Wednesday 28 June 2017

KEBUN ORANG - Kamarul Ariffin Nor Sadan


Aku dulu bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Bandar Penawar. Sekitar tahun 1998-2002, Bandar Penawar tu bandar koboi. Apa pun tiada. Kalau nak outing, kena pergi ke bandar Kota Tinggi yang jaraknya hampir 50km Bandar Penawar, baru ada kedai snooker, jamming, pizza, Marrybrown dan sebagainya.
Sekolah aku pun masa tu baru siap. Aku batch ketiga. Jiran sebelah kami, sebuah sekolah asrama juga. Hadapan kami pun sekolah asrama. Di sisi lain pula, belukar dan hutan belantara. Siap ada babi tunggal yang sering menampilkan diri pagar belakang sekolah.
Entah apa punya benak ketika itu, selalu juga pelajar fly keluar sekolah pada waktu malam walaupun kami tahu di Bandar Penawar tiada apa-apa. Pergi kedai makan, beli makanan. Pergi kedai runcit, beli rokok. Itu sahaja motifnya. Mungkin kerana ketika itu darah muda gemar memberontak. Melanggar undang-undang dikira cool.
Nak fly ni ada banyak cabaran. Takut ditangkap oleh warden. Perlu lalu hutan. Perlu sembunyi dalam longkang untuk elak dikesan. Perlu lalu kebun orang. Sekitar sekolah tu ada kebun pisang, dan kebun tembikai.
Cerita yang aku nak cerita ni pasal pengalaman ceroboh kebun orang.
Malam tu, beberapa orang pelajar rancang untuk fly. Aku pun join sama. Jam 10 malam kami dah panjat pagar belakang asrama. Semua berjalan lancar. Masuk longkang. Keluar longkang. Lintas jalan. Masuk longkang semula. Keluar balik. Masuk kebun entah siapa.
Suspens weh ceroboh kawasan larangan. Semua orang pasang telinga. Mata meliar sana sini. Takut-takut pemilik kebun datang. Sedang menyelinap macam tikus, tiba-tiba aku nampak sesuatu bergerak-gerak di atas tunggul pokok yang telah ditebang.
“Weh, apa tu weh?” tanyaku.
“Hoi bodoh! Benda pelik jangan tegur. Jalan je.” balas kawan aku.
“Aku tak sedap hatilah. Entah-entah hantu kot” kata aku, si bodoh yang mulutnya celupar.
“Cibaileksep*! Mulut kau ni, tak ada insuranslah, Chaku.” balas seorang lagi kawan aku.
Aku yang naif ni buat tak tahu dan menghampiri susuk aneh itu. Bila aku dah dekat, tiba-tiba benda tu melompat sambil mengibas-ngibas sayapnya dan berkokok. Nasib baik kakinya tertambat pada tunggul. Kalau tidak, memang aku ditaji-taji oleh ayam jantan tu.
Sebab ayam tu bising, kami terus kelam kabut lari meninggalkan kebun berkenaan, takut pemilik kebun pergi periksa. Niaya kalau kantoi tengah fly. Pasti kena gantung sekolah.
Apabila sampai kat kedai makan. Kami cerita semula pada tentang perkara tadi.
“Bodohlah kau, Chaku. Nasib baik tak kantoi.” kata seorang kawan kepada aku.
“Ada juga orang guna ayam untuk jaga kebun, ek.” ujarku.
“Hoi bodoh! Ayam tu bukan untuk jaga kebun.”
“Habis tu?” soalku keliru.
“Itu untuk habuan untuk penjaga kebun.”
“Siapa penjaga kebun tu?” soalku lagi.
“Apa bodoh sangat kau ni?”
“Kau tak tahu ke, kalau ada ayam jantan di ikat kat tunggul, itu untuk jamu penanggal lah bodoh!” tambah seorang kawan.
“Jap. Jap. Jap. Maksud kau, kebun yang kita lalu tadi tu, ada penanggal? Mana kau tahu pasal benda ni?” ujarku.
“Itu general knowledge lah, bengap.”
"Oooo. Mana aku tahu. Aku budak urban." ngaku aku.
"Kau bukan budak Ulu Tiram ke? Urban celah mana?" ujar kawanku lalu menepuk ubun-ubun aku.
Masa balik ke asrama, kami ikut jalan lain. Jalan yang kurang angker, tapi lebih susah sebab kebunnya ada anjing. Masa kami rentas kebun tu, anjing menyalak bukan main kuat. Kami lari macam tak cukup tanah. Berdesup.
Namun, jika dibandingkan dengan anjing, ternyata aku larian ku tidak berapa laju. Kedengaran dengus nafas anjing di belakangku. Aku kumpulkan segala kudrat untuk berlari lebih pantas. Malangnya, anjing-anjing tu semakin dekat dan dekat. Tiada lagi tenaga yang bersisa dalam tubuh aku, lalu aku terjelepok jatuh tersembam ke bumi.
Ketika aku angkat muka, aku lihat berdesup anjing itu melempasi sisi aku. Ia menyalak ke langit dan bila aku teliti betul-betul, baru aku perasan anjing tu tak salak pada kami. Anjing tu menyalak pada penanggal yang mengekori kami.
Celaka betul!
Sekarang aku nak kejar kawan-kawan aku ke tidak? Sebab kalau aku kejar mereka maksudnya aku kejar penanggal yang sedang mengekori mereka.
Akhirnya aku ikut japan lain untuk pulang ke asrama. Semua orang berjaya balik dengam selamat Nasib baik tak kantoi dengan warden.
Itu kali terakhir aku fly.


Nota: Cibaileksep = gabungan cibai+rileks+sep(save) . Ia respon yang disebut jika seseorang menyebut sesuatu perkara yang tak patut disebut.
Jika anda ada kisah angkar yang ingin dikongsikan bersama pembaca Arkib Angker Negara, kirimkan kisah seram anda di inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: