Wednesday 11 October 2017

NALURI - Senyuman Perantau


NALURI

========================
Zamri baru selesai mengulangkaji pelajaran di kelas 5 Melati. Kelas yang terletak di hujung blok kayu menjadi pilihan. Walaupun blok itu agak seram dan menakutkan, Zamri setia memilih kelas itu demi mendapatkan suasana sunyi dan menenangkan. Tambahan pula jika study Matematik Tambahan. Tak rela dia mentelaah pelajaran dengan geng gosip. Memang tak habis kerja aku!
Langkah Zamri diatur sempurna menuju ke asrama. Perjalanan malam ni agak berlainan, lebih sunyi. Ooo, mungkin sebab minggu balik. Zamri bermonolog. Hujan mula turun mencurah-curah. Laluan berbumbung yang terdapat lompong-lompong itu diredah laju. Satu dua titisan hujan masih sempat hinggap di muka Zamri.
Zamri tak selesa. Air hujan itu diseka laju. Pelik. Titisan tadi likat dan agak pekat. Aneh. Tak pernah hujan sepekat ni. Zamri mula kaget. Langkahnya terhenti. Air hujan tadi direnung.
Allah!!! Air yang disangka hujan tadi bukan air hujan biasa. Air itu bewarna merah pekat dan likat. Hanyir dan menusuk hidung. Zamri berkali-kali mengelap tangannya yang dipenuhi air tadi.
BANG!!!!
Bunyi sesuatu menghenyak bumbung. Zamri tersentak. Bunyi kuat itu seperti benda berat dijatuhkan dari atas.
KRAKK!!!
Bunyi benda retak. Seraya bunyi itu terhenti, satu 'benda' terjatuh dari bumbung laluan tadi. Di hadapan Zamri, seekor makhluk bertubuh gempal, berkepala dua menyeringai. Sayap makhluk itu dikembangkan umpama bulu merak. Ekornya dikibas berulang-kali.
Mulut Zamri terkumat-kamit membaca ayat-ayat lazim. Dalam suasana begini, semua ayat terlintas dipetik di bibir mulut.
"Allahumma inna..."
Belum sempat doa dihabiskan Zamri.
"Roarrrrrrr!!!! Haoorrrrr!!!!" Makhluk tadi mengaum. Kaki belakangnya ditekan ke belakang lalu menerpa ke arah Zamri.
"Allah!"
Zamri terjaga dari tidur. Mimpinya tadi sungguh menyeramkan. Diterkam dan dilenyek makhluk berbadan besar itu. Puaka bertubuh gelap itu menerpa dan menghunus gigi taringnya tepat di leher.
Tubuh Zamri basah lencun. Sungguh mengerikan. Walaupun mimpi, dia seakan-akan dapat merasakan kesan tindihan daripada makhluk itu. Allah. Mainan tidur rupanya.
Minggu balik merupakan minggu igauan bagi Zamri. Dia merupakan satu-satunya ahli dorm yang tidak pulang dek kerana lokasi rumahnya yang agak jauh. Seram. Lagi-lagi akibat terjaga akibat mimpi ngeri. Zamri cuba memejamkan kembali matanya. Sukar.
Mimpi tadi masih bermain-main di kotak fikiran. Entah macam mana, tiba-tiba telinganya terdengar satu rengekan manja. Atau lebih kurang bunyi seakan-akan bunyi orang bergelak tawa. Atau bunyi bergurau- senda di malam hari.
Tubuh Zamri terpaku. Sama ada mahu bangun menjengah ke arah bunyi itu atau terus mendiami katilnya yang sederhana empuk. Dia bingung. Pengalaman dia sekali terdengar tangisan suara perempuan di dalam tandas dua tahun lalu cukup meninggalkan kesan.
Zamri memaksa matanya untuk terus tutup. Bibir mulutnya tak henti-henti melafazkan kalimah-kalimah suci. Surah Al-Fatihah, Surah Tiga Qul dan ayatul Qursi dibacanya berulang-kali. Suara tersebut terdiam seketika.
"Hihihi... Macam tu la abanggg.."
Suara tersebut berbunyi sekali lagi. Dorm 211 yang dihuni Zamri kosong. Tak mungkin suara itu dari bilik ni. Suara hati Zamri mula bermain kata. Zamri nekad. Perasaan ingin tahunya mula membuak-buak. Episod tandas dua tahun lalu sudah lenyap dalam pemikirannya.
Aku mesti kuat. Sampai bila aku nak jadi pengecut. Aku duduk sini sampai Tingkatan 5. Takkan setiap kali kena usik aku kena diamkan diri, jadi bacul macam ni. Aku kena kuat. Aku ni diciptakan sebagai khalifah.
Zamri bingkas bangun. Semangatnya sekarang umpama Jebat, hatinya membakar bak Tuah. Dicapainya sebatang penyapu yang tersandar di bucu katil. Dia mengatur langkah tertib dan tersusun menuju ke pintu belakang yang terarah ke ruang ampaian. Pintu belakang dikuak perlahan.
Hujan renyai turun perlahan. Sejuk dan sunyi. Ruang ampaian merupakan ruang terbuka. Bulan purnama jelas menunjukkan wajah. Sesekali terdengar salakan anjing dan unggas berkicauan. Belakang asrama memang terdapat hutan tebal.
Bunyi rengekan makin jelas terdengar. Pintu belakang dorm 212 dibuka. Kosong. Tiada tanda berpenghuni. Mungkin semuanya pulang ke kampung. Ahli-ahli dorm 212 kebanyakkannya orang Terengganu dan Kelantan. Tak mustahil semuanya pulang ke kampung halaman.
Zamri menuju ke dorm 213. Zamri berpijak menggunakan hujung kakinya sahaja, tujuannya satu, mahu meminimakan bunyi. Hujung kayu penyapu ditujah perlahan pintu dorm 213.
Hiiii..Hiiii..Hiii..
Hiiii...Hiii..Hiii..
Darah Zamri seakan berhenti mengalir. Jantungnya dipalu kencang. Automatik tanpa melakukan apa-apa sebarang aktiviti fizikal. Bulu roma belakang tengkuknya merinding ketakutan. Ya Allah kuatkan lah hatiku..
Kepala Zamri dijengah. Kelihatan satu susuk tubuh terkujur terbaring di atas katil yang terletak betul-betul di bawah kipas dorm. Pocong! Terpacul keluar spontan dari mulut Zamri. Zamri memujuk hatinya. Aku kena kuat. Aku mesti kuat. Aku akan lawan walau apa-apa jenis jin pun!
Kini Zamri lebih berani. Dia kini berjalan menuju ke arah katil itu. Kakinya tiba-tiba tersepak objek empat segi, berlendir dan licin. Zamri mengangkat objek tersebut. Cish.. Cuma seketul sabun yang berlubang di tengah. Sabun itu dicampak jijik kembali ke bawah katil. Huh!
Usai tiba betul-betul di hujung katil itu, Zamri menarik nafas sedalam mungkin, cuba mengumpul semangatnya. Penyapu di tangan kanannya diangkat, lalu terus dihayun ke arah tubuh berselubung putih di hadapannya.
"Allahu Akbar!"
"Aduh! Woi! Apa ni."
Selimut putih yang kelihatan seperti pocong tadi diselak. Sambil tangannya mengusap kepalanya yang diketuk Zamri.
"Apsal kau ketuk kepala aku, Zamri??"
"Mana aku tahu. Aku dengar suara orang gelak-gelak manja. Seram. Aku datang tengok la. Mana aku tahu tu kau Nabil."
Selimut putih tadi kemudiannya disingkap penuh. Muncul seorang lagi makhluk berbaring sebelah Nabil. Keduanya berbaring di bawah selimut yang sama. Keduanya tidak berbaju. Hanya tersarung boxer pendek yang sudah terlurut hingga ke bawah pusat.
"Allah! Aku ingatkan pocong ke setan mana. Ya Rabbi.. Sungguh aku tak sangka kau Nabil.. Rosdi. NALURI apa korang ni!!!"
Zamri berlalu pergi. Penyapu dilambungkan ke arah mereka berdua. Marah dan geram. Hukum tuhan dipersendakan. Walaupun ini sekolah agama. Zamri tidak dapat melelapkan mata malam itu. Bukan kerana takut hantu, tapi lebih takut kepada azab tuhan yang mungkin bakal tiba.
Homoseksual?? Fikir kembali. Azab tuhan itu pedih...
-----
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas"
(Al-A'raaf, ayat 81)

==========================
Suntingan: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: