muka pintu.
“Kamu ini kenapa ?” Kiai Salleh bertanya kepada mereka.
“Malik pulang. Tapi sendirian. Dia sudah seperti orang gila Pak Kiai,” salah seorang daripada mereka memberikan penjelasan.
“Ya sudah. Ayuh kita lihat. Nain, mari ikut,” Zulkarnain mematuhi arahan gurunya dan terus bergerak ke tepi pantai.
Daripada jauh kelihatan Malik di dalam sebuah sampan cuba di tarik keluar oleh orang kampung. Dia melawan keras. Dia seakan-akan ingin terjun ke dalam air. Isterinya menangis teresak-esak bersama ibu Malik dan hanya memandang daripada kejauhan sahaja. Malik bukan seperti dirinya lagi…
“Aku mahu Ombak ! Aku mahu ikut Ombak ! Semua budakku sedang bersenang-senang dengan mereka !” Malik terjerit-jerit daripada dalam sampan.
Dia masih gagal ditenangkan oleh orang kampung. Kiai Salleh berlari mendapatkan Malik. Zulkarnain hanya mampu beristighfar panjang. Ombak, apa yang telah kau lakukan ?
2017, Selat Melaka
Mikhail dan Ariffin berada di atas sebuah kapal persiaran milik mereka. Dua jejaka tampan ini adalah antara jutawan muda yang berjaya di dalam bidang perkapalan. Mereka berasal daripada dua syarikat berbeza namun Mikhail mengajak Ariffin melaksanakan kerjasama bagi menjayakan misi kapal persiaran ini. Segala yang mereka usahakan membuahkan hasil apabila Ariffin dinobatkan sebagai usahawan paling berjaya di Asia Tenggara. Mikhail pula mendapat gelaran sebagai ‘tycoon’ kapal paling berjaya di Malaysia.
Kini, sudah 2 bulan lebih kapal mereka berlayar di Selat Melaka. Sudah berbelas kali mengambil dan menurunkan penumpang. Sudah beribu penumpang merasai kemewahan di atas kapal mereka. Ariffin berdiri dibucu kapal memikirkan sesuatu. Mikhail menepuk bahunya.
“Woi, fikir apa yang jauh sangat tu ? Bisnes baru ke ?” Mikhail memegang air oren di tangannya. Dia turut bersandar di penghadang kapal sambil menghadap Ariffin.
“Kau tak rasa ke harga tiket yang kita kenakan ini tinggi sangat. Orang kaya je yang mampu rasa. Macam mana dengan orang yang sederhana? Kita ni rakyat Malaysia, kita buat kapal ni untuk rakyat Malaysia,” Ariffin menyuarakan pendapatnya.
“Takpelah. Sasaran aku memang orang kaya je pun. Saja je akan cakap dekat wartawan yang benda ini untuk semua. Barulah dapat sokongan dan sambutan. Hahaha!” Mikhail ketawa terbahak-bahak.
“Tapi…,”Ariffin cuba membantah.
“Takde tapi tapi lagi. Eh, kau nak tahu tak ? Keturunan aku cakap, dalam laut ni ada ikan duyung tau. Cantik beb! Sebab tu aku nak kapal kita ni dekat sini,” Mikhail cuba mengubah tajuk. Namun, tidak dilayan oleh Ariffin.
“Malam ni jumpa aku dekat pelantar belakang,” sedar akan perubahan Ariffin, dia menepuk belakang sahabatnya itu dan berlalu pergi.
Pukul 10 malam, Ariffin bermain dengan telefon pintarnya di pelantar belakang kapal. Dia memilih untuk duduk jauh daripada orang ramai. Kedudukannya agak tersorok sedikit. Tiba-tiba dia ditumbuk dari arah belakang. Ariffin berpaling. Mikhail ! Mikhail menumbuknya berkali-kali. Ada yang mengena dan ada yang tidak. Ariffin tidak mahu melawan. Dia tidak mahu menyakiti sahabatnya.
Mikhail menolak Ariffin ke arah penghadang kapal. Dia menumbuk berkali-kali namun, berjaya ditepis oleh Ariffin. Ariffin menolak dada Mikhail dengan sepenuh tenaga menyebabkan lelaki berusia 34 tahun itu jatuh ke atas lantai.
“Kau kenapa ?!” Ariffin menjerit ke arah Mikhail.
“Aku tak suka kau! Kita buat benda ni sama-sama. Aku yang ajak kau buat kerjasama ni. Tapi… Apa ! Kau yang dapat nama ! Kau yang menang anugerah! Semua kau! Sekarang kau nak turunkan harga tiket pulak !” Mikhail menjerit kembali ke arah Ariffin.
“Aku tak suka kau !” Mikhail meluru ke arah Ariffin. Dia ingin menolak Ariffin jatuh daripada kapal tapi Ariffin terlebih dahulu memeluk dan menariknya bersama jatuh daripada kapal.
Mereka panik. Kapal semakin jauh meninggalkan mereka. Ariffin cuba mencari Mikhail namun gagal. Beberapa saat kemudian, dia cuba menenangkan dirinya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba, Mikhail muncul daripada arah belakang dan cuba melemaskan Ariffin. Beberapa kali kepalanya dimasukkan ke dalam air oleh Mikhail. Pergelutan yang hebat berlaku.
Dalam pada mereka bergelut, kedengaran suara wanita menyanyi daripada kejauhan. Ariffin cuba menenangkan Mikhail. Dia menumbuk beberapa kali wajah sahabatnya itu.
“Mikha, Mikha ! Dengar tu…,” Mikhail yang baru sahaja mengangkat penumbuk, membatalkan niatnya itu.
Mereka menjadi tenang. Tidak bergelut lagi. Akan tetapi masing-masing diulit rasa takut yang teramat sangat, ditambah pula dengan kedinginan air laut. Suara nyanyian itu menjadi semakin kuat. Kaki mereka seakan-akan dilanggar oleh sesuatu, berulang kali. Ariffin memusingkan badannya. Dia melihat seorang wanita berenang menghampirinya. Pipinya di sentuh halus. Wanita itu masih menyanyi. Dia mengelengkan kepalanya keras dan beristighfar panjang. Dia berenang menjauhi wanita itu. Ariffin memusingkan kembali badannya saat teringatkan Mikhail. Ada 4 wanita berlainan yang datang entah dari mana.
Berbekalkan cahaya bulan, dia dapat melihat Mikhail berenang perlahan ke arah wanita yang satu lagi. Dia cuba memberi amaran kepada Mikhail.
“Mikha, jangan ! Balik sini! Mikha !” Ariffin menjerit ke arah Mikhail. Suara nyanyian itu terus mengoda Mikhail.
Tiba-tiba, wanita yang ayu tadi berubah rupa. Makhluk itu menyeringai mempamerkan taringnya yang penuh ! Wajah yang cantik berubah menjadi cengkung, matanya terbeliak ngeri. Rambut yang lebat bersinar tadi kini gugur. Mikhail diratah hidup-hidup. Dua makhluk yang lain turut berubah wajah, melompat dan menenggelamkan Mikhail ke dalam hitamnya lautan. Ya. Ekor. Mereka mempunyai ekor. Ariffin tergamam.
Wanita yang cuba mengodanya tadi bergerak menghampiri Ariffin. Dia berhenti satu meter daripada Ariffin.
“Sungguh mulia sifatmu anak muda. Mirip keturunanmu, Zulkarnain. Lelaki itu juga mirip keturunannya, Malik. Aku lepaskan Malik buat memberi pengajaran kepada kaum manusia. Ternyata manusia tidak pernah belajar daripada masa lalu. Aku Ombak. Mari aku bawa kau pulang ke tempat asalmu,” dia membuka tangannya dan meniupkan sesuatu. Ariffin pengsan.
Dia membuka kelopak mata. Kelihatan beberapa anggota polis mengelilinginya. Ariffin dibawa ke dalam ambulans yang baru tiba. Dari jauh, Ariffin melihat Ombak melambaikan tangan…
P/S: Kisah ini adalah fiksyen semata-mata. Terima kasih kerana sudi membacanya. Mesej yang saya ingin ketengahkan adalah belajar daripada masa silam. Kesilapan yang lalu jangan diulang lagi. Bertawakallah kepada Allah dalam keadaan apa jua keadaan. In Sha Allah ada yang terbaik untuk kita. Perkara yang baik daripada cerita ini harap boleh di simpan di dalam hati dan perkara yang buruk pula harap dicampakkan kedalam longkang.
TAMAT
===================

Suntingan: #kamenrider
Gambar: Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: