Saturday 21 October 2017

KISAH HOSPITAL - Ariff Budiman Zainal Abidin


KISAH HOSPITAL

Namaku Ariff Budiman. Ramai yang memanggilku dengan gelaran Tok Cik. Disini aku kongsikan pengalamanku sewaktu berada di hospital. Dari sudut kacamataku seorang yang bermata sepet. Lazimnya, bila aku memasuki wad hospital, mataku pasti akan memerhati sekeliling.
Dari setiap sudut, atas hingga ke bawah. Kenapa? Ini kerana terlalu banyak makhluk-makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Aku bercerita bukan bertujuan untuk menakutkan. Sekadar berkongsi pengalaman agar kalian sentiasa beringat....
KES 1 - MATA SI ANAK
Aku masuk ke wad kelas 3 . Aku melihat ke atas. Begitu banyak makhluk yang merayap di dasar siling. Ada yang bermata bulat, lebar dan panjang. Begitu juga bentuk telinganya. Wajah mereka pula kebanyakannya buruk dan menggerikan. Mereka seakan menanti saat untuk terjun ke bawah. Di hujung koridor, aku melihat seorang lelaki sedang berjalan sambil memegang kepalanya sendiri. Darah memancut keluar dari tengkuknya. Ngeri!
Aku memerhati. Jururawat dan doktor yang bertugas tekun melakukan tanggungjawab mereka. Aku yakin bahawa mereka tidak nampak akan keberadaan entiti-entiti itu. Aku mengalih pandangan melihat ke bawah katil seorang pesakit. Ada sekujur mayat sedang berbaring di bawahnya.
Di sebelah katil itu. Ada seorang anak kecil seperti tidak betah. Dia menarik-narik tangan ibunya. Jari telunjuknya menuding ke arah lembaga di bawah katil tersebut. Si ibu berang. Marah pada anaknya yang dianggap buat perangai. Aku hanya mampu diam. Pesanku pada ibu-ibu yang ada anak seperti ini. Percayalah. Mereka dapat melihat apa yang orang lain tidak.
KES 2 - WANITA DAN MAKHLUK BULU
Waktu melawat. Aku melihat ramai pelawat yang datang menziarahi keluarga. Mataku pegun melihat sosok seorang wanita. Wajahnya berkerut. Jalannya begitu perlahan. Di atas bahunya, bertenggek seekor beruk. Matanya merah. Lalu, aku perihalkan pada isteriku. Terdiam dia. Aku terus membaca sepotong ayat Al-quran lalu aku hembuskan ke arah makhluk tersebut. Bapp!! Makhluk itu Jatuh.
Wanita tadi sedikt terhuyung hayang. Keluarganya terus memegang tubuhnya. Mereka beranggapan bahawa wanita tersebut pitam atau tidak sihat. Makhluk yang tergolek diatas lantai bangun dan kelihatan begitu marah. Dia tahu angkara siapa. Matanya tepat memandang aku. Aku lantas membaca ayatul Qursi dan hembus terus ke arahnya. Bagai angin, makhluk itu hilang. Aku perihalkan sekali lagi pada isteriku.
"Laa...Pasaipa abang pi hembus. Sat lagi takut kecuh wad ".
Tegur isteriku. Betul juga katanya. Aku hanya terdiam. Itulah sikapku jika melihat sesiapa yang bawa benda ghaib yang dia sendiri tidak tahu. Aku akan buat dari jauh. Natijahnya, aku akan diserang balas. Waktu tidur lebih kerap.
KES 3 - SAKARATUL MAUT
Aku melihat ramai orang mengelilingi seorang lelaki. Rupanya seorang ayah sedang berjuang di ambang sakaratul maut. Anak-anak kelihatan sibuk dengan hp masing-masing. Mungkin sedang memaklumkan kepada keluarga dan sanak saudara tentang lelaki itu. Tetapi. Yang paling sibuk di saat itu adalah seekor makhluk! Makhluk itu bertelinga panjang dan bertanduk tajam. Dia sedang gigih mengganggu lelaki tersebut.
Ketahuilah, bahawa saat ini kita harus bisikkan kalimat Laaila Haillallah padanya. Kita yang sepatutnya ajarkan kalimat itu. Bukan kita hanya menangis, tengok dan kata pada ayah..
"Ayah mengucap ayah...mengucap"
Kalau kita sayang mereka kita bantu mereka saat ini. Pedulikan Hp. Bisikkan di telinganya kalimat Laaila haillallah berulang kali. Itu sepatutnya. Aku melihat, mata lelaki itu hanya memandang ke atas. Dia di ganggu sebenarnya.
Ingatlah. Kalau kita sayangkan ibu dan ayah, ketika saat mereka hampir sampai ajarkanlah mereka kalimat agong itu. Jangan hanya melihat dan menangis. Itulah yang aku nasihatkan pada anak-anak yang menemani saat ibubapa mereka yang sedang berhadapan sakaratul maut. Biarlah mereka akhiri dengan penyudah yang baik.
KES 4 - PETI MAYAT
Pernah aku masuk ke bilik mayat untuk meminta surat kematian ibuku. Aku melihat ada beberapa makhluk sedang berdiri di peti mayat. Cuma aku tidak pasti adakah peti itu kepunyaan mereka.
Mereka berpakaian seperti manusia biasa. Cuma yang membezakannya adalah wajah mereka. Ada yang hodoh. Muka pecah. Lidah terjelir keluar. Malas berlama-lama. Cepat-cepat aku dapatkan surat dan terus ke pejabat urusan.
KES 5 - IKUT
Aku masuk ke wad yang menempatkan pesakit jantung. Aku menziarahi ibu mertuaku. Ketika itu, aku melihat seorang jururawat begitu tekun membantu pesakit. Tetapi tanpa dia sedar, dia di ekori sesuatu. Makhluk itu berupa sosok wanita berambut panjang. Dia mengikut jururawat itu dari belakang.
Makhluk itu hanya pandang kebawah sahaja. Sesekali rambutnya akan tersangkut di atas bahu jururawat itu. Lantas, jururawat tersebut menguis-nguis bahunya seolah-olah gatal. Beginiah nasib mereka yang bertugas di hospital.
Sebab tulah bagus jika kita amalkan ayat Al-Matsurat. Sebelum keluar dari hospital kita baca ayat Matsurat atau ayat qursi lalu kita hembus kiri, kanan, depan dan belakang sebelum pulang kerumah. Amalkan lah. Kita tak tahu apa yang mengikut kita pulang. Tanpa kita sedar, yang menjadi mangsa ialah anak-anak dan ahli keluarga kita
KES 6 - LIF
Aku dan isteri berdiri di hadapan lif. Kebetulan hanya kami berdua sahaja yang menanti ketika itu. Bila terbuka sahaja lif, aku tersentak. Kelihatan Kak Ponti sedang berdiri didalam perut lif. Isteriku terus sahaja melangkah masuk. Tidak sempat untuk aku menghalang. Maka aku juga terpaksa masuk.
Aku menekan punat butang bernombor 4. Entah kenapa terasa begitu lama hendak sampai. Kak Ponti masih berdiri di sebelahku. Kelihatan isteriku memuncungkan mulut. Hidungnya pula berkerut seperti terhidu sesuatu yang busuk. Aku meletakkan jari telunjuk dibibir. Tanda memberi arahan kepadanya agar tidak membuka mulut untuk bertanya.
Aku melihat Kak Ponti menundukkan wajahnya ke bawah. Sesekali rambutnya terkena lenganku. Geli. Lantas aku menggosok lenganku spontan. Aku dapat merasakan bahawa Kak Ponti itu dapat mengesan yang aku dapat melihatnya. Apabila dia hampir sahaja memusingkan kepalanya kearahku.... Tinggg!! Pintu lif terbuka di tingkat 4. Syukur.
Saat ada yang menanti untuk masuk ke dalam lif, aku tahan. Aku katakan pada mereka, bahawa lif tersebut rosak. Mereka akur dan menanti lif sebelah. Sebelum pintu lif tertutup, aku sempat mencuri pandang ke arah Kak Ponti. Kelihatan dia memakai seragam hospital berwarna biru pendek paras lutut. Akhirnya,aku ceritakan pada isteriku apa yang berlaku di dalam lif. Syukur dia tak nampak. Seram katanya.
KES 7 - SIAPAKAH DIA?
Ketika menziarahi seorang kawan di hospital, aku melihat katil di barisan hadapan agak kelam kabut. Kaum keluarga ada yang menangis dan memanggil jururawat serta doktor bertugas. Berlari doktor ke arah pesakit. Di atas siling mula kelihatan beberapa ekor makhluk hodoh menjelirkan lidah mereka.
Tiba-tiba, aku terpandang sesosok tubuh berjubah hitam. Wajahnya kehitaman. Dia merenung tajam pesakit. Kaum keluarga, semakin terdengar esak tangis mereka. Namun, tidak ada siapapun yang pedulikan kehadiran sosok berjubah hitam.
Matanya asyik tertumpu ke arah pesakit. Makhluk di siling pula menjadi tidak tentu arah. Terasa menggeletar juga tubuhku saat melihat sosok si jubah hitam. Terdetik di hati dengan persoalan. Siapakah dia? Aku tidak berani membuat andaian walaupun hatiku berkata adakah itu ….........
Akhirnya, sosok berjubah hitam hilang dari pandangan. Tangisan kaum keluarga memecah sunyi. Anak-anak mula sibuk membuat panggilan untuk memberitahu ahli keluarga bahawa pesakit sudah meninggal dunia. Aku tidak berani cerita apa yang aku lihat kepada orang lain. Mungkin ada yang akan mengatakan aku gila atau belajar ilmu sesat.
Jujur. Wajah hitam itu tidak pernah hilang dari minda ini. Terbayang renungan tajamnya kearah pesakit. Persoalan yang tidak terjawab ialah siapakah dia? Kadangkala bila aku ingatkan kembali wajahnya, hati terasa begitu takut untuk meninggalkan solat fardhu. Kematian tidak mengenal usia dan waktu. Adakah kita sudah bersedia?
KISAH 8 - KISAH ICU
Aku masih ingat ketika berada bersama ibuku di dalam ICU. Pintu masuk di buka, lalu masuk seorang jururawat. Jalannya begitu longlai. Terdengar ada rakannya menegur kenapa raut wajahnya tampak begitu letih?
“Tak tau la. Rasa badan ni berat sangat. Sakit-sakit pulak “. Kata jururawat tersebut sambil berjalan kearah rakannya.
Aku tahu apa yang menyebabkan badan jurirawat itu terasa berat dan sakit. Ada seekor beruk sedang duduk di atas bahunya sambil tangannya mencengkam kuat. Aku baca sepotong ayat dari surah Al Baqarah lalu aku hembus ke arah beruk itu. Terpelanting jatuh beruk itu ke bawah. Begitu marah dia padaku seperti hendak menyerang balas.
Lantas, aku bacakan Ayatul kursi lalu aku hembus kearah beruk tersebut. Terus dia ghaib. Aku lakukan tanpa siapa yang mengetahuinya. Akhirnya aku terdengar jururawat itu berkata bahawa badannya tiba-tiba terasa ringan. Katanya lagi, mungkin dia keletihan barangkali. Aku senyum. Segala puji bagi Allah yang Menyembuhkan. Amin.
Pernah satu ketika aku berada di ICU. Aku terlihat ada satu bungkusan kain bergolek-golek di bawah katil seorang pesakit. Ya, Itulah dia hantu bungkus. Dia hanya menggerak-gerakkan badannya. Mungkin mahu mencari posisi berehat barangkali.
KISAH 9 - DI DALAM WAD
Ketika berada di dalam wad aku melihat begitu banyak makhluk yang bertelinga capang. Makhluk ini adalah jenis makhluk yang sukakan benda kotor. Mereka akan menjilat dengan rakus darah yang di buang ke dalam tong sampah. Nampak berselera sungguh mereka. Geli tekak aku.
Waktu melawat, ramai keluarga datang menziarah sambil membawa makanan untuk pesakit. Apa yang aku perhatikan, ada di kalangan mereka yang menyuap terus makanan ke dalam mulut pesakit tanpa membaca Bismillah terlebih dahulu. Makhluk yang bertelinga capang akan mengambil kesempatan.
Makhluk itu akan kencing dan muntah ke dalam makanan. Dan tanpa sedar, kita pula terus menyuap makanan yang kotor dan jijik. Eloklah sekiranya jika sebelum kita suap makanan kedalam mulut pesakit, kita sebut begini. Sebagai contoh...
“Mak kita makan ya, Bismillahirrahma nirrohhim “.
Kemudian suaplah makanan kedalam mulut pesakit. Ramai yang mengambil mudah akan perkara ini. Mereka lupa akan kalimah agung Bismillah.
Kepada pesakit wanita pula, aku harap dapatlah kalian menjaga kebersihan saat didatangi haid. Bersihkan pad yang berdarah dengan betul sebelum ia di buang ke dalam tong sampah. Jangan jadikan sakit anda sebagai asbab untuk memandang remeh perkara ini.
Ingat, ada makhluk yang mengintai-ngintai untuk menikmati hidangan darah anda. Mereka akan hisap dan jilat darah anda dengan rakusnya. Sebab apa? Kerana itu adalah makanan mereka!
========================
Suntingan: Dee Edot
Gambar: #kamenrider

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: