Tuesday 3 October 2017

GERAHAM - Montk Lucy


Geraham
oleh : Montk Lucy

Ia malam kedua aku di rumah Ann. Boleh tahan juga rumah dia. Stok makanan yang banyak, koleksi filem Barat yang vogue dan menarik: aku temui beberapa koleksi filem Martin Scorsce, dan yang paling penting rumah Ann dilengkapi dengan jaringan wi-fi yang sangat pantas.
Ann pulang ke kampung halamannya yang terletak di Sarawak beberapa hari lalu. Menurutnya, salah seorang dari ahli keluarganya telah meninggal dunia baru-baru ini. Sakit jantung. Dan dia minta tolong pada aku, untuk tolong jenguk rumah dia sepanjang ketiadaannya.
Setiap pesanan Ann aku ingat dan lakukan. Siram pokok kaktus yang ada di ruangan dapurnya, jimatkan penggunaan elektrik, jaga kebersihan rumah dan makan sepuasnya setiap makanan yang ada di almari dapur dan peti sejuknya.
Aku kenali Ann 7 bulan yang lalu. Dia staff baru di PUSPAKOM Bumi Peladang yang berasal dari Sarawak. Dia datang ke Tawau berseorangan. Dia tak punya ahli keluarga atau kawan-kawan di sini. Bagi aku, Ann seorang yang introvert. Dia tak cakap banyak dengan staff yang lain, tapi dengan aku dia agak rapat sikit .
Kata Ann, dia akan bercuti untuk lebih kurang seminggu bagi majlis pengebumian yang dihadirinya, Atau lebih panjang dari itu. Katanya lagi, kampungnya terletak di kawasan pedalaman. Sukar untuk sampai ke sana dan sukar untuk dihubungi. Ann memang ada pesan agar hubungi dia jika ada apa-apa yang berlaku tapi dia memang ingatkan yang memang aku perlu menunggu sedikit lebih lama untuk dia balas sms aku atau hubungi aku semula sebab talian komunikasi yang lemah di kampungnya.
Sudah masuk hari keempat dan aku cuma hantar satu pesanan Whatsapp kepadanya.
"BABE! STOK MAKANAN KAU MEMANG HEAVEN"
*
Setelah hampir empat malam aku bermalam di rumah Ann, jiran-jiran Ann mula berbual dengan aku. Mereka semuanya peramah. Ann tinggal di kawasan perumahan rumah pangsa yang terletak di Ranggu, Batu 8. Aku pernah dengar cerita yang mengatakan kawasan perumahan ini didirikan atas kawasan tanah timbus. Entah benar atau tidak cerita itu ,aku tak tahu .

"Macam mana dengan jiran kau? Kau sudah maklumkan yang aku akan menginap di rumah kau sepanjang kau tak ada di sana?" tanya aku pada Ann semasa dia menyerahkan kunci pendua rumahnya sebelum berangkat pulang ke kampung halamannya.
"Sudah. Aku sudah beritahu jiran yang tinggal depan rumah aku. Jangan risau, mereka semua baik" jawab Ann.
Aku suka kawasan kejiranan Ann, walaupun dia tinggal di rumah pangsa sebab kawasan kejiranan ini tak sunyi. Anak-anak jiran bermain tak kenal waktu. Suara girang mereka bermain buatkan aku rasa teruja. Rasa tak sunyi. Rasa meriah. Tak macam tempat tinggal aku. Kawasan kejiranan rumah aku senyap macam di padang pasir.
Aku bercadang untuk bermalam di rumah Ann untuk satu malam lagi sebab ada beberapa filem yang aku masih nak nonton. Malam itu, aku habiskan filem-filem yang aku nak nonton dan sedaya upaya untuk tidak habiskan stok makanan Ann. Aku minum banyak air putih bagi mengisi perut aku agar cepat kenyang. Tak ada cara lain.
*
Selesai mandi dan bersiap untuk ke tempat kerja, aku ke dapur. Ann bukan peminum kopi. Tak ada satu pun paket minuman kafein yang ada di dapurnya . Aku rasa Ann cuma minum air suling yang telah ditapis sebab peti sejuk Ann tidak diisi dengan botol minuman plastik. Ann hanya ada sebuah mesin penapis air yang aku rasa adalah satu-satunya sumber minuman air bersih.
Aku ambil gelas dan tekan punat yang ada di mesin penapis itu.
Air mengalir perlahan dan tersekat-sekat.
"Dah habis atau pun dah rosak ni? Malam tadi okay jak pun" tanya aku bersendirian. Jari telunjuk aku menekan lebih kuat punat merah yang ada di mesin penapis itu. Tetapi air yang keluar tetap juga mengalir perlahan. Aku malas menanti gelas aku penuh jadi aku cuma minum seberapa banyak air yang dapat mencurah keluar memenuhi cawan aku dan kemudian keluar rumah.
*
Aku bercadang untuk tidak bermalam di rumah Ann hari itu Sudah hampir seminggu lamanya, aku tidur di rumah Ann. Lagipun, koleksi filem yang dimiliki oleh Ann sudah habis aku nonton jadi aku ingat mahu kembali ke rumah aku. Lagipun aku cuba elakkan dari menghabiskan stok makanan Ann. Kemudian aku teringat yang aku tertinggal mafla aku di rumah Ann. Aku masuk ke dalam kereta aku dan memandu laju menuju ke rumah Ann.
Bila aku sampai di rumah Ann, aku perasan ada sebuah kotak hitam yang diletakkan di hadapan pintu rumah Ann. Aku berdiri di hadapan pintu dan memandang kotak hitam itu kehairanan. Kotak hitam itu mempunyai saiz yang menyamai kotak kasut. Aku angkat kotak itu dan aku lihat kotak itu dibalut dengan pita pelekat.
Aku ketuk pintu rumah Kak Liza yang tinggal di hadapan rumah Ann. Kak Liza membuka pintu rumah sambil menggendong anak kecilnya.
"Assalamualaikum, kak. Maaf, menganggu "
"Waalaikumsalam. Eh, tak adalah. Kenapa?"
"Akak nampak tak siapa-siapa yang letak kotak ni di depan pintu rumah Ann tadi?"
"Kotak? Kotak di tangan kamu tu?" Kak Liza pandang kotak yang aku pegang. "Tak nampaklah pula "
"Ni bukan barang anak-anak akak? Mana tahu tercicir tadi masa bermain?"
Kak Liza memanggil anak-anaknya dan bertanyakan tentang kotak itu. Mereka semuanya menggeleng menafikan yang kotak itu milik mereka. Tidak mendapat sebarang klu tentang kotak misteri itu, aku minta diri dan masuk ke dalam rumah Ann .
"Babe, ada parcel untuk kau minggu ni?"
Aku hantar pesanan Whatsapp kepada Ann bagi mengkhabarkan tentang kotak itu. Mungkin kotak itu adalah untuk Ann walaupun aku rasa pelik jika kotak seperti itu boleh dikira sebagai kiriman memandangkan rupa kotak itu yang agak janggal. Tidak ada sebarang nama pengirim atau penerima yang ditulis padanya . Malah, warnanya juga tak menyenangkan.
Aku letak kotak itu berdekatan almari tv Ann dan mencari mafla aku. Sebaik saja menemuinya , aku ke dapur bagi memastikan pintu dan tingkap telah dikunci kerana aku tidak akan bermalam di rumah Ann malam ini . Cawan yang aku gunakan pagi tadi masih ada di atas meja makan berdekatan dengan mesin penapis air. Aku ambil gelas itu dan cuba memenuhkan cawan aku sekali lagi . Aku agak dahaga sebab cuaca memang terik sekarang ini dan rumah Ann terletak di tingkat 3. Tetapi air masih mencurah dengan begitu perlahan. Disebabkan berang , aku tekan berkali-kali punat merah itu tapi hasilnya tetap sama. Mesin penapis air Ann tidak sama dengan mesin penapis air yang ada di rumah aku. Ia tidak mempunyai permukaan yang lutsinar yang membolehkan aku melihat apa yang berada di dalam mesin penapis air itu.
Aku rasa amat tertekan dengan keadaan mesin penapis air itu yang tiba-tiba tidak dapat berfungsi dengan baik sedangkan ia berada dalam keadaan yang baik malam tadi. Aku angkat mesin penapis air itu dan letakkannya di lantai. Kemudian aku buka penutup yang berada di atasnya.
Air yang ada dalam mesin penapis air itu masih dalam kuantiti yang banyak. Tetapi aku lihat ada sesuatu yang ada di dalam mesin itu yang kemungkinan sekali menghalang pengaliran air dari keluar dengan baik dari mesin itu. Aku perhatikan benda yang asing itu dengan teliti. Aku berundur ke belakang kerana terlalu terkejut bila aku menyedari apa sebenarnya benda asing yang berada dalam mesin penapis air itu.
Ia adalah sebatang gigi geraham yang berwarna kehitaman .
*
Tidak ada sebarang bluetick yang aku dapat lihat dalam perbualan Whatsapp aku dengan Ann. Sudah 2 hari berlalu dan tidak ada satu pun mesej aku yang sudah dibacanya atau dibalasnya . Aku mahu bertanyakan tentang apa yang aku temui dalam mesin penapis airnya serta kotak hitam yang ada di rumahnya tapi aku masih belum dapat menghubunginya lagi, selain hanya menghantar pesanan WhatsApp.
Entah berapa kali aku muntah selepas menemui gigi geraham yang entah bagaimana boleh berada di dalam mesin penapis air Ann. Seingat aku, air yang ada dalam mesin penapis itu telah aku minum berulang-kali sejak aku datang ke rumah Ann sepanjang ketiadaannya di sana . Perut aku jadi mual dan jadi sakit disebabkan aku paksa diri aku untuk memuntahkan semula air yang aku sudah minum dari mesin penapis air itu.
Aku sememangnya ada cuba memikirkan tentang gigi yang aku temui tetapi apabila aku teringat tentangnya, aku akan segera muntah. Disebabkan itu, aku tidak mempunyai sebarang pilihan lain lagi selain menantikan Ann untuk kembali ke sini dan bertanya tentang gigi yang aku temui itu kepada Ann sendiri.
*
Aku tidak ke rumah Ann lagi selepas peristiwa yang memualkan itu. Sudah hampir seminggu berlalu semenjak Ann kembali ke kampungnya di Sarawak jadi kemungkinan sekali dia akan kembali ke Tawau bila-bila masa saja lagi. Pagi itu, aku bangun awal. Sudah jadi rutin mingguan untuk aku berjogging di trek larian Persiaran Traulisen. Walaupun perut aku masih sakit sedikit, tapi itu tak patahkan semangat aku untuk berlari pagi itu.
Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Aku parkir kereta aku berdekatan dengan taman permainan sambil melihat trek larian yang masih kosong. Keadaan di trek larian aku lihat berkabus. Aku pakai hoodies dan buka pintu kereta. Kasut larian aku letakkan di atas tanah dan aku mula sarungkan kaki aku dalam stokin. Aku masukkan kaki aku ke dalam kasut larian aku dan alat dengar aku sumbatkan ke telinga. Aku cuba ikat tali kasut aku tapi kaki aku rasa sakit. Aku tanggalkan kasut aku dan masukkan tangan aku ke dalam kasut aku sebab aku dapat rasakan ada sesuatu dalam kasut aku. Seperti ada batu kecil dalam kasut aku.
Bila aku dapat capai benda yang menyakitkan kaki aku itu, aku keluarkan tangan aku dari kasut aku. Aku menjerit bila melihat apa yang ada di tangan aku itu adalah beberapa batang gigi yang berlainan saiz dan warna dan menyebabkan gigi yang aku keluarkan dari kasut aku tadi terjatuh ke bawah.
Tangan aku menggeletar. Tubuh aku juga sama. Aku cuba lihat gigi yang baru saja aku keluarkan dari kasut aku tadi tapi aku tak mampu. Perut aku mula mual dan berasa sakit dan aku ketakutan. Adakah ini sebahagian jenaka yang cuba dikenakan pada aku? Mood aku untuk berjogging pagi itu hilang serta merta.
Aku campakkan kasut aku ke tempat duduk belakang, pasang tali pinggang, cucuh kunci kereta dan cari tisu yang ada di laci di hadapan tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Bila aku buka laci itu, aku tekan pedal brek serta merta dan aku tercampak ke hadapan sebab ada berpuluh-puluh batang gigi yang masih berlendir dan berdarah dalam laci itu.
Pandangan aku berpinar-pinar. Dan bau busuk yang terembes keluar dari puluhan gigi yang ada dalam laci kereta aku itu buatkan aku berasa amat loya. Aku termuntah dalam kereta aku juga saat itu.
Aku keluar dari kereta dengan berkaki ayam dan cuba hubungi emak. Jalan raya masih lengang sebab masih pagi dan aku cuba menjauhi kereta aku sejauh yang mungkin. Aku tak larat melangkah lebih jauh dalam keadaan berkaki ayam. Jalan raya terasa sangat kasar dan sejuk. Aku mahu dapatkan selipar yang berada dalam kereta aku, tapi aku tak mampu melihat puluhan gigi yang berlendir dan mempunyai darah seperti baru habis dicabut yang ada dalam kereta aku.
Keadaan masa itu sangat sejuk. Emak masih belum angkat telefon dan aku rasa cukup takut dan teruk. Aku cuba tahan diri aku dari menangis. Aku masukkan tangan aku dalam poket hoodies aku dan masa itu aku rebah di atas jalan raya.
Bila mana jari aku menyentuh beberapa batang gigi lagi yang ada dalam poket hoodies aku.
*
Aku lihat mak dan ayah serta adik beradik yang lain berdiri di sisi aku. Aku dapat hidu bau ubat yang tipikal dan lihat siling berwarna putih dan selimut yang mempunyai warna yang serupa menyelimuti aku. Selain ahli keluarga aku yang berdiri di sisi, aku juga dapat lihat Ann di hujung katil memandang aku dengan senyuman kelat.
"Babe, kau okay?" tanya Ann. Aku angguk. Perlahan. Aku sebenarnya tak ingat apa-apa yang berlaku tapi aku rasa amat lemah.
"Mahu minum?" Ann capai gelas berisi air yang ada di meja berdekatan dan bila aku lihat cawan berisi air putih seperti itu, aku menolak dengan sekeras-kerasnya. Aku rasakan perasaan yang aneh bila lihat cawan berisi air.
"Bila kau sampai sini, Ann? Macam mana pengebumian tu?" Aku cuba bersuara walaupun aku tak larat. Aku pegang tangan Ann. Dia letakkan tangannya di atas tangan aku. Dia cakap semuanya berjalan lancar dan dia baru saja sampai di Tawau kelmarin. Ann cakap mak yang maklumkan dia tentang keadaan aku yang ditemui pengsan di atas jalan raya dua hari lalu. Maknanya, sudah dua hari aku dalam keadaan tak sedarkan diri.
"Apa yang sebenarnya jadi , babe?" Mata Ann merenung aku penuh simpati. Tangannya mengusap-usap jari-jemari aku. Aku pandang wajah Ann. Aku mahu beritahu dia tentang apa yang berlaku. Cuma, aku tak tahu mahu bermula dari mana .
"Sebelum kau ke Sarawak hari tu, kau ada tukar air dalam mesin penapis air kau tu?" soal aku.
"Air dalam mesin penapis tu , ada orang dari syarikat mesin tu yang akan tukar 2 minggu sekali. Aku tak pernah sentuh pun. Oh ya, macam mana mesin penapis air aku tu boleh ada di atas lantai dapur tak bertutup?"
"Kau tak nampak apa yang ada dalam mesin penapis kau tu?"
"Tak. Tak ada apa-apa pun " kata Ann.
"Ann, seriously?"
Ann jawab, "Serius, babe. Aku tak nampak apa-apa pun dalam mesin tu kecuali air"
Jawapan Ann buatkan aku jadi pelik. Aku tanya emak tentang keadaan aku bila mana mereka temui aku yang pengsan di atas jalan raya dua hari lalu. Emak cakap, aku terlentang di atas jalan raya berkaki ayam tak jauh dari kereta aku yang aku biarkan pintunya menguak luas.
Aku tanya tentang puluhan gigi yang ada dalam kereta aku dan beberapa batang gigi lagi yang ada dalam kasut dan hoodies aku. Dan mereka semua memandang satu sama lain dan kata, "Gigi? Gigi apa?"
Aku sangkakan ini salah satu jenaka yang paling jahat dan tak kelakar langsung. Tapi bila emak mula menangis dan cakap betapa risaunya emak bila dapat tahu tentang keadaan aku yang ditemui dalam keadaan tak sedarkan diri di jalan raya dua hari lalu, aku tak rasa ini adalah satu jenaka komplot ahli keluarga dan kawan-kawan.
"Kau ada nampak kotak hitam dalam rumah kau, Ann?"
"Kotak?" jawab Ann.
"Ya, kotak?"
"Tak ada pun. Aku ada baca mesej Whatsapp kau yang tanya aku tentang sama ada aku sedang menantikan sebarang kiriman atau tak bulan ni. Sebenarnya, memang tak ada pun aku tunggu apa-apa kiriman. Ada barang sampaikah untuk aku?" Aku geleng dan mengenggam tangan Ann dengan lebih erat. Kotak yang aku temui diletakkan di hadapan rumah Ann juga telah hilang . Aku alihkan pandangan dari melihat Ann dan emak serta adik-beradik aku yang lain. Aku tarik selimut dan cuba mengatur pernafasan dengan baik walaupun masa itu , aku berasa amat keliru, takut dan kesakitan pada kaki dan perut aku mula muncul semula. Tidak lama kemudian, emak dan Ann serta yang lain beredar bagi memberikan aku ruang dan waktu untuk berehat.
*
Malam itu aku tak dapat lelapkan mata. Aku cuba paksa diri aku untuk tidur dan beranggapan bahawa apa yang aku lalui beberapa hari lepas adalah kemungkinan sekali ilusi yang wujud akibat tekanan tempat kerja dan kehidupan . Ataupun disebabkan pengaruh filem yang aku nonton di rumah Ann. Aku masih ingat lagi filem yang aku nonton pada malam terakhir aku bermalam di rumah Ann ialah The Machinist dan Shutter Island . Aku cuba berpegang pada teori yang aku cuma berhalusinasi akibat pengaruh filem yang aku nonton. Aku pejam mata sekali lagi dan aku teringat perbualan aku dengan kak Liza tempoh hari bila aku bertanyakan tentang kotak hitam yang diletakkan di hadapan rumah Ann . Kak Liza dan anak-anaknya ada melihat kotak hitam tempoh hari, jadi kotak hitam itu memang wujud. Teori halusinasi aku goyah.
Aku bangkit dari perbaringan dan menuju ke tandas. Para pesakit sudah tidur dan aku lihat ada beberapa jururawat yang bertugas menyalin sesuatu di atas kertas.
Air paip aku simbah ke wajah aku dan aku lihat refleksi aku di cermin. Aku usap pipi aku yang kelihatan pucat. Dan tiba-tiba mata aku menangkap suatu imej di belakang aku. Ada sebuah kotak hitam yang diletakkan di atas tangki tandas . Aku tergamam.
Kaki aku pegun saat itu dan badan aku sukar mahu berkalih ke belakang. Ketakutan benar-benar menangkap aku, namun rasa ingin tahu aku amat kuat dan aku dapati aku sedang memegang kotak hitam itu. Pita pelekat dicarikkan perlahan-lahan oleh tangan aku yang menggeletar. Aku larut dalam ketakutan memikirkan apa yang ada di dalam kotak misteri itu. Bahagian atas kotak itu aku angkat dengan berhati-hati.
Dan di dalamnya, ada sekeping gambar perempuan sedang tersenyum dalam kotak itu. Dan perempuan itu adalah aku.
Tanpa ada sebatang gigi pun berada dalam mulut aku.

Karya: Montk Lucy
Editor: Shizu

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: