Saturday 7 October 2017

HADIAH - Ahmad Rusydi


HADIAH
Karya: Ahmad Rusydi
Suntingan dan Gambar: Wan SC

*****
Hai, nama aku Sarah. Hari ini hari pertama aku daftar masuk kolej.
Darah gemuruh sepanjang perjalanan ke kolej pagi tadi aku rasakan sia-sia. Setiap pelajar baharu disambut baik. Kami terasa dialu-alukan. Selepas ucapan pendek oleh ketua-ketua fakulti dan proses pendaftaran yang aku rasakan agak meleret, kami pelajar baharu dibawa ke hostel masing-masing.
Belum sampai ke hostel lagi aku sudah berkenalan dengan beberapa orang pelajar. Perkenalan singkat yang melegakan hatiku. Nasib baik ketua MPP tidak terlalu masuk campur dalam urusan menempatkan pelajar. Aku dan rakan-rakan baharuku bersetuju untuk tinggal di dalam bilik yang sama. Kami ditempatkan di tingkat paling atas. Lima orang semuanya.
Malam itu malam pertama minggu orientasi. Juga malam pertama aku, secara rasminya bergelar seorang pelajar kolej. Jam sudah menunjukkan pukul enam petang ketika sesi ibu bapa 'menyerahkan' anak-anak mereka ke bawah jagaan pihak kolej selesai. Aku dan rakan-rakan baharu tadi sibuk mengeluarkan barangan dari beg dan kotak masing-masing.
Ya, memang kami berlima bersetuju untuk tinggal sebilik, namun lebih atas dasar menyesuaikan diri berbanding setiakawan. Mungkin belum sampai ke tahap itu.
Malam itu jadual kami masih kosong. Program pertama akan bermula keesokan paginya. Disebabkan masing-masing agak keletihan, selepas makan malam di kantin, kami buat keputusan untuk masuk tidur. Tak ada sesiapa yang berminat untuk mencadangkan apa-apa aktiviti, termasuk aku (walaupun di dalam hati aku cukup berharap untuk salah seorang dari kami mencadangkan sesuatu).
Sedang kami berlima duduk di atas katil masing-masing ditemani telefon bimbit dan novel cinta, salah seorang dari rakan baharuku dengan murah hati menawarkan komputer ribanya untuk dijadikan layar bagi kami menonton filem yang dimuat turunnya secara haram. Dalam keterujaan 'suasana asing’, kami bersetuju untuk menonton filem pembunuhan ngeri. Lampu siling dipadamkan untuk menaikkan suasana seram.
Dalam keheningan malam yang hanya ditemani oleh suara-suara yang datang dari speaker komputer riba tadi, tiba-tiba aku terdengar bunyi geseran dari atas siling. Aku jeling ke luar tingkap. Kelihatan pokok ara di seberang hostel kami melambai lembut. Kuat angin, getus hatiku. Aku jeling rakan-rakan yang lain. Ada yang sedang menutup telinga, ada pula yang menutup mata. Mungkin terlalu seriau melihat si pelakon lelaki menghentam kepala 'tunangnya' ke dinding berulang kali. Sekali lagi aku terdengar bunyi geseran dari atas siling. Atap bocor memang begitu. Pantang kena angin.
Kredit hitam putih sedang dipaparkan pada skrin ketika si tuan layar menutup komputer ribanya. Malam sudah lewat. Masing-masing sudah menggosok mata. Seorang menguap, yang lain terjangkit menguap sama. Aku memetik padam suis lampu meja di sebelah katilku.
Bilik yang tadinya kelam menjadi gelap gelita.
Terdengar bunyi keriut katil-katil besi menandakan semua sudah bersedia untuk tidur. Salah seorang memulakan perbualan tentang filem yang kami tonton tadi. Bagaimana hubungan persahabatan si heroin dengan rakan-rakannya menjadi punca dia dibunuh dengan kejam oleh tunangnya. Topik perbualan berubah perlahan. Masing-masing mula bercerita tentang kehidupan peribadi. Tentang haiwan peliharaan, tentang keluarga, tentang cita-cita. Cuma aku tidak begitu pasti siapa yang sedang bercerita kerana suasana terlalu gelap dan suara setiap seorang masih belum dapat aku cam.
Suasana senyap seketika. Angin di luar masih bertiup deras. Sekali-sekala terdengar dentuman guruh dari jauh. Aku hampir terlelap ketika seluruh bilik itu diterangi pancaran kilat dari luar. Buat sesaat, mataku terpandang satu petak siling yang terbuka di hujung bilik itu. Guruh berdentum sedikit lewat. Aku masih merenung ke arah petak itu walaupun kini apa yang aku lihat hanya kegelapan. Aku cuba mengingat semula samada memang terdapat petak siling yang terbuka semasa kami sedang menonton filem tadi. Untuk tidak dianggap penakut oleh rakan-rakan baharu, aku diamkan saja.
Salah seorang dari rakanku tiba-tiba bersuara halus, "esok malam, kita berkumpul di bawah pokok ara di seberang jalan tu. Aku nak bagi hadiah persahabatan," katanya. Kami pun iyakan sahaja.
Keesokan harinya, boleh dikatakan kami langsung tidak sempat untuk berbual sepanjang program orientasi dijalankan. Syarat mewajibkan bagi setiap pelajar untuk memilih ahli kumpulan yang bukan dari rakan sebilik mereka. Tujuannya untuk kami bersuai-kenal dengan semua, tanpa memilih.
Program hari itu tamat selepas solat maghrib berjemaah di surau kolej. Aku naik sedikit lewat. Selesai menyimpan telekung di hostel yang kosong, aku turun semula. Mungkin yang lain sudah turun ke pokok ara tu, fikirku. Di dalam mindaku, aku membayangkan hadiah kecil berupa seutas gelang tangan atau rantai kunci. Aku bernyanyi perlahan menghayun langkah.
Dalam kekelaman malam, aku terlihat empat susuk tubuh sedang berdiri di bawah pokok kayu ara itu. Suasana hanya diterangi oleh lampu jalan malap berbelas meter dari situ.
Setiap seorang sekadar tersenyum menyambutku. Aku masih segan-segan, cuba untuk tidak kelihatan terlalu mengharapkan 'hadiah' yang diperkatakan semalam. Masing-masing saling berpandangan, menanti. Sehinggalah salah seorang dari mereka bertanya, "siapa yang nak bagi hadiah semalam?"
Kami saling berpandangan. Aku sangkakan hanya aku seorang sahaja yang tidak tahu siapa yang cadangkan perkara itu semalam. Masing-masing tidak mengaku. "Bukan aku," kata mereka. "Bukan aku juga."
Tiba-tiba kedengaran bunyi kersikan rumput dari belakang pokok itu. "Siapa yang nak jadi 'hadiah' dulu?" Tanya satu suara halus bergetar dari belakang pokok. Suara sama yang kami dengar malam semalam. Masing-masing seakan baru tersedar bahawa suara itu bukanlah suara salah seorang dari kami.
Kami sampai di hadapan pintu bilik dalam keadaan tercungap-cungap. Aku tidak pernah sangka aku mampu berlari sederas tadi. Tanganku terketar-ketar memulas tombol pintu. Sebaik melangkah masuk, mataku terus tertumpu pada lubang siling di hujung ruang itu. Rakan-rakanku yang lain duduk di atas katil masing-masing. Termenung kelu.
"Siapa tadi tu?" Tanya salah seorang rakanku.
Tiada jawapan.
Teragak-agak, aku merebahkan punggung ke atas katil. Pandanganku masih tertumpu pada lubang siling tadi. Malam itu kami berbaring di atas katil masing-masing dengan lampu meja yang terpasang. Terasa terlalu janggal untuk melelapkan mata. Salah seorang dari rakanku asyik berselubung sejak dari tadi. Langsung tidak bersuara. Trauma mungkin. Mana taknya. Suara halus bergetar itu tadi… seakan masih terngiang-ngiang di dalam telinga.
"Macam mana kita boleh tak perasan yang tu bukan suara kita?" tanyaku teragak-agak.
"Itu bukan masalahnya. Macam mana 'dia' boleh masuk dalam bilik kita malam tu?"
"Mungkin ke dari lubang siling tu?" tanyaku lagi.
"Tak mustahil," jawab yang lain.
Aku terdiam. Yang lain juga seakan-akan terkedu.
“Memang tak mustahil," ulang satu suara halus bergetar dari bawah selimut rakanku yang asyik berselubung sejak dari tadi.. “Dah dapat satu ‘hadiah’…” katanya separuh tertawa. “Lepas ni siapa?”
Aku jeling ke arah rak kasut. Hanya terdapat empat pasang selipar di atas rak itu.
-Tamat-
*****
Karya Ahmad Rusydi
Suntingan dan Gambar: Wan SC

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: