Friday 27 October 2017

JAHIT - Atikah Che Yasin


JAHIT
Dalam bilik berkeluasan sederhana itu, kelihatan seseorang sedang menyediakan peralatan secara bersendirian. Tidak ditemani oleh jururawat ataupun doktor pelatih. Ah, setakat prosedur suturing. Dia sudah biasa.
Razi melakukan pemerhatian terhadap luka pesakit. Hmm.. Agak teruk, tetapi dengan kredibilitinya sebagai pegawai perubatan yang berpengalaman, rasanya luka itu akan dapat dicantumkan dengan baik nanti.
Jarum yang berbentuk mata kail ditusukkan ke kulit pesakit secara perlahan-lahan. Jarum itu kemudiannya ditarik ke atas. Benang mula menembusi setiap jaringan lapisan kulit dan perlahan-lahan luka yang terbuka tadi dicantum antara satu sama lain. Mudah betul kerjanya hari itu. Darah langsung tidak keluar. Tidak perlulah dia bersusah payah untuk mengelap darah ketika proses jahitan dijalankan.
Kemudian Razi teringat sesuatu. Dia menepuk dahi. Ubat tahan sakit belum disuntik. Dia memandang pesakit itu. Melihatkan tiada riak kesakitan yang ditonjolkan, Razi meneruskan kerjanya. Selesai sudah kerja menjahit luka. Cantik. Dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan.Kemas dan tertib setiap jahitannya.
Razi kemudiannya menuju ke besen yang mengandungi air. Dicelup tangan ke dalam besen untuk mencuci tangan. Dia baru perasan bahawa dia tidak pakai sterile glove tadi. Razi tergelak kecil.
Terlalu banyak kecuaian yang dilakukannya hari ini. Ah, kecil sahaja kecuaian hari ini jika dibandingkan kecuaian yang dilakukannya minggu lepas. Secara automatik kejadian minggu lepas menerjah kotak ingatannya.
Razi tersentak.
“Ahh, kenapa ingatan ini datang balik! Aku tidak ingin mengingati kejadian itu!” Jerit Razi. Tangannya memegang kepala sambil menggeleng-geleng. Berharap dengan perbuatannya itu, segala memori tentang peristiwa minggu lepas dapat diusir jauh-jauh. Namun peristiwa itu tetap terimbas satu persatu dalam ingatannya.
Seminggu sebelumnya…
“ Misi ! Doktor! Ada orang nak terjun!” Jeritan pesakit dari kubikel belakang kedengaran cemas. Semua yang sedang mengikuti round harian wad segera berlari ke kubikel belakang. Memang betul. Seorang pesakit yang dikenali sebagai Jenab kelihatan terkial-kial memanjat tingkap. Sebelah kakinya sudah berada di tingkap. Seorang pesakit muda sedang berusaha untuk menghalangnya. Razi dan beberapa jururawat pantas mendekati pesakit tersebut.
“ Ke tepilah bodoh! Jangan halang aku!” bentak Jenab. Namun kata-katanya langsung tidak menggentarkan mereka. Mereka berusaha untuk meraih tangan Jenab bagi menghalangnya daripada memanjat tingkap.
Usaha mereka bukanlah mudah. Kudrat wanita itu agak kuat. Namun, dengan kudrat yang ramai, mereka dapat menghalang Jenab daripada terus memanjat tingkap itu.
“ Degillah lah kamu semua nih!” Tempik Jenab.
Dush!
Jenab menendang jururawat yang sedang memegangnya. Terdorong ke belakang jururawat itu. Keadaan itu menyebabkan situasi makin tegang. Razi mengarahkan staf memanggil pengawal keselamatan. Sementara dia dan doktor lelaki yang lain memegang Jenab.
“Kamu ni, aku nak mati kamu tak bagi, ini makannya!” Jenab ketawa berdekah-dekah sambil menolak Razi dan doktor lain. Susuk badannya yang gempal menyebabkan tubuh doktor lelaki itu terpelanting ditolaknya. Razi cuba mencari keseimbangan badannya yang tergugat akibat ditolak tadi. Belum sempat Razi mencari rentak bagi menangkap Jenab, matanya terasa pedih.
Rupa-rupanya Jenab telah menyembur hand sanitizer secara rambang ke arah mereka. Masa bila Jenab mencapai hand sanitizer itu, Razi tidak pasti. Pantas sungguh Jenab bertindak. Habis sebotol hand sanitizer itu dikerjakannya. Terpisat-pisat masing-masing akibat menahan azabnya pedih mata. Dalam kekalutan itu, Razi dan yang lain-lain cuba untuk mendapatkan Jenab namun dengan pantas dia membaling segala dokumen dan segala fail yang ada dia atas cardiac table. Tidak cukup dengan itu Jenab menolak cardiac table ke arah mereka. Mata Jenab melilau lagi. Liar mencari sesuatu. Kemudiannya dia ternampak tong oksigen di kepala katil berhampiran tingkap. Diangkatnya tong itu dan dibaling ke arah petugas dan pesakit di hadapannya. Nasib baik masing-masing dapat mengelak. Pegawal keselamatan masih belum sampai. Jenab makin menggila. Ditariknya tangan seorang pesakit muda yang berhampiran. Terbuntang mata pesakit muda itu sebaik sahaja badannya didorong ke luar tingkap. Jenab memegang kaki pesakit muda dan dinaikkan sama paras dengan tingkap. Separuh badan pesakit muda itu sudah berada di luar tingkap tingkat 6 bangunan hospital itu. Meronta-ronta pesakit muda itu minta dilepaskan.
Razi cuba menyelamatkannya. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa, Jenab telah pun menolak susuk tubuh malang itu ke bawah. Masing-masing yang ada di situ terkedu dan hanya mampu menjenguk melalui tingkap sahaja. Jelas riak kesal di wajah masing-masing tatkala melihatkan pesakit muda yang ditolak tadi menggeletik terseksa di akhir hayatnya.
“ Hah, padan muka! Pandai-pandai nak masuk campur urusan orang lain. Hahaha!” Laung Jenab.
Pang!
Tamparan Razi menghentikan gelak tawa Jenab. Sepanjang dia berkhidmat sebagai pegawai perubatan, tidak pernah sekalipun dia menggunakan kekerasan terhadap pesakit. Tutur katanya juga sentiasa dijaga. Hari itu, kemarahannya tidak dapat dibendung.
Razi tidak kisah jika dia dikenakan tindakan tatatertib atas perbuatannya. Dia geram, sedih, dan kesal. Wanita yang ditolak Jenab tadi adalah Hana. Wanita yang paling dia sayang. Yang bakal dia kahwini tidak lama lagi. Cinta hati pertama dalam hidupnya. Ya, Hana bukan sekadar pesakitnya.Wanita itu telah membuka hatinya yang selama ini tidak pernah terbuka buat wanita. Razi sudah berjanji bahawa dia akan menjaga Hana seumur hidupnya walaupun dia tahu Hana sakit.
“ Aku dah kanser tahap akhir. Kenapa kamu halang aku. Biarlah aku mati daripada aku tanggung sakit ni lagi lama,” rintih Jenab. Razi tidak menghiraukan Jenab. Dia ingin ke bawah melihat Hana.
Pantas Razi berlari menuju ke lif. Ditekan butang lif berkali-kali. Merasakan terlalu lama, dia hilang sabar. Dihentak butang lif itu menggunakan buku limanya. Matanya tajam merenung pintu lif.
“Ahh, lambat!” Bentak Razi. Tidak membuang masa, dia menapak pergi dari situ. Terus menuju ke tangga. Langkahnya agak kelam kabut. Kerap kali dia terlanggar orang lain yang sedang menggunakan tangga yang sama. Razi tidak peduli. Kewarasannya tidak berpaksikan pada akal lagi. Perasaannya serabut.
Sesampainya Razi di tempat parkir kereta bersebelahan blok, lututnya longlai. Dia terduduk di situ. Tidak mampu untuk berdiri. Wanita yang dia sayangi terbaring kaku. Kepalanya pecah. Terburai otak keluar dari tempurung kepala. Pasti mengerikan sesiapa sahaja yang melihatnya.
******
Razi memejamkan matanya. Pedih bila mengenangkan insan yang dia sayang pergi dengan cara yang tragis. Dia memandang jasad Hana yang terbaring di atas katil. Semua luka Hana telah dijahit.
Ya, Razi telah bertindak di luar batasan norma manusia. Mayat Hana telah digali semula tiga hari lepas. Dibersihkan mayat itu untuk diperbaiki rupanya. Semalam, dia telah menggunakan Plaster of Paris(POP) untuk membentuk tempurung kepala yang telah pecah. Setelah kering, dia memakaikan rambut palsu kepada Hana. Kelihatan kulit muka Hana mulai luruh. Disoleknya muka Hana menggunakan alat mekap. Laman sesawang menjadi tempatnya mempelajari teknik solekan. Dia turut mengenakan pakaian yang cantik kepada Hana.
Wajah Hana tidak ubah seperti orang yang masih hidup. Cuma terdapat bau yang kurang menyenangkan. Razi tidak kisah semua itu. Yang penting, Hana berada di sampingnya. 
“Abang pergi kerja dulu ye, sayang,” ujar Razi sambil mengucup dahi Hana. Dia kemudiannya meninggalkan insan tersayangnya bersendirian di bilik itu.

*****
“Bos, futsal petang ni jom,” ajak Wan, male nurse tempat Razi bertugas. Razi hanya menggelengkan kepala dan berlalu pergi dari pantri. Wan tergaru-garu kepala. Pelik. Selalunya pantang diajak. Seingat Wan sudah agak lama Razi tidak menyertai mereka berfutsal. Sakit ke? Atau masih fikir peristiwa hari itu? Persoalan itu hanya terbiar sepi sahaja dalam fikiran Wan.
Petang itu, Wan dan yang lain-lain ke gelanggang futsal. Agak hambar permainan petang itu. Mungkin sebab ramai yang tidak turun. Jadi mereka memutuskan untuk menamatkan permainan lebih awal.
“Weh, korang ada perasan tak pasal Razi?” Soal Wan memecah kesunyian. Mereka sedang lepak-lepak di gerai mamak.
“Kenapa dengan dia? Aku tak perasan sebab aku cover wad lain” ujar Hakim. Dia juga merupakan pegawai perubatan Jabatan Pembedahan, sama dengan Razi.
Wan hanya melepaskan keluhan kecil.
“Hmm, entahlah. Aku kesian tengok dia. Asyik termenung je. Dua tiga hari dia happy. Lepas tu moody balik. Aku ajak futsal dia geleng je. Tak cakap sepatah pun. Tu aku pelik. Aku risau juga kot-kot dia masih teringatkan kes hari tu,” ujar Wan.
“ Tapi tu bukan salah dia. Tu haa, Jenab yang tolak budak tu.. Jenab dah kena refer psikiatri dah pun. Lagipun benda tu dah berbulan lamanya berlalu,” Hakim membalas. Yang lain mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan pendapat Hakim. Wan termenung jauh. Dia risaukan Razi. Dia kenal Razi sejak Razi jadi doktor pelatih lagi. Agak rapat. Bukan dia tidak tahu, Razi menyimpan hati kepada Hana. Wan risau juga kalau-kalau kematian Hana tempoh hari menyebabkan Razi tidak lagi bersemangat dalam menjalani hidup.
“ Bro, macam ni lah. Lepas ni kita pergi rumah dia,” cadang Hakim.
*****
“Assalamualaikum. Razi, oh Razi!” panggil Wan. Panggilannya tidak bersahut. Keretanya ada.
“Hmm, tidur agaknya.” Teka Hakim.
Tangan Hakim meliar meneroka setiap genap pagar rumah Razi. Ditolak pagar itu. Tidak berkunci rupanya. Hakim segera masuk ke dalam halaman rumah Razi.
“ Eh, sesuka hati kau je masuk kawasan rumah orang,” ujar Wan. Baginya cara Hakim masuk agak tidak beradab.
“ La, dah tak kunci. Pencuri pun boleh masuk lah. Dah, kau nak jumpa Razi tak ni? Hari dah nak gelap. Kejap lagi nak pekena nasi ambeng pulak.”
“ Haa, yela, yela. Aku masuk.”
Pintu rumah Razi diketuk. Namun tiada respon. Wan cuba memulas tombol pintu.
“Aik? Tak dikunci juga?” Soal Wan hairan.
“Cuai punya orang. Dah umur 30 pun tak reti nak kunci rumah. Entah-entah pintu kereta ni pun dia tak kunci,” seloroh Wan sambil tangannya mengacah membuka pintu kereta Razi.
Riak muka masing-masing berubah sebaik sahaja pintu kereta tersebut boleh dibuka dengan mudah. Tergambar di fikiran, kebarangkalian rumah Razi dirompak. Jika benar, kenapa perompak tidak melarikan kereta?

Wan dan Hakim menerobos masuk ke rumah Razi. Melilau mata masing-masing cuba mencari Razi. Dalam masa yang sama mereka berjaga-jaga, risau juga jika perompak tiba-tiba muncul. Keadaan dalam rumah Razi amat kotor. Berhabuk. Barang-barang berterabur. Terdapat satu bau yang kuat dalam rumah itu.
Pandangan mereka tiba-tiba tertancap pada sebuah bilik hujung. Kayu yang disendal dari luar pintu itu menarik perhatian mereka.Kedua-dua mereka menghampiri pintu itu. Penyendal ditarik. Ketika pintu dikuak,bau tadi semakin kuat. Kembang kempis hidung mereka menahan bau yang menyengat. Walaupun sudah biasa dengan macam-macam bau di hospital, namun yang ini amat teruk baunya.
Rasa ingin tahu yang tinggi menyebabkan Wan dan Hakim melangkah masuk ke bilik itu. Keadaan bilik itu lebih teruk daripada di ruangan luar tadi. Berderau darah masing-masing tatkala melihatkan sesusuk tubuh terbaring di atas katil. Mayat yang lama. Fizikal mayat itu sudah agak reput. Banyak kulit yang telah luruh. Hampir keseluruhan tubuh mayat itu diselaputi POP. Kukunya juga sudah tiada. Luruh juga barangkali. Muka mayat tersebut kelihatan teruk walaupun disolek. Matanya juga telah digantikan dengan mata batu. Dalam pada itu, Wan dan Hakim tidak menyedari bahawa tindak-tanduk mereka sedang diperhatikan.
“ Wan,” sapa Razi. Wan dan Hakim berpaling ke arah suara itu.
“ Rrrraziii... A...aaaku ddatang nak j..jjenguk kau. P..ppintu tak kunci. Aku masuk je la”.
Wan sudah gelabah. Pucat. Terketar-ketar dia hendak menjawab sapaan Razi. Senyuman Razi yang manis itu umpama senyuman maut buatnya.
“Takpe, aku faham. Korang dah jumpa Hana?” soal Razi sambil berjalan menuju ke arah katil Hana. Wan dan Hakim berpandangan sesama sendiri melihat Razi membelai lembut kepala Hana. Pada fikiran masing-masing, hanya satu. Ingin segera lari dari tempat ini.
“ Err.. Razi, kami tengok kau okay je. Takpelah, tak de lah risau sangat dah. Bukan apa, sebab kau tak join kitaorang tadi. Kami nak balik dulu. Si Wan ni nak makan nasi ambeng kat restoran dekat rumah aku. Kalau lambat nanti ramai orang pula. Jenuh nak tunggu,” ujar Hakim. Lagaknya cuba dikawal agar kelihatan bersahaja.
“ Laa. Kenapa cepat sangat. Tunggulah dulu. Minum-minum dulu ke”.
“ Eh takpe, sebelum datang sini dah lepak minum kat gerai mamak,” Wan berkata-kata sambil kakinya cuba melangkah ke pintu bilik.
“Ala, korang baru je sampai. Kita lepak-lepak lah sini dulu”,ujar Razi sambil menghampiri Wan dan Hakim yang sudah hampir ke pintu bilik. Diraihnya bahu kedua-dua mereka. Agak erat Razi memegang mereka. Razi menyeluk poket seluar dan mengambil telefon bimbit mereka .Kemudian, dia menolak keras Wan dan Hakim. Terhumban ke lantai kedua-duanya.
Dummm!
Kuat bunyi pintu dihempas. Razi kemudian menyendal pintu itu dari luar. Kedengaran suara Wan dan Hakim panik menghentak-hentak pintu itu dari dalam. Razi hanya tersenyum sinis. Pintu itu tidak dapat dipecahkan dengan mudah. Biarlah mereka berdua mati di situ. Asalkan rahsianya tidak terbongkar.
“Bro, aku tak nak mati kat sini bro!”Hakim panik. Hari makin menjengah malam. Perasaan takutnya semakin kuat. Berkali-kali dia mengusap belakang tengkuknya. Asyik meremang dari tadi.
“ Aku harap benda ni berguna,” ujar Wan sambil mengeluarkan telefon bimbit Nokia 3310. Disebabkan telefon itulah dia sanggup memakai baju dua lapis setiap hari. Dia akan memastikan baju putih yang dipakai di bahagian dalam mempunyai kocek berzip. Tujuannya bagi memudahkan telefon disimpan. Tiada siapa pun yang tahu tabiat peliknya. 
Wan mendial talian 999. Segala maklumat tentang tempat itu diceritakan secara terperinci. Wan lega setelah berjaya menelefon polis. Tiba-tiba...

Kkkkrrrreeekkkk……..
Pintu bilik itu terbuka perlahan-lahan. Derapan langkah Razi yang membawa tray amat menakutkan. Tray diletakkan di atas meja. Wan dan Hakim mengambil peluang ini dan cuba menerjah keluar, tetapi dengan pantas Razi melibas mereka berdua menggunakan besi yang telah disisipkan di belakangnya. Kedua-dua mereka kemudiannya diikat. Razi tersenyum.
“Jom, mulakan prosedur,” ujar Razi sambil menyeringai memandang rakan sekerjanya yang jelas sedang dalam ketakutan.

******
Berita terkini: Mayat seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia sejak 6 bulan lalu ditemui dalam keadaan mengerikan di dalam rumah seorang doktor. Doktor itu dikatakan tidak dapat menerima kematian wanita terbabit dan bertindak menggali semula mayat tersebut lalu menjahit semua luka agar kelihatan seperti asal.
Ketika serbuan dibuat, doktor tersebut sedang menjahit mulut salah seorang rakan sekerjanya yang melaporkan kepada polis tentang mayat wanita terbabit. Seorang lagi rakannya ditemui sedang terbaring menahan kesakitan setelah sebelah matanya dijahit. Kedua-duanya diselamatkan pihak polis dan kini sedang menerima rawatan di hospital. Mangsa juga dirujuk untuk sesi kaunseling bagi memulihkan kembali semangat akibat trauma emosi yang teruk.
********
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
Gambar & Suntingan: Gongpal Topek

No comments: