Monday 30 October 2017

DI AMBANG WATI - Carlito Rocker


DI AMBANG WATI

===================
"Carl, awak pernah tengok tak macam mana bentuk dan rupa Bunga Tanjung?" Soalan terakhir daripada arwah Syakila sebelum kami berpisah di Bukit Ampang pada malam 6 Oktober 2016 itu tiba-tiba sahaja terngiang di dalam fikiranku.
Di malam-malam yang sepi ini aku cuba untuk merungkai kembali peristiwa yang aneh mengenai kematian Syakila. Sepanjang aku mengenalinya dia adalah seorang gadis yang baik, mempunyai paras rupa yang cantik, bijak, dan datangnya daripada keluarga yang agak berada. Aku boleh dikatakan agak rapat dengannya. Kami berkawan, teman tapi mesra. Ada sesuatu yang 'tergantung' mengenai kematiannya.
Hampir setahun dia meninggalkanku dan entah kegilaan apakah yang telah memaksaku pada malam ini untuk merungkai dengan lebih lanjut tentang misteri disebalik kematiannya itu. Kebetulan malam hujung minggu adalah malam yang paling bosan bagiku. Tanpa berfikir panjang aku mengambil keputusan untuk menenangkan diri sambil meleraikan belenggu kesunyian ini ke Bukit Ampang untuk melihat suasana malam kota Kuala Lumpur yang indah permai daripada perspektif berlainan. Keretaku meluncur agak laju. Hujan mula turun. Sesekali cahaya kilat memantulkan cahayanya di hadapanku.
"Bunga Tanjung Carl…" Terdengar suara halus berbisik di telinga kanan ketika aku sedang mengelamun bersendirian.
Aku memperlahankan kereta dan berhenti di tepi selekoh KM66. Aku memerhatikan keadaan di sekeliling dan segenap inci ruang di dalam kereta. Tiada sebarang penampakan entiti. Mungkinkah aku sedang berkhayal? Mungkinkah aku sedang terbuai dengan layanan perasaan daripada misteri kematian Syakila?
Jam di dashboard telah menunjukkan angka 11 malam. Mindaku mula terfikir. Di antara logik. Suara siapakah yang berbisik sebentar tadi? Aku tidak memasang radio. Hanya bunyi penghawa dingin sahaja yang menjadi peneman kesunyianku. Aku yakin seseorang telah berbisik padaku tadi.
Sedang ralit berfikir, aku terdengar pula bunyi seperti seseorang sedang bernafas. Helaan nafasnya agak kuat. Bunyinya seperti seseorang yang sedang dalam kelelahan. Aku amati dan memasang telingaku dengan penuh konsentrasi. Aku terkejut apabila ternampak seperti wap pernafasan muncul di cermin sisi kananku.
Jasad si empunya nafas itu langsung tidak kelihatan. Aku mula memasukkan gear ke D2 dan bergerak meninggalkan kawasan itu. Aku tidak mahu memanjangkan masalah dengan sebarang makhluk yang mendiami di kawasan itu. Fokusku sekarang hanyalah untuk berada di atas jalan di Bukit Ampang sahaja.
Hampir setengah jam kemudian aku sampai ke destinasi seperti yang dirancang. Terlihat beberapa buah kereta diparkir kemas di tepi jalan. Berdasarkan daripada pengalaman yang lepas, aku yakin kereta-kereta di situ bukanlah kosong bahkan ia mempunyai penumpangnya tersendiri.
Kemungkinan besar mereka adalah pasangan kekasih yang sedang melakukan hubungan terlarang secara tersembunyi di dalam kereta-kereta tersebut. Argh, persetankan sahaja manusia-manusia yang sedang dihanyuti oleh gejolak hawa nafsu yang tidak bertempat itu. Zaman sekarang bukan boleh ditegur dan didakwah. Silap haribulan kita pula yang ditengking kerana kononnya menjaga tepi kain orang lain. Itulah lumrah dunia yang harus ditelan pada era globalisasi dalam zaman yang serba kalut ini.
Tup tup tup… Bunyi cermin tingkap keretaku diketuk.
Aku ternampak kelibat seorang gadis berpakaian baju kurung Kedah di luar keretaku. Aku menurunkan tingkap lalu menyuluhnya dengan cahaya daripada telefonku ke wajahnya. Ternyata dia adalah seorang manusia biasa sepertiku dan aku bertanyakan tujuannya.
Agak aneh apabila seorang gadis yang tidak diketahui daripada mana asal-usulnya secara tiba-tiba sahaja muncul tanpa diundang. Di dalam benak fikiranku hanya memikirkan samada dia adalah seorang penjenayah ataupun lebih dasyat lagi seorang gadis yang sedang dalam kegersangan yang inginkan layanan nafsu serakah daripada jantan-jantan yang nafsunya juga sedang menggila sepertinya.
"Awak nak apa?" Soalku tegas.
"Encik boleh tolong saya tak?" Dia pula bersoal padaku. Dia mencebikkan bibirnya dan memandangku dengan pandangan yang agak mengghairahkan.
"Tolong apa? Saya tak kenal awak ni siapa. Entah-entah penyamun ke? Pelacur ke?" Kasar soalanku tetapi itulah hakikat pada zaman yang serba moden dan jahil ini, penjenayah tidak mengenal rupa jauh sekali mengenal mangsanya.
Dia menangis. Aku bingkas mematikan enjin lalu membuka pintu dan berdiri di sebelahnya. Mungkin soalanku itu terlalu kesat untuk dihadam tetapi itu adalah sifat semulajadi yang sememangnya tertanam di dalam jasadku semenjak dari kecil lagi. Aku telah dididik untuk tidak mempercayai sesiapa dan aku juga mempunyai sifat kemandirian diri yang tinggi.
"Awak ni dah kenapa? Tiba-tiba je menangis. Pulak tu tak perkenalkan siapa diri awak? Datang dari mana?" Seperti peluru penabur aku menghamburkan soalan tersebut.
Dia terkulai layu dan terduduk di atas jalan. Aku menyuakan cahaya telefon dengan lebih rapat ke wajahnya. Matanya kelihatan sedikit lebam. Wajahnya bulat, berkulit cerah, berlesung pipit, dan berhidung mancung. Cantik wajahnya. Aku seperti pernah melihatnya sebelum ini. Bila dan di mana aku tidak pasti.
"Awak tolonglah jawab soalan saya tu…" Jelasku dalam nada memujuk.
"Awak kena tolong saya…" Jawabnya lemah dalam tangisan.
"Boleh tapi dengan syarat awak jawab soalan saya tadi…"
"Saya Intan Syakila, tadi saya telah dirompak."
"Intan SYAKILA?" Aku seperti pernah mendengar nama tersebut. Aku seperti kenal dengan gerangan pemilik nama tersebut. Aku cuba untuk mengingatinya tetapi gagal.
"Encik pulak siapa?" Dalam nada tersedu-sedan dia bertanyakan namaku.
"Saya Carlito, panggil Carl je…" Jawabku sinis.
"Encik Carl…" Dia memaut tanganku dan cuba untuk berdiri. Aku membantunya untuk berdiri. Baju kurungnya agak ketat ditambah pula dengan kasut tumit tinggi berjenama Gucci mengandaikan teoriku bahawa dia mungkin berasal daripada golongan hartawan.
"Tak payah berencik dengan saya. Panggil Carl cukup."
"Sebenarnya tadi saya dirompak di depan tu. Habis pecah cermin kereta saya. Handbag dan telefon saya pun dilarikan sama…" Tangisannya kembali memecahkan kesunyian malam. Dia menunjukkan lokasi keretanya diparkir.
Aku mengunci keretaku dan mengajaknya untuk ke keretanya. Sesampainya di situ aku ternampak seorang lelaki tua sudah terkulai layu di bahagian kerusi penumpang hadapan.
"Siapa tu? Kenapa dengan dia?" Soalku penuh musykil.
"Itu pakcik saya. Kami dalam perjalanan nak ke rumahnya di Hulu Langat. Tapi…" Dia kembali menangis. "Dia ditikam ketika hendak melindungi saya tadi…" Jawabnya dengan esakan tangisan lagi.
"Kita kena bawak dia ke hospital!" Jawabku spontan.
"Pakcik dah takde!!!" Jeritnya.
Aku berlari meluru ke keretanya lalu membuka pintu penumpang hadapan. Aku menghidupkan lampu di dalam keretanya. Darah pekat berwarna merah gelap telah memenuhi baju dan seluar lelaki tua itu. Aku menyentuh leher dan pergelangan tangannya. Tiada lagi denyutan nadi di jasadnya. Dia juga sudah tidak bernafas lagi. Aku memanggil Syakila tetapi dia seakan tidak berani untuk datang ke situ. Aku menghampirinya dan memujuknya untuk menceritakan perkara sebenar yang telah terjadi padanya.
Ini bukan kes rompakan biasa. Ini adalah kes rompakan dan pembunuhan. Dia hanya mampu menangis dan terus menangis. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Tanganku digenggam erat, kepalanya disandarkan ke tubuhku. Aku meleraikan genggamannya dan memberitahunya bahawa aku ingin memohon bantuan daripada pemilik-pemilik kereta yang mungkin sedang bermadu kasih di dalam kereta-kereta yang tersadai di pinggir jalan itu.
Aku mula menghampiri satu-persatu kereta di situ untuk memohon bantuan tetapi hampa kerana tiada sesiapa pun yang berada di dalam kereta-kereta itu. Jangkaan awal aku sebentar tadi meleset sama sekali. Ke manakah menghilangnya mereka semua? Agak mustahil untuk mengandaikan bahawa mereka semua sedang melakukan maksiat secara berjemaah di bahagian lereng bukit ataupun di bahagian bawah bukit. Itu kerja gila namanya. Silap haribulan menempah maut jawabnya.
Aku kembali semula ke kereta Syakila. Aku mencapai telefon bimbitku dan mendial nombor 911. Cubaanku gagal kerana nombor tersebut tidak dapat dihubungi. Aku kemudiannya cuba mendial nombor 999 dan 112. Juga gagal. Pelik.
Lalu aku mengambil keputusan untuk menghubungi sepupuku, kak Gee. Ternyata ianya juga gagal. Semua nombor yang telah aku hubungi itu berada di luar kawasan. Aku mula berasa was-was kerana adalah tidak masuk akal nombor telefon pihak berkuasa berada di luar kawasan. Aku menghubungi pula sahabatku yang lain seperti Angah Kucing Kelabu, Fikri, Isya Ijam, dan Atika. Juga gagal.
Telefonku tiba-tiba mati. Hairan kerana baru sebentar tadi terpampang jelas sel bateriku berada pada paras 70%. Aku cuba menghidupkan semula telefonku tetapi cubaan tersebut juga gagal. Tiada pilihan, aku mengajak Syakila ke balai polis. Dia akur. Dia menuruti sahaja arahanku itu.
Aku merasakan perjalanan untuk ke balai polis begitu jauh dan panjang. Jalan Bukit Ampang seolah-olah tidak berpenghujung. Di dalam kebosanan itu aku cuba untuk mengenalinya dengan lebih rapat namun dia hanya bungkam membisu seribu bahasa. Mungkin dia sedang bersedih dan trauma dengan kejadian yang telah berlaku tadi. Untuk menceriakan suasana yang agak kelam itu, aku menghidupkan radio lalu memainkan koleksi lagu daripada kumpulan Wings.
[TERBUKA HENDAKNYA PINTU SEGALA AZAM, MALAM ANTARA MALAM SEPASANG REMBULAN.
KEMBALI TERPATRI PANJI SEJAHTERA
MENGOTAKAN JANJI SILAM…

ASMARA KEJAR MENGEJAR HUJUNGNYA SEPANJANG HARI BEREDAR.
MENGUKUR BAYANGAN BERAHI MENGHITUNG DETIK PERPISAHAN.
MENDAMBA KEPANGKUAN KEKASIH
MENANGIS DALAM KESYAHDUAN…]

"Di sini kita pernah berpisah dan di sini juga kita pernah bertemu Carl." Syakila tiba-tiba bersuara ketika aku khusyuk melayani bait terakhir korus lagu Di Ambang Wati.
Terkejut dengan kata-kata tersebut, kakiku secara spontan telah menekan pedal brek dan berhenti di pinggir jalan. Dia menguis-nguis jarinya dan berkali-kali mengetap bibirnya. Kelihatan air matanya tumpah lagi. Dia kembali menangis teresak-esak. Entah kali ke berapa dia menangis untuk malam ini. Aku langsung tidak faham dengan kata-katanya tadi.
"Awak cakap apa ni?" Soalku buntu.
"Kita memang kenal. Awak mungkin terlupa…"
"Mustahil! Jangan main-main. Saya tak kenal awak ni siapa. Ni baru first time kita jumpa." Jawabku sambil cuba mengingati siapakah dirinya yang sebenar.
"Saya dah beberapa kali cuba untuk berhubung dengan awak. Tapi…"
"Tapi apa!" Bentakku kepadanya.
"Awak sebenarnya yang cuba untuk mengelakkan diri dari bertemu dengan saya." Jawabnya lemah.
Dia menarik nafas panjang dan mengarahkanku untuk mendengar penjelasannya. Aku bersetuju dan akur dengan permintaanya itu.
"Carl, awak tahu tak rupa Bunga Tanjung tu macam mana?" Aku tersentak. Tatkala itu memoriku mula bergerak aktif mencari sumber akses paling dalam tentang insan yang bernama Syakila dan Bunga Tanjung.
"Awak, bukan ke awak dah…?" Aku agak keliru ketika itu. Aku mula yakin bahawa makhluk yang berada di sebelahku itu bukanlah seorang manusia. Argh, aku terperangkap.
Dia memalingkan wajahnya dan merenungku dengan senyuman yang agak manis.
"Bertenang, saya bukanlah seperti yang awak fikirkan. Saya adalah saya. Awak yang inginkan jawapannya bukan?"
"Argh, kau ni jin syaitan yang hendak memesongkan aku. Nyah kau dari sini!" Jeritku ke arahnya.
Dia masih berada di situ. Dia tidak berganjak. Dia menggenggam tanganku dan mula menceritakan kembali peristiwa yang sebenarnya telah berlaku. Dia merungkai semula kejadian yang telah menimpa dirinya pada malam 6 Oktober 2016 itu.
"Carl, tolong terima hakikat yang sebenarnya awak dan saya dah terpisah. Kemalangan itu bukan disengajakan. Awak kena redha dan pasrah!" Penjelasannya itu membuatkanku menjerit dengan sekuat hati di situ. Aku mengingati semuanya. Aku hampir hilang kewarasan dan menangis dengan sekuat hati di situ. Air mata jantanku tumpah.
Syakila dan pakciknya sebenarnya telah dirompak dan dibunuh ketika aku ingin bertemu dengannya pada malam tersebut. Lengkap sudah memori kronologi peristiwa malam itu.
Pada malam kejadian aku ingin meluahkan hasrat untuk bertunang dengannya. Tetapi apakan daya, takdir tidak menyebelahi kami. Jawapannya semua telah terungkai. Kini aku mula redha dan pasrah.
Patutlah selama ini, setiap waktu, setiap saat, dan setiap hari aku dibelenggu oleh perasaan yang sama. Aku melakukan rutin yang sama. Ada masanya aku merasakan seperti diri ini ditoreh-toreh dengan pisau. Ada masanya seperti ditumbuk dan dicucuk dengan jarum yang tajam. Syakila telah selamat berada di alam sana. Aku pula sedang menghadapi masalah yang lebih besar. Baru sebentar tadi aku melewati diriku. Sebenarnya aku sedang bertarung nyawa. Aku tersangkut di antara 2 alam. Di alam barzakh dan di alam nyata. Jasadku dipenuhi dengan wayar dan aku dipakaikan dengan topeng oksigen. Aku sedang KOMA! Tubuhku berbirat dan penuh dengan kesan lebam. Argh, bagaimanakah aku ingin masuk semula ke dalam jasadku? Aku buntu.
Persoalan yang lebih misteri lagi adalah bagaimanakah aku mampu menzahirkan cerita ini di alam digital sedangkan aku sendiri sedang bertarung di antara hidup dan mati? -DI AMBANG WATI-
CERITA DI ATAS ADALAH CERITA FIKSYEN SEMATA-MATA. PENGGUNAAN NAMA-NAMA YANG TERLIBAT HANYALAH SEBAGAI PENAMBAH RENCAH DI DALAM KISAH MISTERI DI ATAS.
-tamat-
Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: