Tuesday 17 October 2017

KETUKAN DI PINTU KERETA OLEH KAK PONTI - Fadz Aziz


Ketukan Dipintu Kereta Oleh Kak Ponti

Karya : Fadz Aziz

Malam tadi,seusai mengemas pejabat baru di Setiawangsa, aku pun bertolak pulang ke Bera, iaitu salah satu antara daerah terpencil di Pahang. Tepat jam 11.15 malam, aku pon memulakan perjalanan. Itu pun sempat juga singgah di kedai mamak yang berdekatan dengan pejabat baru ku itu untuk menghilangkan mengantuk dengan segelas kopi ais.

Sepanjang perjalanan aku ditemani dengan lagu-lagu syahdu era 90-an. Sambil layan lagu itu aku hanya menikmati pemandangan yang kelam di sekeliling lebuhraya karak sehingga ke lebuhraya pantai timur.

Lebih kurang jam 1.10 pagi,aku sampai di kawasan selekoh di sempadan daerah Temerloh -Bera. Jalan tersebut masih dikelilingi hutan di kiri dan kanan jalan. Pada masa tersebut, di corong radio sedang ke udara salah satu lagu kegemaranku yang bertajuk "Bila Kau Kata Kau Sayang". Sambil mengikut suara nyanyian itu fikiranku terawang memikirkan isteri dan anakku di rumah.
Memang biasanya begitu. Kalau berjauhan sedikit,mulalah rasa rindu itu menjelma. Ini baru 2 hari outstation. Belum seminggu lagi.
Tiba-tiba fikiranku teralih 90 darjah membayangkan cerita-cerita seram yang masih belum aku siapkan. Apa lagi yang perlu aku tambah untuk siapkan segera cerita-cerita itu.
Ya. Ibarat ada mentol menyala di suatu sudut otak kecilku. Ada lagi satu kisah seram yang belum aku kongsikan. Cerita mengenai hantu motor yang mana terjadi di daerah Muadzam suatu ketika dahulu. Cerita mengenai geng sekawan mat motor yang diganggu hantu ketika mereka asyik berlumba. Sedang mereka berlumba,mereka dipintas oleh sebuah motorsikal yang tidak ditunggang oleh sesiapa!
Sedang aku cuba mengingati semula cerita tersebut, tiba-tiba aku terdengar bunyi ketukan di cermin pintu keretaku! Sekilas aku menjeling di cermin sisi,aku terpandang seekor pontianak sedang terbang seiringan di sebelah keretaku. Lantas meremang bulu romaku. Dalam keadaan gementar,aku teringat ada terbaca cerita "Bercakap Dengan Jin-Siri Ajla" , si Ijam Kachak itu ada membaca surah Al-Jin ayat 6 apabila berhadapan dengan hantu. Aku pon cuba membaca ayat tersebut.
Usai aku membaca ayat tersebut, aku cuba menoleh ke cermin sisi keretaku. Ya Allah! Makin bertambah pula jumlah pontianak yang ada. Semakin gelabah aku dibuatnya. Terhuyung-hayang kereta aku pada masa itu.

Cubaan terakhir. Aku bacakan pula Ayatul Kursi 3 kali lalu ku hembus ke kanan dan kiri kereta. Sambil itu aku panjatkan doa ke hadrat illahi agar dijauhkan daripada sebarang gangguan jin dan syaitan.

Selang beberapa detik ,aku menjeling sekali lagi ke arah cermin sisi. Alhamdulillah. Semua pontianak itu sudah menghilangkan diri. Sampai saja di rumah kira-kira jam 1.45 pagi, aku duduk diam dulu di dalam kereta. Sekali lagi aku membaca ayat Kursi. Selepas itu barulah aku menelefon isteriku untuk meminta dia agar membukakan pintu rumah. Orang-orang lama berpesan,kalau balik tengah-tengah malam, jangan terus masuk rumah. Berhenti dulu di mana-mana. Baca ayat Kursi dahulu. Barulah boleh masuk ke rumah. Adalah dikhuatiri ada yang menumpang ketika balik dan mengganggu orang yang berada di rumah pula terutamanya budak kecil.

Setelah masuk ke rumah,aku tidak segera ke bilik. Aku hanya meminta isteriku untuk mengambilkan tuala. Setelah itu ,aku pun berlalu ke bilik air untuk bersihkan diri.
Sebelum tidur,aku terfikir,kenapa ayat 6 surah Al-Jin tadi tak berkesan ku bacakan kepada pontianak-pontianak itu tadi? Aku segera membuka aplikasi Muslim Pro yang berada di dalam Samsung J7 ku ini. Aku semak semula bahagian maksud Surah Al-Jin. Mataku menyelusuri bait-bait maksud surah tersebut.

Petikan daripada Al-Quran: Al-Jinn (72:6)
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Waannahu kana rijalun mina alinsi yaAAoothoona birijalin mina aljinni fazadoohum rahaqan
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."
"Hem....patutlah tak berkesan. Ayatnya tak bersesuaian untuk melawan makhluk-makhluk tu....".Detik hati kecilku. Usai saja aku membaca doa sebelum tidur,aku pon memejamkan mata seterusnya melayari mimpi nan indah....
Pengajaran : jangan main baca je surah sesuka hati ketika berdepan dengan makhkuk halus. Dikhuatiri semakin memudaratkan keadaan.
Notakaki: Cerita ini digabungkan kisah benar yang pernah terjadi baru-baru ini. Yang mana satu yang benar? Wallahu 'alam....
-----------------------------------------------------------
Follow Facebook Penulis : https://www.facebook.com/fadz.aziz.9
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: