Wednesday 11 October 2017

BAHAGIA - Xander Xavier


BAHAGIA
Karya: Xander Xavier

=========
“Abang cantiknya rumah ni. Ita suka sangat bang…,” kata Ita yang sarat mengandung sebaik sahaja keluar daripada kereta Perodua Myvi milik suaminya.
“Jom, kita tengok dalam pula…,” Fattah menarik lembut pinggang isterinya lalu melangkah ke pintu masuk.
Terlihat sinar bahagia wajah kedua-dua pasangan ini. Mereka yang dahulunya hanya menyewa teres setingkat, kini mampu berpindah ke rumah banglo dua tingkat. Semuanya berubah apabila Fattah diterima bekerja disebuah syarikat terkemuka.
Ita sangat bersyukur kerana suaminya kini boleh bekerja sepenuh masa dan pelbagai elaun dan kemudahan ditawarkan. Bukan sahaja rumah yang mereka dapat malah kenderaan juga disediakan oleh syarikatnya. Rezeki untuk bakal bayi yang dilahirkan ini. Kalau dulu tempat tinggal mereka sangat jauh dari hospital.
Keesokan harinya, setelah Fattah keluar bekerja, Ita mengambil angin di laman belakang rumah baru mereka itu. Haruman pagi bercampur bau bunga-bungaan segar yang ditanam di sekitar rumah, membuatkan hati Ita menjadi tenang.
Dia melangkah perlahan ke buaian usang yang bersebelahan kolam ikan. Setelah melabuhkan punggung, dia memejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam menikmati keindahan suasana.
Matanya dibuka perlahan.
“Argh !”
Di hadapannya kini tercegat seorang budak perempuan. Rambutnya hitam, ikal mayang, bergaun merah jambu dan tersenyum manis. Ita bingung. Dari mana budak itu datang ?
“Adik masuk sini macam mana? Mak ayah adik mana?” Ita berdiri.
Budak itu membalas soalan Ita dengan senyuman. Dia tidak menjawab sebarang pertanyaan Ita, sebaliknya menghulurkan tangan dan mengusap perut Ita yang membuyung itu. Serentak dengan itu, bayi di dalam perut Ita menendang.
“Baby's kicking” budak itu berbisik dengan reaksi teruja.
Ita tersenyum. Ita mempelawanya untuk bermain-main di situ. Tambahan pula, Ita memang kebosanan tinggal di rumah besar itu sendirian. Semakin hari, Ita dan Irene semakin rapat. Setiap hari gadis kecil yang mahu dipanggil Irene itu datang ke rumahnya. Muncul tiba-tiba dan perginya juga tiba-tiba.
Pernah sekali itu, mereka sedang membakar kek bersama-sama dan ketika itu pula Fattah pulang awal kerana tertinggal barang, Irene yang berada di sebelah Ita tiba-tiba hilang begitu sahaja. Mungkin dia lari kerana takutkan Fattah atau mungkin juga dia malu. Budak perempuan kan?
Fattah mulai curiga dengan sikap isterinya yang sering bercerita mengenai Irene walhal rumah mereka jauh dari kawasan kejiranan. Entah siapa budak itu mereka belum lagi bertembung. Pernah juga Ita mengadu melihat Irene dan keluarganya berada di dalam rumah mereka, dan bermacam lagi.
Lebih dahsyat lagi apabila Ita berhasrat untuk menamakan anak mereka dengan nama Irena. Fattah hanya menganggukkan kepala dan tidak respon banyak tentang perkara itu. Mungkin pembawaan orang mengandung. Dia layankan aja.
Pada suatu malam, Fattah pulang agak lewat. Sekitar pukul 11.00 malam. Tanpa memberi salam, dia terus menghampiri isterinya yang sedang menyisir rambut di hadapan cermin.
“Sayang… Sorry abang balik lambat malam ni, banyak kerja. Rasa macam nak tumbuk je muka bos tu…,” dia meletakkan tangan kanannya di atas bahu Ita dan yang sebelah lagi cuba membuka tali leher.
“Abang, ada benda yang abang tak cerita dekat Ita ke ?,” Fattah yang tadi tersenyum manis, mengerutkan dahinya.
“Cerita apa ? Apa Ita cakap ni ?” Fattah menjauhkan dirinya daripada Ita. Jujur dia tidak mahu bergaduh dengan insan yang paling dia sayang.
“Irene cakap abang…,” belum sempat Ita menghabiskan ayat, Fattah sudah menghentak meja kecil yang dikhaskan untuk membaca.
“IRENE ! IRENE ! IRENE ! SIAPA BUDAK IRENE NI ? MANA DIA ? SEKALI LAGI ITA CAKAP PASAL IRENE, ABANG HANTAR ITA DEKAT HOSPITAL GILA. ORANG GILA JE YANG CAKAP BENDA BUKAN-BUKAN MACAM ITA NI !” Fattah keluar daripada kamar tidur mereka dan membiarkan Ita menangis sendirian.
Fattah memilih untuk tidur di atas sofa yang ditempatkan betul-betul di hadapan bilik tidur mereka. Seluruh rumah itu diselubungi kegelapan kecuali tingkat 2, tempat Ita dan Fattah tidur ketika ini.
Fattah menyesali perbuatannya menengking Ita, dia memikirkan hal itu sehingga terlelap. Namun, tidurnya terganggu dengan suatu bunyi yang aneh. Bunyi itu seakan-akan seseorang sedang mengasah pisau. Dia membuka mata perlahan-lahan, kelihatan susuk tubuh seperti Ita sedang mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas sambil memegang pisau dan dileretkan disepanjang pemegang tangga. Semakin hampir dan hampir…
“Argh !!!” Fattah tersedar daripada tidurnya.
Mimpi?
Sungguh mimpi tadi sungguh mengerikan. Mana mungkin Ita sanggup membunuhnya. Fattah bangkit dan berjalan masuk ke dalam bilik untuk melihat Ita. Pintu dikuak. Katilnya kosong. Ita sepatutnya sudah tidur.
“Abang !!” suara Ita menjerit.
Tersentak, dengan segera Fattah berlari ke tingkat bawah. Bawah… yang paling bawah… Ruang bawah tanah. Apa Ita buat di situ malam-malam begini? Dia sangat risau kalau-kalau isterinya itu tercedera. Fattah sudah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini kecuali Ita.
Sejujurnya, dia bukan hanya risaukan Ita malah …
Pintu kayu ruang bawah tanah itu ditolak kasar.
“Ita, Ita tak apa-apa ke ? Buat apa Ita pergi sini ?”Fattah memeluk isterinya daripada belakang.

“Abang… Darah bang…,” Ita mengadu kepada Fattah. Mukanya pucat lesi.
“Ya Allah !” segera Fattah menggendong isterinya dan memecut kereta ke hospital berdekatan.
Sudah dua hari Ita berada di wad. Fattah sentiasa berada di sisi Ita. Apabila ditanya apa yang berlaku, Ita hanya menangis. Luruh hancur hatinya apabila diberitahu bahawa anak yang dikandungan tidak dapat diselamatkan. Fattah sedikit pun tidak menangis namun di dalam hati hanya Allah saja yang tahu. Dia perlu kuat untuk isterinya.
Hari ini Fattah datang bersama kawan baik Ita yang datang dari kampung. Ita kelihatan sedikit ceria dengan kehadiran Maisara. Mungkin dengan adanya Maisara, Ita mahu membuka cerita tentang apa yang terjadi.
“Ita, Ita bagitahu abang, macam mana Ita boleh terjatuh kat bilik bawah tanah tu?,” Fattah mengusap lembut tangan Ita. Maisara masih di sisinya.
“Irene… Irene ajak Ita turun bilik tu… Nak tunjuk sesuatu katanya… Sampai depan pintu, dia tolak Ita, bang,” Ita tidak dapat menahan sebaknya lalu menangis sekali lagi.
“Ita, Irene tu tak wujud. Kan abang dah cakap dulu,” Fattah meletakkan tangan Ita kembali. Dia kecewa dengan imaginasi merepek isterinya.
Fattah berasa sangat marah dan berlalu pergi meninggalkan Ita dan Maisara sendirian. Dia tidak suka nama Irene disebut-sebut. Dia benci nama itu. Sementara itu, di dalam wad, Maisara membisikkan sesuatu kepada Ita.
“Kau biar betul Mai ?!” Ita seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dibisikkan Maisara.
“Kau percayakan aku kan?” Maisarah yakin yang Ita lebih mengenalinya.
Beberapa hari kemudian, Maisara membawa Ita keluar daripada hospital tanpa pengetahuan Fattah yang sedang bekerja. Sebenarnya Ita memang sudah boleh keluar, namun bagi menjalankan agenda yang dirancang oleh Maisara, Ita terpaksa duduk beberapa hari lagi di hospital. Maisara berjanji akan membawa sama seorang Ustaz atau pakar perubatan Islam bagi membantunya.
Sebaik saja sampai di rumah, Ita, Maisara dan Ustaz tersebut terus melangkah masuk ke perkarangan rumah. Fattah masih bekerja, jadi rumah itu memang kosong. Sewaktu Ita membuka pintu utama, ustaz yang tadinya tenang bertukar riak wajah dan beristighfar panjang. Ita mahu melangkah masuk namun ditegah oleh ustaz itu. Ustaz terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Selang beberapa minit…
“Rumah ni bukan rumah awak Ita,” Ustaz tadi membuka bicara.
“Yalah ustaz, memang bukan rumah saya. Rumah syarikat suami saya. Kan saya dah bagitahu ustaz masa dalam kereta tadi,” Ita menjawab.
“Bukan itu maksud saya. Mana suami awak ?” tepat pada masanya. Sebaik sahaja ustaz menghabiskan pertanyaan itu, kereta Fattah memasuki perkarangan rumah.
“Eh, kenapa ni ramai-ramai dekat depan pintu ?” tanya Fattah sebaik sahaja keluar dari perut kereta.
“Masuklah dulu kalau ya pun… Ita kenapa tak ajak diorang masuk ?” Fattah melangkah masuk ke rumah namun di tarik oleh ustaz.
“Nak Fattah, rumah ni bukan rumah pemberian syarikat kamu kan ?” ustaz bertanya dengan nada yang sangat lembut.
“Apa pak cik cakap ni ? Saya tak faham…,” Fattah buat-buat tidak faham sebenarnya.
“Kamu tidak sepatutnya meninggalkan mayat-mayat mereka di dalam peti beku dekat ruang bawah tanah, nak…” riak wajah Fattah mula berubah menjadi merah padam.
Ita yang terkejut terus berlari ke ruangan bawah tanah. Maisara tergesa-gesa mengejarnya. Fattah juga cuba mendapatkan isterinya. Namun, Ita lebih pantas berlari menuruni anak tangga dan membuka peti beku yang berada di situ…
"Irene...!!"
Dia jatuh terjelepuk. Suami yang disangkakannya selama ini sebagai ‘malaikat’ pelindung rupanya… Fattah memeluk paksa isterinya agar bertenang. Ita masih tergamam. Maisara cuba menahan muntah namun gagal dia terus naik ke atas. Manakala ustaz hanya berdiri di tangga.
“Ita… Maafkan abang… Abang buat semua ni demi Ita, demi anak kita… Abang tak nak anak kita hidup susah bila dia lahir nanti. Maafkan abang. Abang sayang Ita. Ita percayakan abang kan… Kita kena hapuskan Mai dengan orang tua tu pula supaya tak ada sesiapa tahu rahsia kita,” Fattah bangkit dan menarik tangan isterinya memujuk. Ita merentap kembali tangannya dan menjauhi daripada Fattah. Dia menangis teresak-esak. Dia sungguh tidak sangka.
“Abang sedar tak siapa yang abang bunuh ni ? Ni keluarga angkat abang sendiri. Memang Ita tak kenal Irene tapi Ita kenal mak dan ayah angkat abang. Abang nak ajak Ita bunuh Mai pula. Abang dah gila !” Ita menjerit.
“YA, MEMANG AKU DAH GILA ! AKU GILA SEBAB AKU BUNUH DIORANG NI UNTUK DAPATKAN HARTA DIORANG DEMI KAU… Demi kau, sayang… Sekarang, kau dah tak sayang aku kan ?” Fattah menghampiri Ita.
Setapak demi setapak. Mata Ita tertancap pada pisau di tangan kiri Fattah. Suaminya kini menghampiri dengan penuh aura hitam yang dahagakan nyawa.
“Argh !” Ita memejamkan mata dan menekup telinganya.
BANG ! BANG !
Fattah berhenti. Ita membuka matanya berlahan-lahan. Kelihatan cecair merah pekat mengalir daripada dada dan kaki suami yang pernah disayanginya. Fattah rebah ke bumi.
“Abang !” Ita menjerit kecil. Dia memangku kepala Fattah di atas ribaannya.
“Maafkan abang. Abang bunuh Irene yang Ita sayang… Anak kita… Salah abang…,” mata Fattah terbuntang luas. Nadinya berhenti, nafasnya terhenti. Terhentilah juga cintanya.
Pihak polis berlari mengelilingi Fattah dan Ita, sementara sebahagian lagi memeriksa peti beku yang menyimpan jasad Ayah Amin, Mak Mila, dan Irene… Ita masih menangis teresak-esak di samping jasad suaminya.
P/S : Terima kasih kerana sudi membaca sehingga ke penghujung. Mesej yang saya ingin sampaikan adalah bersyukurlah dengan apa yang ada. Sesungguhnya sedikit itu lebih baik daripada banyak, kita tak mampu nak pikul… Ambil yang jernih, buang yang keruh. Yang baik kita simpan, yang buruk tu kita campak dalam longkang. Sekian… -XX
************************
Suntingan: #kamenrider
Gambar: Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: