Tuesday 24 October 2017

LOKET - Nur Afrah Radzi


LOKET oleh Nur Afrah Radzi
Lorong kecil berbatuan bundar berhampiran Granton, London itu dilewatinya dengan kagum. Semerbak haruman lavendar kering yang digantung secara terbalik di sepanjang lorong itu menebarkan wangian harum menusuk ke rongga hidungnya. Dia terus berjalan melewati lorong-lorong berselirat, melewati pintu-pintu kayu lama yang masih teguh dengan kibaran gaun sifon separas lutut yang dipakainya mengalun lembut mengikut langkah kakinya. Dentingan loceng yang tiba-tiba berbunyi apabila dia melewati sebuah pintu mengejutkannya. Dia menoleh ke kanan, merenung pintu kayu oak itu,lama. Bagaikan dipukau, dia mengatur langkah ke kedai barangan antik itu yang kelihatan sangat usang dari luar. Daun pintu ditolak ke dalam, mendedahkan ruang dalaman kedai yang suram dengan hanya satu lampu minyak tanah dihidupkan. Udara hangat kedai menyerunya melangkah masuk.
"Hello?"
Alice menyapa. Sunyi. Tiada pamitan. Dia mengitari kedai barangan antik itu yang dipenuhi dengan barangan-barangan lama yang sudah berhabuk dan tidak terjaga. Sebuah kerusi berukiran kayu dengan alas duduk berwarna hijau zamrud dibeleknya kagum sebelum dia melabuhkan duduknya di situ. Punggungnya dihenyak pada pengalas berkusyen itu berkali-kali. Empuk! Dia bangun semula. Meneliti satu persatu barangan antik yang dipamerkan di atas sebuah meja yang sudah goyah sebelum pandangannya terhenti pada sebuah kalung berbentuk hati daripada perak. Kalung yang terletak elok di leher sebuah patung batu itu diambilnya perlahan-lahan lalu dikalungkan ke lehernya.
"Memang cantik!"
Alice menjerit terkejut mendengar suara tua yang berdesing di belakangnya. Kelam kabut dia berpaling ke belakang.
"Maaf..saya tak bermaksud.."
"Tak apa..memang kalung itu cantik betul dengan awak."
Perempuan tua itu bersuara gemersik. Alice tersenyum. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah perempuan tua itu yang berdiri senyap di belakang kaunter.
"Saya tak pernah suka pakai perhiasan..tapi kalung ni..sangat cantik!"
Alice tertawa lepas. Entah kenapa dia begitu tertarik dengan kalung itu. Perempuan tua itu bersuara lagi, dengan suara gemersiknya.
"Kalau begitu, rantai itu kepunyaan awak sekarang."
"Eh..tak perlu..saya boleh bayar.."
"Saya takkan jualkan kalung itu pada sesiapa. Kalung itu sudah berada di situ berpuluh malah mungkin beratus tahun lamanya. Kalung itu memilih tuanya sendiri dan sekarang, kalung itu, memilih kamu."
Perempuan tua itu tersenyum mesra ke arah Alice. Alice merenung loket berbentuk hati itu sebelum membukanya. Dua keping gambar lama yang sudah kekuningan terselit di situ dengan imej seorang lelaki dan seorang perempuan. Dia baru mahu bertanya potret siapa yang tersemat di dalam loket itu sebelum menyedari dia sudah di luar kedai, berdiri keseorangan di batuan bundar itu semula. Alice mengerutkan dahi. Sejak bila dia keluar dari kedai itu?? Dia mengangkat bahu. Mungkin dia terlalu leka dengan loket itu sehingga terlupa. Langkah kakinya diatur melewati lorong-lorong itu semula untuk pulang ke apartmentnya.
**********
Alice terduduk bangun dari tidurnya yang lena. Nafasnya terasa mengah. Dia bermimpi buruk. Dia mengusap mukanya berkali-kali sebelum jarinya melurut menyentuh loket yang melekap sejuk di atas dadanya. Kepalanya didongakkan dalam kesuraman cahaya bulan yang menjengah tingkap yang dibiar terbuka, dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang membuatkan jantungnya berdebar kencang. Ini bukan biliknya! Alice menolak gebar tebal yang membalut tubuhnya sebelum berdiri tercengang di tepi katil. Ini bukan katilnya. Katil bersaiz king itu direnungnya pelik sebelum dia berlari ke tepi pintu, mencari suiz lampu untuk ditekan. Tiada! Bunyi daun pintu cuba dibuka dari luar menggentarkannya. Alice mengundur ke belakang. Daun pintu ditolak dari luar sebelum dua susuk tubuh, lelaki dan perempuan masuk ke biliknya dengan pelita minyak tanah di tangan.
"Sayang..?? Kamu okey ke?"
Perempuan itu bersuara. Alice menelan liur yang terasa pahit. Perempuan ini siapa!? Dan kenapa, kenapa mereka berpakaian seperti di era Victoria!?
"Sayang??"
Panggilan kedua perempuan itu menyentaknya. Alice mengangguk laju. Entah kenapa dia mengangguk, dia tidak tahu. Air matanya terasa ingin gugur ke pipi. Celaka apa yang sedang menimpanya ini!?
"Baguslah..tidurlah semula. Mama turun dulu."
Perempuan itu bersuara sebelum bergerak menghampirinya, mengusap bahunya dan mencium dahinya lembut. Rasa sejuk seperti menyentuh ais dirasakannya saat bibir wanita itu mencium dahinya. Dia terlalu kaget untuk bergerak ke mana-mana. Alice menunggu sehingga dua susuk itu hilang sebelum berlari ke sebuah meja. Pelita di atas meja itu dihidupkan sebelum dia mula mengitari bilik itu.
'Mama..??' bisiknya pelik. Ibu dan ayahnya sudah lama meninggal dunia sejak dia kecil. Siapa pula perempuan misteri yang mengaku sebagai mamanya ini!? Bilik itu direnungnya dengan hairan. Hiasan dalaman bilik itu dipenuhi barang-barang sama yang dilihatnya di kedai antik siang tadi! Alice bungkam melihat kerusi dengan pelapik kusyen rona hijau zamrud tergeletak berhampiran tingkap. Dia mengundur ke belakang sebelum merentap daun pintu bilik itu sehingga terbuka lalu keluar dari bilik itu namun sebaik sahaja kakinya melangkah keluar, dia berada semula di dalam bilik tidur tadi!
"Sayang nak lari lagi ya..?"
Perempuan yang membahasakan dirinya mama padanya tadi muncul semula dengan senyuman lebar sehingga ke telinga. Alice menjerit kuat!
***********
"Dipercayai roh suami isteri zaman era Victoria itu menyeru anak gadis mereka yang hilang dengan sumpahan ilmu hitam pada sebentuk loket, mengurung gadis itu sehingga akhir hayatnya kerana loket itu kekal tidak akan tertanggal."
Josh membaca flyers tentang tempat pelancongan yang sedang dijelajahi mereka dengan kuat.
"Kau rasa itu cerita benar atau dongeng!?"
Josh merenung Fred, mengharapkan jawapan balas kawannya.
"Dongeng! Mana ada orang terperangkap sebab pakai loket! Kau ingat ni Harry Potter ke loket pilih tuan? Mengarut!" Fred membidas.
"Yalah..aku pun rasa macam tu. Tapi dah tiga kali kita pusing lorong ni..tak ada pun kedai antik tu!" Josh membentak.
"Mungkin di lorong satu lagi..ayuh."
Fred menolak tubuh Josh ke depan, melewati sebuah kedai barangan antik. Alice memukul pintu kaca kedai barangan antik itu berkali-kali, namun dua pemuda itu terus berjalan ke depan, langsung tidak menyedarinya!
-----------------------------------------------------------------
Follow Facebook Penulis : Nur Afrah Radzi
Editor : Shizu

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: